Generasi muda harus mempunyai banyak inovasi dan keberanian untuk membawa perubahan, termasuk perubahan dalam persekitaran kehidupan terdekat mereka. Itulah yang dilakukan oleh Rima Sultana Rimu apabila melihat kawasan di mana dia dibesarkan.
Dibesarkan dalam keluarga petani kampung yang sederhana, Rima telah menunjukkan keberanian serta keazaman yang luar biasa dalam memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak sejak kecil.
Rima mengadakan bengkel mengenai hak wanita, kesihatan seksual dan reproduktif, dan mencegah keganasan terhadap wanita.
Dia mempertahankan hak wanita Rohingya dan mengajar betapa pentingnya melindungi hak wanita dalam situasi krisis.
Beri Inspirasi Dengan Keberanian & Keazaman
Rima membawa misi ini ke pelbagai forum antarabangsa dan mencipta namanya di kalangan aktivis dunia. Antaranya, Rima dimasukkan dalam senarai BBC 100 Women pada 2020.
Ads
Rima dinobatkan sebagai salah satu daripada 100 wanita yang memberi inspirasi dan berpengaruh di dunia oleh BBC.
Rima menjadi inspirasi kepada wanita dan kanak-kanak lain di kem pelarian Rohingya kerana kecekalan dan keazamannya dalam mengangkat martabat wanita dan memperkasakan orang ramai untuk mengatasi halangan dan mencapai impian mereka.
Rima Sultana Rimu menjadi contoh luar biasa seorang wanita muda dari Generasi Z yang berani dan berdedikasi terhadap persekitaran tempatnya tinggal dan mampu membuat perubahan di dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Atlet kebanggaan negara ini bukan calang-calang wanita. Beliau sememangnya layak diangkat sebagai ikon. Bukan hanya meraih kecemerlangan dalam kerjaya sukan bahkan keputusan akademik Datuk Nicol juga patut dijadikan inspirasi. Jika dihitung pencapaian anak jati kelahiran Pulau Pinang ini, memang tak terkira banyaknya. Meskipun namanya dalam industri sukan terkenal di seluruh dunia namun Datuk Nicol cukup merendah diri.
Baru-baru ini nama Datuk Nicol Ann David menjadi bualan tidak hanya di dalam negara bahkan seluruh dunia apabila beliau merangkul gelaran berprestij Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia! Menerusi undian yang dibuat secara dalam talian di laman web Sukan Dunia itu, Datuk Nicol mendapat 318,943 undi menewaskan 23 atlet lain dari seluruh dunia. Hebat!
Dilahirkan pada 26 Ogos 1983, Datuk Nicol merupakan anak kepada Desmond David dan Ann Marie David. Beliau mempunyai dua beradik perempuan iaitu Lianne Marie dan Cheryl Therese. Minat Datuk Nicol dalam sukan skuasy mula disedari bapanya ketika beliau berusia lima tahun. Difahamkan, ketiga-tiga beradik ini didedahkan dengan sukan berkenaan sejak kecil lagi.
Seawal usia 15 tahun, Datuk Nicol sudah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia. Kejayaan meraih pingat emas di Sukan Asia Pattaya, Thailand pada tahun 1998 menjadi pembakar semangat buat tokoh sukan ini untuk terus melakar pelbagai sejarah. Sebelum itu pun, Datuk Nicol telah beberapa kali memenangi kejohanan peringkat antarabangsa Terbuka Junior Scotland Under-12 dan Kejohanan Hong Kong Under-13.
Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, Datuk Nicol merangkul gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali! Beliau kemudian mengumumkan persaraan pada tahun 2019.
Yang pasti, Datuk Nicol merupakan antara atlet yang berpendidikan tinggi. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Berkongsi momen istimewa itu, ujarnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to USM for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science.”
Biarpun meraih pelbagai kejayaan di pentas dunia tapi Datuk Nicol tetap setia menimba ilmu sehingga ke hari ini. Walau sudah bersara, beliau masih menjadikan ilmu sebagai keutamaan. Tambahan pula pada akhir Januari lepas Datuk Nicol berkongsi rasa teruja dan gembira selepas berjaya menamatkan pembelajaran secara dalam talian dalam Foundations of Positive Psychology, University of Pennsylvania!
“I never thought I would be studying after squash but I gave it a shot during the pandemic. I have always been interested in understanding more how our mind works for us and against us and this specialization has given me better insights and tools for understanding our thoughts better. Never too late to learn something new.”
Datuk Nicol yang meniti usia 38 tahun pernah menarik perhatian masyarakat ketika masih bergelar pelajar sekolah apabila beliau memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ramai mengagumi kepintaran jaguh sukan kebanggaan ini apatah lagi waktu itu beliau sudah mula aktif dengan skuasy. Moga kejayaan Datuk Nicol terus menjadi sumber inspirasi ramai wanita!
Kredit foto: Instagram Datuk Nicol David
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejurus barisan kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri ke 10, Dato’ Sri Anwar Ibrahim minggu lepas, siapa yang bakal menyandang portfolio Menteri Pendidikan sentiasa menjadi tumpuan sektor itu memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan dan pembangunan negara.
Kementerian Pendidikan yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pelajaran, ialah sebuah kementerian yang dekat di hati para wanita. Mempunyai matlamat untuk ialah untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, kementerian itu juga beriltizam melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan, dan sejahtera di samping menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara serta memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
Hampir dua minggu menantikan pelantikan Menteri Pendidikan, rakyat Malaysia rata-rata menyambut baik Fadhlina Sidek menerajui kementerian. Berikut 10 info menarik beliau:
1- Dilahirkan pada 16 Oktober 1977, Fadhlina merupakan ahli Dewan Rakyat bagi Nibong Tebal serta bekas ahli Dewan Negara dari 2021 hingga November 2022.
2-Memegang Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serta Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
3-Merupakan Senator Dewan Negara.
4-Profesion sebagai peguam syarie dan memiliki firma guaman, Fadhlina Siddiq & Associates.
5- Lantang memperjuangkan isu wanita dan kanak-kanak termasuk undang-undang anti gangguan seksual serta menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
6- Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih sebelum menamatkan alam persekolahan pada 1994 di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Kajang, Selangor.
7- Beliau mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fadzli Arsad dan dikurniakan enam cahaya mata.
Semoga perlantikan Fadhlina Sidek mampu memberikan sinar baru dalam sektor pendidikan negara. Selamat bertugas!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekalung tahniah buat Dato’ Sri Azalina Othman Said atas kejayaan anak perempuan tersayang yang baru saja menamatkan pengajian di England baru-baru ini. Menerusi hantaran terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di media sosial, Dato’ Sri Azalina berkongsi khabar gembira mengenai pencapaian akademik cemerlang yang diraih puteri kesayangan iaitu Azareena.