“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Ads
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Ads
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Ads
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semoga akan ada lebih ramai pengasas berjiwa prihatin seperti Ainin Sofiya dan Amirah Syamimi. Tindakan adik-beradik yang juga pengasas produk kosmetik tersebut turun padang membantu mangsa banjir baru-baru ini sememangnya wajar diberi pujian.
Meskipun timbul persepsi negatif apabila usaha yang dilakukan di muat naik di media sosial namun ia tidak menjadi halangan buat usahawan Maaez dan Demica berkenaan untuk berbakti kepada masyarakat.
Beberapa negeri dilanda bencana banjir akibat hujan lebat berterusan sejak awal November lalu susulan Monsun Timur Laut (MTL) melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Prihatin dengan nasib menimpa rakyat, Nik Ainin Sofiya Nik Mahmood dan adiknya iaitu Nik Amirah Syamimi Nik Mahmood melancarkan misi bantuan CSR Banjir Kelantan Maaez x Demica.
Sehingga kini misi tersebut sudah pun dilakukan sebanyak dua fasa.
Menerusi perkongsian di media sosial masing-masing, kelihatan dua beradik ini memborong barangan keperluan berupa makanan dan pakaian untuk kegunaan mangsa terlibat.
Menurut Amirah Syamimi, “Untuk kali ni saya dan kakak saya bergabung untuk memberi bantuan pada mangsa banjir.
Untuk first batch ni kami fokus pada toto, pakaian dalam, kain pelikat, kain sarung, barang-barang mandian, ubat-ubatan dan lain-lain. Antara yang ramai orang request juga air mineral.”
Sementara itu, Ainin Sofiya pula mendedahkan, “Ini semua adalah hasil dari sokongan pengguna produk Maaez dan Demica. Tanpa sokongan anda semua kami takkan mampu untuk turut sama menyumbang. Terima kasih kami ucapkan.
Terima kasih juga kepada yang mendoakan yang baik-baik untuk kami, semoga doanya berbalik kepada kalian semua.
Saya tahu ada yang anti betul dengan gelaran “founder”. Kami juga hanyalah manusia biasa cuma kami memilih dunia perniagaan sebagai punca pendapatan kami.
Kami cari rezeki yang halal dan mengikut undang-undang Malaysia. Takkan rugi support mana-mana bisnes usahawan melayu islam, kami bayar zakat, bayar cukai, berkongsi rezeki dengan pekerja, agent-agent dan masyarakat. Selagi mampu insha Allah kami cuba akan sentiasa membantu yang memerlukan. Doakan kami ya.”
Difahamkan kedua-dua usahawan ini menggunakan wang sendiri sepenuhnya tanpa mendapatkan derma atau bantuan daripada mana-mana pihak.
Bukan sekadar membeli barangan keperluan dan kelengkapan, malah mereka turut turun padang meredah banjir khususnya di Tumpat, Kelantan bagi mengagihkan sendiri barang berkenaan. Selain bertemu dengan masyarakat di sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau tengok susuk tubuh ramping dan rupa parasnya pasti ada yang beranggapan umur penyampai radio ini berada dalam lingkungan lewat 20an. Hakikatnya, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair sudah pun berusia 43 tahun. Memang awet muda dan cantik orangnya!
Bergelar ibu kepada dua orang anak, Aishah Sinclair merupakan anak kepada pasangan Mohamad Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman.
Bapanya berketurunan Inggeris sementara ibu Aishah pula keturunan Melayu. Jadi, tidak hairanlah bintang Gol & Gincu ini kekal cantik. Mewarisi gen cantik kedua-dua ibu bapa.
Malah adik-beradik lelaki Aishah juga iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair dan adiknya, Adam Sinclair yang merupakan suami penyanyi Yuna turut memiliki rupa paras kacak.
Difahamkan Aishah gemar menjalani gaya hidup aktif dengan menyertai pelbagai program larian dan marathon. Hobi itu dikatakan mula terbit sejak dia menemani bapa tersayang suatu ketika dulu.
Aishah Sinclaire Masih Amal Gaya Hidup Sihat Di Usia 43 Tahun
Sehingga ke hari ini Aishah telah menyertai lima marathon di peringkat luar negara dan tiga daripadanya di Jepun. Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah menyertai ekspedisi mendaki Everest Base Camp kira-kira empat tahun lalu.
Mendirikan rumah tangga bersama Sheikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006, perkahwinan Aishah dan suami lebih bermakna dengan kehadiran dua puteri comel mereka iaitu Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Januari lepas merupakan ulang tahun perkahwinan ke-17 Aishah dan suami tercinta!
Yang pasti, jelitawan ini seorang yang sangat mementingkan ikatan kekeluargaan. Bukan hanya rapat dengan kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik bahkan Aishah cukup mementingkan waktu berkualiti di samping suami dan anak-anak.
Buktinya, ketika menjalani sesi fotografi Nona 3 Dekad hampir sembilan tahun lalu, Aishah banyak bercerita tentang anak tersayang. Selain terbuka berkongsi sisi peribadi, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga seorang yang bercita-cita tinggi dan mesra.
Petua Kecantikan Anda?
“Saya menggunakan pencuci, pembersih dan pelembap wajah untuk menjaga kesihatan kulit muka. Selain itu, demi memastikan kesihatan yang baik saya akan minum air putih
secukupnya sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter sehari dan melakukan senaman.
“Memandangkan kulit saya sangat sensitif terhadap matahari, saya turut mengamalkan pemakaian bedak sejuk,” ujarnya.
Inspirasi Anda?
“Dalam dunia fesyen, saya meminati Audrey Hepburn. Manakala bekas wartawan perang CNN, Christiane Amanpour pula adalah individu yang saya kagumi untuk dijadikan sebagai
contoh dalam kerjaya. Sikap berani dan komited beliau begitu menarik perhatian saya,” jelas jelitawan ini.
Kehidupan Peribadi Anda…
“Saya berasa amat bersyukur dan bahagia kerana dikurniakan dua orang puteri, Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Kehidupan saya lebih bermakna sejak bergelar ibu kepada dua orang puteri yang menyerikan lagi rumah tangga kami sekeluarga,” jelansya.
Fesyen Pilihan?
“Simple & Comfort! Saya gemar mengenakan jacket, jeans dan shirt untuk gaya harian dengan penggayaan warna seperti hitam, kelabu, putih atau coklat,” katanya.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Personaliti media sosial, Maryam Younarae yang juga isteri kepada pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, Ryzal Ibrahim berniat untuk terus mempraktikkan pemakaian khimar di Malaysia seperti mana yang menjadi persalinan kebiasaan kebanyakan wanita di negara Timur Tengah.
Menurut Maryam, pemakaian khimar ini boleh memberikan keselesaan buat para wanita melakukan aktiviti harian dan pada masa sama memudahkan urusan ketika solat.
Katanya lagi, penggunaan kualiti kain daripada Korea Selatan juga nyata memberikan keselesaan buat si pemakai.
Khimar Lebih Selesa Dan Praktikal Berbanding Telekung
“Saya buat khimar ini untuk kegunaan seharian atau ketika berjalan-jalan. Boleh juga digunakan sewaktu solat.
“Memakai telekung untuk aktiviti harian mungkin agak tak sesuai kerana ia labuh dan kainnya tebal, tapi khimar ini sangat selesa.
“Bagi orang yang tak tahu mengenai khimar terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan saya, mereka tertanya-tanya saya tak panas ke? Selesa ke?
“Jadi, saya mahu mereka cuba sendiri. Oleh itu, saya sudah merancang untuk mewakafkan khimar ini di masjid-masjid di Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.
Maryam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran Khimar MaryamNarae by Maryam You Narae bertempat di Lola by SeraiGroup KLGCC.
Terkilan Khimar Masih Belum Terkenal Di Korea!
Bagaimanapun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan.
“Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan.
“Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan.
“Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.
“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam.
“Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh.
“Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Maryam turut memaklumkan dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah.
“Ramai tahu saya peroleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ada orang bila dapat rezeki, mereka hanya berterima kasih tapi tak buat apa-apa.
“Bila dapat rezeki, kita kena memanfaatkan pemberian itu. Allah nak kita memanjangkannya untuk perkara yang baik. Ini cara saya saya memanfaatkan rezeki,” akhirinya.
Untuk rekod, Maryam You Narae merupakan wanita asal Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan sebelum berkahwin dengan pempengaruh media sosial asal Malaysia, Nik Muhammad Rizal dan popular dengan Youtube ‘Durian Kimchi’, Maryam hanyalah seorang wanita biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.