Untung Wawa Zainal dapat suami yang sanggup berhabis duit untuk kediaman demi keselesaan isteri dan anak-anak. Sambil berseloroh tentang rumah barunya itu, Aeril Zafrel berkata, “Tips nak bagi perempuan duduk kat rumah… kita hiaskan rumah cantik-cantik. Betul ke?” Alahai, kalau rumah dah cantik macam ni bukan isteri je yang ‘melekat’ dekat
rumah, anak-anak pun happy!

IKLAN

Berkongsi momen gembira itu bersama para peminat di Instagram masing-masing, kediaman tiga tingkat milik pasangan selebriti ini turut menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman terkenal, Lentera Creative Home. Memang cantik, terus berubah ruang mahligai Wawa dan Aeril jadi mewah, eksklusif dan menyenangkan.

Bukan saja bijak memilih perabot terkini yang serba moden, gabungan warna dinding dan perhiasan di kediaman selebriti ini juga berjaya mencipta suasana tenang dan mendamaikan. Bertepatan dengan konsep Modern English yang diinginkan Wawa dan Aeril, Lentera Creative merealisasikan impian tersebut dan mencurah kreativiti dengan kewujudan fire place di sudut ruang tamu. Unik, tak ubah macam rumah orang Inggeris!

Bagi menyerlahkan lagi ruang ini, perhiasan bingkai gambar abstrak gabungan rona biru, putih dan keemasan dipadankan bersama pasu hitam keemasan yang turut diserikan dengan permaidani rona senada. Ia sekaligus berjaya menghidupkan suasana seimbang dalam setiap rekaan sudut kediaman.

IKLAN

Dalam menggarapkan kemewahan ruang privasi seisi keluarga, pasangan ini tidak lupa menyediakan satu ruang khas untuk bersolat atau mini surau. Walaupun ia hanya mampu menampung jumlah jemaah yang kecil, tapi ia menghimpunkan makna yang besar dalam sesebuah kediaman.

IKLAN

Mengambil masa setahun untuk menyiapkan segala proses pengubahsuaian, mahligai mewah ini nyata hadiah termanis buat suami isteri ini setelah enam tahun melayari bahtera perkahwinan. Dikurniakan sepasang anak perempuan dan anak lelaki comel, Wawa dan Aeril adalah lambang potret keluarga bahagia. Malah, kehadiran cahaya mata perempuan terbaru mereka yang diberi nama Ayya Soffya pada Oktober tahun lalu pastinya menambahkan seri rumah tangga pasangan romantis ini.

Tidak hanya menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga bahkan mereka berdua juga cukup cemerlang dalam perniagaan kosmetik yang diusahakan. Sebelum ini Wawa dan Aeril pernah menjadi perhatian masyarakat apabila kedua-duanya saling menghadiahkan kereta mewah sebagai tanda penghargaan. Empayar Wawa Cosmetics dan madu ajaib mereka juga kian berkembang pesat serta mendapat tempat di hati pengguna. Alhamdulillah, tumpang bangga melihat kejayaan pasangan selebriti ini.

 

Kredit: Instagram Wawa Zainal, Aeril Zafrel & Lentera Creative Home