
Mempunyai bilik karaoke, gimnasium dan mini pawagam di dalam rumah sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah kediaman mewah. Namun, bila ada ruang boling bawah tanah… tempat istirahat ini pastinya menggambarkan pemilik kediaman berkenaan seorang yang kaya, berjiwa muda dan bercita-cita tinggi.
Itulah antara personaliti bintang tenis ternama dunia, Maria Sharapova yang membina rumah agam miliknya di Los Angeles dengan cukup teliti dan berunsurkan suasana mewah tapi minimalis.
Menyifatkan rumah agam tiga tingkat yang dibina di cerun bukit ini sebagai refleksi semangat dan kejayaannya selaku pemain tenis bertaraf antarabangsa, atlet kelahiran
Rusia ini sangat menitikberatkan soal hiasan dan seni bina setiap ceruk kediaman. Pendek kata, segala apa yang terdapat di dalam rumah berkenaan adalah ilham darinya sendiri.
Menurut pereka hiasan dalaman yang terlibat dengan susun atur rumah Maria Sharapova, model dan usahawan cantik ini seorang yang teliti dan tegas dalam mengurus ruang privasi. Bahkan dia juga akan berunding dengan mereka yang terlibat dalam menghias setiap inci rumah.
“Saya sangat terinspirasi dengan seni bina dan nilai estetika Jepun yang serba minimalis. Tambahan pula, saya dibesarkan dengan persekitaran yang tidak terlalu banyak hiasan. Bagi saya, minimalis adalah sesuatu yang sihat. Apa gunanya memiliki banyak barang di dalam rumah sedangkan tidak menggunakannya.”
Nama Maria Sharapova mula bersinar sebagai selebriti sukan antarabangsa ketika dia masih kecil. Meniti usia 33 tahun, Maria pernah memegang ranking nombor satu pemain
tenis wanita dunia sewaktu dia baru mencecah umur 18 tahun.
Selain aktif mengembangkan bakat dalam sukan tenis, Maria juga terlibat dalam kempen promosi jenama sukan dan kosmetik dunia termasuk Nike. Di samping itu, Maria turut
meluaskan empayar dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat coklat dan manisan premium Sugarpova.
Mengintai ruang mewah kediaman Maria Sharapova seperti yang dikongsikan menerusi channel Architectural Digest, Open Door… pemandangan dari kamar tidur Maria cukup mengagumkan kerana menghadap terus ke Pantai Malibu.
https://www.instagram.com/p/BzROKWNnukM/
Uniknya, kediaman ini menggabungkan rona kelabu, coklat dan warna-warna natural yang menonjolkan sisi mewah konkrit dan kaca. Malah, ada di kalangan penonton yang melabelkan rumah Maria tidak ubah seperti sebuah galeri.
Dilengkapi dengan kolam renang yang luas, Maria turut membawa masuk perhiasan antik dari pelusuk dunia seperti Asia, Afrika dan Eropah untuk menghidupkan suasana klasik
di ruang kediaman. Pada waktu senggang pula, atlet tinggi lampai ini akan menjemput rakan-rakan datang ke rumahnya dan menikmati masa terluang sambil bermain boling di
tingkat bawah rumah.
Sumber: Architectural Digest
“Ibu Mengajar Saya Bagaimana Menjadi Seorang Pejuang Yang Tak Mudah Mengalah” PRIYA DHARSHINI

Bukan calang-calang, Priya Dharshini Prabakaran merupakan wanita termuda pertama di Astro yang menggalas peranan besar sebagai Ketua Pengarah Radio Astro pada usia 37 tahun. Memiliki keperibadian yang mudah mesra, Priya menyusun kata memulakan bicara.

“Asalnya saya tidak pernah memilih bidang radio sebagai kerjaya utama kerana saya seharusnya bekerja dalam bidang psikologi. Impian saya untuk menjadi seorang ahli psikologi. Segalanya bermula ketika saya menyambung pengajian di salah sebuah universiti tempatan. Sambil belajar saya turut melakukan kerja separuh masa di stesen radio kerana minat dan mahu menimba pengalaman.
“Ketika itu bos ada tanya saya, nak jadi penyampai radio tak? Saya kata boleh dan terus cuba. Saya ini sebenarnya seorang yang susah berkata ‘tidak’. Saya cuba sahaja dan cabar diri. Saya berjaya lakukannya namun lama-kelamaan saya sedar yang jiwa saya bukan sebagai penyampai radio. Saya tak selesa dengan limelight dan lebih suka berada di belakang konti sahaja.
“Ibu juga ada bertanya, saya tak mahu jadi ahli psikologi ke? Saya jawab, sekarang pun saya banyak menggunakan ilmu psikologi kerana bekerja dengan ramai orang. Salah satunya ialah saya dapat memberi impak kepada budaya syarikat melalui ilmu psikologi yang saya ada. Apabila bekerja dengan golongan senior pula, saya harus mendengar dan menghormati mereka. Saya tahu bagaimana cara yang betul untuk berkomunikasi dengan mereka. Secara tidak langsung ilmu psikologi yang saya belajar sebelum ini tetap dipraktikkan dalam kerjaya dan kehidupan seharian,” jelas Priya.
Setiap kerjaya pasti ada cabaran yang tersendiri. Begitulah juga yang dihadapi oleh Priya apatah lagi menggalas tanggungjawab yang bukan ringan.

“Di tempat kerja dari segi lingkungan usia, kami lebih kurang sebaya dan tiada masalah untuk berkerjasama. Tetapi apabila saya yang sering naik pangkat dan bergelar ketua macam lonely sedikitlah. Sebenarnya tiada yang berubah pun dari segi komunikasi, pergaulan dan sebagainya. Namun apabila melibatkan urusan kerja, kami harus profesional.
“Satu lagi cabaran ialah memandangkan saya seorang perempuan dan masih muda ada yang merendah-rendahkan kemampuan saya serta tidak ambil serius. Tidak dinafikan bahawa kalau kita lihat sejarah dalam industri radio kebanyakan seniornya adalah lelaki. Sekarang ini barulah kita dapat melihat ramai golongan wanita yang menceburi industri ini.
“Bagi saya jika bekerja dalam industri yang majoritinya lelaki, kita sebagai wanita perlu menyuntik sedikit jiwa maskulin dalam diri. So, you must play a game. Buat masa ini saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang pemimpin. Saya tidak mahu menjadi pemimpin yang terlalu stereotype kerana mahu menjadi diri sendiri. Saya mahu semua orang dalam syarikat ada hak bersuara masing-masing.

“Saya pun tidak tahu berapa lama akan pegang jawatan ini. Jadi, suara mereka adalah sangat penting sebagai pengganti saya selepas ini di Radio Astro. Tidak kiralah lelaki mahupun perempuan, tanggungjawabnya ialah memperkasakan masyarakat. Itulah sikap pemimpin yang saya mahu jadi. Apa pun saya bersyukur kerana setakat ini segala matlamat berjaya dicapai dan disempurnakan dengan baik.”
RELEVAN
Tambah Priya, untuk kekal relevan industri radio harus berkembang secara konsisten serta ada perubahan. Sebelum ini semua content radio berkonsepkan on air. Namun sekarang orang mendengar radio bukan hanya di on air tetapi juga menerusi digital. Priya percaya bahawa industri radio tidak akan mati jika ia dikendalikan dengan cara yang betul mengikut trend semasa.
BACA JUGA: Cetus Fenomena Minuman Bubble Tea, Keberanian Aliza Ali Bawa Jenama Chatime Jadi Inspirasi!
“Semasa pandemik, semua pengumuman kita dengar di radio. Itulah cara untuk mendapatkan info terpantas tanpa perlu penyampai bersiap dan sebagainya. Jadi, in a way it’s a human touch that orang masih perlukan radio. Tetapi untuk content sekarang, lawak bodoh sudah tidak relevan lagi. Semasa era 80-an ke 90-an, kita masih belum ada Internet. Jadi, pilihan memang tak banyak. Sekarang kita sudah ada banyak pilihan jadi kita akan pastikan content itu benar-benar relevan dan memberi impak kepada pendengar.
“Kita kena bagi informasi yang pendengar boleh ambil dan jadikan teladan. Ia lebih kepada apa yang kita beri semula kepada rakyat Malaysia. Kebanyakan stesen radio bersaing untuk menjadi nombor satu. Saya pun tidak boleh kawal mereka kerana orang hanya akan pilih dan dengar stesen radio kegemaran mereka sahaja. Apa yang penting sentiasa memberikan content yang terbaik untuk pendengar.”

Priya sentiasa berpegang kepada prinsip percaya diri dalam apa jua perkara yang dilakukan. Bagi Priya, tiada salahnya hendak mendengar pendapat orang lain tetapi akhirnya harus percaya dengan apa yang kita lakukan. Itulah yang sering dia ingatkan kepada dirinya sendiri.
“Saya suka belajar dan kalau ada sesuatu perkara yang tidak tahu saya akan bertanya. Walaupun seorang ketua, saya sebenarnya banyak belajar daripada rakan-rakan termasuk pengalaman sendiri. Sekurang-kurangnya kita mencuba. Kalau buat silap segera minta maaf dan perbetulkan. Buang perasaan ego barulah diri kita dihormati. Kerjaya pun berkembang dengan baik dalam persekitaran yang positif dan sihat.
“Dalam bidang radio, saya menjadikan Kudsia Kahar sebagai seorang legend dalam dunia penyiaran radio. Adakalanya saya mendapatkan pendapat dan nasihat daripada beliau. Saya banyak belajar daripada orang-orang di sekeliling saya yang lebih berpengalaman.”
Priya sangat bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang sangat penyayang. Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu tunggal turut menjadikan ibunya seorang wanita yang berjiwa kental. Sekaligus, menjadi sumber inspirasi buat Priya.

“Bagi saya, ibu merupakan role model dan seorang pejuang yang tidak pernah mudah berputus asa. Saya juga banyak belajar daripada bapa. Walaupun bapa sudah meninggal dunia tetapi saya masih berpegang kepada nasihatnya agar menjadi seorang yang kuat. Begitu juga dengan ibu, beliau mengajar saya bagaimana menjadi seorang pejuang yang tidak mudah mengalah dalam apa jua perkara yang dilakukan.
“Walaupun ibu dan bapa saya tidak berpelajaran tinggi tetapi mereka mempunyai sikap juang yang tinggi. Adakalanya saya turut belajar daripada kesilapan mereka dan tabah mengharungi segala cabaran yang datang sebaik mungkin.
“Kita hanya mampu merancang namun akhirnya Tuhan juga yang menentukan. Jangan terlalu overthinking, lakukan sahaja mengikut kemampuan. Jangan merasa terlalu tertekan dengan perkara yang di luar kawalan kita.
“Ibu sering berkata yang dia sayangkan saya. Maka, percayalah walau apa sahaja berlaku pasti akan ada insan yang sentiasa setia di sisi dan menyayangi kita. Doa dan restu ibu pasti mengiringi setiap langkah kita dalam apa jua perkara yang dilakukan,” ungkap Priya yang sering memuliakan ibunya yang kini berusia 72 tahun.
Menurut Priya sekiranya tidak bekerja dalam industri radio, kemungkinan dia kini bergelar seorang ahli psikologi atau aktif melakukan sesi coaching.
“Saya bersyukur kerana berjaya mencapai apa yang saya ingin lakukan. Di samping itu, saya dapat memberi semula kepada masyarakat dalam bentuk content space on radio. Selepas ini mungkin dalam bentuk yang lain pula. Namun begitu, bidang psikologi tetap menjadi keutamaan saya.
“Bagi saya keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi adalah sangat penting. Ketika berusia 20-an, saya sangat sibuk dengan urusan kerja. Namun setelah usia menganjak 30-an saya mula sedar betapa pentingnya keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi. Setiap hujung minggu saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan untuk bersosial tanpa ada ada kaitan dengan urusan kerja.
“Nasihat saya buat wanita, percaya dan yakinlah dengan diri sendiri. Jangan mudah merasa lemah dan berputus asa. Barulah orang akan menghormati kita”
Naik Seri Pengantin! Wanna Ali Kini Menantu Bekas Ketua Polis Negara, Terima Mas Kahwin 10 Dinar Emas

Isi Kandungan
ToggleSama cantik sama padan! Tahniah buat pasangan mempelai Wanna Ali dan Khairil Amri yang selamat melangsungkan perkahwinan pada tanggal 9 Februari 2025. Bijak menyembunyikan kisah cinta daripada khalayak, hasrat suci Wanna dan Amri untuk mendirikan rumah tangga akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
Majlis ijab kabul Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Mohd Ali berlangsung penuh indah di Glam Hall Damansara. Pengantin perempuan tampil memukau dalam persalinan eksklusif Ezuwan Ismail.
Wanna Ali Sah Milik Khairil Amri
Tepat jam 10.40 pagi, pelakon cantik ini sah bergelar isteri Khairil Amri Tan Sri Dato’ Sri Khalid dengan sekali lafaz. Wanna Ali kelihatan sebak dan bersyukur usai pernikahan di sisi ibunda tersayang,
Dalam majlis berkenaan, Wanna menerima sebentuk cincin dan mas kahwin berupa 10 dinar emas.
Menelusuri latar belakang pengantin lelaki, Khairil Amri merupakan anak kepada bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dan isteri, Puan Sri Datin Sri Imran Ibrahim.
Manakala Wanna ialah anak kepada penerbit Dato’ Normashayu Puteh atau lebih dikenali sebagai Ayu Puteh.
Seramai 150 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat hadir meraikan hari bersejarah Wanna dan Amri. Pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran sementara pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran.
Ibu Dato’ Ayu Puteh Sebak Wanna Ali Jadi Isteri
Majlis resepsi Wanna dan Amri pula berlangsung pada sebelah malam di lokasi sama bertemakan rona putih dan powder blue. Saat berarak masuk menuju pelamin, penampilan anggun Wanna dalam busana perkahwinan Shanel Harun memukau pandangan tetamu yang hadir.
Antara rakan artis yang turut menyerikan resepsi mewah ini termasuklah Joe Flizzow, Datin Intan Najwa, Sharifah Shahora, Ellie Suriaty dan Betty Benafe.
Dalam pada itu, Wanna Ali turut meluahkan rasa syukur kerana impian untuk mendirikan rumah tangga dipermudah dan berdoa agar kehidupannya selepas ini lebih bermakna. Di samping menitipkan rasa terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan dan mendoakan kebahagiaannya.
“Minda & Sikap Saya On & Off. Tak Suka Bawa Masalah Politik Balik Rumah”-DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
Klik: https://www.nona.my/video/kita-buat-apa-yang-allah-suka-datuk-nurul-zahid/
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
Klik: https://www.youtube.com/watch?v=OW5TjnpT-8Q
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
TEKS: ROSMAH IDAYU ABU SAMAH @rosmahidayu_as
FOTO: NURUL AKMAR AZIMI @ownakmarazimi
SOLEKAN: AYANG KAMELL @ayangkamell