
Makin meningkat usia, makin nampak seiras wajah Arianna Aubrey dengan Datin Paduka Eina Azman. Menerusi gambar terkini ketika menyambut Syawal baru-baru ini, lagi terserlah kemiripan wajah anak perempuan aktres jelita tersebut.
Lebih-lebih lagi bila mengenakan persalinan sedondon dan gaya yang hampir sama. Dah macam kembar!
Memilih warna bold pada Aidilfitri tahun ini, Datin Paduka Eina dan Dato’ Paduka Kaiser tampil ceria di samping sepasang anak kembar tersayang.
Segak menyarung busana Melayu sepadan dengan Karl Kareef, Datin Paduka Eina juga kelihatan anggun memakai busana rekaan sama seperti anak perempuannya, Aubrey. Bahkan gaya rambut mereka pun hampir sama.



Selain bergambar kenangan di Hari Raya, jelitawan berusia 28 tahun tersebut turut tidak ketinggalan membuat video comel bersama suami tercinta. Sweet habis!
13 Mac lepas merupakan ulang tahun kelahiran Datin Eina yang ke-28. Sementara anak-anaknya pula menyambut hari lahir ke-7 pada 19 Februari lalu.
Bersandarkan status sebagai anak selebriti, Aubrey dan Karl meraih populariti serta pernah tercalon dalam Anugerah Meletop Era bagi kategori ‘Si Cilik Meletop’ bersama anak selebriti lain.


Datin Paduka Eina bergelar isteri kepada usahawan Dato’ Paduka Kaiser pada 31 Ogos 2014.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini kian bahagia dengan kehadiran sepasang cahaya mata kembar iaitu Arianna Aubrey dan Karl Kareef.
Magis Bunga, Nak Tahu Macam Mana Serinya Boleh Melekat Di Wajah Kita? Ikut Petua Ini

Pelbagai jenama kecantikan gemar menggunakan bunga sebagai salah satu kandungan di dalam produk mereka. Kerana itu, bunga-bunga indah yang kembang mekar di halaman kediaman pun boleh menjadi salah satu rawatan kecantikan untuk kulit yang lebih mulus.
Chamomile
Chamomile mengandungi sebatian yang dikenali sebagai alpha-Bisabolol untuk mengurangkan garis-garis halus dan kedutan. Ia juga mempunyai sel pemutihan. Infusi dingin pada teh Chamomile juga ideal untuk pencuci wajah.
Cara penyediaan:
(1) Masukkan 2 beg teh Chamomile di dalam 1 cawan air panas. Tutup cawan dan biarkan sejuk selama 20 minit mengikut suhu bilik. Curahkan teh yang sudah sejuk ke dalam botol semburan.
(2) Sebagai pembersih wajah: Sembur wajah dan sapu menggunakan kapas muka untuk membersihkan bahagian kulit wajah. Ia mempunyai aroma yang cukup menyenangkan dan meninggalkan bau buah-buahan pada kulit anda.
(3) Beg teh yang sudah digunakan boleh diletakkan pada bahagian atau untuk mengurangkan lebam bawah mata. Hanya letakkan pada mata selama 10 minit.
Ros
Ros mengandungi vitamin C, dan amat sesuai untuk kulit kering dan kesan penuaan pada wajah. Kelopak ros yang direndam di dalam air boleh digunakan sebagai penyegar wajah.
Cara penyediaan:
Didih dua cawan air kemudian tutup api, ketepikan periuk berisi air tadi. Masukkan kelopak ros seberapa banyak yang diperlukan dan biarkan ia direndam selama 30 minit. Ambil cecair rebusan dan masukkan ke dalam botol semburan. Sangat sesuai digunakan sebagai penyegar wajah. Anda juga boleh menggunakan cecair ros sebagai langkah pencegahan jerawat atau mengurangkan ruam pada wajah.
Marigold
Tinggi kandungan karotenoid (sama seperti vitamin A). Marigold bertindak sebagai bahan yang boleh mengurangkan iritasi pada kulit. Ia juga membantu melindungi kulit daripada menjadi nipis serta menjadikan kulit lebih anjal.
Cara penyediaan:
Bersihkan bunga Marigold dengan air sejuk. Asingkan kelopak kemudian campurkan satu sudu besar madu dan satu sudu besar susu penuh krim. Kacau sebati. Ia digunakan sebagai face mask. Biarkan selama 20 minit dan setelah itu, cuci dengan air suam.
ISTIMEWA ROS
Membuka kembali lembaran kisah mengenai penggunaan ros dalam kecantikan, pada zaman Yunani purba dan Rom, kelopak ros digunakan untuk mengharumkan air mandian mereka. Mereka menghargai ros dan menghiasi lantai kediaman dan dewan bankuet dengan kelopak bunga ros.
Malah, mereka juga menggunakan bunga ros sebagai salah satu bahan untuk kosmetik, ubat-ubatan dan rawatan terapeutik. Kini, kelopak ros juga digunakan dalam kebanyakan produk kecantikan.
(a) Anti-bakteria
Minyak yang diperbuat dari kelopak ros secara semula jadinya membantu merawat kulit yang berjerawat. Digabungkan dengan ciri-ciri pembersihan itu, ros menjadi ramuan ideal untuk mencuci muka dan sebagai pembersih wajah.
(b) Anti-radang
Sementelah kita memikirkan kehangatan rona merah, minyak ros juga boleh membantu mengurangkan bengkak atau kemerah-merahan pada kulit. Sedaikan face mask anda sendiri dengan kelopak ros di rumah.
(c) Antioksidan
Ros mengandungi vitamin C sebagai bahan antioksidan yang paling berkuasa. Vitamin penting ini bertindak melindungi sel kulit dari pendedahan kepada cahaya matahari. Ada eberapa kajian menunjukkan air rendaman ros boleh menyembuhkan selar matahari atau sunburn.
(d) Pelembap
Minyak semula jadi yang terdapat di dalam bunga ros membantu kelembapan dan menguncinya terus dalam kulit, memastikan kulit anda menjadi licin dan segar. Ros bermanfaat untuk mereka yang mempunyai kulit sensitif kerana gula yang terkandung di dalam kelopak mewujudkan ketenangan.
(e) Haruman semula jadi
Kebanyakan produk kecantikan organik akan menggunakan ros untuk memberi aroma lembut dalam produk yang dikeluarkan. KR
Sedekad Bergelar Anak Seni, Penyanyi Kembar AISHAHANIM Hadiahkan Konsert One Night Only Untuk Peminat

Pejam celik, nampaknya sudah sedekad duo penyanyi, Aishahanim berada dalam industri hiburan dengan mempertaruhkan beberapa single yang sering menjadi pilihan sebagai lagu runut bunyi drama tempatan. Mula memasuki industri muzik menerusi lagu Mata Kunci Cinta sekitar tahun 2014, penyanyi duo AishaHanim merupakan pasangan penyanyi kembar pertama Malaysia.
Pasangan kembar yang mesra di sapa Aishahanim bakal melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran Konsert One Night Only Aishahanim yang bakal berlangsung 6 Ogos 2023 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Tidak dapat menyembunyikan keterujaan, bagi Aishahanim, penganjuran konsert yang turut disertakan makan malam itu merupakan tanda penghargaan kepada keluarga, sahabat, rakan media serta peminat yang selama ini menyokong perjalanan karier mereka.
Menurut Aishahanim ketika ditemui di majlis sidang media semalam, mereka bakal mempersembahkan 15 buah lagu di mana konsert tersebut juga bakal
menjadi lembaran penceritaan sejarah permulaan mereka dalam menuai bakat di laman seni tempatan.
“Setiap penyanyi mempunyai sejarah dan cerita sendiri. Begitu juga Aishahanim. Oleh sebab itu, konsert One Night Only Aishahanim adalah pentas untuk kami bercerita tentang perjalanan kami dalam dunia seni. Kami juga mahu membuktikan, kami mampu untuk menyanyi secara langsung. 15 lagu bukan mudah tetapi kami yakin dengan kemampuan dan bakat kami.
“Setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai cerita dan sejarah tersendiri dalam hidup kami. Tetapi 15 lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan terbaik untuk malam One Night Only Aishahanim,” kongsinya.
Sepanjang dua jam persembahan, peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian seleksi
lagu-lagu nyanyian semula dan single hits mereka antaranya Angkara, Tinggalan Cinta dan
Leka.
Malah, mereka bakal menyanyikan lagu-lagu nyanyian idola mereka antaranya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Ziana Zain dan ramai lagi.
Seleksi lagu yang bakal dipersembahkan juga akan menggabungkan pelbagai genre bermula dari era 60-an sehingga kini.

Persembahan secara langsung itu juga diiringi oleh Band Tentera Darat Port Dickson.
Bercakap soal stamina, Aishahanim kini giat berlatih menerusi senaman dan aktiviti riadah
untuk memastikan mereka bertenaga sepanjang hampir dua jam persembahan tersebut.
Konsert One Night Only Aishahanim dijayakan oleh Wyn Wyn Event, BERJAYA dan
Ridzokumura.
“Ayah Saya Chef, Turut Kena Diabetes..” CHEF NIK MICHAEL Lancar E-Buku Resipi Untuk Pesakit Kencing Manis

Kempen For Your Sweetheart bekerjasama dengan Chef Selebriti, Nik Michael Imran yang popular menerusi rancangan Masterchef Malaysia 2011 bagi mencipta satu siri resipi terdiri daripada hidangan fusion dan tempatan yang boleh disediakan dalam tempoh kurang daripada 20 minit. Resipi ini dicipta dengan hasil rundingan bersama Cik Poh Kai Ling atas kapasitinya sebagai Ahli Majlis Diabetes Malaysia (DM) serta bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES).
Membongkar Mitos Diet Diabetes
Beberapa mitos yang wujud terutamanya bagi pesakit dan penjaga yang baru didiagnosis termasuklah melewatkan waktu makan bagi mengawal paras gula darah yang turun naik, pengambilan produk ‘bebas gula’ atau digantikan dengan gula gantian, serta mengelakkan diri dari pengambilan kentang, keledek, labu dan jagung.
Cik Poh berkata, “Melewatkan waktu makan atau kurang makan tidak semestinya membantu dalam mengurangkan paras gula dalam darah. Adalah dinasihatkan untuk makan bila terasa lapar, dan bila badan memerlukannya. Mengabaikan tanda-tanda kelaparan hanya akan meningkatkan selera makan yang bertambah hingga menyukarkan bagi individu tersebut untuk mengawal pengambilan makanan dalam hidangan berikutnya. Membaca label makanan juga penting bagi memahami kandungan nutrisi dengan lebih baik, kerana tidak semua produk bebas-gula adalah bebas-karbohidrat.”

Jadi.. pesakit diabetes boleh makan apa?
Menurut Cik Poh, diet bagi pesakit diabetes tidak perlu terlalu ketat, membosankan dan sukar untuk dinikmati. “Apa yang penting ialah makan dalam jumlah yang terkawal dan hanya mengambil sebahagian hidangan yang kaya dengan karbohidrat. Salah satu caranya ialah dengan mengambil tahu Indeks Glisemik (GI) makanan tersebut. GI ialah nilai bagi mengukur kadar seberapa cepat karbohidrat dalam makanan mampu meningkatkan glukosa dalam darah. Secara ringkasnya, makanan yang GI rendah (antara 0-55) dianggap karbohidrat yang baik dan makanan GI tinggi (70-100) dianggap karbohidrat yang tidak baik. Semakin tinggi nilai GI, semakin besar kesan ke atas paras gula dalam darah. Memahami GI makanan boleh membantu kita dalam mengawal diabetes dan secara serentak dapat mengira pengambilan karbohidrat.
Kerjasama antara Chef Nik dan Cik Poh dalam penyediaan resipi e-book Simple Healthy Cooking ini adalah bagi memastikan hidangan disediakan untuk pesakit diabetes bukan sahaja menyeronokkan dengan pelbagai variasi untuk citarasa berbeza, tetapi ia juga ringkas, mudah disediakan malah sesuai untuk penghidap diabetes. Hasilnya, pelbagai resipi yang seimbang dimana pesakit diabetes dapat menikmati hidangan ala restoran yang lazat lagi menyihatkan, dengan kadar GI yang bersesuaian. “Saya telah mencuba kesemua 10 resepi dan ianya sungguh lazat. Tahniah Chef Nik! Hidangan kegemaran saya ialah Pasta Perang Alla Puttanesca, Krep Kalapa dan Tenzaru Soba,” tambah Cik Poh.
Berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan pelbagai resipi untuk kempen ini, Chef Nik berkata, “Ia merupakan satu perjalanan yang amat bermakna bagi saya secara peribadi. Ayah saya, seorang chef yang sukakan makanan yang lazat, baru-baru ini dia telah didiagnosis menghidap diabetes. Saya memahami perasaan para penjaga yang pasti ingin memberikan yang terbaik buat orang tersayang yang menghidap diabetes. Itulah yang mendorong saya untuk mencipta sepuluh resipi ini .”
Apa yang kecoh sangat dengan diet diabetes?
Kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 5 orang dewasa di negara ini² menghidap diabetes, satu penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan dan pengurusan jangka panjang. Tahap glukosa yang tidak sihat dalam darah boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang dan pendek, di mana akan menjejaskan jantung dan buah pinggang.
Adakah Malaysia Berkemungkinan Bebas daripada Diabetes?
Malaysia kini mencatatkan kadar diabetes tertinggi di Asia, iaitu 17.5% dengan lebih 3.5 juta rakyat Malaysia hidup dengan keadaan ini. Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh MDES melaporkan bahawa berdasarkan trend semasa, dianggarkan tujuh juta orang dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025¹.
Rakyat Malaysia yang berisiko tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi diabetes digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan awal, Kempen For Your Sweetheart menyediakan Pemeriksaan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. Usaha Pemeriksaan Diabetes Percuma ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).
Layari https://www.foryoursweetheart.my untuk mendapatkan Saringan Diabetes Percuma anda hari ini. Saringan Diabetes HbA1c PERCUMA For Your Sweetheart kini sedang berlangsung sekarang sehingga 31 Disember 2022. Resipi Chef Nik boleh dimuat turun di sini.