Cantik dan bergaya! Itulah gambaran awal penulis tatkala melihat penampilan Datin Fatin Amyera Zainal Abidin yang memilih perniagaan berasaskan kecantikan sebagai forte untuk dirinya. Jenama Amyera Beauty yang diasaskan sejak 2014 ini begitu dekat di hati isteri kepada Dato Shahrul Nasrun yang ingin berkongsi rahsia penjagaan dalaman yang baik untuk kegunaan kaum wanita.
Menyelami minat dan obses Datin Amyera terhadap bidang kecantikan membawa penulis mengenali keperibadian wanita ini yang sudah menunjukkan minat terhadap dunia kecantikan sejak di bangku sekolah lagi. Bermula dari gemar terhadap barangan kecantikan sehingga mendorong dirinya untuk minat berniaga.
“Saya mula belajar berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya hanya membantu ibu menguruskan restoran. Selepas menamatkan alam persekolahan, saya meneruskan minat dalam bidang perniagaan. Cuma di peringkat awal, segalanya agak terbatas untuk memulakan perniagaan atas faktor kekangan modal”, ujar Datin Amyera memulakan bicara.
Faktor modal menjadi kekangan untuk dirinya menceburkan perniagaan. Namun berkat usaha dan minat tanpa mengenal putus asa dan erti jemu, Datin Amyera memulakan langkah dengan menjual pelbagai produk termasuklah pakaian wanita.
“Beberapa tahun selepas itu, saya mula berfikir cara untuk mendapatkan pulangan yang besar serta teknik untuk memajukan perniagaan. Jika hendak mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda, saya harus beranikan diri untuk mencipta jenama sendiri. Saya pegang kepada satu pepatah, “I can accept failure, everyone fails at something but I can’t accept not trying”.
Hasil kerja keras dan teknik perniagaan yang betul, kini beliau boleh berbangga dengan produk dihasilkan antaranya termasuklah QUINN-V jamu khusus untuk penjagaan dalaman wanita, QUINN CLEAN INTIMATE FEMININE WASH pembersih peribadi wanita, PRIVATE AFFAIR INTIMATE SCRUB untuk mencerahkan bahagian peribadi, SHINEBRIGHT WHITENING SHOWERGEL untuk membersihkan, mencerah, melembutkan kulit badan dan terkini , QUINN-Ssuplemen botani untuk membantu menurunkan masalah berat badan dengan cepat dan selamat.
Lebih membanggakan, produk jenama tempatan ini mula menjadi teman baik para wanita di Malaysia, Singapura, Indonesia dan kini menembusi pasaran di Brunei.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awal dalam dunia perniagaan berasaskan kecantikan untuk wanita, ibu kepada dua cahayamata ini mengakui perjalanannya melangkah ke alam perniagaan bermula dari bawah dengan menjual jenama produk lain sehinggalah dia memberanikan diri untuk mula mengeluarkan jenama sendiri selepas beberapa tahun menimba sedikit sebanyak ilmu perniagaan,” ujar Datin Amyera memulakan cerita di sebalik langkah pertama memulakan perniagaan.
“Jangan tak tahu, saya mulakan perniagaan dengan memperkenalkan produk kepada rakan terdekat dan keluarga serta menggunakan medium media sosial untuk berniaga. Ketika itu, kediaman menjadi lokasi untuk saya menyimpan stok dan melakukan segala urusniaga. Alhamdulillah, produk jenama AMYERA mula mendapat tempat di hati pelanggan dan ia semakin berkembang dari sehari ke sehari.”
Sebagai pengusaha jenama produk berasaskan kecantikan, sudah semestinya Datin Amyera amat mengambil tahu mengenai produk yang dihasilkan bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanan terhadap penjagaan tubuh.
“Memandangkan produk AMYERA lebih memfokuskan terhadap kesihatan dalaman, setelah mengamalkannya, saya dapati ia memberi kesan yang baik dan saya nampak lebih muda berbanding dahulu apabila mengamalkan produk jamu dan produk menurunkan berat badan keluaran AMYERA iaitu QUINN-S dan QUINN-V,” ujarnya yang mencuba sendiri serta melihat hasil yang baik dan wajar dikongsikan bersama wanita lain.
Menggunakan bahan-bahan organik dalam penghasilan produk, ia sekaligus ia mampu memperoleh kepercayaan pengguna yang mementingkan produk yang berkualiti serta selamat untuk digunakan.
Ketika diminta untuk berkongsi rahsia kejayaan, dengan rendah diri Datin Amyera meletakkan dirinya masih dalam proses belajar mengenai selok belok dunia perniaagan.
“Saya juga masih belajar untuk lebih berjaya. Sedikit perkongsian untuk mereka yang mahu mulakan perniagaan, pastikan anda membuat “research” supaya produk ingin dipasarkan mampu menyelesaikan masalah pengguna.
Branding juga memainkan peranan penting. Jadikan rakan disekeliling sebagai pengguna pertama. Sekiranya ia berkesan dan ada perubahan pada pengguna, bermakna anda telah berjaya melahirkan kepercayaan terhadap produk anda. Laburkan sedikit wang untuk pemasaran di media sosial. Dari situ, anda akan mula mendapat keyakinan diri untuk lebih mencuba dan terus berjaya. Yang penting, “Invest in yourself !”,”ujarnya menutup sesi temubual yang penuh inspirasi bersama NONA.