Adakah anda terdorong untuk makan berlebihan ketika jiwa tertekan? Apakah jari-jemari anda pintas mencapai coklat, gula-gula ataupun kek untuk dikunyah bagi melegakan perasaan? Ditambah pula jikalau sunyi, sedih bahkan trauma… fungsi makan untuk hidup mulai goyah dan padahnya menjejaskan tubuh badan.

Betapa tidak, ketika fikiran berkecamuk dan diri sarat dibelenggu stres, ramai yang memilih untuk makan sebagai jalan keluar. Nikmat pencuci mulut yang manis, minuman bergas dan makanan segera, semua terasa bagai ‘menyembuhkan’ kekusutan. Berwaspadalah, tanda-tanda ketagihan gula seperti ini mampu menyebabkan kegemukan, malah turut mengundang pelbagai penyakit berbahaya lain seperti artritis, diabetes, depresi, hipertensi, pening kepala, obesiti dan beberapa penyakit berkaitan berat badan.

IKLAN

“Mulut Ni Rasa Nak Mengunyah Je…”- Asyik Rasa Nak Makan Bila STRESS, Pilihlah Snek Yang Sesuai!

Kebiasaannya, stres yang tidak terkawal mempercepatkan proses kehilangan tenaga dan daya tumpuan anda. Inilah sebabnya ramai yang memilih untuk makan meskipun perut masih kenyang. Frasa “saya teringin nak makan….” kerap kali menghasut jiwa yang kusut walhal hakikatnya tidak perlu. Akhirnya diri dihukum serangan kalori yang bertubi-tubi. Snek manis yang dikudap seperti biskut, donut dan kuih-muih hanya meningkatkan pengambilan kalori serta mengumpul lemak degil di dalam badan.

Tetapkan di fikiran bahawa stres itu tidak boleh dielakkan tetapi ia boleh diuruskan. Elakkan beban kerja yang bertimbun-timbun sehingga menghalang waktu makan anda. Tip snek berikut boleh membantu:

 

  • Stres kerana sakit
    • Waktu makan yang kerap dan konsisten berupaya mengawal paras insulin ke tahap yang tetap. Nikmatilah snek dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap; contohnya sekeping sandwich tuna dibelah dua – satu untuk tengahari dan satu untuk petang.
    • Jika anda ragu-ragu tentang bekalan protein, vitamin dan mineral dalam menu harian, jadikan snek untuk melengkapkannya. Nikmati yogurt, bijirin penuh, oat, buah-buahan dan sayuran mentah ketika waktu snek.
    • Kekacang ialah sumber protein, fiber dan pelbagai nutrien lain. Ia bagus untuk kesihatan hati dan kawalan berat badan. Amalkan hidangan sebanyak 1 auns (160 kalori): 28 biji kacang tanah, 23 biji kacang badam atau 49 biji kacang pistachio.

 

  • Stres kerana penat
    • Elakkan snek yang berkanji dan kurang serat (biskut). Dapatkan tenaga menerusi snek yang kaya protein, karbohidrat dan lemak. Saranan kami: bar tenaga (campuran kekacang dan buah-buahan kering), roti gandum bersama mentega kacang atau roti pita berkeju.
    • Makan snek sejam sebelum bersenam. Pastikan saiz hidangan snek terdiri 2/3 karbohidrat dan 1/3 protein dan lemak. Contohnya roti jagung yang disapu mentega kacang atau jeli, sehiris buah-buahan dan segelas minuman yogurt.
    • Bersnek 20 minit selepas senaman untuk menggantikan tenaga yang hilang daripada otot. Pilih snek gabungan karbohidrat dan protein seperti segelas susu coklat rendah lemak, sebiji epal dan sandwich.

 

  • Stres kerana gemuk
    • Gantikan menu biskut kepada snek yang lebih rendah kalorinya untuk rasa kenyang yang lebih lama. Amalkan snek yang penuh kandungan air dan serat seperti sup daging, ikan atau sayur serta buah-buahan seperti oren, epal dan pir.
    • Sematkan di fikiran – semakin besar saiz snek anda, semakin kenyang terasa bila memakannya. Nikmati snek yang kelihatan ‘memenuhi’ mangkuk seperti salad, bijirin tinggi serat atau popcorn supaya minda mendapat isyarat “saya sudah makan banyak”.
    • Perangi lemak dengan snek hasil tenusu. Snek seperti yogurt rendah lemak, susu skim dan gulungan keju membantu melengkapkan keperluan harian sebanyak 1,000 miligram. Ia kaya dengan kalsium yang meningkatkan enzim untuk memecahkan lemak.

 

“Mulut Ni Rasa Nak Mengunyah Je…”- Asyik Rasa Nak Makan Bila STRESS, Pilihlah Snek Yang Sesuai!

IKLAN

 

TIP ATASI KEINGINAN MAKAN

  • Belajar menunggu. Usah tergesa-gesa mencapai bungkusan coklat ketika terasa stres. Alihkan tumpuan dengan perkara-perkara lain yang menenangkan.
  • Buat senarai makanan yang dimakan setiap hari. Ia sangat berguna untuk mengingatkan anda tentang jenis makanan yang diambil.
  • Jika timbul keinginan untuk makan berlebihan, lakukan aktiviti yang mampu membuat anda melupakannya seperti membaca atau menonton wayang.
  • Dapatkan sokongan kawan-kawan dan keluarga. Maklumkan situasi anda dan bersembanglah dengan mereka sehingga hilang keinginan makan.
  • Tanyakan diri anda, “adakah saya lapar? perlukah saya makan kuih ni?” sehinggalah anda sedar hakikat sudah kenyang.
  • Makan secara teratur. Pilihlah menu seimbang dan menyihatkan berbanding makanan yang manis-manis.

PRODUK TENUSU MEMBEKAL KALSIUM

IKLAN

Sebelum produk susu rendah lemak diperkenalkan, kebanyakan wanita menolak diet berasaskan susu dan produk hasil tenusu untuk menurunkan berat badan. Persepsi negatif seperti keju boleh menggemukkan sebenarnya salah kerana produk-produk tenusu cukup kaya dengan khasiat kalsium untuk pembentukan tulang yang kuat dan sihat.

“Mulut Ni Rasa Nak Mengunyah Je…”- Asyik Rasa Nak Makan Bila STRESS, Pilihlah Snek Yang Sesuai!

Individu yang mengambil produk tenusu dalam diet rendah kalori turun lebih banyak berat badan berbanding mereka yang langsung tidak mengambilnya. Selain berkesan untuk melangsingkan badan, ia juga turut mengurangkan risiko penyakit jantung serta diabetes jenis 2 – penyebab tubuh gempal berbentuk epal.

  • Memilih susu dan produk tenusu rendah lemak tidak bermakna anda kurang mendapat kalsium. Sebaliknya ia mengandungi kalsium yang lebih tinggi berbanding susu penuh lemak.
  • Kanak-kanak yang minum susu mempunyai kadar indeks jisim tubuh yang lebih rendah. Dewasa yang mengambil makanan berasaskan tenusu dan minum susu juga lebih sihat dan langsing. Ini kerana kalsium berupaya membantu menurunkan berat badan dengan cara memecahkan lemak.
  • Nikmati susu atau produk hasil tenusu sebanyak tiga hidangan sehari. Menu disyorkan ialah segelas susu skim, semangkuk yogurt rendah lemak dan kepingan keju rendah lemak bersaiz kotak mancis.
  • Terokai pelbagai resipi untuk mencipta hidangan produk tenusu yang lazat. Hasilkan masakan kaserol berasaskan keju, pancake, puding atau sup untuk bekalan kalsium yang diperlukan.

 

Jenis-jenis produk hasil tenusu ialah mentega, keju dan yogurt. Ia kurang sesuai buat individu yang mengalami masalah laktosa, asma dan masalah pernafasan.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI