
Selain bulan puasa, kebelakangan ini juga ramai yang menghidap batuk kerana perubahan cuaca. Boleh dikatakan ‘musim batuk’ menjelma semula kerana yang terkesan bukan orang dewasa sahaja malah kanak-kanak dan warga emas.
Langkah berjaga-jaga bersedialah dengan bekalan ubat batuk supaya sakit tersebut tidak berlarutan.
Namun, dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa kawalan dadah kebangsaan telah menarik 14 produk ubat batuk yang dikhuatiri memberi efek negatif kepada orang ramai.
Ini bermakna, tidak semua ubat batuk di pasaran selamat digunakan. Pastikan kandungan pada pembungkusannya diperiksa terlebih dahulu.
UBAT BATUK
Pihak berkuasa kawalan dadah kebangsaan telah membatalkan pendaftaran 14 produk mengandungi pholcodine di Malaysia.
Pholcodine ialah ubat batuk opioid yang bertindak terutamanya dengan menekan refleks batuk dalam sistem saraf pusat.
Manakala Agen Penghalang Neuromuskular (NMBAs) adalah bahan yang digunakan sebagai pra-pembedahan untuk merehatkan otot-otot.
Data yang ada menunjukkan bahawa penggunaan pholcodine dalam 12 bulan sebelum pembedahan, adalah faktor risiko untuk kejadian alahan serius dengan penggunaan Agen Penghalang Neuromuskular.
Setelah mempertimbangkan bahawa tiada langkah meminimumkan risiko yang sesuai boleh diambil bagi mengurangkan risiko ini dan tidak mungkin untuk mengenal pasti populasi pesakit yang mendapat manfaat pholcodine melebihi risikonya, maka keputusan telah diambil untuk menarik balik ubat yang mengandungi pholcodine daripada pasaran.
Ramai nampaknya pernah guna produk-produk ini. Produk lain masih boleh guna. Sebagai contoh Difflam seperti di dalam gambar sahaja yang ditarik balik. Difflam lain masih selamat digunakan.
Sumber: Public Health Malaysia
‘Lahir-Lahir Je, Dia Terus Hisap Jari!’ SARI YANTI Dedah Kelahiran Dariya Inara

“Bila lahir, dia keluar je doktor letak dia atas dada saya.. dia terus hisap jari. So cute! I still remember, ” kongsi Sari Yanti tatkala ditanya momen paling tidak dapat dilupakannya sejak melahirkan Dariya Inara. Meskipun tidak menyaksikan situasi comel itu namun dari gaya penyampaian dan reaksi Sari Yanti, sesiapa pun pasti dapat membayangkan aksi comel anak perempuan aktres cantik dan Jep Sepahtu ini saat dia dilahirkan pada 26 April tahun lepas.
Sambil mengakui kehamilan yang dilaluinya berbeza daripada dua kehamilan sebelumnya, anak kelahiran Negeri Sembilan ini nyata seorang wanita yang tabah. “Basically, ketiga-tiga kehamilan berbeza sebab setiap baby lain. Macam pertama kali pregnant dulu, banyak kali muntah-muntah yang sangat teruk. Yang kedua tak, siap boleh pergi shooting ke Spain.. ke mana-mana jugalah. Yang nombor tiga ni lagilah lain sebab baby girl. Asyik pening kepala, most of the time asyik terbaring je tak boleh buat kerja banyak.


Bohong kalau saya katakan tidak teruja dengan kehadiran Dariya walaupun ini merupakan pengalaman ketiga saya melalui proses kelahiran. Namun, Jep adalah orang yang paling teruja dengan kehadiran Dariya kerana ia adalah pengalaman pertamanya,” terang Sari Yanti yang sah bergelar isteri kepada pelawak terkenal itu pada 25 Februari 2017.
Baca artikel berkaitan “Walaupun Baharu Tiga BUlan Memang Dah Nampak Dariya Anak Abah” Sari Yanti
Setiap insan diuji dengan bermacam-macam dugaan dan Sari Yanti turut tidak terlepas ditimpa ujian hidup. Lebih memeritkan, dugaan itu terpaksa dilalui ketika dia baru mendirikan rumah tangga bersama Jep. Tanpa berselindung mendedahkan keadaan sebenar dirinya, ibu kepada tiga anak ini melontar bicara. “Ketika baru kahwin dahulu saya terpaksa dimasukkan ke hospital sebab mengandung luar rahim atau ectopic. Waktu ini kira macam Sari bunting pelamin.
Kandungan tu kecil lagi tapi membesar dalam tiub fallopian sehingga menyebabkan ia pecah. Saya terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang tiub fallopian. Kandungan pun kecil lagi ketika itu dan keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan.”
Baca artikel berkaitan Walaupun Tanpa 1 Tiub Fallopian, Sari Yanti Terkejut MAMPU HAMIL Lagi! Dah Rezeki Namanya, Kan?

Ditemui ketika sesi fotografi di kediamannya, penulis sempat bertanyakan tentang gaya dan fesyen kegemaran suri hati Jep ini. Ternyata, Sari Yanti seorang yang cukup ringkas.. baik dari segi fesyen mahupun peribadi diri. “Saya sebenarnya jarang mengenakan lipstick berwarna merah menyala sebab kurang gemar. Kalau keluar rumah pun, saya selesa tak pakai mekap yang tebal-tebal. Bab pakai tudung, memadai dengan hanya selempang kiri kanan atau lilit saja.”
“Apa lagi yang Sari inginkan dalam hidup?” celah penulis. “Saya takda benda yang inginkan, I’m not brand conscious.. I demand nothing more. I always be grateful for what I have. Alhamdulillah.”
Edar 2,000 Mangkuk Bubur Lambuk Secara Percuma, Program CSR Majalah Rasa Meriah!

Demi meraih ‘bonus khas’ pada bulan Ramadan dengan cara bersedekah dan memberi makan orang berbuka puasa, Majalah Rasa menganjurkan sebuah program CSR bubur lambuk bersama AJI-SHIO® dan FGV Holdings Berhad (FGV).
Program melibatkan penyediaan 2,000 mangkuk bubur lambuk dan lebih 8,000 kuih-muih tradisional itu telah diedarkan secara percuma untuk penduduk Shah Alam dan kawasan sekitarnya.
Acara ini berlangsung di Central I-City, Shah Alam, bermula dari pukul 10:00 pagi hingga 5:00 petang. Inisiatif ini bukan sahaja menyantuni komuniti Shah Alam, malah turut menyasarkan kumpulan petugas hospital dan pegawai agensi beruniform.
Pengedaran khas kepada kedua kumpulan ini adalah sebagai tanda penghargaan bagi bakti mereka dalam berkhidmat kepada masyarakat di bulan Ramadan.
Program sehari ini mencerminkan tekad Majalah RASA, AJI SHIO®, dan FGV dalam memenuhi tanggungjawab sosial mereka selain menjalinkan ukhuwah dan persahabatan, selari dengan sambutan bulan Ramadan yang mulia.
Seawal pagi segala persiapan memasak disediakan dan aktiviti rewang sebagaimana kita pernah saksikan dalam majlis perkahwinan di kampung dapat disaksikan. Program ini juga menyajikan bubur lambuk dijamin sedap kerana menggunakan Lada Berperisa dan Lada Hitam Berperisa daripada Aji-Shio serta beras wangi Malaysia daripada SAJI Aroma.
Program RASA Bubur Lambuk dan Kuih Warisan 2024 telah berlangsung pada 23 Mac 2024 bertempat di Central I-City, Shah Alam menyaksikan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Adun Kota Anggerik dan turut diiringi barisan pengurusan Ideaktiv Sdn Bhd, FGV dan juga AJI-SHIO®.
Bagi menghangatkan lagi acara memasak bubur lambuk ini, selebriti Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil dan Siti Elizad turut diundang.
Pengedaran Bubur Lambuk berlaku di pelbagai lokasi dengan edaran ditumpukan kepada petugas-petugas beruniform yang berkhidmat dalam pelbagai sektor seperti pasukan polis, bomba, profesional kesihatan dan perkhidmatan penting lain.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/rai-semangat-perpaduan-koleksi-barangan-kemas-swarovski-pemanis-gaya-lebaran/
Artis Mila Jirin turut menyumbang suara merdunya di program ini. Bagi memastikan kualiti, kelazatan dan keenakan bubur lambuk, pihak RASA telah bekerjasama dengan Chef Fikree dan Chef Naem, pakar dalam bidang masakan untuk proses memasak bubur lambuk.
Ingat! Rumahtangga Mungkin Tak Bahagia, Kalau Buat 10 Perkara ini…

MANISNYA saat berbulan madu. Tetapi mengapa kemanisannya hanya sebentar? Sering terdengar, individu yang baru berkahwin tetapi telah mulai bercerita tentang keburukan pasangan.
Antara keluhan yang sering kedengaran ialah; ‘Ingatkan selepas berkahwin dia akan berubah. Nak suruh buat secawan kopi pun malas’, atau ‘Saya selalu mengimpikan, mempunyai suami yang romantis seperti ayah. Tetapi, suami saya tidak begitu’ dan macam-macam keluhan lagi. Mengapa begitu jadinya.
10 perkara yang perlu dielakkan setelah bergelar suami dan isteri
1. JANGAN membandingkan pasangan anda dengan orang lain – Setiap orang mempunyai idola sendiri. Contohnya mengharapkan calon pasangannya yang berkeperibadian tinggi seperti ayah atau ibunya. Kalau yang lelaki inginkan isteri yang pandai masak dan mempunyai ciri-ciri keibuan serta pandai memasak seperti ibunya.
Dan kalau wanita pula, mengharapkan calon suami yang mempunyai ciri-ciri seperti ayahnya; penyayang, suka memanjakan isteri, romantis, kacak dan berjaya dalam kerjaya. Sebaliknya setelah berkahwin, pasangan tidak seperti yang diimpikan. Sebenarnya perkara itu adalah lumrah, kerana tidak ada orang yang ‘perfect’. Sama juga seperti anda yang bukannya seorang yang serba sempurna. Jadi, belajarlah untuk menerima pasangan seperti seadanya. Jangan sesekali sampai terkeluar daripada mulut perkataan-perkataan yang boleh melukakan. Seperti; “Kenapa kari kepala ikan awak ni tidak sesedap kari kepala ikan yang emak saya buat?”
2. JANGAN mengharapkan pasangan memenuhi segala impian dan kehendak anda – Setiap orang yang ingin berkahwin pasti bercita-cita ingin memenuhi segala impian dan kehendak pasangan. Namun, tidak semuanya akan terlaksana. Kerana sifat semulajadi manusia, tidak ada yang sempurna. Sesungguhnya pasangan yang bahagia sentiasa bersedia untuk berkongsi apa yang ada dan tidak memaksa satu sama lain untuk menjadi alat mencapai impian.
3. JANGAN suka ambil mudah – Dulu anda bujang, tetapi kini telah mempunyai tanggung jawab. Berkelakuanlah seperti selayaknya. Kalau sebelum ini anda sering keluar malam bersama teman-teman, tetapi kini hendaklah dikurangkan. Atau sebaiknya dihentikan terus. Perkahwinan itu bukan sesuatu yang menyusahkan, tetapi ia adalah tanggung jawab. Mungkin anda lihat pasangan anda jenis tidak kisah, tetapi anda perlulah ambil kisah. Bukannya menggunakan kesempatan itu.
4. JANGAN memperbesar-besarkan perkara yang kecil – Sebelum berkahwin lagi anda sudah tahu, pasangan anda jenis yang tidak romantis, tidak pernah ingat tarikh-tarikh penting, tidak pandai untuk mengungkapkan perkataan maaf dan segala macam kekurangan lagi. Kemudian setelah berkahwin, mengapa perkara itu yang menjadi punca perselisihan faham. Belajarlah menerima pasangan dengan seadanya. Banyak lagi perkara besar yang harus difikirkan daripada merajuk kerana pasangan terlupa mengucapkan ‘selamat hari jadi!’
5. JANGAN letakkan kebahagiaan rumah tangga di bahu pasangan semata-mata – Kebahagiaan tidak terletak di bahu sesiapa kecuali diri sendiri. Seperti bagaimana cara seseorang itu berfikir. Jika mereka berfikiran secara positif dan gembira, bahagialah mereka. Suatu kesalahan besar jika meletakkan seluruh kebahagiaan pada pasangan, kerana jika berlaku sesuatu perkara yang buruk, umur atau jodoh tidak panjang, akan hilang seluruh kebahagiaan hidup mereka.
6. JANGAN cuba mengubah pasangan – Anda dan pasangan lahir, dibesarkan dan menjalani cara hidup yang berbeza. Setelah dewasa anda berdua dipertemukan. Adalah mustahil untuk mengubah pasangan mengikut cita rasa anda. Dan anda sendiri, pasti tidak suka jika pasangan cuba mengubah anda mengikut cita rasanya.
Cara terbaik ialah secara berdiplomasi. Seperti minta dia lebih peka dengan perasaan orang lain, terutama anda. Apa yang anda suka dan tidak suka tentang dirinya, tetapi dalam waktu yang sama jangan sampai si dia tersinggung. Selain daripada itu, dorong dia (kalau boleh tanpa disedarinya) menonjolkan sikap-sikap yang positif.
7. JANGAN memendam perasaan sekiranya berlaku konflik atau pertengkaran – Ada pasangan yang mengelak daripada membincangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik atau bagi mengelakkan pertengkaran. Perkara ini hanya akan menambahkan kerumitan kerana salah seorang merasa tidak puas hati. Dalam erti kata lain, ianya akan menjadi ‘kudis yang bernanah’ sekiranya tidak dirawat.
8. JANGAN menutup mata terhadap kesalahan pasangan – Pasangan anda tidak pandai menghormati orang tua anda. Anda hanya mendiamkan diri kerana takut dia berkecil hati atau pun marah. Mengharap, lama-lama nanti dia akan faham juga. Maklumlah baru berkahwin. Ini satu kesilapan besar. Bagaimana nanti jika setelah beranak pinak, pasangan anda masih tidak mahu berubah.
Malah apabila anda menegur, dia menjawab:
“Kenapa baru sekarang awak nak tegur? Dulu awak tak kisah pun.
Mentang-mentanglah saya dah tua, dah tak cantik.
Semuanya dah tak kena di mata awak.” Siapa nak jawab?
9. JANGAN terlalu cemburu – Memang cemburu tandanya sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan sehingga pasangan tidak boleh bergerak langsung pun, tak elok juga. Daripada cemburu akan timbul perbuatan mengawal. Sikap terlalu mengawal akan menimbulkan rasa bosan kepada pasangan kerana merasa dirinya tidak dipercayai. Sesungguhnya sikap percaya mempercayai adalah teras dalam sesebuah perkahwinan. Dan lagi, orang yang merasa dirinya dikawal akan berusaha mencari jalan keluar untuk bebas daripada rasa terkongkong.
10. JANGAN menyerang pasangan secara peribadi – Jika berlaku pertengkaran, jangan sesekali menyerang pasangan secara peribadi. Cuba berbincang secara rasional. Elakkan daripada meletakkan kesalahan pada pasangan dan mengungkit keburukan satu sama lain sehingga terlupa tentang nilai perhubungan yang sebenar. Seronok bagi yang menang. Tetapi yang merasa dirinya kalah, sudah pasti akan memendam perasaan. Ini bererti, tiada jalan penyelesaian yang diperoleh.