Nadir Al-Nuri dinobatkan sebagai penerima anugerah utama di majlis makan malam pengiktirafan Nona Superhero Award 2023. Beliau merupakan seorang aktivis kemanusiaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Majlis anugerah yang diadakan oleh majalah Nona buat kali kedua ini disampaikan kepada 18 individu ikonik yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan kerjaya yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2023.
Malam kemuncak Nona Superhero Award 2023 yang bertemakan James Bond 007 ini berlangsung di Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YAM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP).
Barisan VVIP Nona Superhero Award 2023
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, “Majlis Nona Superhero Award 2023 ini menjadi satu platform penting untuk menghargai individu ikonik yang telah mencetus revolusi dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pembangunan negara.“
Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap semua penerima anugerah, menyebut mereka sebagai wira-wira negara yang memotivasikan generasi muda untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
Menurut Kiffy Razak, Head of Business Woman Segment, “Sepanjang 37 tahun di pasaran, kami di Majalah Nona terpanggil untuk menghargai golongan lelaki hebat yang berpengaruh dan menjadi wira sebenar sepanjang menempuhi tahun 2023.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun mampu bertahan dengan semangat yang kuat serta menyuntik inspirasi kepada pengikut masing-masing. Tahniah buat barisan lelaki unggul yang diiktiraf dalam Nona Superhero Award 2023!”
1. Nona Superhero Award: Nadir Al-Nuri
2. Nona Men’s Motivator Award: Prof Dato’ Dr Noordin Darus
3. Nona Men’s Fashion Brand Award: Datuk Radzuan Radziwill
4. Nona Men’s Legend Award: Anuar Zain
5. Nona Men’s Active Award: Mohd Al Jufferi Jamari
6. Nona Men’s Inspiring Award: Boss James
7. Nona Men’s Celebrity Business Award: Nubhan Ahamad
8. Nona Best F&B Business Award: Azrain Mohamad
9. Nona Men’s Style Icon Award: Hun Haqeem
10. Nona Men’s Social Media Influencer Award: Ryan Bakery
11. Nona Men’s Paralympic Award: Muhammad Ammar Aiman
Ads
12. Nona Best Innovative F&B Business Award: Cef Nazri Jameson, Beard Brothers
13. Nona Best Medispa Award: Dr Abdul Haq Ab Wasa, Estika Medispa
14. Nona Best Future Education Fund Award: Ahmad Dasuki Abdul Majid, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
15. Nona Best Aesthetician Award: Dr Abdullah @ Maliq Alias, Dr Cute International
16. Nona Best Community Dakwah Centre Award: Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, Yayasan Murtadha (MADAD)
17. Nona Best Hair Service & Product Award: Chez Hamdan, ChezKamya Professional
18. Nona Best Edupreneur Award: Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim, Al Kauthar Eduqids
MOMEN RED CARPET
Nadir Al-NuriProf Dato’ Dr Noordin Darus
Ammar Aiman
Dr Abdul Haq Ab Wasa
Ahmad Dasuki Abdul Majid
Ryan Bakery
Ads
Boss James
Dr Abdullah @ Maliq Alias
Azrain Mohamad, Baba’s
Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff
Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff
Ustaz Mohammad Yaakub Yusra
Hun Haqeem
Nubhan Ahamad
Razman Razmi, Dato’ Sri Vida
Bella Astillah, Aliff Aziz
Persembahan pembukaan majlis diserikan dengan acara fashion show daripada pereka duo terkenal Razman Razmi.
Selebriti Aliff Aziz dan Dato’ Sri Vida turut diundang membuat kemunculan khas dalam pertunjukan eksklusif tersebut.
Ads
Lokasi Millennium Ballroom di Grand Millennium Kuala Lumpur tambah happening apabila pengacara Haziq Hussni menggamatkan suasana.
Majlis Nona Superhero Award 2023 turut diserikan dengan persembahan artis-artis terkemuka antaranya Azharina, Nubhan Ahamad serta pasangan Bella Astillah dan Aliff Aziz. Majlis anugerah berkenaan turut mendapat tajaan cenderahati dari jenama wangian eksklusif AROMBAY dan tudung dari DOA by AZ Pemurah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya dijulang sebagai jaguh Asia baru acara 400 meter lelaki T20 (kecatatan intelektual) apabila memenangi pingat emas di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Oktober lalu. Kini, atlet muda berbakat luar biasa, Ammar berimpian untuk memadamkan rekod dunia acara sama yang dipegang oleh atlet Brazil Daniel Tavares Martins yang melakukan catatan 46.86s pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan diadakan Ogos depan.
Mencatat masa 47.60s, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi berjaya memecahkan rekod temasya dan Asia yang dipegang oleh Milad Ramazani Torkamari dari Iran sebelum ini dengan masa 47.80s. Bahkan Ammar juga berjaya memadam rekod temasya 49.32s milik bekas atlet negara, Nasharuddin Mohd.
“Inilah impian terbesar dalam hidup saya. Untuk berjaya, kini saya berlatih dengan gigih, dari sekarang” katanya penuh semangat.
Penganugerahan NONA Superhero Awards 2023 menemu kami dengan atlet para ini. Segak bergaya mengenakan sut tuxedo, Muhammad Ammar dilihat agak malu-malu di awal pertemuan namun sebaik beraksi di depan kamera, jelas terserlah gaya aktifnya.Kata Ammar, dia menyasarkan emas di temasya sukan utama dunia itu.
“Buat masa ini, saya nak dapatkan masa 47.0s dahulu dalam latihan, kemudian barulah saya memburu masa yang lebih baik,” katanya yang kini berada di ranking ke lima dunia selepas berjaya memecahkan rekod Sukan Para Asia.
Kerjaya sukan
Tidak menganggap kekurangan tidak mampu menulis nama sendiri atau mengisi sebarang borang semasa sekolah rendah dan menengah sebagai satu bentuk kecatatan intelektual pada dirinya, Muhammad Ammar yang kini berusia 21 tahun mengakui dia hanya menyenangi aktiviti sukan olahraga semasa bersekolah.
“Sejk dulu, saya suka berlari di padang sehingga saya terpilih mewakili daerah mahupun negeri menerusi MSSDT, MSSM, Sukma dan sebagainya.
Kalau kerja sekolah, saya tiru kawan. Semua borang ayah yang tuliskan. Yang saya tahu, saya suka berlari. Sebelum ini saya dalam acara pecut 100m dan 200m tetapi akhirnya saya tukar sendiri kepada 400m kerana nampak ramai tak berminat dalam acara ini.
Kita ramai sprinter tetapi tak ramai nak ke 400m kerana acara ini menggabungkan dua teknik iaitu pecutan dan teknik larian. Jadi saya kata pada diri sendiri, baik ambil acara ini kerana tak ramai persaingan.
Jelas atlet podium yang kini di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sepenuh masa, semasa bersekolah,beliau dikelilingi guru-guru yang membantu mengembangkan bakatnya dalam dunia olahraga.
“Saya ada banyak guru yang melatih saya. Yang nampak bakat saya dalam olahraga dan boleh pergi jauh dalam bidang ini. Antaranya, Cikgu Darwish, Cikgu Karim masa saya bersekolah di SMK Pekan Nanas, Pontian.Waktu ini saya masih bersekolah harian biasa lagi.
“Bila saya sertai pelbagai kejohanan, ketika itulah saya bertemu Cikgu Huda yang juga pengurus sukan di Kementerian Belia & Sukan yang mahu mencari bakat baru dalam sukan olahraga kategori para.
“Cikgu kemudian menyenaraikan nama saya kerana saya tak tahu tulis nama sendiri. Dari situlah bakat saya dalam sukan mula menyerlah apabila tersenarai ke Sekolah Sukan Negeri Johor Tun Hussein Onn, Kluang,” kata Ammar yang pernah dinobatkan sebagai Atlet Harapan Para Sukma XX Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor tahun lalu.
Selepas tamat tingkatan lima, jelas Muhammad Ammar dirinya dilatih oleh seorang individu yang cukup berjasa dalam hidupnya.
“Ayah Mus. Bersama Ayah Muslah, dia yakinkan saya untuk berjaya dalam sukan olahraga ini. Katanya saya boleh pergi jauh. Dua tahun juga dirinya melatih saya di Kem Johor sewaktu saya berusia 18 dan 19 tahun.
“Sampailah dia nampak peluang bila saya dapat tawaran ke MSN. Katanya, mulai hari ini dia akan lepaskan saya ke jurulatih lain pula,” katanya sambil menambah dalam tempoh dua tahun itu, pernah juga ibu ayahnya bising kenapa dirinya tak mencari kerja kerana sudah habis sekolah.
“Ayah dan ibu (Zainah Hamdan, 46) ada juga bising-bising bertanya kenapa saya tak cari kerja lepas habis sekolah.
“Saya cakap pada mereka saya nak berlari di Sukan Paralimpik yang ketika itu nampak agak asing bagi keluarga saya. Tapi saya yakinkan mereka suatu hari nanti saya nak berlari di Sukan Paralimpik. Itu Impian utama saya.
“Dan Alhamdulillah, dari seorang budak kampung dari Taman Utama Pekan Nanas, insya Allah, Ogos ini saya akan berlari di hadapan jutaan orang di Sukan Paralimpik Paris 2024,”katanya tersipu malu.
Budak Baru
Sudah tertulis rezeki Ammar, hasil dari kerja kerasnya selama hampir setahun akhirnya namanya terpahat sebagai atlet para yang mencatat kejayaan membanggakan.
Jelasnya, sebagai “budak baru” di MSN, jurulatih menyenaraikan namanya dan tiga rakan lain untuk menyertai kejohanan Sukan Para Asia Hongzhou 2022.
“Sebelum ini saya menang emas dengan catatan masa 48.42s dalam Sukan Para ASEAN 2023, Jun lalu. Alhamdulilillah, peluang yang diberi itu saya gunakan sebaiknya dan berjaya meraih emas dan memecah rekod kejohanan dengan masa 47.6s di Sukan Para.
“Daripada tiga orang “budak baru” iaitu saya, Fizzi, Ema dan Dayah, kami bertiga kecuali Dayah berjaya membawa pulang pingat. Dan saya meraih emas,” katanya yang mengucapkan syukur dengan semua kemudahan latihan diterima di MSN termasuk elaun bulanan yang mencecah RM4500 sebulan selepas menggengam emas di Sukan Para Asia.
“Dari duit elaun itulah, saya beri mak ayah setiap bulan, beri adik-adik belanja sekolah, guna untuk diri sikit dan selebihnya saya buat simpanan,” katanya yang bercita-cita mahu membeli rumah berbanding kereta.
Bagi saya harga rumah makin lama makin mahal, kalau beli kereta susut nilai. Saya juga ada cadangan nak beli tanah kebun,” katanya yang bakal menerima insentif RM100,000 hasil kemenangan emas di Hangzhou.
Kesibukan latihan Ammar bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan sebelah petang dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari.
“Biasa jam 6.00 saya dah bangun, mandi dan solat Subuh. Kemudian rehat sekejap sebelum turun bersarapan. Jam 8 dah ada di balapan sampai jam 11.00 pagi. Kemudian rehat, makan tengahari, solat dan tidur. Petang dah kembali ke padang semula.
“Saya bekerja keras hari ini kerana saya mahu mengumpul kejayaan dalam sukan dan mampu bawa mak ayah tunai haji dengan duit sendiri. Saya nak banggakan mak ayah saya dengan pencapaian ini walau diri saya ada banyak kekurangan. Rezeki berlari dan mewakili negara, tak semua orang ada peluang begini dalam hidup mereka.
Paling utama, saya nak banggakan mak dan ayah yang menyara kehidupan kami dengan bekerja kilang di Pekan Nanas. Sebab itu saya nak bawa mak ayah tunai haji dengan duit usaha saya sendiri.
Baru ini, saya dapat peluang balik ke rumah selepas beberapa bulan dalam latihan. Memang seronok berkumpul dengan keluarga. Dapatlah bermanja-manja dengan mak dan ayah. Ayah jenis tak banyak cakap tapi saya tahu dia bangga dengan saya. Mak pula banyak titipkan nasihat, jangan tinggal solat, main sukan elok-elok, usaha sungguh-sungguh.
“Saya selalu pegang amanah mak ini. Masa yang sama, kerjaya sebagai atlet sukan bukan seperti pekerjaan lain. Kalau kami tercedera, ambil masa lama nak pulih. Akan ada lagi atlet pengganti dilahirkan. Berbanding dengan dunia pekerjaan, umur 50 tahun pun orang masih bekerja tapi tidak pada kami.
“Paling lama orang berlari pun 30 ke 35 tahun. Selepas itu mungkin dunia atlet kami sudah berubah. Jadi kalau ada harta sedikit, ia dapat menampung kehidupan saya di masa akan datang.
“Sebab itu dalam usia muda ini saya berlatih bersungguh-sungguh dan mahu menang dalam setiap kejohanan yang saya sertai, katanya yang sudah bersedia menghadapi Kejohanan Dunia Para di Kobe, Jepun selain Paris tahun ini.
“Saya nak banggakan mak ayah saya. Walau saya tak pandai dalam pelajaran tapi saya nak berjaya dalam sukan olahraga ini,” kata Muhamad Ammar sebelum menamatkan perbualan bersama Nona.
“insentif hadiah, kemudahan dan lain termasuk penganugerahan yang diterima dari Nona Superhero Awards 2023 adalah kenangan manis dalam hidup saya,” katanya sebelum menamatkan perbualan bersama Nona. Ditanya siapa idola Ammar, anak muda ini tidak melihat orang lain tetapi “memilih” dirinya sendiri untuk berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Populariti diraih pemilik nama asal Haqeem Hermy yang cukup terkenal menerusi watak Jekferr dalam drama komedi Kampung People meledakkan namanya sehingga cukup dikenali. Walau masih dikira pendatang baru dalam industri, namun Hun Haqeem bukan sekadar pelakon tempelan yang dicipta menerusi program TV ataupun pertandingan pencarian bakat, namun takdir Ilahi membuka jalan buat dirinza melangkah masuk dalam industri dengan bergaya, mengikut acuannya sendiri.
“Saya mula bergiat aktif sebagai model dan berjinak jinak mendekati dunia lakonan ketika menjalani latihan industri di Jabatan Komunikasi Korporat, New Straits Times Press. Dari situ saya banyak berkenalan dengan ramai individu yang menggalakkan saya untuk terjun dalam bidang lakonan.
Alhamdulillah, dalam tempoh lima tahun ini banyak tawaran saya perolehi dan setiap satunya mematangkan saya dalam industri, seterusnya mendorong diri ini agar terus memburu impian bergelar pelakon versatil.”
Berkelulusan dalam jurusan perakaunan dan kewangan daripada Kolej Univerniti Poly- Tech MARA Kuala Lumpur, pesona pemuda Capricorn ini dilihat semakin ranum, mewangi di bibir-bibir penggemar drama tempatan yang mendambakan pelakon yang hadir dengan pakej lengkap.
Namun siapa menyangka perjalanan seni anak kelahiran Kuching ini juga ada naik turunnya. Pada saat namanya dijulang Hun terpaksa berhadapan dugaan insan seni iaitu kecederaan di set penggambaran.
“Berbulan-bulan juga saya terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament atau ACL yang dialami ketika penggambaran drama W: Two Worlds tahun lepas,” ujar anak bongsu daripada empat berudik ini
Namun kini aktor berusia 25 tahun itu boleh menarik nafas lega kerana lututnya semakin pulih walaupun terpaksa berehat panjang. Begitulah komitednya Hun dalam bidang seni lakonan. Jadi, apa agaknya strategi Hun untuk kekal bersaing secara sihat dalam industri sementelah pelbagai cabaran datang menguji?
“Hun sentiasa bersedia untuk mencabar diri. Andai watak tertentu memerlukan saya untuk menjadi seseorang yang kompleks, saya akan mengambil masa untuk mengkaji tersebut sebaik-baiknya. At the end of the day, segalanya bergantung kepads kredibiliti dan kesanggupan dalam menggalas kewajipas sebagai anak seni di layar perak”
Sementelah 5 tahun berkelana dalam bidang seni lakonan, pencapaian mana paling diingati Hun yang boleh dijadikan inspirasi buat pelakon pelakon meningkat naik di luar sana?
“Sudah pasti apabila dapat bekerjasama dengan pelakon pelakon hebat di samping mengumpil ilmu dari mereka yang dikira unggul dalam industri. Projek seram thriller Nenek Bongkok Tiga antara yang masih berbekas di hati.
Selantai bersama pelakon legenda seperti Sofia Jane, Sherie Merlis dan Syafie Narwip. Masih berbekas rasa gusar dan gementar bergandingan bersama mereka, namun berikan tunjuk ajar dan dorongan dibenkan, segala kerja keras dilalui akhirnya membuahkan hasil, sekaligus menjadi satu memori hebat sepanjang karier Hun.”
Apa pendapat. Hun bila ramai beranggapas Hun adalah pelapin Hero Malaya yang didambakan saat ini? Pressure atau tidak “Adakalanya ya tidak dinafikan, pastinya ada yang lebih berbakat, lebih tampan, lebih versatil berlumba-lumba mewarnai industri dan siapa saja boleh menyerlah.
Namun Hun percaya kerja keras berterusan di samping percaturan bijak mencorakkan jenama sendiri pasti suatu nanti akan membuahkan hasil. I’m a hard worker dan sangat passion dalam apa yang Hun lakukan. Keep on working hard dan jangan henti berkarya”
STAIL
Walaupun saban hari muncul satu persatu artis lelaki yang menghiasi kaca TV, namun Hun Haqeem dilihat tetap unggul dengan kredibiliti serta aura peribadinya. Masakan tidak, transformasi personaliti diri Hun yang dahulunya sedikit berisi dan biasa-biana, namun kini tampil lebih berkeyakinan dan fit seiring dengan pencapaian peribadinya.
Ditambah pula dengan pendirian Hun yang cukup mementingkan penampilan diri. Jadi apa agaknya definisi fesyen itu sendiri pada Hun?
“Fashion in all about individuality and how you express yourself. Bagi Hun, fesyen tiada peraturan mahupun sempadan. As long as it comfortable, easy to the eye and wearable, Hun okay! Anda masih boleh memakai selipar dan menjadikannya fesyen,” jelas Hun lagi.
Soalnya, pernah tidak Hun menjadi mangsa fesyen? “Sudah tentu pernah! Biasalah lelaki kan, mana boleh duduk diam. Seluar terkoyak itu dah biasa. Jadi apa yang selalu Hun buat jika berhadapan dengan isu ini, pertama sekali bertenang Jangan menggelabah dan elakkan banyak berfikir.
Tingkatkan keyakinan kita dengan berkomunikasi menggunakan mata, so everyone will focus on your face, dan bukan pada baju atau seluar anda.”
Mengakui cukup mengagumi dan mengidolakan gaya peribadi aktor berkulit hitam terkenal, Michael B Jordan yang sentiasa menjaga penampilan, baik soal kerjaya mahupun keluarga Hun sendiri mengamalkan beberapa tip hagi dirinya untuk kekal bergaya seiring dengan intuisi fesyen yang dilihat sentiasa berevolusi.
Untuk bacaan lebih lanjut, dapatkan edisi NONA Superhero 2023 yang kini sudah berada di pasaran.
Teks & Penyelaras: Wan Mohd Firdaus
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio Asia)
Solekan: Ann Karim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perjuangan aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri atau Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman serasa terlalu panjang untuk dikisahkan. Pada usia 36 tahun, beliau berjuang sebagai satu-satunya frontliner Malaysia di bumi Palestin, memupuk kesedaran, melaporkan perkembangan semasa serta mengumpul dan mengagihkan wang sumbangan melalui NGO miliknya, Persatuan Cinta Gaza Malaysia ke sana.
Keberanian dan intifada anak Melayu bernama Nadir ini memperjuangkan nasib rakyat Palestin cukup membanggakan Malaysia. Beliau memilih untuk menetap dan berkeluarga di ‘penjara terbesar di dunia’, biarpun sedar risiko pergolakan perang mungkin menggadai nyawa. Selepas sedekad berbakti melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Semenanjung Gaza, jasa dan pengorbanan beliau mula menjadi perhatian.
Sesaat tiba ke studio, aura Nadir Al-Nuri begitu terasa. Gugup berdepan lelaki hebat yang sentiasa mengukir senyuman itu, tidak terbayang bagaimana beliau mampu bertahan tatkala diuji dengan sesuatu yang terlalu disayangi. Pada saat wajah Superhero ini dipotretkan, beliau masih memikirkan nasib anak isteri di Gaza yang terpaksa berpindah-randah berhijrah, menyelamatkan nyawa di tengah perang yang menggila!
“Saya reda.” Sahutnya perlahan ketika ditanya soal perasaan. Sebagai suami dan bapa kepada lapan cahaya mata (lima daripadanya anak tiri), takdir memisahkan keluarga kecil Nadir apabila beliau pulang ke tanah air atas urusan kerja lewat September lepas. Siapa sangka tanggal 7 Oktober mencatat semula peristiwa berdarah, puak Zi0nis tiba-tiba meletupkan pintu sempadan sekaligus membedil bumi Gaza tanpa sifat kemanusiaan.
Nadir menggantungkan seluruh urusannya kepada Allah SWT. Jika orang lain sudah terduduk tak berdaya, beliau menerima ketetapan dan ketentuan Tuhan dengan iman, malah menganggap segala keputusan-Nya yang terbaik buat mereka.
“Bukan keluarga saya yang hendak saya ceritakan. Ya, keluarga saya orang Palestin, anak-anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka sebahagian dari bumi Gaza yang sarat dengan pengorbanan.
Mereka tidak lebih penting daripada penduduk Gaza yang lain. Nyawa mereka bukan lebih berharga daripada anak-anak Palestin lain yang juga terancam dibvnvh pada bila-bila masa.
Mereka yang ada di sana tahu bila-bila masa sahaja nyawa akan terkorban demi pembebasan bumi Al-Aqsa dan Kota Baitulmaqdis.
Kata isteri saya, Reem Al-Minawi, manfaat lebih besar jika saya terus di Malaysia, ajak seluruh rakyat Malaysia berjuang untuk bumi Palestin,” kata Nadir yang mengahwini balu pejuang Palestin dan ibu tunggal itu sekaligus menanggung lima anak Reem yang dikasihi bagaikan anak sendiri.
Berusia 36 tahun, bapa kepada Haura, Qamar dan Ibrahim ini sebenarnya membesar dalam sebuah keluarga akademik yang disegani. Asas pendidikannya cemerlang termasuk mahir berbahasa Arab dan Inggeris. Anak kedua daripada lapan beradik itu mendapat pendidikan awal di Wester Hailes Primary School, Scotland sewaktu mengikuti bapanya menghabiskan pengajian peringkat PhD, seterusnya ke beberapa sekolah rendah dan sekolah agama di tanah air.
Beliau juga pernah menimba ilmu di Sekolah Agama Menengah Batu 10 Hulu Langat (SAMTEN), Sekolah Agama Menengah Bestari JAIS (SAMBEST) seterusnya bergelar mahasiswa graduan Ijazah Sains Marin (Universiti Malaysia Sabah), Diploma Syariah dan Bahasa Arab (Kolej Antarabangsa Damsyik) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Universiti Islam Gaza).
“Sejak kecil, kami sudah dididik menjadi pencinta kerja-kerja kemanusiaan dan belajar manual menguruskan badan NGO. Selain saya, adik lelaki iaitu Musa Nuwayri juga mengasaskan NGO Persatuan Cinta Syria Malaysia selain adik bongsu kami, Mubtasim Al-Lutfi yang turut menunjukkan minat serupa. Semua ini hasil didikan dan tarbiyah ibu bapa kami sendiri yang berkali-kali berpesan supaya meletakkan orang lain di hadapan dan mengejar akhirat yang lebih abadi,” singkap Nadir.
Ibu bapa Nadir kedua-duanya tokoh akademik hebat dan terpelajar. Bapanya, Prof Dr Kamaruzaman Yusof bukan sekadar masyhur sebagai Pensyarah, bahkan Penganalisis Politik Timur Tengah yang disegani. Mesra dengan panggilan Che’, bapa Nadir juga mempunyai Masters dalam bidang psikologi.
Dengan asas ilmu dan agama yang kuat, keluarga mereka didedahkan dengan jerih-perih umat Islam di seluruh dunia.
HADIAH UNTUK AQSA
Mengungkap laluan hidup Nadir sebagai Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia di Palestin, lelaki ini sejak tahun 2013 lagi banyak berbakti membantu penduduk setempat menerusi sumbangan penyokong dan pencinta Palestin yang semakin ramai. “Walaupun masa tu terikat dengan komitmen sebagai pelajar universiti, saya tetap menjalankan tanggungjawab mengurus NGO, menyerahkan amanah melalui pelbagai program.
Peluang duduk di medan peperangan Gaza benar-benar membuka pintu amal yang sangat luas. Dalam kalut perang, saya tidak duduk bersembunyi di balik pintu sambil mengucap dua kalimah syahadah, sebaliknya memaksa kami terus bergerak, memberanikan diri menghulur bantuan keperluan kepada mangsa perang yang tersepit akibat serangan penjajah dan kesempitan hidup.
Dengan bekal reda dan doa ibu bapa di Malaysia, saya terjun ke lapangan untuk bekerja. Bahaya dimana-mana namun sudah tiada ketakutan lagi yang bersarang di dada. Setiap kali melangkah keluar rumah, bangunan yang musnah mengingatkan bahawa puluhan ribu sedang hidup merempat dan bilion ringgit diperlukan untuk memulihkan semula Gaza.”
Pernah berdepan sendiri situasi peperangan secara langsung di depan mata, Nadir menyifatkan kezaliman serta kekejaman zionis Israel langsung tidak mengenali sempadan undang-undang antarabangsa. Demi jihad, semangat seorang Nadir Al-Nuri menghidupkan kesedaran kemanusiaan terhadap jutaan rakyat Malaysia, menjadikan beliau ikon Superhero terbaik yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara!
Sehingga ke saat ini, Nadir tekun berputus-urat berhabis-lelah menyedarkan masyarakat Islam Malaysia tentang situasi tegang yang menimpa bumi Palestin. Malah hingga usai temu bual kami, tentera penjajah masih mengasak umat Islam di sana melalui darat dan udara, membedil penduduk awam dengan kereta kebal dan mortar, mengorbankan ribuan syuhada, mencederakan ratusan ribu mangsa serta memusnahkan harta-benda tanpa sifat perikemanusiaan.
“Kisah perang terlalu banyak dan tahap kemusnahan susah untuk digambarkan. Harapan saya bahawa setiap detik masa, setiap amal jariah, setiap beban yang terangkat dari bahu saudara seagama kita – kalau ada padanya pahala, jadikanlah ia bekal berterusan untuk ibu bapa saya, untuk adik-beradik, isteri, anak-anak serta keluarga di sini,” ungkap Nadir perlahan.
Mengakhiri perbualan, Nadir sempat mengutuskan setinggi penghargaan kepada Majalah Nona yang sudi menghargai pengorbanannya selama ini. Penganugerahan Nona Superhero Award merupakan anugerah sulung yang diterima sejak mewakafkan diri sepenuhnya kepada ummah. Beliau turut berterima kasih kepada pasukan Cinta Gaza Malaysia, penyokong serta penyumbang yang tidak putus-putus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada saudara Islam di sana.
“Indahnya pahala ialah ia bukan seperti duit, makin diguna makin habis. Akan tetapi pahala itu sifatnya makin dikongsi, makin ia bertambah dan bertambah.”
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio)
Solekan: Ayang Kamell
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.