Tak puas hati! Itu luahan peminat bola sepak Malaysia yang kecewa dengan mutu pengadilan Ryuji Sato selaku pengadil dalam pelawanan Malaysia menentang Vietnam, malam tadi.
Seperti berdendam dengan skuad Harimau Malaya, pengadil dari Jepun ini dilaporkan berat sebelah apabila membuat beberapa keputusan tak masuk akal hingga menyebabkan Malaysia tewas 0-3 pada perlawanan ketiga kumpulan A Piala AFF di Stadium National My Dinh, Hanoi, Vietnam.
Ini selepas pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti penuh kontroversi yang menyebabkan skuad kendalian Kim Pan Gon ketinggalan 0-2 pada minit 64.
Dikatakan tindakan Ryuji Sato itu berkemungkinan kerana Azam Azmi Murad menendang muka pemain Vietnam apabila berada di luar luar padang menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan negara dan menghadiahkan sepakan penalti untuk tuan rumah.
Namun lebih mengejutkan ia bukanlah kali pertama Ryuji Sato ‘berpihak’ kepada Vietnam. Bahkan senario sama turut berlaku ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) Jun tahun lalu apabila pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit sebelum wisel penamat ditiup.
Sebaik saja pelawanan Malaysia dan Vietnam tamat malam tadi, media sosial milik Ryuji Sato ‘diserbu’ peminat bola sepak tanah air mengkritik sikap pengadil tersebut yang dilihat berat sebelah dan kerap membuat keputusan luar biasa.
Selain itu, komen di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dipenuhi dengan kritikan terhadap Sato yang menjadi punca Malaysia terpaksa melalui laluan berliku untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFF 2022.
Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29′),Que Ngoc Hai (penalti pada minit 64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.