Nikmati Momen Terindah Menguruskan ANAK KEMBAR Dengan 6 Tip Ini!

144

Dikurniakan anak kembar adalah satu anugerah terindah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kelahiran seorang sahaja pun sudah cukup membuatkan pasangan suami isteri bahagia apatah lagi dengan kehadiran si kembar yang menjadi penyeri dalam keluarga.

Adakah anda memiliki anak kembar atau sedang hamil anak kembar? Ada caranya untuk menjaga anak ini. Bagi pasangan yang pertama kali dikurniakan zuriat dan kebetulan pula kembar tentu huru hara dibuatnya jika tiada persediaan fizikal dan mental. Baik isteri mahupun suami kedua-duanya perlu ada persediaan ini.

JADUAL YANG TERATUR

Anda pasti akan mudah merasa letih kerana terpaksa bangun pada lewat malam setiap hari untuk menyusukan bayi. Pastikan sejak si kembar dilahirkan mereka mempunyai jadual tidur, bangun dan menyusu pada waktu yang sama. Ikuti secara konsisten dan anda akan memiliki waktu rehat yang teratur.

TETAP MEMBERIKAN SUSU

Usah bimbang jika anda mengamalkan prinsip supply and demand mengikut keperluan bayi. Semakin kerap anda menyusukan salah seorang atau kedua-duanya serentak, pengeluaran susu akan memenuhi keperluan itu. Namun ia memerlukan koordinasi dan kesabaran yang tinggi.

BERJIMAT CERMAT

Tidak dinafikan memiliki anak kembar memerlukan kos yang banyak. Keperluan mereka dua kali ganda seperti stroller, katil, car seat, pakaian,kasut dan aksesori. Bertambahnya usia anak maka pengeluaran bajet juga bertambah khususnya dalam aspek pendidikan. Kawal perbelanjaan anda sejak awal.

ANAK KEMBAR BERKONGSI SEGALANYA

Jika salah seorang diserang jangkitan kuman maka kembarnya akan turut berisiko. Termasuklah jika jangkitan itu dideritai oleh ahli keluarga yang lain. Anda boleh memisahkan si kembar buat sementara waktu jika salah seorangnya dijangkiti kuman seperti cacar bagi mengurangkan risiko.

SERUPA TAPI TAK SAMA

Dorong si kembar untuk mempunyai hobi, bakat dan kegemaran masing-masing yang berbeza. Jangan membanding-bandingkan seorang anak dengan anak yang lain kerana ia memberi impak negatif. Penting juga melatih mereka menjadi diri sendiri dan tidak perlu selalu bergantung kepada kembarnya.

ALAH BISA TEGAL BIASA

Mula-mula saja anda akan mengalami kesukaran untuk menjaga si kembar kerana perlu menjaga dua orang sekaligus selain merasa kekok. Namun lama kelamaan anda akan terbiasa dengan keadaan ini. Meningkatnya usia mereka tugas anda akan menjadi lebih mudah kerana si kembar sudah memiliki satu sama lain sebagai teman bermain. AMY MOHD

Jangan Lupa Komen