Hasil karya pereka fesyen antarabangsa, Zang Toi, dan Datuk Jimmy Choo, sudah tidak asing lagi buat mereka yang meminati perkembangan fesyen. Nama kedua-dua Anak Malaysia ini sudah gah seantero dunia dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Kini seorang lagi anak tempatan, Norish Kareem telah memulakan langkah berani dengan membuka butik kafe di tengah kota London. Butik yang baru sahaja dilancarkan pada 1 Disember lalu telah mula mendapat perhatian penggiat fesyen di sana.
“Merancang semua ini sejak lima bulan lalu bukan proses mudah. Dari memilih lokasi strategik, memenuhi piawaian perniagaan di UK, proses pengubahsuaian, menentukan konsep dan rekaan butik hinggalah ke persiapan hari pembukaan dan pelancaran memberi kemanisan tersendiri,” kata Norish Kareem bangga pada majlis pelancaran butik kafenya itu di Central London W1, di tengah kawasan Marylebone.
“Ia bukan soal saya dan fesyen semata-mata, tapi dalam hati terbit rasa bangga kerana jenama tempatan dari Malaysia juga mampu mencuri perhatian orang luar negara,” kata Norish Kareem penuh yakin. Jenama fesyen Norish Kareem Couture (NKC) ini telah mengambil masa hampir empat tahun untuk mengukuhkan jenamanya.
NKC semakin mendapat tempat apabila menampilkan model istimewa dari Australia yang menghidap Sindrom Down, Madeline Stuart sebagai wajah ilham atau muse koleksinya. “Impak Stuart sangat besar untuk portfolio fesyen saya. Pertemuan dan perkenalan kami bermula di pertunjukan fesyen di Dubai.
Rentetan dari situ NKC menerima mesej daripada ibu bapa yang mempunyai anak dengan sindrom down dari pelosok negara termasuk di New York mahu membeli koleksi seperti dipakai Madeline. Malah ada yang sanggup terbang ke butik di Dubai untuk membelinya,” terang Norish yang menimba pengalaman di London sejak 2012 ketika menetap di sana kerana menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengurusan perniagaan (MBA) di Universiti Cardiff,UK dan sarjana penyelidikan perniagaan (MRes) di Universiti Kingston, London.
Selepas tamat pengajian beliau menyambung pula dalam bidang doktor falsafah di universiti sama. Dalam tempoh pengajian, Norish banyak membuat kajian mengenai perniagaan dan sasaran pelanggan. Jenama NKC juga sudah mula mendapat liputan meluas daripada penerbitan terkenal dan agensi berita antarabangsa seperti Marie Claire, Reuters dan Daily Mail UK.
Sebelum ini jenama fesyen NKC pernah menyertai pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa seperti di Muslim Lifestyle di Olympia, London, Indonesia Muslim Fashion Week, DC Fashion Week di Washington, Runway Dubai di Emiriah Arab Bersatu, Minggu Fesyen New York 2017, Minggu Fesyen Paris, London Modest Fashion dan terkini Minggu Fesyen London 2018.
Norish Kareem seorang anak Melayu yang begitu optimis dan realistik terhadap pembukaan butik kafenya. Butik kafe Norish Kareem London ini juga menyediakan ruang untuk pereka fesyen seluruh dunia untuk meletak dan menjual koleksi mereka. Ia termasuk koleksi beg jenama Elevate Shine diusahakan Kiran Tuljaram Prakash yang juga rakyat Malaysia selain koleksi pereka fesyen dari negara lain. Norish Kareem juga bakal mengeluarkan jenama kopinya sendiri yang sepenuhnya diperbuat daripada England.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Reputasinya dalam aktiviti kebajikan tiada siapa pun dapat melupakan. Lapan tahun, Dato’ Ruby Khong merupakan pendorong utama di belakang Kechara Soup Kitchen (KSK), sebuah yayasan yang bertujuan untuk memberi makan dan menyediakan bantuan perubatan kepada gelandangan di Malaysia.
Dia sebenarnya memulakan perjalanannya seperti jelitawan VIP lain, bergaya anggun hadir ke pelbagai keramaian tetapi kala turun menyusuri lorong-lorong ibu kota segala-galanya ditinggalkan. Hanya tampil ringkas dengan membawa visi untuk memberi bantuan seikhlas mungkin kepada mereka yang memerlukan. Itu dua tahun lalu, sewaktu perjalanannya bersama KSK dan kini beliau terus gembira meniti hidup baru yang lebih aktif…
Sesiapa sahaja pasti merasakan keseronokan tatkala bertemu Dato’ Ruby. Sikapnya yang positif dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling membezakan keseronokan peribadi dan tuntutan untuk berbudi kembali kepada dunia sebagai tempat yang lebih baik. “Ya! 8 tahun saya bersama KSK dan dua tahun lalu saya melepaskan tanggungjawab itu kerana ingin memberi ruang rehat kepada diri sendiri. Perjalanan saya dengan KSK telah menjadi satu kenangan terindah.
Terlalu banyak cerita untuk diberitahu dan dikongsi tetapi yang boleh saya katakan… Setiap hari, sama ada dari pejabat KSK dan di sepanjang jalan ibu kota, saya melihat ramai sukarelawan dari pelbagai latar belakang yang tampil memberi bantuan kepada rakyat kita yang miskin dan tiada tempat tinggal. Ini menyejukkan hati saya bahawa masih ada banyak rakyat Malaysia yang prihatin dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada manusia lain yang kurang bernasib baik. Hidup ini akan lebih bermakna kiranya kita dapat memberi senyuman terindah buat mereka yang memerlukan.”
Sejak tidak aktif bersama KSK, Dato’ Ruby menghabiskan masa untuk dirinya berehat, melancong, keluar bersama rakan-rakan, bermain golf dan melukis. “Setelah puas berehat selama sebelas bulan, saya mula terasa sepi dan timbul keinginan untuk aktif kembali. Melalui laman sosial, saya terlihat adanya peluang sebagai konsultan untuk satu projek jangka pendek. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi pihak tersebut dan saya diterima sebagai Project Consultant, Malaysia Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) di bawah naungan Kementerian Kewangan. Projek ini telah berjalan dengan jayanya pada tahun lepas 2016.
Kejayaan itu, membuatkan saya masih diperlukan untuk kelangsungan projek jangka lebih panjang. Tugasan ini amat menarik, sebagai contoh ramai ibu tunggal yang berjaya menjalankan pelbagai perniagaan. Kita ingin mereka turun padang di kawasan luar bandar untuk berjumpa dengan wanita lain untuk sama-sama melaksanakan perniagaan tersebut sebagai francais dengan kerjasama TEKUN. Saya akan membawa pihak terlibat untuk memberi penerangan dan informasi tentang peluang perniagaan,” ujar Dato’ Ruby yang juga merupakan Special Advisor, UN World Food Programme (WFP).
Kata Dato’ Ruby tentang kejayaan wanita hari ini, “Ini adalah senario yang sihat apabila semakin ramai wanita yang agresif bekerja. Saya gembira melihat trend sekarang yang membuka banyak peluang untuk wanita yang mempunyai anak untuk bekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Saya percaya dengan sokongan ekosistem kita, pasti ramai wanita ingin kembali bekerja selepas berkahwin dan mempunyai anak. Contohnya kalau dahulu kurangnya kemudahan untuk ibu menyusukan anak tetapi sekarang kemudahan itu telah diperbanyakkan dan memudahkan pergerakan wanita ke mana sahaja.”
Status sebagai seorang VIP, “Membawa status tentu sahaja menuntut saya untuk menjaga tatasusila, kesopanan dan penampilan di mata umum. Ya! Benar perkara ini perlu dititik beratkan tetapi saya juga merupakan manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan mungkin hari-hari tertentu sedih, malas atau tidak ingin berjumpa dengan sesiapa kerana ingin masa untuk bersendiri. Saya percaya jika kita menjadi diri sendiri dan ikhlas dengan sesiapa sahaja, kita akan bersikap jujur dengan mereka.
Jika saya boleh membantu, saya akan cuba untuk menolong tetapi jika ia di luar daripada kemampuan, saya akan berterus-terang dan meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu. Saya bersyukur dengan individu yang masih sudi untuk datang bagi meminta bantuan tetapi seperti saya katakan tadi, kita hanya manusia mungkin tidak semua dapat dipenuhi.
Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. “Berbicara tentang anak saya Elisa, 29 dan Clifford, 28, saya bersyukur mereka juga berminat untuk melakukan kerja amal. Saya berbangga dengan Elisa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sepatutnya majlis itu boleh diabadikan sebagai sebuah majlis besar-besaran dengan menelan belanja jutaan ringgit, tetapi anak saya sanggup mengetepikan impian perkahwinan itu dengan mendermakan RM1.5 juta yang kami beri kepada sebuah badan kebajikan dan juga menderma untuk pekerja sosial yang akan melanjutkan pelajaran di Oxford University.
Keputusan yang dibuat itu amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu dan amat bangga dengan tindakan itu. Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat orang di sekeliling mereka,” jelas Dato’ Ruby yang turut bangga dengan kejayaan anaknya, Clifford yang bakal menjadi seorang pilot suatu hari nanti.
Pada waktu senggang, tetamu VIP ini bukan memilih aktiviti untuk membeli-belah atau menghabiskan waktu di spa tetapi beliau senang sekali melayari Google. “Mungkin hobi ini jarang sekali menjadi pilihan ramai wanita tetapi itulah hakikatnya. Saya suka Google kerana terdapat banyak ilmu, informasi dan perkembangan semasa yang boleh diperoleh dari situ. Melalui cara ini saya dapat menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa dengan mudah. Buat semua wanita, lakukanlah apa sahaja yang terbaik yang boleh memberi faedah kepada diri sendiri asalkan tidak menyusahkan atau menyakiti orang lain,” terangnya mengakhiri perbualan. #nonasuperwoman #inspirasinona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mengakui sebagai selebriti dan public figure yang memilih untuk berhijab sejak 13 tahun yang lalu, tidak dinafikan banyak dugaan di sekelilingnya yang terpaksa ditempuh tatkala bergelar selebriti yang sudah kukuh namanya dalam industri hiburan.
Memetik temubual dalam saluran Youtube Official Ria X dalam slot Chit-Chat with Michael Ang, Nana turut berkongsi beberapa dugaan yang terpaksa ditempuhinya sepanjang bergelar anak seni.
Siti Nordiana Kongsi Cabaran 11 Tahun, Istiqamah Berhijab
“Godaaan yang datang pada saya bukan kecil, terutama apbila istiqamah menjadi seorang selebriti berhijab ni, cabaran pertama adalah sentiasa menjadi sorotan orang ramai, orang selalu pandang.
“Dugaan bila berlakon, kena jaga batas antara lelaki dan perempuan, apabila masuk waktu (solat), kena ambil wuduk dulu siap-siap, baru makeup. Lepas itu, tahan supaya tak minum air sehingga masuk waktu (solat) seterusnya,” kongsi Nana yang memulakan penghijrahan pada tahun 2011.
Bagaimanapun, Nana akui bahawa dia juga menerima dugaan dalam fesyen di kalangan rakan artis.
“Kadang-kadang, bila tengok orang lain pakai baju tu saya puji cantik baju dia, tapi saya tak boleh pakai macam tu sebab saya ni seorang yang berhijab,” jujur Nana yang popular dengan drama bersiri Dia Semanis Honey.
Dahulukan Allah, Sebelum Dahulukan Orang Lain – Siti Nordiana
Pelantun suara, lagu Hatiku Milikmu itu turut berkongsi, ketika berada di set pengambaran, cuaca juga antara kekangan yang menjadi cabaran buat dirinya yang memakai tudung.
“Bila shooting tengah panas, saya kena pakai baju berlapis yang menutup aurat. Tapi itulah ibadah kita, pakai tudung masa keluar rumah.
“Pakai tudung tutup aurat wajib, bagi saya tak ada pilihan untuk buka tudung bila dah popular ke apa,” tegas juara Gegar Vaganza musim ke-2 itu.
“Iman kita ni turun naik, jadi kita kena suburkannya sekurang-kurangnya dengar ceramah di Youtube selama satu jam setiap hari. Kita dahulukan Allah sebelum dahulukan orang lain,” akhiri Nana.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sempena sambutan Hari Polis ke-214 hari ini, Nona terpanggil untuk mengimbau kisah Fokus bersama DSP Noorhamasiren yang kini baru saja menggalas jawatan baru sebagai DSP Kolaborasi Agensi Bukan Kerajaan di Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Bukit Aman.
Sebagai salah seorang anggota PDRM, frontliner hebat ini telah banyak mencurahkan khidmat bakti, komitmen mahupun pengorbanan dalam memastikan kedaulatan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin. Apatah lagi dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lalu.
DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook sebelum ini menggalas jawatan Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita & Kanak-Kanak) di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.
Namun bermula Mac, beliau telah bertukar ke Bukit Aman dengan memegang portfolio yang lebih besar dan mencabar.
“Tugas saya kini lebih kepada pencegahan jenayah. Objektif Jabatan adalah untuk merangka strategi serta melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan,” ujar wanita kacukan Melayu Siam yang mesra disapa Puan Siren itu.
Temu bual Nona dengan Puan Siren yang viral dengan gelaran Akak Polis ini antara kenangan terindah kami tahun lepas! Jom tonton…
Perbualan kami tentang tugasannya sepanjang Ops COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu cukup meniupkan inspirasi, sekaligus membuat penulis tambah kagum dengan keberanian wirawati negara tersebut.
“Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, disebabkan situasi ancaman wabak COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan. Jadi PDRM berperanan sebagai agensi yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemik tersebut.
Objektif kami jelas untuk menyedarkan masyarakat bahaya COVID-19 dan memastikan PKP dipatuhi. Operasi pasukan saya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga orang APR, untuk memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang awam.
Pendekatan yang kami gunakan sebenarnya lebih kepada memberi nasihat secara berhemah kepada orang ramai yang berkumpul, supaya beredar dan mematuhi PKP yang dikuat kuasakan,” cerita Puan Siren panjang lebar.
KETEGASAN
Di sebalik perwatakan tegas beliau, Puan Siren sebenarnya seorang yang amat komited dalam tugas, berdisiplin tinggi dan berintegriti kerana mereka membawa nama pasukan PDRM.
“Wajah saya mungkin nampak garang tapi niat hanya mahu memberi teguran, nasihat dan jika perlu mengeluarkan kompaun serta tangkapan individu yang melanggar undang-undang.
Khususnya ketika Ops COVID-19, kami perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu yang mengingkari PKPB dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta ini.
Bagi menangani perkara ini, tindakan penguatkuasaan mengkompaun kesalahan terhadap mana-mana orang yang mengingkari PKPB akan diambil sebagaimana kuasa yang diberikan di bawah seksyen 22 akta yang sama.”
“Tidak dinafikan sebagai frontliners, kebimbangan terhadap penyakit sudah tentu ada kerana kami sentiasa keluar bertemu masyarakat. Begitu juga apabila menjalankan tugas, rasa bimbang terhadap keselamatan keluarga serta terhadap setiap orang yang ditahan kerana tidak mengetahui latar belakang mereka.
Cabaran lain adalah dari segi menguruskan keluarga kerana saya perlu meninggalkan suami dan anak-anak pada bulan Ramadan untuk menjalankan tugas. Pernah juga bersahur dan berbuka di tepi jalan masa tu.
Sebenarnya sebagai pegawai polis, saya berjumpa pelbagai karakter manusia. Mahu atau tidak, saya mesti melengkapkan diri dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi.
Setakat sakit-sakit ringan macam pening kepala, selesema atau batuk, itu perkara biasa. Ada kalanya bertemu orang susah sampai tersentuh hati dan perasaan, tapi demi tugas diteruskan juga,” luah Puan Siren.
Menyentuh secara ringkas latar belakang Puan Siren, wanita ini mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor Pelatih. Selepas tamat latihan, beliau diarahkan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kajang sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Seksual.
Kemudian beliau bertugas sebagai Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum berpindah ke Bukit Aman baru-baru ini.
“Bulan Oktober 2020 menandakan tahun ke-20 usia perkhidmatan saya. Alhamdulilah keluarga amat memahami tugas dan kerjaya ini. Sebenarnya penglibatan saya dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah, bukanlah satu perkara baru.
Tetapi operasi kali ini berbeza sebagai Pegawai Pemantauan dan Penguatkuasaan Ops COVID-19, yang mana kami berlawan dengan sejenis virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sememangnya menjadi ancaman kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Setiap kali keluar bertugas, perasaan bimbang dan takut sememangnya ada, kerana saya mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan kemungkinan kita menjadi ejen pembawa kuman tersebut kepada ahli keluarga sendiri.
Mujurlah keluarga memahami dan selalu menasihati saya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan seperti yang telah dinasihatkan oleh KKM.
Soal perlindungan diri menjadi keutamaan kami. Kami perlu memakai sut PPE, mask, sarung tangan dan mengamalkan penggunaan hand sanitizer yang sentiasa berada di poket saya.”
Kerjaya beruniform merupakan cita-cita Puan Siren sejak kecil. Ceritanya, sejak di bangku sekolah lagi beliau telah dilantik sebagai ketua darjah, dan di peringkat sekolah menengah dilantik sebagai ketua tingkatan dan pengawas, juga kerap menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis.
Daripada aktiviti kepimpinan yang dijalankan, minat beliau terhadap imej, ketrampilan, ketegasan dan disiplin anggota beruniform cukup menarik minatnya.
“Misi saya sekarang dalam Jabatan amat jelas iaitu ingin mencegah jenayah secara holistikke arah pengwujudan komuniti sejahtera. Kami sebagai agensi penguatkuasa utama yang berintegriti akan selalu kompeten dan komited bekerja untuk masyarakat,” akhiri Puan Siren sambil tersenyum.
Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami buat seluruh warga kerja PDRM. Terima kasih di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan selama ini. Polis dan masyarakat berpisah tiada!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!