Tahun ini mencipta sejarah baru dalam tradisi sambutan Hari Raya Malaysia. Buat kali pertama, rakyat tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri. Tiada lagi solat raya di masjid. Tiada juga adat salam bermaaf-maafan dan keraian rumah terbuka.
Yang jauh, kekal jauh. Demi keselamatan semua yang kita sayangi.
Jika begini, masih bermaknakah Hari Raya sebenarnya? Kenapa tidak. Kembalikan tenaga perayaan itu dengan naskhah Nona edisi Aidilfitri, eksklusif bulan Mei ini kami tampilkan aura glamoraya Anzalna Nasir dan Tya Arifin sebagai frontliners wajah depan.
Tidak ketinggalan, Nona mengungkap nostalgia Syawal bersama Puan Sri Normala Samsudin dan puterinya, Dr Ruhila Roslan sebagai pemanis back cover. Gandingan ibu dan anak yang masih mekar dengan julukan ‘Wanita Melayu Terakhir’, saling mengimbau kenangan Aidilfitri di kampung.
Menarik dalam Fokus, mengupas topik kematian yang dicemburui bersama aktres Farah Ahmad (balu pengarah filem Pitt Hanif), penyanyi Azian Mazwan Sapuan serta model Alya Iman dan Azalea (anak-anak arwah Ustaz Azmil Mustapha). Kisah kemanisan dalam kehilangan pasti mengundang juraian air mata.
Tidak ketinggalan, selak himpunan 50+ fesyen raya ilham pereka masyhur dan 50+ resipi tradisi kontemporari untuk hidangan lebaran. Semua ini dan banyak lagi pengisian gaya hidup, fesyen, kecantikan dan dekorasi sebagai persiapan Hari Raya norma baru.
BONUS
Setiap pembelian turut disertakan booklet Inspirasi Selebriti TOP Plush & Nona yang menampilkan enam artis popular iaitu Janna Nick, Zara Zya, Nabila Razali, Zara Zya, Anzalna Nasir dan Tya Arifin. Ketahui aspirasi kejayaan mereka dan rahsia pakaian selepas di-Plush oleh Nona!
Cara mendapatkan majalah Nona:
- Buat pemesanan secara online di Karangkraf Mall (klik sini).
- Whatsapp Karangkraf Mall di talian 019-2297227.
- Muat turun majalah secara virtual melalui aplikasi eMall Karangkraf di Google Playstore atau Apple Store.
- Kunjungi kedai serbaneka 7eleven di sekitar Lembah Klang untuk pembelian terus bermula 15 Mei 2020.
Kenangan Haji 2 Tahun Lalu, DATIN FOUZIAH GOUS Tinggalkan Anak Baru Dibedah Demi Ibadah!
Setiap kali menjelang Zulhijjah dan Aidiladha pasti memori mengerjakan ibadah haji tahun 2018 memberi kesan kepada selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous. Mana tidaknya, waktu itulah dia dan suami benar-benar diuji untuk memilih sama ada mahu terus berada di samping anak tersayang ataupun berserah kepada Allah Taala dan menunaikan haji. Biarpun suasana haji tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan Covid-19… namun ia bukan penghalang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa.
Mengimbas kembali kenangan sehari sebelum berangkat ke tanah suci, pasangan romantis ini diduga dengan keadaan kesihatan anak bongsu mereka iaitu Zaheen Yusuf. Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan Zaheen di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya mereka yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya. Malah, mereka tetap percaya ia adalah keputusan terbaik waktu itu.
Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa, Datin Hajah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan. Mengakui lebih selesa disapa Hajah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan usahawan berusia 37 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu.
Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada Ogos 2018, Datin Hajah Fouziah terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu, tapi anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Ikutkan esok dah nak pergi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan ibu dua anak ini tidak hanya terhenti di situ. Sebaik mengetahui pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Datin Hajah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui mereka suami isteri pada saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji. Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka.
Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina. Apa yang boleh saya katakan, bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar.
Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam.
Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, kami kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Datin Hajah Fouziah dan kumpulan jemaah ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 hari bulan Ogos.. ikutkan 17 hari bulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan
sukarnya to get my ‘Hajah’,” akhirinya.
Alhamdulillah, kini Zaheen sudah pun berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Zeeshan, empat tahun. Dari apa yang dikongsikan Datin Hajah Fouziah, jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.
Kandungan Masuk Sebulan, MADAMMU ‘ERIYCA BAIDURI’ Singkap Perjalanan IVF Penuh Liku “Journey Yang Penuh Emosi…”
Tanyalah pada mana-mana wanita, sudah pasti keinginan untuk hamil dan melahirkan zuriat sendiri pastinya ada selepas selamat diijabkabul bersama pasangan hati. Namun tidak semua wanita di luar sana dianugerakan rezeki terus ‘melekat’ dan melalui proses kelahiran yang diidamkan.
Bagi sesetengah wanita, pelbagai liku dan dugaan harus ditempuhi untuk hamil, dan akibatnya seorang wanita bisa rebah jika tidak betul-betul bersedia. Bahkan bukan dari fizikal saja, mental dan emosi juga perlu untuk melalui prosed pengesanan dan rawatan kesuburan. Namun mujurlah Madammu dikurniakan seorang suami, iaitu Muhammad Azri yang dilihat sentiasa berada di sisi pada setiap inci perjalanan IVFnya.
Bagi Madammu, selepas hampir 7 tahun mendirikan rumahtannga, sudah pasti keinginannya untuk hamil dan melahirkan sudah lama berbekas walaupun kehidupannya dikira ada sisi tuahnya dimana beliau dapat menumpang kasih pada ketiga anak tirinya. Sejak mengumumkan perjalanan IVFnya, ramai yang mengikuti perkembangan semasa dirinya apabila dia disarankan untuk menjalani rawatan prosedur In Vitro Fertilization atau IVF.
BACA JUGA: ERIYCA BAIDURI ‘Madammu’ Pencetus Revolusi Bangkit Wanita
Bagaimana perjalanan IVF Madammu? Ujar Editor Pengurusan NONA kepada Madammu. “IVF merupakan satu journey yang saya gelar I-berusaha, di mana ia melibatkan emosi dan kesihatan. Kalau ada rezeki ada, kalau tiada kita berusaha lagi. Alhamdulillah, saya dapat menguruskan semua dengan sokongan suami”.
Dan kini, selepas hampir beberapa tahun mencuba, baru-baru ini Madammu mengumumkan kehamilannya sudah memasuki 5 minggu. Tahniah Madamu. Akhirnya selepas usaha tidak putus, khabar gembira ini dikongsikan Madammu dan suami. Tahniah NONA ucaapkan, dan diharapkan Madammu dapat menjada kandungannya baik-baik.
Untuk pembaca NONA, saksikan temubual eksklusif kami bersama Madammu memintanya berkongsi jatuh bangun empayarnya, serta misinya dalam membesar dan melahirkan zuriatnya sendiri menerusi pautan di bawah.
Mukanya Herot Sebelah, Coretan Wanita Ini Tentang BELL’S PALSY Sentuh Perasaan Netizen!
Setiap orang diuji dengan dugaan yang berbeza. Terpulang kepada individu berkenaan untuk menerima situasi tersebut dengan cara baik atau sebaliknya. Namun ketahuilah, Allah SWT tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan kerana Dia tahu sejauhmana kekuatan insan tersebut menghadapi rintangan hidup ini.
Tertarik dengan coretan yang dikongsikan seorang wanita bernama Fiona di laman Facebook semalam, usahawan busana abaya di Kedah ini cukup positif sebaik menghidap Bell’s Palsy, satu penyakit yang menyebabkan seseorang lumpuh sebelah muka. Kesan daripada sakit itu, sebelah kanan mukanya menjadi herot.
Meskipun pada awalnya dia malu untuk berkongsi foto terbaru kepada umum, tetapi disebabkan penyakit ini berupaya menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, Fiona atau nama sebenarnya Adia Fiona Taib terpanggil untuk mendedahkan punca dan rawatan Bell’s Palsy.
Tulisnya, “Fiona anggap ini ujian dari Allah Taala. Fiona reda, tak perlu malu. Mungkin perkongsian ini dapat membantu orang lain yang senasib Fiona. Bila tengah sakit ni kita terdesak untuk sembuh dan ramai yang ambil kesempatan menjual ubat-ubat saraf dengan harga RM350 hingga RM500 kepada saya. Ada yang mesej hendak jual tilam penghilang stres yang boleh lega strok dengan harga RM1400 secara ansuran.”
PUNCA YANG MENYEBABKAN BELL’S PALSY
- Demam berpanjangan lebih dari seminggu
- Darah tinggi
- Stres
- Tak cukup rehat
- Banyak berfikir
- Kolestrol tinggi
- Sakit dalam perut
TEMPOH PENYEMBUHAN
Terang Fiona, menurut doktor ia akan mengambil masa 6 bulan hingga setahun untuk sembuh. Pun begitu, dia sempat memberi kata-kata semangat kepada mereka yang telah mengalami situasi ini selama setahun namun masih belum sembuh agar kuat mendepani penyakit ini.
Disebabkan punca yang diterangkan di atas, tiada had umur tertentu yang boleh terlepas daripada penyakit ini kerana kanak-kanak berusia 6 tahun juga pernah mengalaminya kerana obes.
CARA RAWATAN YANG DIAMALKAN FIONA
- Jika demam dan mengalami tekanan darah tinggi, turunkan panas badan dan darah tinggi secepat mungkin
- Ambil ubat di hospital untuk tempoh seminggu
- Terus berurut tradisional saraf secara kampung, jangan tunggu lama nanti saraf sudah keras susah hendak betul
- Perbanyakkan selawat, zikir dengan membuka mulut. Doktor akan suruh buat senaman mulut dengan menyebut (a,e,i,o,u)
- Simpan Allah dalam hati, Allah jaga kita sampai mati.
- Berkata pada diri, ‘kuat kuat kuat, Fiona sangat kuat’. Kekuatan dalaman lagi kuat dari kekuatan fizikal. Faham ini.
KESAN
1. Mata tak dapat pejam
2. Mulut herot
3. Sukar bercakap, makan dan minum
4. Penglihatan Fiona dah kabur
5. Pendengaran kurang
6. Saraf tak dapat lagi merasa deria.
“Sesungguhnya Fiona tak pernah kesali dengan apa yang terjadi. Tidak sedih walaupun sedikit. Suami banyak bagi sokongan, Fiona jadi semakin kuat. Cuma bila doktor cakap dia tak dapat buat apa-apa Fiona mungkin akan begini dalam tempoh setahun, baru menitis sedikit air mata. Tapi Fiona berazam pada diri sendiri ‘Aku kena kuat, aku kena sembuh cepat’.
Alhamdulillah sekarang tak sampai 2 minggu Fiona dah 60% sembuh. Ini semua kuasa Allah Taala. Mata pun dah dapat pejam, mulut dah tak herot sangat cuma minum air masih meleleh. Dan juga pergi berubat pada tempat yang betul. Jangan pandang rendah dengan demam, jika demam lebih dari seminggu sila rujuk ke hospital. Dikhuatiri darah anda akan dijangkiti bakteria. Ini akan memudahkan lagi untuk mendapat strok.”
Semoga Fiona terus tabah menghadapi ujian ini dan sembuh seperti sedia kala. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah.
Apa itu Bell’s Palsy?
Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh inflamasi pada urat muka. Inflamasi ini meningkat di sekitar saraf muka yang melalui tengkorak dari otak. Inflamasi ini juga boleh menekan urat saraf. Sebahagian atau sepenuhnya urat saraf akan berhenti berfungsi sehingga inflamasi berkurangan. Otot muka tidak akan berfungsi sekiranya tidak disaraf oleh urat muka.
Ia berlaku secara tiba-tiba, biasanya di sebelah muka. Ia paling biasa berlaku di antara umur 10 dan 40 tahun. Faktor penyebabnya masih kurang jelas. Walau bagaimana pun kebanyakan kes adalah mungkin disebabkan oleh jangkitan virus. Majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2 hingga 3 bulan. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan Bell’s Palsy dan kesannya kepada kedua-dua lelaki dan wanita adalah sama.
(Sumber: www.myhealth.gov.my)