Suka tengok cara Yana Samsudin didik dan luangkan masa bersama anak lelakinya, Aisy Mateen. Tiap hari ada je telatah comel Mateen yang dikongsikan Yana. Walau pun selebriti ini sibuk berkejar masa untuk mengacarakan program Bismillah Ad Duha dan CJ WOW Shop, tapi masih mengutamakan masa berkualiti di samping keluarga. Itu belum lagi kira perniagaan yang diusahakan termasuk Ayana Hijab dan Yana Super Cookies. Pelik juga, manalah Yana dapat banyak tenaga dan masa untuk yang tersayang. Kalau tak bijak menguruskan masa, boleh kucar-kacir hidup jadinya.
Sering tampil dengan celoteh manja dan lucu, isteri kepada Fadzil Zahari ini memang layak mendapat gelaran Superwoman. Iyalah, bukan senang hendak membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga. Namun Yana berjaya membuatkan perkara tersebut jadi mudah dan tempuhinya dengan cemerlang. Selain gemar berkongsi aktiviti memasak di dapur, salah satu rutin yang menarik perhatian ramai tentunya bila dia bersama Aisy Mateen yang kini berusia hampir dua tahun.
Tidak kira ketika memasak, makan, bermain atau membeli-belah, ada saja yang mahu dilakukan bersama Mateen. Terbaru, Yana memuatnaik video tentang bagaimana dia melatih Mateen bercakap dan menguatkan memori permata hatinya itu. Kongsi Yana, “Menurut kajian, kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah masih belum kenal dirinya sendiri. Jika dia tengok dirinya kat cermin atau gambar dia tak tahu pun itu diri dia. Bermain untuk menguatkan memori pun best. Dia ingat apa yang dia nampak, rupa ayah dia, mak dia.
Aisy Mateen berusia 1 tahun 7 bulan. Yana tengah melatih anak bercakap dengan memperkenalkan sebutan dan gelaran kepadanya. Seperti nama-nama ibu bapa dan sedara-mara atau benda. Kanak-kanak bawah 2 tahun juga hanya ingat rupa keseluruhan. Jika dia kenal mak dia bentuk bertudung maka semua perempuan yang pakai tudung pun dia ingat mak dia kecuali dia belek dan perasan perubahan lain yang ketara seperti warna kulit, suara, tanda seperti tahi lalat.”
Ads
Untunglah Fadzil sebab dikurniakan isteri sebaik Yana. Pandai berdikari, mengasuh anak dan menjaga keluarga. Memang patut pun dia dijadikan sumber inspirasi kepada ibu bekerjaya lain. Jangan pula ada yang kata Yana hidup senang sebab tumpang kekayaan suami. Hakikatnya, mereka suami isteri sama-sama berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dengan menjadi pengacara selain sibuk mengusahakan perniagaan. Itulah yang sepatutnya dipraktikkan dalam sesebuah perkahwinan. Atau lebih tepat lagi perlu ada KERJASAMA!
Perasaan sayu seorang bapa jelas tergambar melalui posting Azhar Sulaiman di laman Facebook miliknya apabila terpaksa berpisah dengan orang tersayang.
Berjauhan dengan keluarga sememangnya detik sukar digambarkan melalui kata-kata apatah lagi terpaksa melepaskan anak-anak tersayang ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.
Ya, momen berpisah dengan anak yang sedang menuju ke alam dewasa untuk mengejar cita-cita sememangnya menerbitkan rasa gusar dan pelbagai perasaan lain di kalangan ibu bapa.
Nampaknya itulah kenyataan yang harus dihadapi oleh Azhar Sulaiman dan keluarga apabila anak keduanya yang merupakan pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona berangkat ke United KIngdom (UK) untuk menyambung pengajian untuk tempoh selama tiga tahun.
Azhar Sulaiman yang juga merupakan menantu kepada Bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab memuat naik sebuah video keberadaan mereka sekeluarga di lapangan terbang menghantar pasangan kembar ini menaiki pesawat ke UK.
Sebagai seorang bapa, Azhar sempat menitipkan pesanan kepada pasangan kembar ini agar belajar bersungguh-sungguh dan tidak mengabaikan solat lima waktu.
Menurut aktor yang mencecah usia 51 tahun itu, Andika bakal melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang manakala Leona pula memilih jurusan Pengurusan.
“Mami (panggilan Azhar) tak rasa sedih sangat mungkin sebab mereka dari kecil dah biasa mengembara ke seluruh dunia menyertai acara Jamboree Pengakap atau Girl Guide Dunia.
Tiga tahun tak lama dan cukup masa untuk Leona balik dengan imej baru..UK kan sejuk..Ha..ha..ha”-tulisnya
Untuk rekod, Andika Rees Pahamin Rees pernah menjadi wakil Malaysia untuk pasukan hoki ais negara yang bertanding di Kyrgyzstan. Pasangan kembar ini meperolehi keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 7A pada tahun 2019.
Sekadar info, Azhar berkahwin dengan isterinya, Chempaka Emalin Pahamin pada 1995. Pelakon yang memperolehi pendidikan dari Universiti Newcastle Upon Tyne, Newcastle, United Kingdom ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah menjadi adat saat mendaki tangga kejayaan, pasti akan ada onak dan ranjau yang perlu ditempoh. Kemanisan sesebuah kemenangan bukan hal yang mudah untuk diperoleh. Seperti wanita anggun yang penulis temubual ini, memulakan kerjaya di awan biru sebagai seorang pramugari selama lima tahun, kemudian mengambil risiko berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang travel & tour.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Datuk Hajah Rozzana Rahmat dan kini beliau mahu berbakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan Ihsan Rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2013.
“Dalam dunia perniagaan kita harus mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Jangan pernah menipu dalam perniagaan kerana kalau kita berjaya disebabkan sikap menipu nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila memulakan perniagaan apa yang paling penting kita perlu percaya dengan produk yang dihasilkan. Namun begitu langit tidak selalu cerah, andai kata produk yang kita tawarkan tidak laku ataupun mendapat sambutan hambar itu bukan bererti kita boleh mengalah.
Sebaliknya kaji apa kesilapan yang berlaku, ini merupakan satu keberanian yang akan menerbitkan kejayaan. Kesungguhan yang mendalam akan memberikan kejayaan. Seperti yang saya lakukan, semuanya tidak mudah. Bermacam-macam halangan yang perlu ditempuhi, ia bukan dibina dalam masa sehari tetapi bertahun lamanya. Apabila kita berjaya dengan cara yang betul, pasti Allah SWT akan meredai apa yang diperjuangkan, Insya Alla,” katanya.
Dalam suasana kita masih diselubungi keadaan PKPP dan COVID-19, bagaimana dengan keadaan perniagaan Datuk Rozzana dalam industri pelancongan. “Alhamdulillah Kerajaan telah membenarkan rakyat Malaysia untuk meneruskan percutian domestik, Cuti-cuti Malaysia.
Kami telah kembali melaksanakan operasi perniagaan dengan membuat perancangan untuk fokus pada small group domestic tourism. Selain daripada bercuti, kita akan terapkan dengan aktiviti pengisian jiwa dengan seminar dan program motivasi diri. Kita ingin bangkitkan kembali semangat dan kekuatan setiap individu dalam mengharungi keadaan yang berlaku sekarang,” jelas Datuk Rozzana.
Sudah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan dan bermacam-macam ragam orang telah personaliti anggun ini bersemuka. Semestinya setiap satu rencah kehidupan telah dikutip menjadikan beliau kuat dan positif seperti apa yang ditonjolkan menerusi personalitinya.
“Sepanjang terlibat di dalam dunia perniagaan saya banyak belajar tentang hubungan sesama manusia. Bagi saya orang zaman sekarang banyak mengambil mudah soal masa. Mereka seolah-olah tidak menghargai apa yang mereka miliki. Kalau nak tahu salah satu formula kejayaan dalam kehidupan adalah dengan menjaga hubungan kita bersama suami atau isteri, ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan juga anak-anak.
Cuba kita luahkan perasaan sayang dan juga rindu kepada mereka. Jangan hanya sekali setahun baru hendak pulang ke kampung serta tidak bertegur sapa dengan jiran. Kita jaga keharmonian ini agar nilai postifnya meresap ke dalam minda. Barulah kita berasa gembira untuk menempuhi hari-hari yang mencabar,” ujarnya.
Di sebalik kesibukan menguruskan pelbagai jenis perniagaan, satu perkara yang dekat dihati wanita berusia 50-an ini adalah amal kebajikan. Demi mengimbangi antara dunia dan akhirat, beliau mengambil keputusan untuk membangunkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Ihsan Rakyat pada tahun 2013.
Berbicara soal yayasan ini, “Tujuan saya menubuhkan yayasan ini adalah bagi memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc. Ia lain dari yayasan yang memberikan pertolongan berterusan. Saya lebih menumpukan kepada membantu golongan miskin yang tidak mampu menguruskan pengebumian, mereka yang terlibat dengan bencana alam secara tiba ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera dari segi kewangan mahupun perubatan.
Jadi tidaklah perlu mereka memohon dan perlu melaluai tapisan panjang baru mendapat pertolongan, Insya Allah yayasan yang saya bina ini akan membantu. Setiap kes akan kami saring sesegera mungkin dan sebaiknya agar mereka yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kesejahteraan kehidupan.
Sepanjang PKP kita memberi bantuan kepada mereka yang kita kenal pasti memerlukan bantuan. Disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta team infaq yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf. Antara negeri yang telah menerima bantuan seperti di Kedah, Kelantan, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan.
Kita juga telah berhubung dengan fronliner di Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Mereka terdiri daripada pelajar Madrasah Pondok Temboro, Jawa Timur yang pulang ke Malaysia melalui Misi Kemanusiaan. Kesemua mereka berada di wad 31, 43 dan 38.
Sepanjang di sana, setiap hari kita memberi makanan. Bukan mereka tidak ada makanan, tetapi makanan tambahan. Saya juga membuat LIVE melalui sosial media setiap malam untuk memberi awareness kepada semua. Saya juga membantu mereka menyediakan kenderaan untuk pulang setelah semuanya sembuh, alhamdulillah.
Saya juga menghubungi Ashraf Muslim yang turut berada di sana sebagai pesakit Covid ketika itu, bertanyakan apa yang mereka perlukan di wad. Dan mereka memerlukan Al-Quran terjemahan. Kita sediakan naskhah yang baru untuk setiap orang di wad tersebut bersama sejadah, kebetulan di rumah saya selalu buat majlis takzirah dan majlis ilmu memang ada standby sejadah.
Saya turut berikan kepada mereka, termasuk air zam-zam dan suplemen. Kami juga memberi makanan tambahan buat wira kita yang bertugas sebagai fronliner di sana,” menitis air mata Datuk Rozanna kala berceita tentang pengalaman itu.
Apakah insiden yang paling terkesan di hati Datuk sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan? “Banyak sebenarnya peristiwa yang terkesan di hati saya dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan. Namun ada satu kes ini yang begitu menyayat hati, mungkin disebabkan faktor saya sebagai seorang ibu. Yayasan kami ada membantu tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu dan bapa dari dipisahkan antara satu sama lain.
Kalau diserahkan kepada kebajikan masyarakat mereka mungkin akan ditempatkan kepada keluarga angkat yang berbeza-beza. Mana mungkin saya tegar melihat kasih tulus mereka dipisahkan. Jadi yayasan ini mengambil keputusan untuk menyalurkan sumber kewangan kepada nenek mereka sebagai bekal untuk menampung kehidupan mereka anak beranak. Jadi tidak pelu dipisahkan adik-beradik tersebut,” ujar Datuk Rozzana.
Apakah filosofi kehidupan yang Datuk amalkan? Jawab beliau, “Reda! Ini satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya. Jika rezeki untuk mendapatkan sesuatu tidak menjadi, maknanya ia bukan ditakdirkan menjadi milik kita. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang Mulia Raja Petrina Suziana Raja Putera Shah, seorang wanita berketurunan diraja yang penuh dengan kesantunan dan budi pekerti tinggi. Dilahirkan pada 3 Disember 1984 di Kuala Lumpur, anak sulung kepada empat adik-beradik ini mudah didekati dek kerana sikap ramah dan kelembutan yang dimiliki tatkala berbicara.
Menyingkap susur galur keluarga dirajanya, Raja Petrina berkata kedua-dua ibu bapa beliau berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Ayahandanya, Yang Mulia Dr Raja Putra Shah Raja Haji Shahar Shah ialah kerabat raja Perak iaitu cicit kepada Sultan Idris pertama. Manakala bonda, Yang Mulia Tengku Soraya Yusof Tengku Mohammad Yusof Shah merupakan Tengku Aris Temenggong Selangor yang berketurunan kerabat raja Selangor.
“Bonda saya juga adalah cucu kepada Sultan Sir Alaedin Suleiman Shah iaitu Sultan Selangor Ke-5. Sementara nenda pula berpangkat ‘Nyang’ kepada Sultan Selangor sekarang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah. Ringkasnya, bonda saya adalah bonda saudara kepada Sultan Selangor.”
PERGAULAN
Meskipun berdarah bangsawan namun ia sedikit pun tidak menjejaskan batas pergaulan Raja Petrina dengan orang sekeliling. Semuanya sebab mereka empat beradik sudah dididik supaya tidak membezakan agama, status dan warna kulit untuk berkawan. Termasuk juga ketika beliau ambil keputusan untuk bernikah dengan orang kebanyakan. Perkahwinan Raja Petrina dan pilihannya, Mohamad Hazril Mohamad Hadzim mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
“Kami mula bertemu pada tahun 2000. Iya, suami saya orang kebanyakan tetapi keluarga tak pernah menentang niat kami untuk berkahwin. Cuma arwah nenda pernah berpesan kalau boleh cari kerabat diraja juga supaya dapat sambung keturunan kami. Mujur, bonda dan ayahanda saya tak memilih dan sanggup terima sesiapa pun asalkan mampu menjaga saya dengan baik. Alhamdulillah, kami bahagia dan berharap agar kebahagiaan ini berpanjangan hingga ke akhir hayat,” telus Raja Petrina yang terpikat dengan sifat penyayang suami.
Hasil perkongsian hidup selama lebih tujuh tahun, pasangan romantis ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki berumur lima dan tiga tahun iaitu Putera Mohamad Hayden dan Putera Mohamad Harriez. Memandangkan kehidupannya kini lebih tertumpu pada urusan keluarga dan anak-anak, Raja Petrina tekad mengisi masa terluang dan menjana pendapatan dengan berjinak-jinak dalam perniagaan aksesori wanita miliknya, Petrina Putra yang diusahakan sejak penghujung tahun 2016.
PERNIAGAAN
“Menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama usahakan perniagaan sendiri memang perlukan banyak pengorbanan. Buat masa sekarang, saya berniaga aksesori ‘statement necklace’ ini dulu secara online. Sambutan terhadap aksesori Petrina Putra setakat ini sangat memberangsangkan. Idea untuk buat bisnes ini sebenarnya tercetus kerana minat saya terhadap dunia fesyen.
Bagi saya, penglibatan dalam perniagaan bukan saja kena kuat mental dan fizikal malah kena ada minat serta kesungguhan tinggi. Saya bersyukur sebab perniagaan ini ada masa yang fleksibel. Selain dapat wang, saya juga ada masa untuk pantau anak-anak.
Ada ketika memang terlalu sibuk melayan permintaan daripada pelanggan tapi keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak dan keluarga. Saya mahu setiap masa yang saya luangkan untuk mereka berkualiti atau dalam erti kata lain, tak juga menjejaskan periuk nasi saya sendiri. Kiranya, dua-dua perlu seimbang.”
PETUA KECANTIKAN
Melihat susuk tubuh Raja Petrina pasti ramai yang tidak menyangka kerabat diraja ini merupakan ibu kepada dua orang anak. Mengakui mudah turun berat badan kerana sibuk menjaga kedua-dua putera kesayangan, salah satu cara beliau untuk memastikan kesihatan tubuh kekal langsing dan bertenaga adalah dengan minum air kosong secukupnya.
Selain mengawal pemakanan, Raja Petrina juga seorang wanita Melayu yang begitu menitikberatkan soal kesihatan sewaktu berpantang. “Bonda akan memastikan saya mengikut segala pantang-larang terutamanya selepas bersalin. Dari melahirkan anak pertama lagi, bonda ajar saya amalkan petua berpantang ‘Pah Laili’. ‘Pah’ ini sebenarnya panggilan ibu angkat bonda saya dari kecil dan antara dayang istana yang teliti bab pantang-larang dan adat istiadat di istana.
Kalau penjagaan harian pula biasanya saya selesa buat di rumah saja. Jarang ke salun pun. Cuma pakai masker sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu. Untuk kesihatan badan, saya akan pastikan setiap hidangan yang saya ambil perlu ada buah dan sayur.
Tak lupa juga rutin senaman selama 30 minit dalam empat hingga lima kali seminggu. Itu pun saya buat di rumah saja sebab senang hendak jaga anak-anak,” terang wanita berkulit cerah berusia 34 tahun ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertambah lagi ahli keluarga Dato’ Seri Azmin Ali! 7 Julai lalu pastinya menjadi detik bahagia buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang ini apabila menerima kehadiran seorang lagi cucu. Ini selepas anak perempuan Dato’ Seri Azmin iaitu Farah Amira selamat melahirkan cahaya mata sulung.