Krisdayanti sememangnya nama besar dalam industri seni Indonesia dan terkenal di Malaysia. Tidak sekadar dikurniakan kelunakan suara dan rupa paras jelita, Krisdayanti juga mencipta pencapaian kerjaya tersendiri apabila dia kini bergelar ahli politik Indonesia.
Walau sibuk membela nasib masyarakat dan memartabatkan kaum wanita di sana namun minat Krisdayanti terhadap nyanyian masih menebal. Apatah lagi, dia mula bergelar anak seni sejak 30 tahun yang lalu. Bukan tempoh singkat tu!
Meniti usia 46 tahun, aura dan pesona isteri usahawan Raul Lemos ini tetap menyerlah. Apa sahaja perkembangan terkini Krisdayanti pasti ditunggu-tunggu peminat. Bahagia menjalani hidup berumah tangga di samping suami tercinta dan anak-anak yang kian meningkat dewasa di samping kerjaya yang sentiasa berada di puncak, membuatkan ‘kegembiraan’ itu terserlah menerusi raut wajah Krisdayanti.
Tidak dinafikan dalam usia lewat 40an dia kekal anggun, langsing dan sihat seperti anak dara. Semuanya bersandarkan gaya hidup sihat yang menjadi amalan Krisdayanti. Rajin bersenam meskipun hanya di rumah, baru-baru ini pelantun lagu Makin Aku Cinta tersebut memuat naik rakaman video memaparkan dirinya sedang fokus mempelajari seni mempertahankan diri, Wushu.
Bagaikan tak percaya melihat gerak-geri pantas dan tepat Krisdayanti dalam menyempurnakan seni Wushu. Difahamkan Wushu Taolu yang dipelajari itu memfokuskan kepada Jurus Kipas. “Wushu Taolu yang dipelajari oleh Krisdayanti merupakan salah satu ilmu fokus wushu moden. Bentuk Taolu terdiri dari gerakan dasar (sikap, tendangan, pukulan, keseimbangan, lompatan, sapuan, dan lemparan) berdasarkan kategori gaya seni bela diri tradisional Tiongkok.”
View this post on Instagram
Pada April lalu, Krisdayanti meraih pencapaian baharu apabila HighEnd Magazine Indonesia memilih figura ini sebagai salah seorang daripada 21 penerima Indonesia Beautiful Woman Award 2020/2021. Bukan calang-calang wanita menerima pengiktirafan sedemikian. Antara yang tersenari ialah pelakon Amanda Manopo, Miss Indonesia 2020/2021 Pricilia Carla, Pegawai Perubatan Jakarta’s Covid-19 Red Zone, Dr Debryna Dewi dan penyanyi muda Indonesia, Lyodra Ginting.
Terharu atas pengiktirafan berkenaan, Krisdayanti menerusi media sosial miliknya menzahirkan rasa syukur. “Terima kasih atas penghargaan ini Ya Allah. Diberikan keindahan pagi hari di bulan Ramadan. Alhamdulillah. Indonesia Beautiful Woman Award adalah semangat merangkul semua wanita untuk mahu terus menyertai pembangunan segala bidang.
Indonesia Beautiful Woman Award 2021 bukan sekadar tentang perempuan cantik. Namun wanita yang mahu memiliki kesedaran untuk melakukan transformasi kesetaraan darjat antara wanita dan lelaki seluas-luasnya dalam meningkatkan ilmu dan dapat bermanfaat bersama-sama.”
Krisdayanti kini bergelar ahli politik selepas dia melibatkan diri dalam pentas politik Indonesia secara serius pada tahun 2019. Mewakili parti DPR RQ dari PDIP, pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan Krisdayanti termasuklah pembinaan Workshop Balai Latihan Kerja (BLK) Kejuruan Informatika yang menjadi tempat untuk memperkasakan wanita dalam perusahaan di Kabupaten Malang, Indonesia.
Kredit foto: Instagram Krisdayati