TAHNIAH buat pemain badminton beregu wanita negara, M.Thinaah dan Pearly Tan yang berjaya menamatkan penantian Malaysia untuk bergelar juara Terbuka Perancis selepas menumbangkan pasangan berpengalaman dari Jepun, Mayu Matsumoto – Wakana Nagahara.
Pearly dan Thinaah berjaya memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-19 18-21 21-15, sekaligus kejuaraan kedua mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas memenangi Terbuka Switzerland tahun lalu, sekaligus menamatkan kemarau penantian selama 114 tahun untuk terbuka Perancis.
Sejak Kejohanan Terbuka Perancis ini diwujudkan pada 1908, belum pernah ada gandingan Malaysia menjadi juara, kecuali ketika edisi 1962 apabila lagenda badminton negara, Gan Aik Bee pernah melakar sejarah menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai kejohanan ini, bagaimanapun pasangannya ketika itu merupakan pemain Denmark, Bent Nielsen. (Sumber: UTUSAN)
Oleh itu, jom kenali lebih dekat siapa Pearly Tan dan M.Thinaah yang wajar anda tahu.
M.Thinaah
Ads
1. M.Thinaah atau Thinaah Muralitharan, 24, dilahirkan pada 3 Januari 1998.
2. Beliau mula memasuki pasukan badminton kebangsaan pada tahun 2013.
3. Thinaah merupakan anak kedua kepada pasangan S. Muralitharan, seorang jurutera dan Dr. Parimala Devi, doktor perubatan.
4. Adik perempuan bongsu Thinaah, Selinaah Muralitharan, juga merupakan bekas pemain badminton negeri Selangor.
5. Pernah meraih kejuaraan pada Badminton Terbuka Switzerland 2021 ketika bergandingan dengan Pearly Tan.
Ads
Pearly Tan
1. Pearly Tan Koong Le dilahirkan pada 14 Mac 2000 di negeri Kedah Darul Aman.
2. Merupakan anak kepada jurulatih, Tan Seng Hoe. Bapanya mengendalikan Kelab Raket Alor Setar (ASRC), yang merupakan kelab pemain kebangsaan Lee Zii Jia dan Jacky Kok.
3. Tan mula menyertai pasukan badminton kebangsaan pada tahun 2013.
4. Wanita ini merupakan pemenang pingat perak beregu wanita di Kejohanan Junior Asia dan Dunia 2018.
5. Mempunyai ketinggian 1.64 meter, Tan mahir menggunakan tangan kanan.
Sumber: SINAR PLUS
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyampaian dakwah melalui platform teknologi, terbukti menjadi magnet yang mampu menarik generasi masa kini agar lebih cintakan Islam. Inilah usaha wanita hebat yang bukan sahaja bergelar pendakwah dan penceramah bebas tetapi usahawan Muslimah yang disegani, Ustazah Asma’ Harun.
Ustazah Asma tiba ke lobi Concorde Hotel Shah Alam bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya. Wajah penerima Nona Motivator Award 2022 ini terlihat begitu bersih dan menenangkan, terasa betapa indah pertemuan ini diserikan dengan silaturrahim sambil kami berbalas khabar dan bertukar salam.
Meneliti senarai portfolio dan pengalaman kerjaya Ustazah Asma’ Harun pada usia 39 tahun, sesungguhnya cukup mengagumkan.
Anak jati Terengganu itu menetap di Seremban, dikurniakan 7 orang cahaya mata serta memiliki kelulusan Sarjana Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam kesibukan berdakwah, Ustazah Asma’ sebenarnya banyak menulis buku. Antara karyanya adalah Sahabat Dunia Akhirat, Kembara Menuju Allah, Ada Syurga Di Rumahmu, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa dan Ensiklopedia Keluarga Bahagia.
Bakat mendidik itu barangkali diwarisi daripada ibu tercinta, Puan Fikriah Awang yang merupakan seorang guru fizik.
Tidak cukup dengan menulis, siapa sangka Ustazah Asma’ turut meneruskan minat bapanya, Ustaz Harun Ismail dalam bidang dakwah dan perniagaan.
Bahkan cucu kepada murabbi Ustaz Haji Awang Abu Bakar dan cicit Tok Guru Haji Abbas yang cukup disegani di Pantai Timur itu turut bergelar usahawan dengan menerajui pelbagai cabang perniagaan Muslim.
“Saya pernah digelar ‘Ustazah Ayam’ kerana pernah meniaga ayam masa awal berceramah dahulu. Setiap minggu suami akan berulang-alik ke Kedah untuk ambil stok ayam dan setiap kali ceramah, kami akan bawa ayam frozen untuk dijual.
Hanya suami dan keluarga sahaja yang tahu betapa mencabarnya keadaan kami waktu itu.
Niatnya adalah untuk membekalkan makanan yang diyakini halal kepada orang ramai, kebetulan ketika itu sedang hangat dengan isu haiwan yang disembelih tidak mengikut syariat.
Dari situ, alhamdulillah saya mula meningkat sedikit demi sedikit hingga kami berjaya tubuhkan sebuah NGO iaitu Sahabat Amal Care (SAC).” Ustazah Asma Harun
KERJAYA
Sebelum meninggalkan jawatan tetap dalam kerajaan pada Ogos 2017, Ustazah Asma’ pernah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAKIM, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAINS (Perunding Cara Rumah Tangga) dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Dengan tekad dan nawaitu untuk terus memberi manfaat kepada ummah, Ustazah Asma’ kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hijrah Berhad, Pengasas Yayasan Al-Hijrah, Pengarah Urusan dan peneraju di syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Hijrah Berhad serta Penaung NGO Sahabat Amal Care di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS pada tahun 2017, pada waktu itu saya telah pun mula terlibat dengan ceramah secara kecil-kecilan seperti usrah dan tazkirah di surau.
Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus pada dunia dakwah dan ceramah. Keputusan tersebut mendapat sokongan suami dan keluarga.
Namun, ujian dakwah tidak ringan dan memerlukan sokongan yang kuat daripada orang terdekat. Saya lalui ujian demi ujian, sehingga pernah mengalami masalah kewangan yang teruk dan ayah saya meninggal dunia sewaktu saya menyampaikan ceramah.” Ustazah Asma Harun
Baca artikel perjuangan dakwah bersama penerima Nona Motivator Award, Ustazah Asma’ Harun ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Lokasi: Concorde Hotel Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangga dengan kejayaan wanita muda kelahiran Syria ini! Genap usia 23 tahun pada 7 April lalu, Maya Ghazal ialah lambang wanita Islam yang bijak dan bercita-cita tinggi. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, kredibiliti Maya juga meraih perhatian pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang melantik wanita ini sebagai UNHCR Goodwill Ambassador. Bukan calang-calang!
Memetik kenyataan UNHCR, Maya berhijrah dari Damascus, Syria dan memulakan kehidupan baru di United Kingdom ketika berusia 16 tahun pada 2015. Sejak itu, dia berusaha mempelajari Bahasa Inggeris dan berjaya menamatkan persekolahan. Seterusnya memperoleh ijazah dalam kejuruteraan penerbangan dan pengajian juruterbang.
Menariknya tahun lepas, Maya melakar sejarah menjadi wanita pelarian Syria pertama yang berjaya bergelar juruterbang sewaktu berumur 21 tahun. Malah, dia komited menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk membela nasib pelarian sepertinya hingga sekarang.
Maya sebelum ini menerusi media sosial miliknya turut mendedahkan dia seorang yang sangat mementingkan pelajaran. “Sepanjang 15 tahun berada di Syria, pendidikan ialah satu kewajipan dan sangat penting. Walau negara sedang bergolak, hanya beberapa hari saja saya tak hadir ke sekolah biarpun sedar betapa ‘bahayanya’ untuk pergi ke sekolah.
Saya tak pernah terfikir penghijrahan ke UK membuatkan saya ketinggalan dalam pendidikan kerana pernah ditolak untuk mengikuti persekolahan disebabkan kerakyatan meskipun cemerlang dalam akademik.
Bagaimana pun, saya berjaya meyakinkan guru-guru dan mendapat tempat di dalam kelas kerana bijak dalam pelajaran. Sejak itu, saya kembali mendapat keyakinan diri semula dan menyedari keupayaan diri di samping percaya saya mampu meraih apa yang saya impikan.
Pendidikan ialah satu ‘alat’ yang saya percaya boleh mengubah dunia! Tanpa pendidikan, saya tak mungkin dapat menjadi juruterbang atau jurutera.”
Ujar Maya lagi, dia berterima kasih kepada agensi United Nations yang memberi ruang untuk ‘bersinar’ di pentas dunia. “Ramai pelarian muda yang berjuang mendapatkan pendidikan tapi UN refugees agency saban hari membantu mereka mendapatkan peluang tersebut.
Dengan memberikan peluang pendidikan dan galakan kepada remaja perempuan sepertinya, ia sekaligus memberi sinar harapan buat mereka untuk menggapai impian.”
Baru-baru ini Maya berpeluang bertemu bintang terkemuka filem Top Gun, Tom Cruise dan berbicara mengenai kepelbagaian dalam dunia penerbangan ketika dia dijemput menjadi tetamu Silverstone by Toto Wolff. Toto Wolff ialah billionaire kelahiran Austria yang juga eksekutif dunia permotoran, pelabur dan bekas pelumba.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Muabellaz menerima Anugerah Tokoh Belia dalam Program Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan kosmetik dan ikon belia yang berjaya membina empayar perniagaan dari Kedah.