EMINE ERDOGAN

Apabila tengok penampilan Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan ini terus terbayangkan pesona Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Mana tidaknya, kedua-dua wanita hebat ini berkongsi penampilan yang hampir sama dan disenangi ramai.

Apatah lagi Tunku Azizah dan Emine Erdogan pernah bertemu sekitar tahun 2019 ketika Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

IKLAN

 

Lahir pada 16 Februari 1955 di Istanbul, isteri Recep Tayyip Erdogan ini bukan hanya dikagumi rakyatnya kerana sifat ramah dan penyayang bahkan Emine juga aktif menceburi bidang sosial, kebajikan dan politik. Penglibatan wanita berusia 66 tahun ini dalam dunia kebajikan sudah mula berputik sebelum beliau menyandang jawatan Wanita Pertama Turki lagi.

Namun, kegiatan Emine dalam bidang berkenaan semakin rancak selepas berkahwin dengan Presiden Turki berkenaan pada 4 Julai 1978.

Hasil perkahwinan selama 43 tahun tersebut, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung mereka Ahmet Burak Erdogan berusia 42 tahun, diikuti Necmettin Bilal Erdogan, 40 tahun, Esra Erdogan, 38 tahun dan anak bongsu perempuan yang pernah berkhidmat sebagai ketua penasihat presiden yang juga bapanya pada tahun 2013 iaitu Sumeyye Erdogan berumur 36 tahun.

Difahamkan sehingga kini, pasangan pemimpin tertinggi Turki tersebut sudah pun mempunyai lapan orang cucu.

Ibu penyayang ini juga seorang yang gemar memasak. Sempena ketibaan Awal Muharam lalu, Emine sempat berkongsi juadah masakan bubur Asyura di laman Instagram beliau. Jelasnya, penyediaan sajian ini ialah simbol kasih sayang, perpaduan dan toleransi.

Kongsi beliau, “Bubur Asyura yang saya kongsikan ini ialah resipi tradisi yang diketahui umum dan telah disediakan masyarakat Islam sejak bertahun lamanya. Sajian ini tidak menggunakan ramuan gula seperti kebanyakan sajian Turki lain. Sebaliknya rasa manis tersebut diambil daripada buah-buahan kering dan sedikit ramuan sirap anggur. Moga hidangan sihat dan menyelerakan ini memberi keriangan buat anda sekeluarga.”

Emine ketika menyediakan bubur asyura

IKLAN

Berdasarkan minat mendalam terhadap dunia masakan, Emine pada September tahun lalu mendedahkan beliau dalam proses menerbitkan sebuah buku gastronomi yang mengetengahkan kemewahan sajian Turki. Untuk menjayakan usaha itu, beliau telah mengadakan perbincangan bersama pakar akademik dan individu penting dalam sektor terlibat. Buku ini bakal dihasilkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Turki.

Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang muslimah yang hebat. Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat.
Malah, beliau dilihat gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup. Aura Emine mampu membuatkan kaum wanita menoleh ke arahnya beberapa kali.

Ketika kunjungan Emine dan suaminya ke Malaysia, beliau kelihatan selesa dan ramah bertemu Raja Permaisuri Agong, isteri Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri. Pakaian yang digayakan juga sederhana dalam segala segi.

Emine Erdogan
Bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
Di samping Ratu Rania
Aamir Khan bertemu Emine

Antara isteri pemimpin dunia yang pernah menerima kunjungan Emine ialah bekas isteri Barrack Obama iaitu Michelle Obama, isteri Donald Trump; Melania Trump, Ratu Jordan iaitu Ratu Rania dan isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe.

IKLAN

Selain memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak dan wanita di negaranya, Emine juga lantang menyuarakan pandangan beliau terhadap isu penindasan umat Islam di seluruh dunia. Salah satu daripada ribuan kempen kanak-kanak dan wanita yang diadakan Emine ialah ‘Mothers and Daughters at School’ yang membuka peluang kepada golongan ini mendalami bidang akademik dan menguasai kebolehan membaca serta menulis.

Enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, beliau seterusnya menyertai persidangan antarabangsa ‘Women in Business Life’ sebagai tanda sokongan kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan politik.

Paling menyentuh perasaan adalah ketegasan beliau membela nasib dan mengekang penindasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Gaza, Myanmar dan Pakistan. Terpanggil untuk membantu saudara sesama Islam, Emine dan Recep Tayyip Erdogan telah pergi ke Myanmar pada tahun 2012 semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada etnik minoriti Islam Rohingya biarpun berdepan ancaman keselamatan di sana.

Malah, ketika Palestin berdepan pergolakan perang baru-baru ini Emine berpeluang menghubungi wanita Palestin dan mengikuti rapat perkembangan umat Islam di bumi anbia itu.

Semoga Emine dan Presiden Turki ini terus menjadi suara pembela umat Islam di seluruh dunia dan diharapkan agar usaha serta kebaikan yang ditonjolkan menjadi suntikan inspirasi kepada semua.

 

 

Kredit foto: Instagram Emine Erdogan