
Kagum melihat semangat dalam diri aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini. Hampir dua tahun lalu Tya Arifin telah melancarkan perniagaan bersama suaminya, Asyraf Khalid.

Nampaknya usaha pasangan suami isteri ini tidak sia-sia dan kini boleh tersenyum bangga dengan hasil titik peluh mereka. Memiliki wisma sendiri adalah sesuatu di luar jangkaan Tya Arifin atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri ini.

Bercerita tentang Wisma Mutyara milik ibu kepada Arif Jiwa, 3 tahun dan Azzahra Jiwa, setahun ini, “Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, memilik wisma sendiri jadi kenyataan. Saya awalnya seperti bermimpi. Tidak pernah menyangka semua ini menjadi realiti.

Soal lambat atau cepat tidak saya fikirkan dalam merealisasikan kewujudan wisma sendiri. Saya percaya ia sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat sudah buat saya optimis memastikan kelangsungan perniagaan diusahakan,” tutur wanita gigih ini.

Kagum melihat Tya Arifin mengusahakan perniagaan sekali gus ibu kepada sepasang anak ini. “Jujur jadi kunci segala serbi langkah dimulakan. Niat saya dan suami memulakan empayar perniagaan sendiri selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.

Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama-sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang.
Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam masa sama. Kita tak pernah sempurna, namun sentiasa mahu berubah jadi lebih baik daripada sebelumnya. Kita nak keberkatan dunia dan akhirat. InsyaAllah,” kata Tya.

Seperti usahawan lain, Tya juga pernah merasai jatuh bangun dalam membina empayarnya. “Saya pernah melihat perniagaan diceburi suami sebelum ini ada antaranya turut kecundang di tengah jalan. Suami pernah gagal dan kami pernah sama sama susah. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Tewas itu juga jadi ruang saya bermuhasabah diri.

Mak saya selalu pesan sentiasa ikut resmi padi. Semakin berisi, semakin menunduk. Namun untuk saya mahu memastikan legasi ini kebal dan konsisten sudah cukup baik. Semoga kemanisan ini akan terus berpanjangan. Saya beruntung kerana banyak belajar tentang cabaran dunia perniagaan dengan suami. Dia kekuatan saya,” katanya.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan

Pandemik COVID-19 ternyata telah merubah kehidupan kita secara total. Baru sahaja hendak menghela nafas lega kerana sebelum ini kita berjaya melandaikan lengkuk kes jangkitan namun kini muncul pula gelombang ketiga. Sedikit sebanyak ia memberi kesan terhadap psikologi atau kesihatan mental.
Secara tidak langsung pandemik ini bukan saja menjadi satu fenomena perubatan malah menjejaskan ekonomi serta sumber pendapatan rakyat. Mengambil kira faktor tersebut, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menerusi inisiatif tahunan kanser payudara, Kempen Wear It Pink menyumbang RM60,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia.

Dana ini bagi menyediakan payudara tiruan dan baju dalam khas buat golongan kurang bernasib baik. Kempen Wear It Pink bagi Edisi 2020, PHKL telah menjual lebih daripada 1,500 kotak pelitup muka edisi khas berwarna merah jambu bagi mengumpul sumbangan. Sejak dilancarkan pada tahun 2006, kempen ini memainkan peranan besar dengan menyokong pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran umum dan mengumpul dana untuk kanser payudara termasuk Pink October Walk, Sidang Kesihatan, Program Kebajikan Minum Petang dan lain-lain.

“Sumbangan ini boleh memberikan impak positif dalam kehidupan pejuang kanser. Kami juga perlu memastikan pesakit kanser masih boleh datang ke Pusat Penjagaan Payudara bagi mendapatkan rawatan dan bantuan. Dengan penularan wabak COVID-19, kita perlu memberi perhatian lebih kepada pejuang kanser kerana mereka mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah berikutan rawatan diterima dalam usaha untuk mengawal sel kanser. Kami berikrar terus memainkan peranan bagi membantu mereka sebaik mungkin,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Erica Lam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidikan klinikal PHKL diketuai Dr. Mastura Md. Yusof atas kejayaan mereka menjalankan ujian imunoterapi ke atas Kanser Payudara Tiga Negatif (Triple Negative Breast Cancer atau TNBC). TNBC metastatik adalah jenis kanser paling agresif yang mengakibatkan kadar kematian tinggi di kalangan pesakit muda.
Pasukan penyelidikan Dr. Mastua merupakan antara pasukan dari 29 buah negara yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat imunoterapi yang dipanggil pembrolizumab. Ubat ini digabungkan dengan salah satu daripada tiga jenis kemoterapi lazim yang digunakan bagi merawat TNBC berulang, tidak boleh dibedah atau metastatik yang tidak dapat disembuhkan menggunakan kemoterapi dalam suasana metastatik. Manuskrip lengkap yang memperincikan keputusan positif daripada penyelidikan KEYNOTE-355 tersebut akan diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet.

BANTU PROSES PEMULIHAN
Sementara itu, menurut Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin PHKL yang juga merupakan pengerusi kempen kanser payudara di hospital tersebut, Dr. Saladina Jaszle Jasmin, berharap agar selepas pejuang kanser ini menjalani pembedahan payudara, mereka masih berasa kembali pada sedia kala. Seolah-olah tiada apa-apa yang berubah pada tubuh mereka seperti sebelum dibedah.
“Kami berharap baju dalam khas dan payudara tiruan ini dapat membantu proses pemulihan mereka. Kami amat berterima kasih kepada PHKL dan orang awam yang banyak menyumbang untuk tujuan ini.”

Sepanjang bulan Oktober Merah Jambu, PHKL diterangi lampu berwarna merah jambu yang boleh dilihat dari luar premis bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan ujian saringan kesihatan payudara untuk pengesanan awal. Pakej istimewa ultra bunyi dan mamogram juga ditawarkan hingga bulan Disember 2020.
MENGENAI PANTAI HOSPITAL KUALA LUMPUR
Sejak 45 tahun lalu Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) punya sejarah kecemerlangan dalam menawarkan khidmat perubatan kepada rakyat Malaysia. Kini, PHKL memiliki lebih 200 pakar runding pelbagai bidang perubatan dan pembedahan. PHKL mengutamakan kualiti penjagaan kesihatan, inovasi dan promosi pada harga berpatutan. Pada masa sama, terus komited bagi mencapai dan mengekalkan piawaian cemerlang sebagai penyedia kesihatan yang dipercayai.
PHKL menstrukturkan perkhidmatan sedia ada menerusi Perkhidmatan Klinikal Teras seperti Pusat Kanser, Pusat Penjagaan Payudara, Pusat Wanita & Kanak-Kanak, Pusat Paru-Paru, Pusat Jantung, Pusat Tangan & Bahagian Atas Anggota Badan, Pusat Tulang Belakang & Saraf, dan Pusat Endoskopi. Dianugerahkan akreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (Malaysian Society for Quality in Health, MSQH), Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (Joint Commission International, JCI) serta dinobat sebagai Hospital Mesra Bayi.
Layari www.pantai.com.my/kuala-lumpur untuk maklumat lanjut berkaitan Pantai Hospital Kuala Lumpur.
Kredit Video: Instagram @pantaihospitalkualalumpur
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Peniaga Jalanan, SHA HASAN Bangkit Ubah Nasib Keluarga. Kini Jutawan, Rangkaian Bisnes Sampai Ke Luar Negara

Siapa sangka dalam usia 27 tahun anak jati Kota Bharu, Kelantan ini sudah pun bergelar jutawan. Kematian bapa serta dilahirkan dalam keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.


Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra disapa Sha Hasan ini merupakan ibu kepada seorang anak. Dia kni gigih membina legasi bisnesnya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria.

“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun.
“Bermula saat itu, ibu terpaksa bekerja demi menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu, saya nekad nak ubah nasib keluarga.

“Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga.
“Bila habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya pilih untuk belajar di kampung saja.

“Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap. Tapi saya terus berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes.
“Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.”

“Bisnes makin lama makin berkembang sampai tak menang tangan. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya.
“Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious di Kelantan.”


Kini Sha Hasan memiliki beberapa cabang bisnes lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka. Selain Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah.
DETIK DIUJI
“Pada 2018 saya ada berpuluh-puluh orang staf, bisnes pun tengah bagus. Tiba-tiba Allah uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa.
“Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.

“Akibat terlalu tertekan, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih. Saya juga terpaksa bergantung dengan ubat.”
ASET PERTAMA DIMILIKI
“Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, boleh jana pendapatan.

“Selalunya bila berjaya capai target, saya akan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan. Itulah reward sebenar bagi saya.”
SUAMI TULANG BELAKANG UTAMA
“Terlalu banyak pengorbanan suami kerana beliau banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar.

“Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
“Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat.

“Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.

“Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih dari kita. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.

“Nasihat saya bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.”
Kredit Foto: Instagram Sha Hasan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari Makmal Forensik Ke Dapur, Senyum Sambil Memasak Jadi ‘Trademark’ SHAFIQ CUTE

Bagi mereka yang gemar melayari media sosial untuk mencari resipi-resipi baru untuk dicuba pasti familiar dengan wajah kacak ini. Jejaka berusia 29 tahun ini sering berkongsi video-video di TikTok yang memaparkan aksinya sedang memasak sambil tersenyum manis sehingga menarik perhatian ramai.

Setiap kali muncul dalam video masakannya, senyuman itulah yang menjadi ‘trademark’ serta daya penarik kepada jejaka yang bernama Mohd Shafiq Zulkarnain ini. Maka, tercetusnya gelaran ‘Shafiq Cute’ yang kini tular di media sosial.
Rata-rata para pengikut Shafiq seronok melihat dia memasak serta berkongsi resepi makanan mudah yang boleh dicuba pada bila-bila masa.
Selain memasak sambil tersenyum, penampilan kemas Shafiq turut menjadi perhatian warga maya. Bilangan pengikutnya juga semakin hari semakin bertambah.
Di sebalik kelincahannya memasak di dapur, siapa sangka anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini sebenarnya seorang Pegawai Forensik di Jabatan Kimia Malaysia. Wow, hebatnya!
Memetik perkongsian Shafiq kepada Harian Metro baru-baru ini dia sememangnya minat memasak dan belajar daripada ibu, Noraini Buang, sejak usianya 11 tahun. Selain itu, Shafiq menjadikan aktiviti memasak sebagai hobi.
“Saya memang minat memasak dan sudah menganggapnya sebagai satu hobi serta terapi untuk menghilangkan tekanan kerja.
“Hobi itu berterusan sehinggalah kini. Setiap kali pulang dari kerja atau cuti rehat, saya akan memasak.”
Memandangkan Shafiq masih bujang dan barang keperluan memasak juga terhad, Shafiq hanya menggunakan apa yang ada sahaja mengikut sukatan yang dianggarkan.
“Memandangkan saya masih bujang maka kelengkapan di rumah agak terhad. Saya hanya menggunakan apa saja yang ada, misalnya cawan untuk menyukat bahan.
“Saya tunjukkan satu persatu cara memasak supaya pengikut yang menonton tidak rasa susah untuk mencubanya di rumah.”
Menurut Shafiq, dia hanya berkongsi minat dengan para pengikutnya selain memberi kepuasan dan kegembiraan buat dirinya. Segala kerja-kerja suntingan video dilakukan sendiri oleh Shafiq. Selain di TikTok, Shafiq turut mempunyai pengikut yang ramai di Facebook, Instagram serta Youtube.
Shafiq memberitahu, untuk menghasilkan sesebuah video memerlukan perancangan rapi dari segi penyediaan dan bahan-bahan. Apatah lagi bagi dirinya yang bekerja, perancangan dan persediaan awal adalah sangat penting.
Pun begitu, untuk menghasilkan hidangan yang sedap dan menarik tidak semestinya perlu dimasak dengan cara yang terlalu rumit dan menggunakan bahan-bahan yang sukar diperolehi. Dia sendiri berkongsi masakan ringkas namun tetap nampak menyelerakan. Peralatan yang digunakan juga ringkas.
“Memasak tidak semestinya perlu rumit dan perlu menggunakan bahan-bahan yang sukar didapati. Cukup seperti ibu-ibu kita dulu, guna sahaja apa yang ada di dapur.
“Kita harus kreatif sahaja, memasak bukan satu proses rumit.”
Bagi Shafiq tiada istilah ‘sukar’ dalam kamus masakannya kerana semua mampu lakukan jika ada semangat untuk mencuba. Selain rajin mencipta resipi sendiri dan bertanya rakan-rakan, Shafiq juga sering mencari idea resipi-resipi baru di Internet. Meihat kepada minatnya, Shafiq lebih cenderung kepada menghasilkan pelbagai jenis kek, kuih dan biskut.
Semoga segala impian Shafiq terlaksana dan sukses dalam bidang yang diminati.
Kredit Foto: Instagram Shafiq Cute
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


