
Penyakit jantung ‘wajah baharu’ yang menjadi punca kematian No. 1 negara kini semakin kerap menyerang generasi muda, termasuk mereka yang baru memasuki usia 30-an. Lebih mengejutkan, ramai berasa diri sihat sedangkan kolesterol jahat dan salur darah mereka sebenarnya sedang ‘rosak’ secara senyap tanpa sebarang simptom.
Bukan setakat penyakit warga tua, penyakit jantung kekal sebagai punca kematian nombor satu di Malaysia sejak hampir dua dekad lalu. Ramai pula hanya mengetahui mereka berisiko selepas mengalami serangan jantung atau strok.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Rosli Mohd Ali, rakyat Malaysia mengalami serangan jantung kira-kira 10 tahun lebih awal berbanding penduduk di negara-negara maju lain.

“Rakyat Malaysia kini mengalami serangan jantung pada usia yang lebih muda, iaitu sekitar 10 tahun lebih awal berbanding purata global.
Keadaan ini telah berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tidak mungkin berubah jika rakyat Malaysia tidak mengubah sikap mereka terhadap kesihatan jantung,” katanya.
Lebih mengejutkan, data kardiovaskular kebangsaan menunjukkan hampir satu daripada empat pesakit sindrom koronari akut berusia di bawah 50 tahun!
Penyakit Jantung Datang Dalam ‘Wajah Baharu’
Salah satu sebab utama penyakit jantung sering lambat dikesan ialah peningkatan paras LDL-C atau kolesterol jahat yang berlaku secara senyap tanpa sebarang simptom.
Apabila paras LDL-C terlalu tinggi, ia akan membentuk plak pada dinding salur darah. Lama-kelamaan saluran menjadi sempit dan akhirnya meningkatkan risiko serangan jantung atau strok.

Ramai menyalahkan makanan semata-mata, namun menurut Datuk Dr. Rosli, faktor lain turut memainkan peranan.
“Sebahagian besar LDL-C sebenarnya dihasilkan oleh badan. BAGI sesetengah individu, TUBUHNYA menghasilkan lebih banyak kolesterol berbanding orang lain disebabkan faktor genetik, penyakit jantung dan strok mungkin berlaku pada usia yang jauh lebih muda.”
Selain faktor genetik, pemakanan tinggi lemak tepu dan lemak trans juga boleh merangsang hati menghasilkan lebih banyak kolesterol jahat.
Nampak Sihat Belum Tentu Selamat Serangan Penyakit Jantung
Datuk Dr. Rosli pernah merawat seorang remaja berusia 18 tahun yang datang mendapatkan rawatan kerana ketidakselesaan dada. Pemeriksaan lanjut mendapati keluarganya mempunyai sejarah penyakit jantung pada usia muda, termasuk bapanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berusia sekitar 30-an.
Beliau juga pernah merawat seorang ahli sukan berusia 40 tahun yang aktif bersenam, berbadan sihat dan menjaga pemakanan.
“Beliau memberitahu saya bahawa beliau cukup menjaga pemakanannya dan selalu bersenam. Tetapi apabila pemeriksaan lanjut dijalankan, kami mendapati ada beberapa sumbatan ketara pada arteri koronarinya.”
Kes ini membuktikan penampilan fizikal bukan ukuran sebenar tahap kesihatan jantung.
Siapa Yang Patut Beri Perhatian?
Anda perlu lebih berwaspada jika mempunyai faktor berikut:
- Sejarah keluarga penyakit jantung pada usia muda
- Diabetes
- Tekanan darah tinggi
- Obesiti
- Perokok atau bekas perokok
- Paras kolesterol tinggi
Menurut Datuk Dr. Rosli, individu berisiko tidak seharusnya menunggu simptom penyakit jantung muncul.
“Jika anda mempunyai faktor risiko yang ketara atau sejarah keluarga menghidap penyakit jantung, jangan tunggu sehingga anda mengalami kejadian kardiovaskular. Jalani pemeriksaan lebih awal.”
Umur 30 Tahun Sudah Wajib Buat Saringan Penyakit Jantung
Ramai hanya membuat pemeriksaan apabila badan mula memberi isyarat. Sebenarnya, garis panduan Malaysia mengesyorkan semua individu berusia 30 tahun ke atas menjalani saringan kolesterol, manakala mereka yang berisiko tinggi digalakkan memulakan pemeriksaan seawal usia 18 tahun.
Antara pemeriksaan asas yang biasanya dilakukan ialah:
- Ujian kolesterol
- Pemeriksaan tekanan darah
- Saringan diabetes
- Penilaian keseluruhan risiko penyakit jantung oleh doktor
Sekiranya berisiko tinggi, doktor mungkin mencadangkan ujian lanjutan bagi mengesan tanda awal penyakit jantung.
Lindungi Kesihatan Jantung
Menurut Datuk Dr Rosli, penjagaan jantung tidak bergantung kepada satu langkah sahaja, sebaliknya memerlukan gabungan beberapa perkara penting.
Amalkan tiga perkara ini secara konsisten:
- Pemakanan seimbang rendah lemak tepu dan lemak trans
- Aktiviti fizikal secara berkala
- Rawatan atau ubat jika disarankan doktor
Beliau menegaskan bahawa perubahan gaya hidup tetap menjadi asas utama, namun sesetengah individu memerlukan rawatan tambahan bagi memastikan paras LDL-C mencapai sasaran yang selamat.
“Lebih awal paras LDL-C dikawal, lebih rendah parasnya dapat dikekalkan, dan lebih lama ia berada dalam keadaan terkawal, maka lebih baik kesannya terhadap kesihatan jangka panjang.”
Cabaran terbesar penyakit jantung ialah ia boleh berkembang selama bertahun-tahun tanpa sebarang gejala. Sebab itulah ramai hanya mengetahui mereka mempunyai masalah apabila berlaku serangan jantung secara mengejut.
Nasihat Datuk Dr. Rosli cukup jelas:
“Jangan ambil mudah atau terus mengabaikan tahap kesihatan anda. Penyakit jantung mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala selama bertahun-tahun.
Satu-satunya cara untuk mengetahuinya adalah dengan menjalani pemeriksaan, memahami risiko anda dan berbincang dengan doktor tentang cara terbaik untuk melindungi kesihatan jantung.”
Kesihatan jantung bukan lagi isu orang tua. Jika anda sudah memasuki usia 30-an, inilah masa terbaik untuk mengenali risiko sendiri. Pemeriksaan awal mungkin menjadi langkah paling penting untuk mengelakkan penyakit yang masih menjadi pembunuh nombor satu rakyat Malaysia.
Sumber: Unblocked Movement
Artikel berkaitan: Kanser Serviks Hantui Wanita Muda, Usia 20-an Hingga 30-an Jangan Abaikan Simptom Awal Ini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


