Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Faizul Rohban dan Norbaizura Ibrahim
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
Allahyarhamah Faziani Rohban
Arwah pernah menjadi penghias cover Majalah Nona
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Penerima Nona Best Men’s Halal Beauty Award
Faizul Rohban dan isteri
Ads
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
Ads
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
Ads
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Faizul seorang yang tekun memperbaiki diri
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penularan pandemik COVID-19 telah merebak ke serata pelosok dunia. Jumlah terkini mangsa pandemik yang bermula dari negara China ini telah melebihi 500,000 orang di seluruh dunia. Kini mangsa tertinggi adalah dari Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Raja Bollywood, Dato’ Shah Rukh Khan wajar menerima pujian apabila tampil dengan cara dan gaya yang tersendiri untuk menyampaikan langkah pencegahan bahaya COVID-19 kepada seluruh peminatnya terutama di India.
Menariknya, suami kepada Gauri Khan ini telah menggabungkan beberapa adegan ikonik filem lakonannya seperti Baazigar, Raaes, Main Hoon Naa dan banyak lagi. Dato’ Shah Rukh Khan telah menggunakan gaya yang unik ini untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya COVID-19 dan apa yang boleh dilakukan untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.
Dalam video berdurasi 5 minit itu Dato’ Shah Rukh Khan menegaskan “Pakai topeng muka jika anda telah dijangkiti COVID-19 atau menunjukkan sebarang simptom telah dijangkiti atau anda menjaga seseorang yang menderita kerana virus tersebut. Pastikan menggunakan topeng muka surgikal yang diiktiraf,” kata hero filem Dilwali yang bergandingan dengan Kajol ini.
Dato’ Shah Rukh Khan juga sempat berpesan kepada orang ramai agar pandai memilih maklumat yang benar dan jangan mudah percaya apa lagi menyebarkan berita palsu. “Tolong hanya terima informasi yang betul terutama daripada kerajaan tempatan.
Be safe and be healthy. Saya berdoa untuk anda dan keluarga tersayang agar terhindar dari jangkitan ini dan tolong doakan juga untuk saya dan keluarga,” kata pelakon utama filem Mohabbatein ini.
Akhir sekali kata Dato’ Shah Rukh Khan, “Insya-Allah kita boleh mengatasinya,” sambil memetik gitar.
Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada apa yang lebih membanggakan melihat perjuangan seorang wanita untuk bersaing berdiri sama teguh dengan kaum lelaki. Di abad ini, wanita sememangnya sudah bersama-sama seiring dengan kelompok lelaki dalam menjadi insan yang terbaik bahkan boleh memimpin sesebuah organisasi yang besar. Ini dibuktikan lagi dengan pemilihan Halimah Yacob, 63 sebagai presiden wanita pertama Singapura dan beliau merupakan presiden ke-8 negara republik tersebut.
Menariknya tentang pemilihan presiden kali ini, ia dikhususkan untuk dipertandingkan oleh komuniti minoriti Melayu sahaja. Menerima tentangan dari dua lagi calon lelaki iaitu Salleh Marican dan Farid Khan namun kedua-duanya tidak melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan dan ini menjadikan Halimah sebagai calon yang layak serta merta tanpa proses undian.
Sedikit info mengenai Halimah Yacob.
Beliau merupakan Speaker Parlimen Singapura ke-9 yang bermula dari januari 2013 ke Ogos 2017 (Wanita pertama memegang jawatan ini)
Merupakan seorang ahli parlimen mewakili Parti Tindakan Rakyat selama 14 tahun bermula dari tahun 2001 ke 2015
Dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan dari tahun 2011 ke 2013
Merupakan ibu kepada lima cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Mohammed Abdullah Alhabshee
Mesti ramai tertanya-tanya apakah peranan jawatan presiden bagi negara yang dipimpin oleh perdana menteri ini bukan? Berikut adalah beberapa fakta tentang tugas-tugas presiden.
Presiden Singapura adalah Ketua Negara.
Sebelum 30 November 1991, Presiden adalah ketua negara dengan peranan sebahagian besar menghadiri upacara-upacara mewakili Singapura. Pada 30 November 1991, Perlembagaan Republik Singapura telah dipinda untuk menjadikan pejabat Presiden sebagai pejabat pilihan dengan kuasa budi bicara yang berkaitan dengan perlindungan rizab negara dan pelantikan kakitangan utama dalam sektor awam dan beberapa syarikat Kerajaan.
Secara umum, peranan dan tanggungjawab Presiden boleh dikategorikan seperti berikut:
Perlembagaan
Presiden Singapura bertindak sebagai penjaga berhubung dengan hal-hal tertentu seperti penggunaan rizab negara. Dia tidak mentadbir negara – yang jatuh kepada Perdana Menteri dan anggota kabinet lain yang menjalankan kuasa eksekutif kerajaan dan bertanggungjawab kepada parlimen.
Ceremonial
Kuasa presidensi terletak pada beberapa fungsi upacara. Presiden juga mewakili Singapura pada peringkat tertinggi dan membantu mempromosikan hubungan dua hala dan hubungan rakyat antara Singapura dan negara-negara lain yang baik.
Komuniti
Presiden boleh menggunakan pengaruh kedudukannya untuk menyokong penyebab amal dan sosial. Presiden juga boleh memainkan peranan menyatukan dengan menggalakkan, mengartikulasikan dan mewakili nilai-nilai yang menyatukan rakyat Singapura sebagai sebuah negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.