
26 Jun lalu merupakan detik paling bermakna buat Rozita Che Wan apabila anak sulungnya iaitu Ammar Effendy Azuar Effendy selamat melangsungkan perkahwinan. Ammar yang berusia 29 tahun sah bergelar suami dengan sekali lafaz kepada pilihan hatinya, Auni Ikhwan.
Dalam majlis pernikahan indah yang berlangsung di GlamHall Damansara, anak lelaki kepada pelakon dan usahawan berkenaan tampil segak berbusana Baju Melayu ilham Man Kajang lengkap bersampin dari Teh Songket.
Anak Lelaki Rozita Che Wan Selamat Bergelar Suami

Menerusi perkongsian GlamHall di media sosial, Rozita Che Wan sempat menitipkan ucapan penuh makna buat Ammar dan isteri sempena memulakan fasa kehidupan bersama.
Yang pasti, titipan istimewa aktres jelita berkenaan menyentuh emosi ramai khususnya dalam kalangan kaum ibu.
“Ammar dan Auni, kalau dulu mommy pimpin tangan Ammar untuk melangkah ke dunia. Hari ini mommy lepaskan tangan tu untuk memimpin seseorang yang akan menemani Ammar sepanjang hidup.
Auni, terima kasih kerana hadir dan menerima Ammar dengan segala kekurangan dan kelebihannya. Dan Ammar jaga Auni seperti mana mommy jaga you dan menyayangi you selama ini.”

Ucap isteri Zain Saidin ini, “Perkahwinan bukan tentang mencari yang sempurna. Tetapi tentang memilih untuk tetap bersama walaupun dalam setiap fasa kehidupan.
Mommy doakan semoga cinta yang dibina ini sentiasa dipenuhi rahmat, sabar dan kebahagiaan yang tak pernah putus. Mommy sayang Ammar dan Auni.
Selamat melangkah ke episod yang paling indah dalam hidup you all.”
View this post on Instagram
Menantu Rozita Che Wan Cantik
Pasangan mempelai dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim pada jam 8.41 malam. Dalam majlis itu, Ammar menyerahkan mas kahwin RM300 dan wang hantaran berbentuk jongkong emas.
Lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan-rakan artis Rozita Che Wan hadir memeriahkan perkahwinan bertemakan Garden Wedding buat Ammar dan Auni sempena keberkatan 10 Muharram.
Difahamkan pada majlis pernikahan, Rozita Che Wan dan Auni menerima tajaan barangan kemas daripada Habib Jewels.
Usai pernikahan, pasangan sama cantik sama padan ini kemudian diraikan dalam sebuah majlis resepsi gilang-gemilang di Double Tree Hilton i-City Shah Alam.

Antara rakan-rakan artis yang menyerikan majlis termasuklah Mira Filzah dan suami, pengarah Michael Ang, Wawa Zainal dan Aeril Zafril. Majlis turut dihoskan pelakon dan pengacara popular, Fahrin Ahmad bersama Hawa Rizwana.
Semoga rumah tangga Ammar Effendy dan Auni sentiasa dalam rahmat Allah SWT serta berbahagia sampai ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





