Isu tentang seorang wanita yang mengadu dirinya dikasari kekasihnya, seorang bekas pemain kebangsaan yang dipercayai membelasah dirinya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini cukup menggemparkan. Yang pasti, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.
Memandangkan kes ini sudah pun dalam perhatian pihak polis, NONA enggan memberikan sebarang pandangan serta komen yang lebih namun apa yang lebih menarik perhatian ialah perincian siapakah sebenarnya wanita tersebut, yang dikenali dengan nama Hana Rose.
Melihat pada hantaran di laman Instagamnya, boleh NONA simpulkan Dr Hana Rose ini bukanlah calang-calang juga orangnya. Dikurniakan wajah yang anggun, menawan serta bijak dan boleh dikira sukses, mungkin kisah kejayaan Dr Hana Rose boleh menjadi inspirasi buat wanita di luar sana.
Kredit foto: Instagram @drhanaroseKredit foto: Instagram @drhanaroseKredit foto: Instagram @drhanarose
Jadi, NONA menyelidiki siapakah sebenarnya Dr Hana Rose dan ini fakta yang dapat kami jumpa di laman Internet.
Menerusi perkongsian dari FB Malaysian Beauty Pageant Fan Club, Dr Hana Rose atau nama sebenarnya Hani Farhana Binti Hasrul Sani sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Mrs Universe Borneo edisi 2019/2020 dan merupakan seorang usahawan yang cukup berjaya.
Ads
Malah Dr Hana Rose juga pernah menjadi Ketua Juri untuk pertandingan Ratu Agro Fest pada tahun 2019. Dr Hana Rose juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata menurut perkongsian FB Malaysian Beauty Pageant Fan Club.
Juga merupakan seorang model, Dr Hana Rose dilahirkan di California, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Kyoto, Jepun. Dan beliau dikhabarkan cukup fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, Jepun dan Bahasa Malaysia.
Kredit foto: Instagram @drhanarose
Dr Hana Rose yang juga merupakan seorang doktor kulit dan estetik bertauliah malah turut memiliki kliniknya sendiri, iaitu Rose Bay Clinic yang berlokasi di Sutera Avenue, Kota Kinabalu Sabah.
Klinik Dr Hana Rose ini memfokuskan kepada penjagaan dan rawatan kulit, transplant rambut, pengurusan berat badan, dan laser pico. Malah Dr Hana Rose juga cukup aktif di laman Youtube di mana Dr Hana Rose banyak berkongsi tip-tip penjagaan wajah ‘Glow Up With Dr Hana’ termasuk di laman media sosial Tik Tok.
Terpegun dengan aura personaliti wanita ini. Meskipun lama menyepi daripada dunia seni tapi Nona percaya pasti ramai peminat drama tanah air merindui lakonan dan wajah penuh kelembutan milik pelakon cantik, Siti Shahrizah Saifuddin atau mesra di sapa Eja ini!
Paling menarik perhatian ialah penampilan terkini Eja yang makin anggun dan sejuk mata memandang. Apatah lagi, Eja sudah pun meniti usia 50 tahun pada 18 Januari lepas. Namun figura ini kelihatan masih menawan dan cantik dalam kelas tersendiri.
Mengimbas kembali populariti Eja, dia mula meraih perhatian menerusi game show Roda Impian. Selain itu, Eja juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Bilut dan dia cukup sinonim dengan watak wanita Timur yang sarat kelembutan dek kerana wajah ayu dan tutur kata yang sopan.
Disifatkan seorang selebriti yang cukup menjaga privasi diri sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, Eja turut pernah menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin dalam Festival Filem Malaysia (FFM 24).
Kali terakhir Nona menemu bual Eja adalah sekitar lima tahun lalu ketika dia menjadi penghias kulit depan edisi April 2017. Waktu itu, Eja sudah pun berhijab dan makin bertambah anggun dengan imej sopan seorang muslimah.
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Eja waktu itu apabila diaju persoalan mengenai pembabitannya yang seakan sunyi dalam industri seni. “Saya tidak tahu orang lain tetapi diri saya, pada usia ini benar-benar rasa sunyi dan sepi. Mungkin Allah sedang mendidik saya untuk melepaskan cinta dunia. Itu perasaan saya hadapi.
Kini saya lebih suka bersendiri jauh dari sorotan lampu glamor yang penah dikecap dulu. Memang ada mendengar kata-kata kecil saya sudah tidak mahu bergaul lagi atau sudah sombong. Saya bukan begitu, sebenarnya mahu betul-betul manfaatkan masa yang bersisa dengan Pencipta, suami dan anak.”
Biarpun tidak lagi mewarnai arena seni namun perkongsian Eja di platform media sosial dapat mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.
Bukan hanya berkongsi perkembangan terkini malah Eja turut memuat naik foto anak tersayang dan suami tercinta. Lebih-lebih lagi ketika bercuti.
Terbaharu, isteri kepada Mohd Silahuddin Jamaluddin ini sempat berkongsi momen Aidilfitri mereka. Menerusi gambar tersebut, keluarga ini mengenakan persalinan raya dalam rona senada.
Terserlah kebahagiaan mereka sekeluarga. Anak perempuan tunggal Eja, Nur Eishal pun kini menginjak usia 13 tahun.
Difahamkan pada awal Januari lepas, Eja melancarkan produk sambal keluarannya dikenali sebagai Eishal’s Choice by Eja. Antara perisa yang dikeluarkan termasuk Sambal Petai Putar, Sambal Mangga Murni, Sambal Kicap Koyak dan Sambal Limau Lentik.
Moga perniagaan Eja makin berkembang maju dan sukses.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kali tibanya 1 Syawal, pasti persiapan baju raya selebriti menjadi sorotan utama buat para peminat. Momen raya dan persiapan raya selebriti tidak lengkap tanpa menjengah ke laman Instagram milik pelakon Rozita Che Wan atau mesra disapa dengan panggilan Che Ta.
Setiap kali lebaran, Che Ta pasti tidak terlepas daripada menjadi tumpuan lensa kamera. Tentunya jumlah persalinan raya yang digayakan wanita yang juga merupakan usahawan berjaya itu juga tidak pernah membosankan untuk dilayari ketika sedang menikmati suasana Hari Raya.
Menurut Che Ta, persiapan raya bagi dirinya dan keluarga tidak banyak berubah dan tradisi bergambar kenangan bersama keluarga menjadi momen indah untuk mereka kenang sepanjang hayat.
Tahun ini, untuk 1 Syawal, Che Ta sekeluarga mengenakan persalinan biru sentuhan pereka fesyen FIZIWOO. Manakala pada hari raya kedua, Che Ta sekeluarga mengenakan pakaian rona ungu rekaan Rizman Ruzaini. Syawqal ketiga pula menyaksikan rekaan Rizman Ruzaini dan Man Kajang menjadi pilihan keluarga ini.
Menurut Che Ta, tidak semua pakaian raya tahun ini merupakan baju yang baharu ditempah memandangkan terdapat baju raya tahun lalu yang masih belum sempat digayakan.
“Tentang persalinan baju raya sama sahaja macam koleksi tahun lepas. Tapi, baju tahun lepas pun banyak lagi yang tak sempat pakai.
“Jadi, kita sambung pakai baju raya tahun lepas. Tetap bergaya sebab raya ini bukan hari-hari. Kita sambut dengan rasa teruja, namun pada masa sama, tetap ingat orang yang memerlukan,” ujar isteri kepada Zain Saidin ini.
Meskipun raya tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan bersama keluarga tercinta, Che Ta turut menzahirkan raya sedih kerana tidak berkesempatan menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Untuk rekod, rakan baik dan rakan perniagaan Che Ta, Anas Zahrin menghadiahkan pakej umrah untuk dirinya beberapa bulan lalu tetapi belum berkesempatan mengunjungi bumi Mekah dan Madinah lantaran sibuk menguruskan perniagaan dan urusan-urusan lain yang telah direncanakan.
“Hajat menghabiskan 10 Ramadan terakhir di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah tidak terlaksana. Kalau ikut perancangan awal, nak pergi umrah 10 malam (Ramadan) terakhir tapi tiada rezeki. Sebab tak rancang betul-betul.
“Tapi, tidak mengapa mungkin kita panjangkan niat tersebut untuk hari mendatang. Insya-Allah. Ada rezeki dan kelapangan pada kemudian hari.
Selebriti berusia 52 tahun ini menyambut Aidilfitri di Alor Setar Kedah pada tahun ini. Teruja dapat berkumpul bersama adik-beradik di Aidilfitri, Che Ta turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya buat seluruh umat Islam di seluruh negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.
Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.
Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!