Akhirnya, penantian Dato’ Sri Siti Nurhaliza bergelar ibu menjadi realiti. Kira-kira jam 8.17 pagi tadi, penyanyi kesayangan ramai ini dikhabarkan telah selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu negara. Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman IGnya, beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan. Buat masa ini, hanya kaum keluarga terdekat saja dibenarkan untuk melawat dan Dato’ Sri Siti dan bayi berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa turut melahirkan rasa syukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Katanya, apa yang penting adalah proses kelahiran dan kesihatan isteri serta anak mereka selamat. Difahamkan, pasangan yang telah mendirikan rumah tangga selama hampir 12 tahun ini juga mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat serta pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah Dato’ Sri Siti melahirkan bayi hari ini.
Menariknya, Dato’ Sri Siti dan Dato’Sri Khalid memilih hari ini sebagai hari kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan hari kelahiran Nabi Muhamad SAW selain jatuh pada tarikh 1 Rejab. Menurut pengurus Dato’ Sri Siti yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak, buat ketika ini penyanyi yang terkenal dengan lagu Bukan Cinta Biasa tersebut mahu diberikan ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada hari-hari awal bergelar ibu. Mengenai wajah dan nama anak, terang Rozi, kedua-duanya akan mengumumkan berita gembira ini bila tiba waktunya.
Malam tadi, Dato’ Sri Siti sempat menzahirkan rasa terharu atas ingatan ulama Mufti Menk yang mendoakan proses melahirkan cahaya mata sulungnya dipermudahkan. Jelas Dato’ Sri Siti, Mufti Menk menghantar pesanan di telefon bimbit suaminya dan mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.
https://www.instagram.com/p/BgdxcsYh9fd/?hl=id&taken-by=ctdk