
Puasa pesakit kanser sering menjadi persoalan setiap kali Ramadan tiba. Ramadan hadir dengan rasa yang sukar digambarkan. Bulan yang mengajak kita menahan lapar dan dahaga, sambil membersihkan jiwa. Namun bagi keluarga yang menjaga insan tersayang menghidap kanser di rumah, Ramadan juga membawa satu persoalan yang berat, patutkah dia terus berpuasa?
Secara asasnya, Islam mewajibkan puasa kepada Muslim yang mukallaf. Tetapi kelonggaran diberi kepada mereka yang sakit, sedang menerima rawatan atau dalam proses pemulihan. Walaupun begitu, ramai pesakit kanser tetap menyuarakan hasrat untuk berpuasa. Bukan kerana degil, tetapi kerana rindu mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan rohani itu.
Menurut Pakar Perunding Onkologi Klinikal di OncoCare Malaysia, Dr Matin Mellor Abdullah, keputusan ini perlu dilihat secara seimbang, antara tuntutan kesihatan dan ketenangan jiwa.
“Ramai pesakit yang saya temui menyatakan hasrat untuk berpuasa. Saya boleh memberi nasihat dari sudut perubatan, tetapi kerana tiada garis panduan rasmi mengenainya, saya sarankan mereka berbincang juga dengan ustaz untuk mendapat kepastian dan ketenangan hati,” katanya.

Bagi penjaga di rumah, memahami keadaan sebenar pesakit sangat penting sebelum membuat keputusan.
Tahap Rawatan Berbeza, Keputusan Puasa Pesakit Kanser Juga Berbeza
Setiap pesakit berada dalam fasa rawatan yang tidak sama. Pesakit yang sudah tamat rawatan atau berada dalam fasa penyelenggaraan lazimnya tidak mempunyai halangan besar untuk berpuasa. Namun mereka yang masih menjalani pemeriksaan intensif mungkin berdepan kesukaran kerana perlu melalui pelbagai ujian.
Bagi pesakit yang sedang menerima terapi aktif, penyesuaian jadual ubat mungkin diperlukan.
Dr Mellor turut menjelaskan bahawa pesakit yang menerima rawatan kuratif, bertujuan untuk sembuh, boleh meninggalkan puasa dan memberi fokus penuh kepada rawatan demi memaksimumkan peluang pemulihan. Pesakit rawatan paliatif pula ada ruang untuk menangguhkan rawatan tertentu selepas Ramadan.
Dalam situasi puasa pesakit kanser, semua ini perlu dinilai mengikut kes. Tiada satu keputusan yang sesuai untuk semua kerana tahap kesihatan dan kekuatan tubuh setiap individu adalah berbeza.

Jenis Rawatan dan Kesan Sampingan Tidak Sama
Kanser dirawat dengan pelbagai kaedah seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi bersasaran. Setiap rawatan memberi kesan berbeza kepada tubuh.
“Kemoterapi kekal sebagai asas utama dalam rawatan kanser. Memang biasa pesakit berasa tidak sihat beberapa hari, malah sehingga seminggu selepas rawatan,” jelas Dr Mellor.
Antara kesan sampingan termasuk hilang selera makan, lemah badan, ulser mulut, cirit-birit dan gastritis. Ada kalanya pesakit memerlukan ubat tambahan untuk mengawal loya dan cirit-birit.
Dalam keadaan tubuh sedang berjuang untuk pulih, menahan makan dan minum mungkin menjadi beban tambahan. Dalam konteks puasa pesakit kanser, pertimbangan ini sangat penting agar ibadah tidak memudaratkan kesihatan.
Jadual Rawatan Boleh Disesuaikan
Jika pesakit benar-benar ingin berpuasa, perbincangan dengan doktor adalah langkah pertama.
Ubat oral seperti kemoterapi dan ubat kawalan loya lazimnya boleh disesuaikan ke waktu sahur dan berbuka. Terapi hormon yang diambil sekali sehari juga boleh diubah masa pengambilannya.
Radioterapi dan rawatan perubatan nuklear pula dijalankan di hospital dan boleh dijadualkan mengikut kesesuaian serta nasihat doktor.
Pesakit yang sudah melalui beberapa kitaran rawatan biasanya lebih memahami reaksi tubuh sendiri, sekali gus membantu mereka merancang dengan lebih berhati-hati berkaitan puasa pesakit kanser.

Kesihatan Tetap Keutamaan Sepanjang Ramadan
“Ramai pesakit berusaha berpuasa demi ibadah, tetapi kecewa apabila tidak mampu meneruskannya,” kata Dr Mellor.
Beliau menasihatkan agar pesakit yang masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan atau mengalami kekurangan nutrien menangguhkan dahulu niat puasa. Tubuh yang lemah memerlukan tenaga untuk sembuh dan dalam isu puasa pesakit kanser, keutamaan tetap harus diberikan kepada proses rawatan dan pemulihan.
Bagi yang memilih untuk berpuasa, pastikan tubuh cukup terhidrat dan ambil makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran serta protein.
Akhirnya, keputusan untuk berpuasa adalah pilihan peribadi.
=========================
Jus pati kurma untuk tambah tenaga dan sokong kesihatan, yang Nona beli ni paling recommended diamalkan dalam bulan Ramadan. Klik di bawah:
=========================
Dalam mempertimbangkan puasa pesakit kanser, penting untuk mengetahui batas kemampuan diri kerana tiada ubat untuk keletihan. Kadang kala badan hanya perlukan rehat dan masa untuk pulih. Renungkan keputusan anda, berbincang dengan doktor, dengar isyarat tubuh dan ambil tindakan sewajarnya.
Buat para penjaga, ingatlah, menjaga juga satu ibadah. Kadang-kadang, membenarkan orang tersayang berehat daripada berpuasa adalah bentuk kasih sayang yang paling tulus. Kerana dalam Islam, nyawa dan kesihatan tidak pernah menjadi perkara kedua.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/kanser-prostat-panduan-penjaga/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





