Menyanyi sudah, berniaga pun sudah. Kini Ayu Damit mencabar keupayaan diri untuk kembali bergelar pelajar dan bertungkus-lumus sambung pengajian demi menggenggam segulung ijazah. Memang superwoman!
Ditemui dalam sebuah majlis pelancaran baru-baru ini, juara program realiti One In A Million yang mesra dan disenangi ramai tersebut terbuka berkongsi perkembangan diri. Membuka lembaran tahun 2022 dengan semangat baharu, Ayu turut memberitahu dia baru sahaja pulang mengerjakan umrah.
“Sebenarnya Ayu baru balik umrah dan Ayu teruskan dengan pelajaran. Ayu belajar di ASWARA dan sekarang dah semester dua untuk program asasi bagi ambil degree dalam bidang vokal. Ini adalah cita-cita yang dah lama nak masuk belajar balik.
Tambahan pula masa Ayu sambung belajar ni, tengah PKP. Lagipun tak tahu nak buat apa dan duduk di rumah. Jadi Ayu terima tawaran belajar. Belajar pun semua online. Ayu sendiri yang nak sambung belajar.”
Difahamkan penyanyi bersuara lunak ini menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak 2 Ogos tahun lalu. Dia mendapat tawaran ASWARA tahun lepas dengan tempoh pengajian selama setahun membabitkan tiga semester.
Keputusan penyanyi berusia 33 tahun berkenaan untuk sambung belajar nyata mendapat sokongan dan galakan daripada suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin. Malah, Ayu yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak malu untuk belajar pada usia 30an dan sudah mempunyai tiga anak.
Jelasnya, dia enggan menjadi penyanyi yang bersandarkan kepada bakat dan keupayaan vokal semata-mata. Bahkan ingin terus maju dan menjadi selebriti yang ada pendidikan tinggi.
View this post on Instagram
Sementara itu ditanya bagaimana dia membahagikan masa di antara keluarga, kerjaya seni dan pelajaran, Ayu bertuah kerana mampu menguruskan semuanya dengan bantuan suami.
“Pagi, Ayu kelas. Ayu akan ada masa dengan anak-anak di rumah sebab memang Ayu di rumah saja. Bab bisnes pula memang husband Ayu yang uruskan 100 peratus. Kalau show nyanyian pula, memang weekend je kami ambil.”
Selain menjadi penyanyi, Ayu dan suami juga merupakan usahawan tani berjaya dengan mengusahakan ladang tanaman seperti cili, kacang panjang dan sebagainya. Malah mereka juga aktif berniaga dengan menjual pelbagai jenis produk.
Mengulas produk yang bakal dijual selepas ini, pemilik nama Norayu Damit tersebut berkata buat masa ini dia belum lagi memikirkan produk terbaharu namun idea untuk berniaga akan ‘datang’ tanpa disangka-sangka.
“Sebab Ayu dah try jual banyak benda. Cili padi, cili padi jeruk, baulu, kek pisang. Tak tahu lagi, mungkin sebab Ayu ni jenis macam ‘Eh benda ni boleh jual. Ok, jom jual!’ Itu jenis ayu. Tengok macam mana nantilah kan.”
Semoga Ayu Damit dapat merealisasikan segala impian hidupnya. Sekaligus menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada kaum wanita untuk turut sama mengejar kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.