
Bila terpacul sahaja nama Datin Sofea Jane sudah pasti terbayangkan wataknya yang meninggalkan kesan kepada seluruh peminat filem tempatan iaitu filem ‘Perempuan, Isteri Dan …’ dan ‘Cinta Kita’ bergandingan dengan pelakon Aman Graseka.


Datin Sofea Jane terjun ke dalam dunia seni tidak hanya bersandarkan wajah semata-mata namun mempertaruhkan bakat yang mengalir dalam dirinya. Pernah meraih anugerah Artis Paling Popular di majlis Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 1993. Kini, wanita yang berusia 49 tahun ini lebih selesa menumpukan perhatian kepada keluarga.


Pejam celik rupanya sudah 26 tahun Datin Sofea Jane berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Meor Zain Azman. Pasangan sama cantik sama padan ini berkahwin pada 9 September 1995 dan telah dikurniakan empat orang cahaya mata, Arissa, Imran, Khadijah dan Soraya.

Bersempena ulang tahun perkahwinannya, Datin Sofea Jane telah berkongsi ucapan buat suami tercinta melalui ciapan yang dilayangkannya semalam.


“We jumped into it in complete good faith . I think that’s one good reason at least to keep going through the contrast and conflict. Happy 26th!” tulis wanita cantik ini. Happy Anniversary Datin Sofea Jane dan Datuk Meor Zain Azman. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga!


Dua tahun lalu Datin Sofea Jane telah menerima menantu apabila anak sulungnya, Arissa Azman mendirikan rumahtangga. Arissa mendirikan rumahtangga pada usia yang sama ibunya berkahwin, 23 tahun.