Tahniah diucapkan buat pengantin baru, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran yang selamat bergelar suami isteri pada 21 Disember lepas. Cukup menjaga privasi hubungan cinta mereka sebelum ini, akhirnya hasrat pelakon dan pengacara cantik serta penyanyi ini untuk menghalalkan hubungan mereka berdua dimakbulkan Allah SWT.
Melangsungkan pernikahan tatkala Lembah Klang dilanda musibah banjir, kediaman Raja Syahiran di Subang Jaya dilaporkan turut terjejas akibat bencana itu. Namun penyanyi ini reda dengan takdir yang menimpa dan tetap meneruskan niat untuk memperisterikan Uyaina mengikut tarikh ditetapkan.
Difahamkan selain rumah, pasangan ini turut diuji apabila pelamin yang sepatutnya menghiasi majlis bersejarah mereka juga dikatakan tenggelam disebabkan bencana alam itu. Begitu juga malam berinai yang sepatutnya berlangsung sehari sebelum majlis pernikahan terpaksa dibatalkan.
Kongsi Uyaina di media sosial miliknya, “Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah. Walaupun banyak yang berlaku sepanjang pernikahan Syahiran dan Uyaina, tapi kami gembira dapat diijabkabulkan dan majlis kecil kami dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat. Terima kasih kepada keluarga kami yang menjadi tulang belakang terkuat kami. We love you!”
Ads
Pada upacara ijab kabul, Uyaina tampak cantik berseri-seri dalam persalinan indah rekaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini yang berjaya menarik perhatian ramai. Ia adalah persalinan nikah Rizman Ruzaini Bridal Couture iaitu kurung Pahang yang diberi sentuhan moden dengan RR signature pointy shoulder dan disulam indah dengan perincian rona klasik emas.
Selain itu, busana ini juga diserikan dengan penggunaan French lace yang dipenuhi perincian dari sulaman tangan khas buat ratu sehari Uyaina Arshad.
Di samping busana yang indah, sentuhan magis jurusolek Yna Sakinah menaikkan lagi seri pengantin Uyaina. Lebih kelihatan mewah, barangan kemas yang digayakan Uyaina di majlis nikah ialah dari Ceres Jewels.
Ads
Pasangan mempelai melangsungkan majlis pernikahan dalam suasana indah di Colony by KLCC, Kuala Lumpur. Syahiran selamat bergelar suami kepada Uyaina dengan sekali lafaz. Perancangan awal mereka untuk berbulan madu di Eropah terpaksa ditunda selepas keadaan kembali normal.
Mengulas mengenai majlis resepsi, mereka dikatakan belum memutuskan tarikh yang sesuai untuk acara berkenaan.
Uyaina dan Raja Syahiran mula berkenalan pada tahun 2019 dalam sebuah program terbitan Astro dan pengacara cantik ini dirisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lepas.
Kredit foto: Instagram Uyaina Arshad & Raja Syahiran
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Esok, satu lagi sejarah tercipta apabila Malaysia bakal mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Upacara Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mengenali peribadi Raja Permaisuri Agong ke-16 ini… baginda bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru… kakanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya selaku Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia, Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi PERTAP dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI).
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah serta Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disemberi 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Raja Permaisuri Agong ke-12
Seri Paduka Baginda Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merupakan ahli kerabat diraja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda berkahwin dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada 15 Februari 1967.
Pada 14 Julai 2000, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah telah dilahirkan pada 18 November 1971. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999 hingga 21 November 2001.
Raja Permaisuri Agong ke-10
Seri Paduka Baginda Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dilahirkan pada 11 September 1924. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 ketika Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Tuanku Najihah bergelar Raja Permaisuri Agong ke-10 mulai 26 April 1994 sehingga 25 April 1999. Di samping itu, baginda turut memperoleh pendidikan formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah dan London School of Oriental Studies.
Raja Permaisuri Agong ke-9
Baginda ialah Raja Permaisuri Agong yang kesembilan berikutan perlantikan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Baginda juga merupakan rakyat jelata yang pertama dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1932.
Raja Permaisuri Agong ke-8
Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar ibni DYMM Sultan Muhammad II.
Baginda merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Iskandar Alhaj ibni Almarhum Sultan Ismail dan menjadi Raja Permaisuri Agong kelapan sejak 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Raja Permaisuri Agong ke-7
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad merupakan Raja Permaisuri Agong ketujuh mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Baginda juga ialah permaisuri kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong ke-6
Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Mohamed Petra merupakan Raja Permaisuri Agong keenam mulai 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979. Baginda juga merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewarisi takhta kerajaan negeri Kelantan dari tahun 1960 hingga kemangkatannya.
Raja Permaisuri Agong ke-5
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahmad merupakan Raja Permaisuri Agong kelima sejak 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Baginda adalah permaisuri kepada Almarhum Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Raja Permaisuri Agong ke-4
Yang di-Pertuan Agong ke-4, Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III ialah suami kepada Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat bermula 21 September 1965 hingga 20 September 1970.
Raja Permaisuri Agong ke-3
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Permaisuri Agong ketiga sejak 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Baginda merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Permaisuri Agong ke-2
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Ampuan Jema’ah Almarhum Raja Ahmad merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kedua sejak 14 April 1960 sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1 September 1960.
Raja Permaisuri Agong pertama
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tunku Kurshiah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin merupakan Raja Permaisuri Agong pertama sejak 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960.
Hidayah milik Allah! Siapa sangka, misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza baru-baru ini beri kesan tersendiri dalam hidup Elly Mazlein. Penampilan baharu pelakon dan penyanyi ini yang dilihat manis dan sopan berhijab nyata mencuri perhatian.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata penghijrahan ini tercetus daripada keikhlasan hati tanpa sebarang desakan mahupun paksaan mana-mana pihak.
Dia juga akui hatinya dijentik dan merasai satu titik perubahan dalam diri selepas mengikuti perkembangan misi GSF.
Kemunculan pengacara popular berkenaan ketika mengendalikan pentas akhir Kilauan Emas 2025 mengejutkan ramai pihak. Tidak kurang juga yang memuji keayuan Elly berhijab dan mendoakan agar dia sentiasa istiqamah ke arah kebaikan.
Kongsi pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini, “Sebenarnya tiada istilah cuba-cuba. Apa yang boleh saya katakan, kadang-kadang jihad seseorang itu yang buat kita rasa insaf. Rasa sangat kagum dan hebat.
Terutama sekali apabila melihat rakan-rakan kita yang terlibat bersama dengan misi Sumud Flotilla.”
Perjuangan dan semangat para sukarelawan GSF benar-benar menyentuh jiwa Elly Mazlein. Sekali gus membuatkan dia mahu berubah.
Ibu dua anak ini tampil menawan dalam persalinan indah rona kuning rekaan Liza Karim. Berseri-seri wajah Elly apabila mengayakan tudung bawal.
Sebelum ini, Elly Mazlein memang dikenali dengan sikap penyayang dan jiwa prihatin khususnya melibatkan isu berkaitan kanak-kanak dan golongan kurang bernasib baik.
Nona mendoakan agar figura ini terus istiqamah memberi suntikan semangat dan menggunakan pengaruhnya sebagai public figure untuk menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Majlis iftar ‘Embrace Gift Of Life’ di Shangri-La Kuala Lumpur cuit emosi ramai baru-baru ini. Pada malam yang istimewa minggu lalu, Grand Johor Ballroom di Shangri-La Kuala Lumpur bercahaya dengan sinaran kasih sayang dan kegembiraan.
Majlis tahunan ‘Embrace Gift of Life’ menyatukan 140 tetamu yang mewakili kepelbagaian masyarakat termasuk 60 anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Qaseh Ibu dan juga anak-anak penerima Embrace bersama keluarga mereka.
Majlis ini tidak sekadar sekadar majlis iftar tetapi satu usaha bersama untuk menyokong program amal yang telah berlangsung sejak 1985.
‘Embrace Gift of Life’ merupakan tangan kasih kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung bawaan atau penyakit jantung yang serius. Dana yang dikumpul pada malam itu dan di setiap majlis sebelum ini, membawa sinar harapan kepada keluarga yang memerlukan.
Pengurus Besar Shangri-La Kuala Lumpur, Daniel Kaeflein, menyuarakan penghargaan kepada semua yang hadir. Beliau menegaskan komitmen hotel untuk menjadi sebahagian daripada komuniti yang prihatin.
Baginya, ‘Embrace Gift of Life’ bukan sekadar program amal, tetapi satu panggilan untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.
Pada malam itu, semangat kebaikan begitu kuat. Para tetamu dan sukarelawan berkongsi senyuman dan cerita, seolah-olah masa berlalu tanpa bebanan, tanpa kesedihan.
Melihat kegembiraan di wajah anak-anak dari Rumah Qaseh Ibu menikmati makanan penuh berselera dan bermain ternyata kasih sayang ini turut menyatukan semua orang.
Istimewanya, majlis ini turut mendapat rakan penaja yang prihatin. Jenama bas pelancongan ‘Hop On Hop Off’ telah menyediakan pengangkutan bagi anak-anak dari Rumah Qaseh Ibu, memastikan mereka tiba dengan gembira dan selamat selain kerjasama dengan Nanyang Press.
Persembahan anak-anak Istimewa dari Heavenly Star Music Academy turut memeriahkan majlis. Anak-anak kecil berusia 3 hingga 12 tahun memukau hati para tetamu dengan bakat mereka yang mengagumkan. Di antara nada-nada yang indah, kita merasakan betapa berharganya setiap momen yang kita miliki.
Shangri-La Kuala Lumpur dengan tegas mengulangi komitmen mereka untuk menyokong program ‘Embrace Gift of Life’ dan inisiatif komuniti lainnya.
Keanggunan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sering meraih perhatian rakyat. Meskipun sudah meniti usia 50an namun penampilan baginda tidak mencerminkan umur sebenar. Malah Raja Permaisuri Perak ini sentiasa kelihatan awet muda dan bertenaga!