Nama gadis muda, Nur Liyana Shubhi, 22 tahun, kini antara yang diperkatakan sebagai pelapis usahawan kosmetik muda. Mempunyai latar belakang pendidikan Diploma Pentadbiran Awam dan sedang meneruskan pengajian ijazah, dia bijak mengurus masa antara pelajaran dan perniagaan yang dijalankan.
Liyana Beauty Cosmetic mengeluarkan rangkaian produk kecantikan seperti bedak asas, pemerah pipi, pengilap bibir serta gincu bibir dengan pelbagai rona yang bersesuaian dengan warna kulit wanita di Asia.
“Saya merupakan graduan Universiti Teknologi Mara Kedah dan sekarang meneruskan Ijazah Sarjana Muda di universiti yang sama. Memulakan perniagaan ketika di usia 17 tahun dengan menggunakan wang biasiswa sebagai modal utama untuk memulakan perniagaan kosmetik.
Saya merupakan wakil usahawan untuk mewakili UiTM Kedah dan meraih tempat pertama di antara universiti di utara yang turut serta pada hari tersebut. Seramai 60 mahasiswa telah bertanding selama 3 hari dan hanya 15 orang yang layak ke peringkat akhir.
Saya turut terpilih sebagai ikon usahawan mahasiswi ketika berada di universiti dan menjadi pelajar contoh kepada para pelajar supaya mereka juga boleh melakukan perkara yang sama iaitu bijak membahagikan masa di antara pelajaran dan kerja yang diminati,” jelas Nur Liyana dengan penuh semangat.
“Saya merupakan seorang yang aktif, wakil pelajar dan memegang jawatan sebagai pengurus keusahawanan pelajar. Selain itu, saya adalah presiden Kelab Memanah UiTM Cawangan Kedah dan turut aktif dalam kegiatan sukan seperti memanah serta bermain tenis ketika sedang menuntut di universiti. Pengalaman ini antara yang tidak dapat saya lupakan kerana ia banyak mengajar saya agar lebih matang dalam kehidupan.
Saya juga menubuhkan ImagineKind. Pertubuhan ini dijalankan untuk mengumpul derma serta membantu mereka yang memerlukan. Saya amat berbangga kerana separuh keuntungan dari hasil penjualan kosmetik saya turut disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
Ads
Saya percaya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Hasil pencapaian saya pada hari ini mungkin tidak sebesar usahawan wanita yang lain tetapi insyaAllah saya akan cuba menggunakan peluang sedia ada untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada,” ujar Nur Liyana.
Gadis hebat ini menjalankan perniagaan secara online sepenuh masa dengan bantuan ejen, stokis dan juga dropship. “Tanggungjawab saya sekarang adalah untuk memastikan perjalanan perniagaan sentiasa bergerak meskipun musim pandemik semakin serius.
Sebenarnya saya bukan menjalankan perniagaan untuk mengaut keuntungan semata-mata, tapi saya juga ingin membantu orang lain agar menjana pendapatan mereka.
Saya percaya, setiap usahawan yang masih beroperasi meskipun musim pandemik ini sudah pasti tidak mahu perniagaan yang dijalankan gulung tikar tapi saya percaya dengan setiap rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Saya amat bersyukur saya dapat membantu keluarga dari segi kewangan dan saya ingin beri lebih lagi sekiranya saya mampu kerana saya yakin, kunci untuk berjaya adalah dengan membahagiakan kedua ibu bapa serta ahli keluarga dan tidak lupa juga kepada Sang Pencipta.”
Ads
Apakah cabaran-cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Antara cabaran yang sangat terasa buat yang bergelar usahawan apabila hasil jualan yang merosot akibat daripada pandemik ini. Ramai masyarakat yang dibuang kerja dan sebagainya. Meskipun begitu, sebagai usahawan kita tak boleh mudah putus asa malah kita harus cari jalan penyelesaian yang lain untuk selesaikan masalah tersebut.
Dalam usia muda, selain belajar saya juga pernah melalui pelbagai dugaan hidup dalam usaha mencari rezeki sendiri dan modal untuk berniaga. Saya pernah bekerja sebagai waiter di sebuah restoran di Sungai Petani, Kedah.
Pernah juga berkhidmat sebagai guru sambilan Bahasa Inggeris, dan juga pernah bekerja sebagai ‘customer service agent’ dimana saya kena menjawab panggilan dan hampir hari-hari saya kena marah dengan pengguna yang dihubungi pada waktu itu. Saya tidak marah cuma saya merasakan itu adalah salah satu pengalaman yang baru buat diri saya.
Bila berlaku kerugian dalam perniagaan saya tidak pernah berputus asa, bangkit berusaha juga untuk tampung kembali kerugian yang saya hadapi, memandangkan saya tidak mahu menyusahkan ahli keluarga saya ataupun mengambil jalan singkat dengan mengambil pinjaman dari bank dan sebagainya.
Apa yang saya buat adalah berikhtiar menjalankan perniagaan sampingan seperti menjual pakaian preloved, menjual makanan yang saya masak sendiri dan juga menjadi jurusolek pengantin.
Ads
Saya harap, wanita usah cepat berputus asa dengan setiap rintangan hidup yang mendatang. Saya juga yakin bahawa saya masih muda dan masih banyak peluang untuk diterokai. Apa yang penting adalah usaha dan juga sering mohon kepada-Nya,” jelas Nur Liyana yang kuat menghadapi cabaran di musim pandemik ini.
“Saya pernah lalui pengalaman tak ada duit sama sekali. Baki hanya RM1 di dalam bank dan RM 10 di tangan. Pada awalnya saya tak kisah kerana masih tinggal dengan ahli keluarga, makan serta pakai disediakan dan tak ada komitmen seperti sekarang.
Tiba-tiba ada seorang lelaki tua datang minta sedekah. Saya beri RM10 terakhir saya tu tanpa berfikir panjang dan keesokan harinya, saya dikejutkan dengan berita yang sangat baik. Saya diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan Business Pitching. Alhamdulilah.”
Kata-kata akhir mewakil anak muda yang punya semangat tinggi dalam perniagaan. “Jika kita ada semangat tinggi dalam bidang perniagaan, berusahalah. Penat itu pasti ada, tapi saya yakin kalau kita buat benda yang kita suka, penat tu tak akan terasa, lebih lebih lagi kalau saya sedang penat tapi lihat wajah ahli keluarga saya, hilang penat saya pada masa itu.
Tak lupa juga tentang pelajaran saya, saya berjanji dengan diri saya untuk timba ilmu selagi saya mampu, oleh itu saya tak akan pernah abaikan pelajaran saya sama sekali meskipun kadang-kadang masa itu sangat singkat memandangkan saya perlu menguruskan semuanya sendiri tetapi saya bersyukur kerana saya masih mampu mengatur masa saya dengan baik.
Bagi saya, pengurusan masa itu sangat penting, dahulunya saya seorang yang paling suka tidur dan bangun lewat. Suatu hari saya fikir, macam mana saya nak berjaya kalau saya bangun lewat? Orang tua- tua kata rezeki pun masuk lewat kalau kita bangun lewat.
Pada awalnya tak mudah mengubah tabiat yang sering kita lakukan tetapi perlahan-lahan insyaAllah pasti anda dapat lihat perubahannya. Kalau dulu awal permulaan perniagaan pendapatan bisnes hanya dalam linkungan RM1000 sahaja tapi sekarang alhamdulilah mencecah lima angka sebulan,” akhiri Nur Liyana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersandarkan prinsip untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan pengalaman serta ilmu yang dimiliki menjadi pemacu kepada Datin Sri Dr Yetti Murni Zamris untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan berteraskan perkhidmatan kesihatan wanita.
Sebelum berkhidmat di Putrajaya dan menceburi bidang keusahawanan, Dr Murni pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan serta bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Alor Gajah Melaka.
Kata penerima Nona Best Entrepreneur in Healthcare Industry Award yang mesra disapa sebagai Dr Murni ini: –
“Saya menceburi bidang ini kerana pengalaman dan pengetahuan yang saya ada. Maka. dapatlah saya memberi sumbangan yang lebih baik kepada masyarakat seterusnya menerapkan nilai-nilai murni kepada ramai orang.”
Klinik Siti diasaskan pada tahun 1991 oleh ibu mentua Dr Murni iaitu Datin Dr Siti. Kemudian, pada tahun 2016 pengurusan klinik ini telah diambil alih oleh suaminya, Dato’ Sri Dr Muhammad Ali.
Sepanjang bekerja di Klinik Kesihatan yang memfokuskan khidmat kesihatan kepada ibu dan anak, Dr Murni mendapati berlakunya isu-isu berkaitan pengurusan dan kekangan masa yang terhad bagi golongan ibu mengandung bagi mendapatkan khidmat di Klinik Kesihatan.
Maka, tercetusnya inisiatif pembukaan Klinik Siti yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad serta cuti umum bermula pukul 8 pagi sehingga 11 malam,.
“Kini, saya juga seorang pengarah serta pemegang saham syarikat Siti Healthcare Sdn Bhd yang mengendalikan pengurusan Klinik Siti. Manakala Siti Healthcare Sdn Bhd memastikan khidmat yang ditawarkan memberi penjagaan kesihatan yang baik dan mengikut garis panduan ditetapkan oleh Kementeriaan Kesihatan Malaysia.
“Saya bertanggungjawab menetapkan garis panduan bagi Klinik Siti yang juga memfokuskan kepada penjagaan kesihatan kaum wanita.
“Selain itu, para doktor yang berkhidmat di Klinik Siti diberi latihan yang lebih dalam menguasai perkhidmatan yang ditawarkan khususnya “Ultrasound”. Doktor-doktor ini dilatih untuk lebih menguasai perkhidmatan scan seperti scan 3D4D, screening anatomy, scan Breast & Tyroid dan lain-lain yang ditetapkan.
“Kami mempunyai lebih 100 doktor wanita yang menerajui setiap cawangan Klinik Siti. Pada masa sama, masih boleh berkhidmat dan menguruskan keluarga serta anak-anak dengan masa bekerja yang lebih fleksibel,” kongsi Dr Murni yang berusia 37 tahun.
BIJAK BAHAGI MASA “Pada mulanya, pengurusan masa antara kerjaya, keluarga dan diri sendiri sedikit terjejas. Saya mengalami sedikit kesukaran tetapi setelah beberapa tahun berkecimpung dalam bidang ini akhirnya saya dapat mengurus segalanya dengan lebih baik. Paling penting, saya turut mendapat sokongan yang kuat daripada pihak keluarga terutamanya suami.
“Mengimbau kembali detik paling sukar ialah ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Sejujurnya ketika itu, pihak pengurusan dan syarikat juga mengalami detik yang sukar bagi meneruskan operasi serta perniagaan.
“Apa pun, kami berbalik kepada niat asal penubuhan Klinik Siti adalah untuk membantu, bukan hanya golongan pesakit malah tenaga kerja Klinik Siti agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup. Dengan niat yang ditanamkan serta izin dari Yang Maha Esa, Klinik Siti kembali bangkit dan terus berkhidmat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” jelas Dr Murni.
DORONGAN SUAMI “Sokongan yang kuat semestinya dari suami saya. Kejayaan seorang lelaki dengan adanya sokongan yang kuat dari seorang wanita.
“Begitu juga kejayaan seorang wanita adalah berdasarkan sokongan kuat dari seorang lelaki yang progresif sekali gus mendorong saya agar lebih berjaya dan maju. Tidak ketinggalan adalah sokongan daripada keluarga, ibu serta anak-anak,” ujarnya.
Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Tajaan Lokasi: Hotel Concorde Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengarah Urusan Alhumaira Worldwide, Hani Elia Rousli berpendapat apa pun cabaran yang datang pelu ditempuh dengan sabar. Dalam usia 33 tahun Hani sudah mampu memiliki sebuah kehidupan yang sempurna termasuk kerjaya yang stabil sebagai usahawan sukses.
JATUH BANGUN
“Sepanjang lapan tahun penubuhan Alhumaira, pernah jugalah beberapa kali saya mengalami fasa kejatuhan sehingga merasa hampir putus asa. Namun saya sentiasa ingatkan diri, mengapa saya bermula dulu. Saya juga sentiasa berfikiran positif. Jangan sesekali lari daripada masalah.
Paling penting juga ialah fokus kepada kekuatan bisnes,” luah graduan Diploma Graphic & Digital Media UiTM Sri Iskandar, Perak ini. Terdahulu, ibu kepada dua cahayamata ini pernah bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.
TERSENDIRI
“2019 genaplah usia Alhumaira yang ke-9 tahun dan kami masih diterima. Selaku Head Designer saya juga berperanan bagi memastikan pengeluaran tudung Alhumaira sentiasa mengikut trend semasa.Pada masa sama masih mengekalkan ciri-ciri signature tulen Alhumaira.
Bagi saya, untuk terus relevan usah bersaing untuk berada di depan atau di belakang sesiapa, tetapi bersainglah di sisi mereka. Cari kekuatan sendiri dan bergerak di landasan sendiri. Sentiasa fahami kehendak pelanggan, rajin buat kajian mengenai trend semasa. Elak meniru hasil usaha orang lain.
Cipta keunikan tersendiri sehingga pelanggan mengenali jenama kita tanpa terkait dengan mana-mana jenama. Reputasi jenama dan kepercayaan pelanggan amat penting untuk kekal lama dalam perniagaan. Sentiasa menjadi yang original,” kongsi Hani yang menjadikan suaminya, Humaidi Fadzil serta anak-anak dan keluarga sebagai pencetus semangat.
NASIHAT
“Wanita perlu lebih progresif dalam menjana pendapatan sendiri agar dapat melengkapi keperluan diri dan isi rumah. Berusaha mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada kaum lelaki. Lakukan sesuatu yang kita minat dahulu, duit akan datang selepas itu. Keluarga adalah faktor terbaik mengapa kita bekerja atau berniaga.
Superwoman ialah wanita yang mampu menjadi diri sendiri, kuat dan memberikan yang terbaik dalam apa jua dilakukan di samping memberi inspirasi kepada wanita lain mengiut versi masing-masing,” akhiri Hani yang berhasrat untuk membawa jenama Alhumaira ke persada antarabangsa. Setakat ini Alhumaira hanya mempunyai reseller di Thailand,Singapura dan Brunei. Impian seterusnya ingin menembusi pasaran Asia dan juga Eropah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik dan bergaya! Itulah gambaran awal penulis tatkala melihat penampilan Datin Fatin Amyera Zainal Abidin yang memilih perniagaan berasaskan kecantikan sebagai forte untuk dirinya. Jenama Amyera Beauty yang diasaskan sejak 2014 ini begitu dekat di hati isteri kepada Dato Shahrul Nasrun yang ingin berkongsi rahsia penjagaan dalaman yang baik untuk kegunaan kaum wanita.
Menyelami minat dan obses Datin Amyera terhadap bidang kecantikan membawa penulis mengenali keperibadian wanita ini yang sudah menunjukkan minat terhadap dunia kecantikan sejak di bangku sekolah lagi. Bermula dari gemar terhadap barangan kecantikan sehingga mendorong dirinya untuk minat berniaga.
“Saya mula belajar berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya hanya membantu ibu menguruskan restoran. Selepas menamatkan alam persekolahan, saya meneruskan minat dalam bidang perniagaan. Cuma di peringkat awal, segalanya agak terbatas untuk memulakan perniagaan atas faktor kekangan modal”, ujar Datin Amyera memulakan bicara.
Faktor modal menjadi kekangan untuk dirinya menceburkan perniagaan. Namun berkat usaha dan minat tanpa mengenal putus asa dan erti jemu, Datin Amyera memulakan langkah dengan menjual pelbagai produk termasuklah pakaian wanita.
“Beberapa tahun selepas itu, saya mula berfikir cara untuk mendapatkan pulangan yang besar serta teknik untuk memajukan perniagaan. Jika hendak mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda, saya harus beranikan diri untuk mencipta jenama sendiri. Saya pegang kepada satu pepatah, “I can accept failure, everyone fails at something but I can’t accept not trying”.
Hasil kerja keras dan teknik perniagaan yang betul, kini beliau boleh berbangga dengan produk dihasilkan antaranya termasuklah QUINN-V jamu khusus untuk penjagaan dalaman wanita, QUINN CLEAN INTIMATE FEMININE WASH pembersih peribadi wanita, PRIVATE AFFAIR INTIMATE SCRUB untuk mencerahkan bahagian peribadi, SHINEBRIGHT WHITENING SHOWERGEL untuk membersihkan, mencerah, melembutkan kulit badan dan terkini , QUINN-Ssuplemen botani untuk membantu menurunkan masalah berat badan dengan cepat dan selamat.
Lebih membanggakan, produk jenama tempatan ini mula menjadi teman baik para wanita di Malaysia, Singapura, Indonesia dan kini menembusi pasaran di Brunei.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awal dalam dunia perniagaan berasaskan kecantikan untuk wanita, ibu kepada dua cahayamata ini mengakui perjalanannya melangkah ke alam perniagaan bermula dari bawah dengan menjual jenama produk lain sehinggalah dia memberanikan diri untuk mula mengeluarkan jenama sendiri selepas beberapa tahun menimba sedikit sebanyak ilmu perniagaan,” ujar Datin Amyera memulakan cerita di sebalik langkah pertama memulakan perniagaan.
“Jangan tak tahu, saya mulakan perniagaan dengan memperkenalkan produk kepada rakan terdekat dan keluarga serta menggunakan medium media sosial untuk berniaga. Ketika itu, kediaman menjadi lokasi untuk saya menyimpan stok dan melakukan segala urusniaga. Alhamdulillah, produk jenama AMYERA mula mendapat tempat di hati pelanggan dan ia semakin berkembang dari sehari ke sehari.”
Sebagai pengusaha jenama produk berasaskan kecantikan, sudah semestinya Datin Amyera amat mengambil tahu mengenai produk yang dihasilkan bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanan terhadap penjagaan tubuh.
“Memandangkan produk AMYERA lebih memfokuskan terhadap kesihatan dalaman, setelah mengamalkannya, saya dapati ia memberi kesan yang baik dan saya nampak lebih muda berbanding dahulu apabila mengamalkan produk jamu dan produk menurunkan berat badan keluaran AMYERA iaitu QUINN-S dan QUINN-V,” ujarnya yang mencuba sendiri serta melihat hasil yang baik dan wajar dikongsikan bersama wanita lain.
Menggunakan bahan-bahan organik dalam penghasilan produk, ia sekaligus ia mampu memperoleh kepercayaan pengguna yang mementingkan produk yang berkualiti serta selamat untuk digunakan.
Ketika diminta untuk berkongsi rahsia kejayaan, dengan rendah diri Datin Amyera meletakkan dirinya masih dalam proses belajar mengenai selok belok dunia perniaagan.
“Saya juga masih belajar untuk lebih berjaya. Sedikit perkongsian untuk mereka yang mahu mulakan perniagaan, pastikan anda membuat “research” supaya produk ingin dipasarkan mampu menyelesaikan masalah pengguna.
Branding juga memainkan peranan penting. Jadikan rakan disekeliling sebagai pengguna pertama. Sekiranya ia berkesan dan ada perubahan pada pengguna, bermakna anda telah berjaya melahirkan kepercayaan terhadap produk anda. Laburkan sedikit wang untuk pemasaran di media sosial. Dari situ, anda akan mula mendapat keyakinan diri untuk lebih mencuba dan terus berjaya. Yang penting, “Invest in yourself !”,”ujarnya menutup sesi temubual yang penuh inspirasi bersama NONA.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.