
Ini masa terbaik untuk anda mengambil kesempatan menghabiskan masa bersama anak-anak dan mungkin aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengajar memasak. Alam kanak-kanak sentiasa dipenuhi oleh benda baru.
Ia suatu proses pembelajaran biarpun usianya baru setahun jagung. Jadi, sudah pasti banyak perkara yang mahu dicubanya termasuklah membantu ibunya memasak dan menyediakan hidangan di dapur.
Kerja dapur biasanya dilakukan oleh anak perempuan. Namun, peranan anda sebagai ibu amat penting bagi memantau keselamatannya. Panduan berikut boleh dimanfaatkan.
(a) Buat pemantauan
Pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan anak anda tidak kiralah anak anda itu sudah mahir di dapur atau tidak. Sentiasalah memerhati gerak gerinya ketika di dapur. Tegur dengan segera jika dia melakukan kesilapan.
(b) Tetapkan peraturan
Gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami untuk membuat peraturan keselamatan yang perlu diturutinya. Terangkan kepada anak semua peraturan itu. Jika anak anda enggan ikut peraturan, bermakna dia masih belum bersedia untuk bersama anda di dapur.
(c) Sesuaikan waktu
Bukan semua waktu memasak sesuai dilakukan bersama anak, lebih-lebih lagi jika anda berada di dalam keadaan yang tergesa-gesa. Mungkin anda tidak dapat memantau anak. Mungkin juga dia akan melakukan kesilapan hingga menyebabkan kecederaan dirinya. Pastikan suasana dapur dalam keadaan selesa semasa si kecil membantu anda di dapur.
(d) Penjelasan ringkas
Kanak-kanak hanya akan merasa seronok jika dapat membantu ibunya di dapur tanpa memikirkan bahaya yang mungkin dihadapinya. Jadi, sebelum memasak terangkan kepadanya akibat jika dia main-main atau tidak serius.
(e) Nilaikan kelayakan
Tidak semua anak kecil boleh dibenarkan berlegar bebas di dapur apatah lagi jika anda sedang memasak. Nilai sejauh mana anak anda dapat membantu anda di dapur. Jika dia masih terlalu kecil, sukar dipantau dan tidak betah duduk diam lebih baik jauhkan dia dari ruang dapur.
(f) Bantu dan ajar anak
Jika anak anda baru belajar menggunakan perkakasan dapur atau memotong bawang, bantunya terlebih dahulu. Peralatan seperti pisau membahayakan dirinya. Pemantauan daripada anda dapat mengelakkan kecederaan.
(g) Tugasan bersesuaian
Jika anda mahu memberikan sebarang tugasan kepadanya, lihat dahulu sejauh mana kebolehannya. Lihat kepada usia dan kemahiran yang ada padanya. Jika anak anda itu rendah daripada ketinggian dapur dan masih belum pandai menggunakan senduk, usahlah sesekali memintanya mengacau gulai di dapur.
Masalah Pendengaran Meningkat Semasa PKP. Mana Tidaknya, Semua Terdedah Kepada Audio Keterlaluan!

Melepasi satu bulan berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sudah tentu banyak masa dihabiskan di hadapan kaca televisyen dan gajet seperti telefon pintar atau skrin komputer. Sekaligus pancaindera seperti mata dan telinga amat terdedah terhadap masalah terutamanya apabila terdedah dengan cahaya skrin dari komputer dan kebanyakan individu lebih gemar menggunakan head phone Ketika melakukan tugasan, baik semata menghadiri mesyuarat secara alam maya ataupun sekadar mendengar muzik semasa melakukan tugasan.
NONA mendapatkan pandangan Pakar Telinga, Hidung, Tekak dan Pembedahan Kepala & Leher, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM & Klinik Pakar Perubatan USIM Dr Nor Eyzawiah Hassan mengenai perkara di atas.
Dr Nor Eyzawiah Hassan
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah terhadap penggunaan gajet untuk kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang jika terlalu terdedah dengan bunyi dengan penggunaan alat pendengaran seperti headphone atau earphone”?
DR NOR EYZAWIYAH: Bagi memastikan pengekangan wabak pandamik COVID-19, kerajaan telah mengarahkan arahan PKP yang telahpun memasuki fasa ketiga. Situasi ini tidak dapat dipastikan bila akan berakhir. Kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, mahupun tinggi telah pun ditutup.
Sebagai ibubapa kita pasti tidak mahu anak-anak terdedah dengan aktiviti yang tidak sihat serta mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan bukan?Selain daripada melayari kelas secara online, salah satu daripada aktiviti anak-anak yang popular untuk mengisi kebosanan adalah bermain “game” dan dengan melayari video atas talian. Aktiviti ini lebih popular dengan penggunaan “headphone atau earphone” untuk mendapat lebih fokus atau keseronokan.
Mengikut kajian, pendedahan terhadap permainan atas talian adalah dianggarkan secara purata 5-7jam sehari. Sewaktu PKP, jangka masa ini dijangka meningkat lebih banyak jika tidak dikawal. Pendedahan penggunaan gajet dan penggunaan headphone harus dipantau supaya digunakan dengan cara selamat dan dapat mengelakkan kesan jangka pendek dan jangka penjang.
NONA: Boleh Dr kongsikan kesan jangka pendek dan jangka masa panjang penggunaan headphone atau earphone ini?
DR NOR EYZAWIYAH: Penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi tidak selamat, dan terlalu kuat dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan masalah kurang pendengaran dan gangguan deringan halus (tinnitus) di dalam telinga. Jika pendedahan kepada bunyi kuat ini dijauhkan dan dielakkan, kesan ini bersifat semetara dan boleh kembali kepada normal.
Jika pendedahan kepada paras bunyi yang tinggi berlaku secara berterusan, ia boleh mendatangkan kepada masalah kurang pendengaran dan tinnitus di dalam telinga kesan jangka panjang. Jika berlaku kesan jangka panjang, ia tidak boleh disembuhkan kerana kerosakan sel-sel rerambut pendengaran telah berlaku secara kekal. Banyak kajian dijalankan mendapati semakin ramai remaja mengalami masalah pendengaran akibat penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi yang tidak selamat.
Selain memberi kesan kepada pendengaran, pendedahan kepada bunyi yang bising dalam jangka masa yang lama juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan. Ia boleh menyebabkan peningkatan denyutan nadi dan tekanan darah serta peningkatan kadar pernafasan. Pendedahan kepada bunyi yang bising juga boleh menyebabkan gangguan tidur. Ini secara langsung dan tidak langsung boleh menyebabkan masalah kurang fokus, mudah penat dan emosi terganggu.
NONA: Apakah saranan terbaik utk ibubapa mengehadkan waktu gajet anak-anak?
DR NOR EYZAWIYAH Untuk memastikan anak-anak tidak terdedah dengan paras bunyi yang tidak selamat, ibu bapa dan masyarakat perlu mengetahui paras bunyi yang selamat. Mengikut saranan Industrial Noise Control Module (DOSH) 2018, bunyi yang melebihi 90dB selama lebih 8 jam sehari adalah tidak selamat.
Jadual 1: Paras bunyi yang tidak selamat dan jangka masa pendedahan
Paras bunyi (dB) | Jangkamasa pendedahan (minit-jam) |
85 | 16 jam |
90 | 8 jam |
95 | 4 jam |
100 | 2 jam |
105 | 1 jam |
110 | 30 minit |
115 | 15 minit |
140 | letupan |
Untuk mengetahui paras bunyi dan contoh bunyi yang ada disekeliling kita, boleh merujuk jadual 2. Ibubapa disarankan untuk mendedahkan kepada anak-anak tentang paras bunyi dan bahaya pendedahan kepada bunyi yang tidak selamat. Adalah digalakkan untuk memantau paras bunyi yang digunakan dan jangka masa pendedahan agar anak-anak terhindar daripada kesan jangka masa pendek dan Panjang. Pendedahan dan didikan boleh didedahkan dengan pelbagai cara penyampaian supaya lebih kreatif dan menarik minat anak-anak serta memberi impak yang lebih besar.
NONA: Pada pandangan doktor, apakah aktivi yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak kecil dan mengelakkan mereka dari terlalu ‘lekat’ dengan gajet?
DR NOR EYZAWIYAH :Penggunaan gajet dan pendedahan terhadap penggunaan headphone dan earphone agak berleluasa pada masa sekarang. Tetapi, masih ada peluang untuk kita merubah keadaan dan merangsang perkembangan anak-anak terutama yang masih kecil. Ibubapa harus mengambil peluang sewaktu PKP ini untuk meluangkan masa dengan anak-anak sambil berbual dan bertukar idea. Masa bersama sangat penting kerana inilah saatnya ibubapa boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya. Inilah juga masanya untuk ibubapa memberikan teguran pada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan. Ini sebenarnya lebih bermanfaat untuk perkembangan otak si kecil dan hubungan diantara ibubapa dengan anak yang lebih besar terutama yang meningkat remaja. Kebosanan mereka tidak seharusnya dibiarkan dengan penggunaan gajet yang melampau.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan komputer game.bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak kesan pada pendengaran.
DR NOR EYZAWIYAH: Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kaum bapa juga melekat pada skrin telefon dan komputer bersama earphone atau headphonenya. Kaum bapa juga seharusnya mematuhi paras bunyi yang selamat dan pematuhan jangka masa yang disarankan. Sewaktu PKP inilah kaum bapa yang selalunya sibuk ditempat kerja boleh mengambil peluang bersama bermain bersama anak-anak terutama permainan yang boleh menguji minda dan membaca buku bersama-sama. Disamping itu, aktiviti solat berjemaah dan bertadarus juga amat digalakan. Apatah lagi sewaktu Ramadan bakal menjelma, ini adalah masa terbaik untuk menjadi Imam untuk keluarga dalam situasi PKP ni.
Jadual 2: Paras bunyi dan contoh sumbernya.:
“Aku tidak ada anak yang merampas suami orang dan hidup bermadu…”

PENGALAMAN yang dilalui oleh Nadiah (bukan nama sebenar) ini memang agak memilukan. Sudahlah ditinggalkan suami, dirinya pula seperti disingkirkan oleh keluarga. Dengan anak-anak seramai enam orang dan dia pula tidak mempunyai pekerjaan.
Apa yang memilukan, sepanjang tempoh itu, keluarganya langsung tidak ambil kisah. Tanpa sebarang pekerjaan dan kemudian setelah bekerja, ditipu pula. Pun tidak ada siapa yang ambil tahu walau pun dia tinggal menyewa di sebelah rumah ibunya yang tersergam. Tetapi keadaan menjadi kecoh dan seluruh keluarga menjadi gempar apabila Nadiah mengambil keputusan menjadi isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan.
Luahan rasa Naidah…
SAYA datang dari sebuah keluarga besar. Dari segi perangai, saya memang agak berbeza berbanding dengan adik beradik yang lain. Seorang yang agak ‘reserve’ dan mempunyai sedikit kelebihan dari segi rupa dan pelajaran. Kemudian saya juga bertemu jodoh dengan seorang yang agak berkedudukan.
Saya tidak pernah meninggi diri dengan kelebihan yang saya miliki itu. Namun saya sedar, ada di antara adik beradik yang cemburu. Apa lagi, setelah berkahwin suami pula tidak suka saya terlalu bergaul dengan adik beradik. Semuanya gara-gara dia tidak berkenan dengan sikap mereka termasuk ibu saya yang kononnya ‘busy body’, cakap lepas dan macam-macam lagi.
Saya tidak menafikan kata-kata suami itu. Namun walau apa pun, bagi saya mereka tetap keluaga saya. Kerana itu setelah berkahwin, saya minta tinggal berhampiran dengan keluarga. Dan saya hanya bertemu mereka ketika suami tiada di rumah. Kerana itu tidak hairanlah apabila kehidupan saya lebih banyak tertumpu kepada rumah tangga. Saya tidak pernah bersama adik-beradik duduk bersembang-sembang di rumah ibu pada waktu petang.
Selepas melahirkan anak pertama, saya berhenti kerja. Sejak itu, saya benar-benar bergantung hidup pada suami. Namun suami tetap memberi wang untuk saya berikan kepada ibu. Kerana suami saya tidak kedekut dari segi wang ringgit. Malah boleh dikatakan agak boros.
Suami memang mahukan anak yang ramai kerana dia merupakan anak tunggal. Namun saat melahirkan anak ke enam, bermulalah episod duka di dalam hidup saya. Saya ditinggalkan kerana dia telah mempunyai orang lain.
Sebenarnya saya tidak tahu apa yang dia cari. Kerana bukan saja perempuan itu lebih tua daripadanya (suami 11 tahun lebih tua daripada saya) tetapi mempunyai latar belakang yang tidak baik. Tapi apakan daya, itu pilihannya.
Saya diceraikan sewaktu suami dipecat atas tuduhan pecah amanah. Kemudian kami membuka butik. Tetapi bankrap kerana ditipu. Dia bekerja pula di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itulah saya dengar cerita dia bertemu dengan perempuan itu dan saya diceraikan… Ketika saya diceraikan, tidak ada apa yang mampu saya tuntut kerana dia memang tidak mempunyai apa-apa sudah.
Dia memang sedang jatuh teruk. Kalau dulu kami mempunyai tiga buah kereta, tetapi kini basikal anak pun telah dijual. Bahkan banyak barang-barang berharga di rumah yang telah dijual dan wang simpanan juga tepaksa dikeluarkan ketika bankrap dulu.
Dalam keadaan ‘tidak ada apa-apa’ itulah saya terpaksa hidup bersama enam orang anak. Sedangkan dia terus menghilangkan diri. Dari menyewa rumah besar, saya terpaksa berpindah ke sebuah rumah tanpa bilik. Mana barang-barang yang boleh dijual telah saya jual semuanya kerana ingin menampung kehidupan kami anak beranak.
Akhirnya saya mendapat pekerjaan. Ibu mahu menjaga anak-anak saya yang belum bersekolah tetapi saya perlu membayar sebanyak RM300 seorang. Mana nak cari duit sebanyak itu? Akhirnya hanya anak yang kecil saya hantar sementara yang lain (yang belum bersekolah) tinggal di rumah. Jiran sebelah yang tolong tengok-tengokkan.
Hanya tiga bulan pertama, saya menerima gaji. Bulan-bulan berikutnya, gaji mula tersekat-sekat. Bahkan tak pernah lagi dapat cukup. Apabila ditanya, syarikat kata ada masalah. Saya cuba minta kerja di tempat lain. Dengan usia yang dah banyak, bukan mudah untuk mencari kerja. Dalam pada itu, ramai pula yang mengambil kesempatan atas status janda saya.
Dalam terkapai-kapai itulah saya diperkenalkan dengan Sham (bukan nama sebenar). Pada peringkat awal, saya tidak menganggap apa-apa terhadapnya. Lagi pun saya tidak terfikir untuk berkahwin lagi. Apa lagi, dia sudah mempunyai dua isteri. Bagi saya berkahwin lagi bererti saya mencari masalah. Lagi pun siapalah yang jujur hendak mengahwini janda beranak enam?
Perkenalan itu berjalan biasa-biasa saja. Sering juga kami keluar makan tetapi saya pastikan bukan berdua. Banyak kali juga dia menghulurkan wang kerana tahu keperitan hidup saya. Tapi semuanya saya tolak dengan baik.
Suatu hari, saya didatangi seorang wanita yang walau pun telah agak berumur tetapi masih cantik dan bergaya. Berderau darah saya apabila dia mengenalkan dirinya sebagai isteri Sham. Saya sangka wanita itu ingin menyerang saya. rupa-rupanya tidak. Sebaliknya dia menyuarakan hasrat untuk melamar saya sebagai madunya.
Sekali lagi saya terkedu. Bala apakah yang datang ini? Enam bulan saya mengambil masa untuk berfikir. Dalam pada itu, sering juga isteri Sham (termasuk isteri mudanya) bertemu dengan saya. Ada juga beberapa kali mereka menjemput saya dan anak-anak makan-makan bersama. Waktu itu saya sedar, isteri mudanya kurang senang dengan kehadiran saya. Maklumlah, usianya belum pun menjangkau 30 sedangkan saya sudah 37 tahun.
Melihat keikhlasan Sham dan isterinya, akhirnya saya nekad untuk menerima lamaran itu. Tetapi seperti yang diduga, ibu dan seluruh adik beradik menentang sekeras-kerasnya. Saya dituduh menjatuhkan maruah keluarga, merampas suami orang, perempuan gatal dan tak tahan nak berlaki dan macam-macam kata nista lagi.
Saya benar-benar sedih. Untuk pengetahuna semua, sepanjang saya susah selepas ditinggalkan suami, tidak ada seorang pun adik beradik yang menghulurkan bantuan. Walhal mereka tahu saya tidak bekerja dan setelah bekerja tidak dibayar gaji pula. Ibu ada beberapa rumah sewa, tetapi langsung tidak menawarkan sebuah untuk saya. Sanggup dia melihat saya dan anak-anak menyewa di rumah yang sempit dan usang begitu. Ketika anak-anak sakit, jiran dan rakan-rakanlah yang membantu.
Kini telah hampir dua tahun saya menjadi isteri ketiga Sham. Dan selama inilah juga, saya hidup tersisih daripada keluarga.
“Aku tidak ada anak yang sanggup merampas suami orang. Aku tak ada anak yang hidup bermadu. Kau dah gatal, kau ikutlah lelaki tu,” itulah kata ibu ketika saya bersalam sengannya selepas bernikah dengan Sham.
Dan setiap kali saya pulang ke rumah, ibu hanya buat tak kisah. Begitu juga dengan adik beradik yang lain. Bukan hanya pada saya, bahkan juga pada anak-anak. Saya terlalu rindukan ibu dan adik beradik yang lain kerana sejak kecil kami memang tidak pernah berpisah. Tapi apakan daya.
Namun saya masih tetap bersyukur kerana mempunyai suami dan madu-madu yang baik. Hidup saya kini seperti orang terbuang dalam keluarga sendiri. Hanya madu-madu itulah yang kini menjadi saudara saya di dunia dan akhirat hingga kini…
Buat Ruang Pemeriksaan Mini Di Rumah, Ini Cara Pintar Awasi Kesihatan Orang Tersayang!

Adab menjaga mak ayah yang berumur, harus selalu prihatin tentang keperluan harian, ubat-ubatan dan jadual pemeriksaan kesihatan mereka di hospital. Begitu juga dengan sokongan emosi, anak-anak harus sentiasa sabar dan menjadi pendengar yang baik.
Menjaga orang tua sudah tentu berbeza dengan cara menjaga anak-anak kecil di rumah. Jiwa mereka lebih mudah tercalar dan sensitif. Namun persamaannya, dua generasi ini senang dibahagiakan kalau dilayan dengan penuh kasih sayang dan perhatian.
Seperkara lagi adalah pentingnya mempunyai asas pengawasan kesihatan yang baik untuk orang tersayang. Bukan kotak pertolongan cemas semata-mata, tapi perlu merangkumi alatan pemeriksaan dan kit ujian yang lengkap di rumah sebagai langkah pencegahan.
Dengan mewujudkan ruang pemeriksaan mini untuk tujuan ini, mudahlah anda memantau kesihatan mereka setiap hari.
KEPERLUAN DI RUANG PEMERIKSAAN MINI
1. Kotak pertolongan cemas
2. Termometer, glucometer dan oxymeter
3. Mesin pemantau tekanan darah OMRON
4. Kit ujian coronavirus
5. Penimbang berat badan
6. Tisu pembersih nyahkuman
7. Pembersih tangan
AWASI DARAH TINGGI
Penyakit hipertensi jarang menunjukkan simptom awal. Penghidapnya mungkin kelihatan sihat dan bertenaga. Walau bagaimanapun jika tidak diawasi daripada awal, boleh mengakibatkan komplikasi penyakit jantung atau strok yang serius. [1]
Mak ayah dan diri kita sebagai orang dewasa menyumbang kepada peratusan tertinggi hipertensi. Berdasarkan statistik di Malaysia, satu daripada tiga orang dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidapi hipertensi. [2]
Manakala sebanyak 30.3 peratus [3] orang menghidap penyakit berkenaan mempunyai bacaan tekanan darah 140/90 mmHG atau lebih tinggi secara berterusan. Bagi individu yang sihat, bacaan tekanan darah normal adalah 130/85 mmHG atau lebih rendah.
Walau bagaimanapun, apabila bacaan meningkat melebihi 140/90 mmHG, ini merupakan petanda awal peringkat hipertensi.
Gejala hipertensi sukar dikesan pada peringkat awal, namun risikonya boleh menjejaskan organ dalaman dan sistem kardiovaskular. Seseorang yang mengalami gejala seperti muntah, sakit kepala, mata kabur, rasa kebas dan sesemut di muka atau lengan harus segera berjumpa doktor. [4]
Mengukur tekanan darah secara berkala sama ada tekanan darah tinggi atau rendah adalah amat mustahak. Tekanan darah yang terkawal dapat mengurangkan kemasukan pesakit ke klinik pesakit luar, ke hospital dan risiko kematian akibat strok (angin ahmar) serta penyakit jantung.
_____________________
[1] Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines for the Management of Hypertension, 5th Edition (2018)
[2] National Health and Morbidity Survey 2015 (klik sini)
[3] National Health and Morbidity Survey 2015 (klik sini)
[4] WedMD (klik sini)
PEMANTAUAN
Dengan membuat ruang pemeriksaan mini di rumah, anda mampu memeriksa kesihatan orang tersayang dengan cepat menggunakan peralatan yang ada.
Khasnya bagi mengawasi gejala hipertensi yang mungkin dihidapi oleh mak ayah, pasangan ataupun anda sendiri menggunakan mesin pemantau tekanan darah.
Jikalau purata bacaan tekanan darah pagi dan malam melebihi 140/90 mmHg sekaligus mengubah cara hidup yang lebih sihat, sebab itu tanda menghidapi hipertensi.
Selain itu, pemilihan mesin pemantau tekanan darah haruslah disahkan secara klinikal bagi mendapat bacaan yang tepat.
Dengan OMRON Healthcare, anda tidak perlu lagi meragui bacaan tekanan darah kerana mesin jenama ini membolehkan anda mendapatkan bacaan yang lebih tepat.
Untuk sebarang maklumat lanjut tentang alat tekanan darah OMRON, sila lawati laman sesawang rasmi di sini.
Didaftarkan di bawah Akta 737
No. Kelulusan MDA: MDAMD 0381/2022
No. Kelulusan Iklan: MDA/IKLAN/2022/276