
Moga Datin Almy Nadia segera sembuh! Pelakon, Datuk Fizz Fairuz baru-baru ini berkongsi keadaan terkini isterinya iaitu Datin Almy Nadia yang dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan selepas disahkan memiliki ketumbuhan cyst dan hamil di luar rahim.
Menurut Datuk Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, ketumbuhan cyst di dalam badan Datin Almy perlu segera dibuang kerana dikhuatiri akan pecah seterusnya boleh memudaratkan kesihatan.
Kongsi Datuk Fizz, “Almy masuk bilik pembedahan pada pukul 6.30 petang Sabtu. Doktor kata ada cyst berdekatan rahimnya. Cyst itu perlu dibuang cepat kerana takut pecah, jadi doktor cadang buat pembedahan segera.


Aktor ini turut memaklumkan ujian kehamilan Datin Almy menunjukkan keputusan positif namun apabila diperiksa dengan lanjut, rahimnya kosong. “Bila doktor periksa dekat rahim kosong. Ada setitik ketulan dalam rahim tapi doktor kata bukan.
Ujian air kencing positif (hamil). Bila buat pemeriksaan lain baru nampak ketulan dekat luar rahim. Ada cyst yang mengganggu, kena buang cyst itu cepat dan kandungan luar rahim itu pun kena buang juga takut pecah.”
Terbaharu, Datuk Fizz menerusi perkongsian di media sosialnya mendedahkan keadaan kesihatan isteri tercinta selepas menjalani pembedahan. “Dah ok. Settle operation buang cyst semalam, hari ini dah ok.
Tapi belum kuat. InshaAllah, esok boleh keluar kot. Hopelah. Almy Nadia, rest jelah ok. Anak, basuh baju, lipat baju, kemas rumah, hantar anak sekolah, saya buat. Don’t worry,”



Susulan ketumbuhan berkenaan, Datin Almy juga mengalami pelbagai masalah kesihatan antaranya cirit-birit, sakit perut dan lemah sejak kebelakangan ini.
Datuk Fizz dan Datin Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 dan pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata perempuan.
Tersentuh Jiwa Penyayang DATIN EINA AZMAN, Hadiahkan Gelang Emas Untuk ‘Maid’ Sempena Birthday!

Datin Paduka Eina Azman memang terkenal dengan sikap dermawannya. Pernah menjadi bualan kerana prihatin membantu bayi bernama Thaqif Arjuna yang mengalami masalah kulit serius sekitar tahun 2018, kali ini aktres jelita tersebut sekali lagi menarik perhatian peminat apabila melayan pembantu rumah seperti keluarga sendiri.
Saban tahun Datin Paduka Eina tidak lupa meraikan ulang tahun kelahiran para pembantu rumah sebagai menghargai jasa mereka. Kali ini, dia sekali lagi menggembirakan pembantu rumah kesayangan yang dikenali Bibik Megawati dengan menghadiahkan seutas rantai tangan emas. Pemurah betul isteri Datuk Paduka Kaiser ni!
Yang pasti ini bukan pertama kali Datin Paduka Eina memberi hadiah kepada Megawati. Malah tahun lalu, dia menghadiahkan seutas rantai emas kepada pembantu rumah bertuah tersebut.



Memuat naik video sambutan ulang tahun kelahiran Megawati di Instagram miliknya, kongsi Datin Paduka Eina, “Selamat Ulang Tahun buat bibik yang paling saya sayang Megawati yang ke 25 tahun. Terima kasih atas segala apa yang kamu berikan untuk keluarga saya.
Saya sedih sebab ni birthday Mega yang terakhir sebelum Mega balik ke Acheh selepas 5 tahun bekerja dengan saya. Mega ni apa yang dia tak boleh buat? Semua boleh… Nak dapat bibik baru memang senang tapi belum tentu boleh dapat macam kamu.
Post ni special untuk kamu Megawati sebab saya sayang kamu. Sekian dari saya majikan mu yang suka bebel, Eina Azman.”
Menerusi video berkenaan, Megawati melompat kegembiraan dan memeluk majikannya apabila mendapati kotak hadiah tersebut mempunyai seutas rantai tangan emas. Jelas kedengaran Megawati memberitahu yang dia turut menerima kasut pada hari sebelumnya.


Celah Datin Paduka Eina, dia menghadiahkan dua rantai dan satu gelang emas buat Megawati sepanjang wanita berkenaan bekerja dengannya. Malah sempat berseloroh yang pembantu rumah berkenaan antara yang paling banyak buat perangai tapi bibik yang paling dia sayang.




Datin Paduka Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada 14 Mac lalu. Jelitawan ini bergelar isteri kepada usahawan Datuk Paduka Kaiser pada 31 Ogos 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar iaitu Arianna Aubrey dan Karl Kareef.
“Pulang Bercuti Bawa Kenangan, Bukan Virus Selesema” – Dr Zulkifli Ismail Kongsi Petua Lindungi Diri

Saat ini barangkali ramai yang sudah mula bercuti, sama ada menyambut perayaan Krismas bagi penganut Kristian atau melancong ke luar negara. Namun dalam pada keseronokan merakam kenangan, jangan lupa bahawasanya virus selesema masih berleluasa, seperti nasihat Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail.
Penyakit pernafasan bukan sahaja boleh merosakkan percutian anda, malah kesihatan juga boleh turut terjejas.
Penyakit yang dimaksudkan itu ialah penyakit influenza. Juga dikenali sebagai flu, penyakit ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh.
Terutama sekali jika anda berumur 65 tahun ke atas, dan lebih-lebih lagi jika anda menghidap diabetes, penyakit buah pinggang atau seumpamanya.
Penyakit flu boleh menyebabkan gangguan pernafasan akut, radang paru-paru serta pelbagai komplikasi serius yang lain. Ia juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung lebih 10 kali ganda dalam tempoh 7 hari pertama selepas seseorang telah dijangkiti.
Risiko strok (angin ahmar) juga boleh bertambah sebanyak dua atau tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu pertama jangkitan.
Hakikat bahawa flu dapat dikaitkan dengan serangan jantung, radang paru-paru dan strok, yang mana masing-masing merupakan punca kematian ke-2, ke-3 dan ke-4 tertinggi (selepas COVID-19) di Malaysia pada tahun 2022, adalah sesuatu yang membimbangkan.
MUSIM FLU

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, menasihatkan agar masyarakat berhati-hati jika merancang untuk melawat negara-negara hemisfera utara yang mana kes flunya sedang meningkat pada masa musim sejuk ini.
“Walaupun Malaysia mengalami penularan flu sepanjang tahun, negara beriklim sederhana cenderung mengalami musim flu pada musim sejuk – iaitu Disember hingga Mac di hemisfera utara, dan Jun hingga Ogos di hemisfera selatan.
Namun pada tahun ini, musim flu telah bermula awal di hemisfera utara. Bilangan kes telah meningkat secara mendadak sejak bulan Oktober dan telah mengatasi jumlah kes yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lepas4.
Peningkatan ini diramalkan akan berterusan dan musim flu yang teruk dapat dijangkakan berlaku di kebanyakan destinasi utara yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia.” Dr Zulkifli Ismail
Setakat 2 Disember 2022, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan seramai 8.7 juta rakyat Amerika telah dijangkiti, 78,000 telah dimasukkan ke hospital, dan 4,500 telah meninggal dunia akibat punca yang berkaitan dengan flu, dan media menggelarkannya sebagai ‘penularan wabak flu terburuk negara sepanjang dekad’.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengisytiharkan keadaan flu di tiga kawasan di Perancis sebagai epidemik, dan lima lagi kawasan termasuk Paris dan kawasan sekitarnya – sebagai pra-epidemik.
Dalam kemas kini pertamanya untuk musim sejuk tahun ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England melaporkan purata 344 pesakit flu telah melawat hospital setiap hari dalam satu minggu iaitu 10 kali ganda lebih ramai daripada jumlah yang dilihat pada awal Disember 20217.
Di Timur Jauh, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan, Taiwan dan Jepun juga menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kes flu yang semakin bertambah, serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan berlakunya pandemik berkembar – iaitu penularan serentak virus flu dan COVID-19.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
KONTAK RAPAT

Datuk Dr Christopher Lee berpendapat bahawa pengembara harus memahami cara virus flu merebak. Beliau merupakan Perunding Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli Kumpulan Kerja Influenza Malaysia di bawah naungan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.
“Bayangkan diri anda sedang menikmati suasana luar yang dingin dan sejuk. Tidak lama kemudian, anda mendapati diri anda tergesa-gesa memasuki sebuah kafe yang selesa, dan menyertai pengunjung-pengunjung lain memanaskan badan dengan minuman coklat panas.
Walaupun senario ini kedengaran baik, hakikatnya pada musim sejuk, kita lebih cenderung dijangkiti flu ketika berada di dalam bangunan. Melalui batuk, bersin atau percakapan, orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus flu di dalam persekitaran yang sesak dan kurang pengudaraan.
Anda juga boleh mendapat jangkitan virus flu dengan menyentuh meja, pemegang pintu dan permukaan-permukaan lain.
Bergantung pada jarak anda dengan sumber dan tempoh pendedahan, anda mungkin mengalami serangan flu yang teruk, dan terpaksa menghabiskan percutian yang berharga di atas katil atau di hospital.
Katakan anda berjaya mengelak jangkitan flu sepanjang berada di destinasi percutian. Jangan sangka yang anda pulang tanpa virus flu.
Di dalam pesawat, anda mempunyai kebarangkalian setinggi 80% untuk mendapat flu jika ada penumpang yang dijangkiti – sama ada dia menunjukkan gejala atau tidak – yang duduk satu baris di hadapan atau di belakang anda, dalam jarak 2 tempat duduk di kedua-dua sisi.
Apatah lagi, virus flu boleh hidup sehingga 48 jam di permukaan tertentu, termasuk pemegang ruangan simpanan bahagian atas, tali pinggang keledar, skrin video, dulang makanan, alas tangan dan panel kawalan.
Anda boleh cuba menyahjangkit barang-barang ini. Namun, menyahjangkitkan setiap objek yang akan anda sentuh apabila anda mendarat, seperti bagasi, troli, pemegang pam tandas, pemegang pintu kereta dan sebagainya adalah tidak praktikal.” Datuk Dr Christopher Lee
PENCEGAHAN
Patuhi SOP COVID-19 jika boleh. Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, ia dapat membantu mengurangkan risiko dijangkiti flu. Namun, oleh sebab orang di sekeliling kita mungkin tidak melakukan perkara yang sama, langkah ini mungkin agak kurang berkesan. Oleh itu, mendapatkan perlindungan tambahan daripada vaksinasi flu tahunan adalah disyorkan untuk mencegah penyakit ini.
Apabila disuntik, vaksin ini memperkenalkan virus flu yang tidak aktif ke dalam badan kita. Virus-virus ini telah dibunuh dan tidak dapat menyebabkan penyakit. Walau bagaimanapun, ia akan merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang akan bertindak jika anda telah didedahkan kepada virus flu. Benarkan dua minggu untuk mencapai tahap imuniti yang diingini sebelum penerbangan anda.
Seperti vaksinasi COVID-19, vaksinasi flu membantu mencegah penyakit yang teruk, penghospitalan dan kematian. Vaksinasi flu juga dikaitkan dengan 34% pengurangan risiko kejadian kardiovaskular yang buruk. Terdapat juga penurunan risiko kematian sebanyak 18% yang dilaporkan dalam kalangan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.
Dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis 2, vaksinasi flu telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kegagalan jantung sebanyak 22%, strok sebanyak 30%, serangan jantung sebanyak 19% dan radang paru-paru sebanyak 15%12.
Mengetahui bahawa virus flu sentiasa bermutasi, Datuk Christopher menambah lagi bahawa vaksin flu yang tersedia pada masa ini telah dikemas kini untuk melawan dengan berkesan subjenis virus ini, yang buat masa kini sedang merebak di hemisfera utara.
“Vaksinasi akan membantu mengurangkan risiko anda dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi flu bukan hanya disarankan kepada mereka yang mengembara, tetapi kepada semua individu terutamanya golongan berisiko tinggi kerana kes flu yang melibatkan perjalanan udara boleh merebak dalam komuniti.
Jadi, jika anda belum mendapatkan vaksin terhadap penyakit flu, sekaranglah masa paling baik untuk melakukannya. Vaksinasi flu tahunan umpama pasport anda untuk percutian yang sihat. Jangan keluar rumah tanpanya.”
Vaksinasi flu boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia. Klik (di sini) untuk mencari klinik berhampiran anda.
Gara-Gara Tweet Anti-Israel, AMENA KHAN Tarik Diri Sertai Kempen L’Oreal Paris

Keputusan blogger kecantikan British, Amena Khan, untuk menarik diri daripada kempen pengiklanan L’Oreal Paris mencetuskan sensasi kerana dakwaan berpunca kenyataan anti-Israel beliau di Twitter.
Amena Khan sebelum ini terpilih sebagai model produk rambut Elvive oleh L’Oreal dan merupakan satu-satunya wanita berhijab pertama yang bakal menghiasi kempen arus perdana iklan syampu mereka.
Namun gara-gara status tweet lama yang ditulis pada 2014, beliau mengambil keputusan drastik menarik diri dan mengeluarkan status di bawah melalui Instagramnya. Walau bagaimanapun, tweet lama tersebut telah pun dipadamkan.
Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik penarikan diri ini? Menerusi komen-komen netizen, ramai yang mempertikaikan keputusan Amena kerana semua orang berhak bersuara, lebih-lebih lagi yang membabitkan isu peperangan serta kemanusiaan di Palestin.
iss_t You should never apologise for speaking the truth nor feel bad for it. You are nobodies puppet, you have the right to express your opinion an stand for what you believe in. In the end it is their loss. Stay strong. Salam
rpandor_97 Well…alot of celebs came out in support of palestine…and they never apolagised… Never apologise for speaking the truth.
Namun tulis beliau di Twitter, “Saya amat menyesal dengan kandungan tweet yang ditulis pada 2014 itu dan memohon maaf atas perbuatan itu. Dengan penuh penyesalan, saya memutuskan menarik diri kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada mesej positif yang mahu disampaikan dalam kempen terbabit.”
Sehubungan itu kumpulan L’Oreal yang dihubungi AFP berkata, mereka menerima keputusan Amena. “Kami menghargai tindakan Amena memohon maaf berhubung kandungan dalam tweetnya dan terhadap reaksi yang timbul,” katanya. Norzalina Mohd Alias