Tiada ruangan di rumah yang mengekspresikan diri mutlak anda melainkan melihat akan ruang tamu anda. Maka, persembahkanlah diri anda dengan menitikberatkan pengaturan dekorasi dan tata rias interior untuk memperindah ruang tamu di samping menciptakan aliran tenaga yang positif bagi anda sekeluarga yang condong bersantai di samping para tetamu yang diundang Syawal ini.
SOFA
1. Pastikan titik paling pusat di ruang tamu, tidak lain tidak bukan adalah pemilihan sofa yang menepati gaya elegan untuk membangkitkan aura ruang tamu anda. Pilihlah sofa kulit hitam untuk gaya klasik moden. Selain musah di suai padan, ia memberikan sentuhan elegan selain sesuai untuk semua ruang tamu.
2. Pilihlah sofa bersifat moden yang menggabungkan bentuk dan fungsi praktikal lantas menjadi hiasan penambah baik pada ruang tamu. Pilihan fabrik bercorak klasik dikatakan paling sesuai jika mahu mewujudkan ruang bergaya eksklusif. Manakala, reka bentuk corak berjalur, geometri dan bintik adalah pilihan yang sesuai bagi mereka yang mahu menghasilkan suasana ringkas atau berkonsep kontemporari.
3. Lahirkan suasana lapang menerusi susun atur santai ruang duduk. Tempatkan beg kacang atau bean bag di sekitar sofa mengikut kesesuaian gaya dalaman.
LANGSIR
1. Seelok-eloknya jika pilihan langsir bersesuaian perabot dan hiasan interior, meskipun tidak sedondon namun paling tidak menciptakan keseimbangan yang menawan.
2. Untuk tampak elegan, rekaan kain langsir yang menarik iaitu keratan kain langsir yang berkedut di atas dan bawahnya merupai tali leher yang menonjolkan gaya klasik. Stail ini juga boleh digayakan dengan hiasan berkedut di atas dan dinaikkan seri dengan penggunaan renda.
3. Bagi yang inginkan unsur mewah, gunakan potongan scallop kain jenis satin untuk gaya Klasik.
4. Kebiasaannya, fabrik 100 peratus kapas atau campuran kapas dan polyster ataupun kain renda atau satin yang berbidang besar adalah pilihan afdal kerana ia senang dijahit, selain mudah dijaga dan juga terbukti tahan lama.
5. Pilihan kemasan fabrik langsir nipis rona krim pula membuatkan suasana ruang tamu itu lebih mesra dan harmoni sepanjang masa.
PERMAIDANI
1. Pemilihan sesebuah permaidani yang berunsur mewah dapat memperelok sesuatu ruang tamu. Kehadiran sebuah karpet juga akan menghilangkan kesan ruang tamu yang terkatung-katung di lantai selain mewujudkan bahang meriah di ruang tamu anda lebaran ini. Pilih antara permaidani sutera buatan tangan untuk memberikan kesan ekslusif
2. Pilih karpet yang bermotif sekiranya anda mempunyai sofa yang polos atau sebaliknya untuk tidak menimbulkan suasana kontra dan kacau.
3. Warna juga memainkan peranan yang penting. Warna sedondon, cocok untuk nuansa ruangan yang tenang. Ataupun, bagi yang gemarkan nuansa yang lebih ceria, pilihlah permaidani corak geometrik berlatarkan warna garang dan terang.
MEJA KOPI
1. Sebuah meja kopi cenderung memiliki permukaan yang kukuh dan apa jua aksesori dapat di susun atur mengikut cita rasa anda. Akan tetapi, jangan meletak terlalu banyak perhiasan pada meja kopi hingga menyebabkan hilang fungsinya. Gunakan bahagian tengah meja untuk mempamerkan hiasan dan pastikan bahagian setiap sisi dibiarkan kosong.
2. Kerusi, dengan garis melengkung dan kontur indah juga dapat menambahkan sedikit kesan kelembutan pada ruangan lantas memperindah ruang tamu untuk tampak anggun.
3. Meja kopi dan meja sisi boleh dijadikan ruang penyimpanan tertutup kerana meja kopi berbentuk kotak berukir dari bahan kayu boleh diisi dengan majalah dan lain-lain untuk mengelakkan dari kelihatan tidak terurus.
KABINET
1. Kabinet hiasan di penjuru selain mempertontonkan koleksi pinggan mangkuk peribadi, ia juga turut membantu menjimatkan ruang. Pilihlah kabinet hiasan berasaskan kayu jati yang kaya dengan seni ukiran yang unik. Apatah lagi elemen hiasan jati termasuk kabinet mempunyai keunikan dalam menampilkan gaya eksklusif serta tidak lapuk ditelan zaman.
2. Untuk membangkitan suasana mewah, perabot antik berwarna coklat gelap antara ciri menepati gaya ini, walaupun mahal tetapi bagi yang idamkan ciri-ciri purba elegan pasti menyukainya.
3. Himpunan warna garang dan perabot rekaan moden lagi terkini menjadi kayu ukur gaya anggun ini. Sisipkan perabot klasik bagi menambahkan daya tarikan.
LAMPU
1. Mereka yang menjadikan lampu hiasan candeliar sebagai titik tumpu ruang, pastikan tiada sebarang lampu tambahan ditempatkan berdekatan. Ini kerana lampu ini berpotensi menenggelamkan keindahan candeliar itu. Tren kini, lampu candeliar kristal menjadi kegilaan.
2. Lampu dengan pencahayaan boleh laras membantu menyenangkan hidup. Ia membenarkan anda mengawal jumlah cahaya mengikut keperluan pada sebarang masa dan tempat.
3. Pilihlah lampu pendarfluor kerana lebih baik berbanding bercahaya terang kerana mampu menjimatkan sehingga 70 peratus kos elektrik. Tidak dinafikan harganya lebih mahal, namun jangka hayatnya 10 kali lebih panjang daripada lampu bermentol putih.
AKSESORI
1. Buang perhiasan tidak perlu dengan meninggalkan satu dua yang dikira penting meliputi majalah di atas meja, bekas bunga, kusyen hiasan dan sebagainya.
2. Cermin hiasan berupaya mewujudkan kesan luas secara ilusi. Gantung di tempat strategik terutama dinding bertentangan jendela bagi mendapatkan pantulan panorama luar, di dinding menghadap pintu dan di ruang yang memuatkan himpunan karya seni. Bagi yang ingin memperlihatkan ruang tampak luas dan ekslusif, gunakan cermin hiasan jati.
3. Bagi yang kreatif dan suka berfanatasi, letakkan dekorasi kertas dinding yang bercorak dan warna yang sesuai dengan selera anda. Padankan dengan perabot anda. Untuk tampak ruang tamu tampak anggun, pilih motif bunga-bungaan ataupun warna yang bernuansa keemasan; untuk tampil mewah di mata pengunjung.
WARNA HANGAT CAT DINDING
1. Syawal ini, tampilkan dinding ruang tamu anda, dengan kelompok warna hangat untuk mewujudkan suasana lebih ramah, dan ceria. Beranikan diri untuk mengecat dengan warna merah hangat.
2. Padu padankan warna coklat dengan permaidani dan perabot sedondon pada ruang tamu untuk tampil hebat. Ada kalanya penggunaan warna dinding coklat pada sebuah daun pintu rumah dan jendela juga akan mempercantik tempat tinggal anda.