Allah SWT menjadikan dunia dengan segala kemewahan, keindahan, suka duka, susah senang dan banyak lagi nikmat yang tidak mampu kita hitung.

Ads

Menurut Ustazah Sharifah Khasif, semua yang ada di dunia ini bersifat sementara. Tidak ada yang abadi melainkan apabila manusia itu dikumpulkan di akhirat yang kekal selamanya.

Syurga neraka juga ciptaan Allah SWT. Sifat ahli-ahli syurga ialah orang-orang yang sanggup bersusah-payah sewaktu hidup di dunia. Tidak hairanlah syurga itu sangat mahal dan bahagialah penghuni-penghuni syurga yang aman di dalamnya.

Manusia itu sifatnya lemah. Allah SWT memberi sedikit ujian kerana Dia sayang serta mahu melihat hamba-hamba-Nya bersujud dan menangis di hadapan-Nya.

Ujian itu adakala menjadikan manusia dekat dengan Allah SWT. Ada pula yang menjadikan ujian itu sebagai bencana dan bersangka buruk terhadap Allah SWT. Nauzubillah…alangkah ruginya manusia yang tidak melihat segala yang berlaku itu sebagai satu rahmat.

Ads

Sebab itulah banyak berlaku kes bunuh diri kerana kecewa, putus asa dan berdoa supaya mati cepat kerana tidak sanggup lagi melalui ujian dunia.

Hadis Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sesekali seorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: “Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ads

Hikmah Ujian

  1. Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya. Sebaliknya, mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan reda.
  2. Setiap dugaan adalah penghapus dosa (kaffarah) bagi mereka yang ditimpa bencana. Oleh itu, Allah SWT menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
  3. Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepada-Nya dalam segala keadaan.

Semoga kita menjadi antara golongan yang sentiasa melihat pada hikmah di sebalik apa yang berlaku daripada melihat kesan buruk yang kita nampak dari mata kasar. Mudah-mudahan diberkati Allah SWT dan sentiasa menjadi orang yang sabar dalam apa jua keadaan. Amy Mohd

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI