
Sebut sahaja nama Dayang Nurfaizah sudah terbayang alunan suaranya yang merdu mendendangkan lagu. Malah lagu-lagu yang terkandung dalam album penyanyi kesayangan ramai sering menjadi pilihan syarikat produksi untuk dijadikan lagu tema mahupun soundtrack filem tempatan.
Mencipta nama dalam bidang nyanyian bukan suatu perkara mudah. Mula mencipta nama apabila bergelar juara dalam pertandingan Golden Teen Search 1997, Dayang Nurfaizah terus melakar nama dalam bidang seni.
“Apabila kita memilih untuk berada dalam industri, kita perlu tahu dengan siapa kita akan berhadapan. Peminat sentiasa berada di sekeliling dan mereka jugalah yang menjadi penyebab nama kita terus meniti di bibir,” tutur Dayang merendah diri.
Dayang Nurfaizah juga sering diundang untuk memeriahkan majlis undangan dari istana, syarikat korporat, perasmian majlis dan juga majlis perkahwinan. Penyanyi lagu Lelaki Teragung ini sering tampil dengan imej elegan sesuai dengan majlis yang dihadirinya.
Paling menarik apabila Dayang Nurfaizah tidak takut untuk bereksperimen dengan solekan yang dikenakan di atas kanvas wajahnya. Lihat sahaja foto-foto solekan Dayang Nurfaizah yang dikongsinya melalui laman Instagram.








Tahniah DATO’ RIZALMAN IBRAHIM, Kini Dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM!

Tahniah Dato’ Rizalman! Dalam diam Dato’ Rizalman ada kejutan yang disampaikan beliau selain dari perniagaannya. Hari ini beliau mengumumkan berita perlantikkannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Selepas mengumumkan persaraannya dari dunia fesyen Februari lalu, rezeki beliau tidak pernah putus. Alhamdulillah!
Dato’ Rizalman Ibrahim yang juga merupakan alumni UiTM, graduan fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dalam jurusan fesyen pada tahun 1989-1993 pernah menyandang gelaran Pelajar Terbaik Kajian (Jurusan dan Fakulti) serta Pelajar Terbaik Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Fesyen).
Rupa-rupanya posting Dato’ Rizalman di Instagram awal hari ini adalah untuk penerimaan pengiktirafan yang diberikan pusat pengajian tinggi Universiti Teknologi Mara.
https://www.instagram.com/p/CGZFhrKpqXH/?utm_source=ig_web_copy_link
Lebih mengharukan apabila sebuah video dimuatnaik pada laman IG dengan nama akaun @rizalman71 merungkaikan wajah-wajah Dato’ Rizalman dengan ucapan tahniah. Tak kurang juga peminat-peminat yang meluahkan rasa gembira dengan pengumuman ini. Bersaranya beliau sebagai pereka fesyen membuka lebih banyak lembaran baru buat beliau.
https://www.instagram.com/p/CGZfNpDJQ7K/
Rezeki Dato’ Rizalman tidak pernah putus-putus. Pada awalnya dia takut untuk berhenti mereka busana kerana tidak tahu bagaimana periuk nasinya dan kakitangannya nanti.
“Dulu saya takut untuk berhenti menjadi pereka fesyen. Macam mana saya nak bayar pekerja, apa yang saya nak makan nanti? Persoalan dan ketakutan itu bagai selimut dalam diri tetapi sedikit demi sedikit Allah buka jalan untuk saya pilih. Allah kurniakan ilmu seni pada saya tanpa saya minta. Saya pandai menjahit, menilai kain, mereka busana.
Itu semua bukan satu dosa tetapi ia menjadi berdosa apabila saya tidak menjuruskan ilmu itu kepada sesuatu kebaikan,”katanya dalam sesi temubual yang dipaparkan dalam majalah Nona edisi Mac baru-baru ini.
Dalam sesi temubual itu, sempat juga DRI berkongsi amalan yang dilakukan agar hidupnya sentiasa murah rezeki.
“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang banyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk bawa orang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki unutk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa unutk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Kredit foto: Instagram Dato’ Rizalman Ibrahim
Diagnosis Hamil Anak Down Syndrome Namun Kuasa Allah, Shairah Melahirkan Anak Yang Cerdik Akal & Sifat

Magis kanak-kanak perempuan, Alayna Wahyudi Ichwandy yang menjadi perhatian netizen di media sosial kebelakangan ini ekoran kepetahannya berbicara soal agama dan solat nyata cukup menyentuh perasaan. Apatah lagi dalam lingkungan usia baru mencecah lima tahun, Alayna mampu memahami ajaran dan fahaman Islam dengan baik.
Kehamilan Alayna
Di sebalik keunikan yang dimiliki anak kecil ini, Shairah Shazana Mohamed yang merupakan ibu kepada Alayna dan Aurelisha mengakui pernah melalui detik-detik sukar sepanjang kehamilan anak keduanya itu tatkala didiagnosis mengalami kehamilan sindrom down iaitu kecacatan genetik. Tidak mampu menampung kesedihan yang menyelubungi lubuk hati, ibu berusia 30 tahun ini tiba-tiba merasakan dunia yang selama ini dipandang indah bertukar kelam saat menerima perkhabaran tersebut.
“Masa saya hamil Alayna dan pergi ke hospital untuk check up lima bulan, doktor beritahu kandungan saya adalah high risk down syndrome. Waktu itu, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. Sepanjang tempoh hamil, saya banyak menangis dan mendiamkan diri sebab rasa sangat sedih serta keliru.
Sampailah pada satu hari saya sedar ini adalah takdir Allah yang harus saya tempuh. Mahu atau tidak, saya harus harunginya dan alhamdulillah, saya reda dengan perkara ini. Setiap hari saya tak putus-putus berzikir, berselawat, berdoa dan reda kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.
Allah itu Maha Besar lagi Maha Mengetahui dan Mengasihani. Berkat kesabaran dan reda dengan ketentuan Yang Maha Esa, diagnosis doktor pakar tentang kehamilan down syndrome nyata meleset apabila Alayna lahir dalam keadaan normal sama seperti kanak-kanak lain. Sejak peristiwa itu juga saya percaya setiap dugaan daripada Allah akan diberi ganjaran lebih tinggi dan besar jika kita yakin dan reda kepadanya,” telus ibu kepada dua orang cahaya mata ini.
Terharu kebolehan anak
Seawal umur tiga tahun lagi Alayna sudah menunjukkan minat terhadap hal-hal berkaitan Islam. Kecenderungan anak kecil ini lebih terarah kepada nasyid dan gemar berselawat dengan penuh semangat selain menjaga adab ketika berada di dalam masjid. Lebih mengharukan Shariah apabila Alayna sering mengikutinya dan suami menunaikan solat jemaah di surau atau masjid berdekatan.
“Setiap kali melalui perkarangan masjid dia akan rasa gembira dan berkata ‘Ini rumah Allah, Allah tinggal di sana. Saya suka masjid’. Tak pernah sekalipun dia buat perangai ketika berada dalam masjid sebab dia hormat dan tahu itu rumah Allah.
Masuk saja umur empat tahun, Alayna bersungguh-sungguh mahu ikut bersolat tarawih. Walaupun saya sendiri sibuk menguruskan keluarga, hantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya, saya tetap kuatkan diri untuk ke masjid bersamanya. Mungkin dari situ dia sedar kepentingan solat dan tak mahu terlepas menunaikan perintah Allah bersama-sama.”
Jika dulu pereka fesyen pengantin ini dilanda kemurungan sepanjang fasa kehamilan, namun kini Allah kurniakan kepadanya anugerah terindah bernama Alayna hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Wahyudi Ichwandy. Kepintaran Alayna membahaskan setiap sesuatu yang berlaku berlandaskan kepada ajaran Islam membuatkan Shairah dan suami lebih teruja mendalami Islam demi mengejar keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.
Sambil mengesahkan pernah menerima mesej daripada pengguna laman sosial yang terinspirasi menonton video ‘ceramah’ Alayna, Shairah menganggap semua kebaikan tersebut datang daripada Allah. “Ramai yang mesej saya mengatakan Alayna banyak memberi mereka semangat untuk sedar dan mendirikan solat. Alhamdulillah, walaupun dia masih kecil tapi Alayna sungguh yakin dengan Allah.
Memang saya dan suami mendedahkan anak-anak tentang kepentingan solat, Al-Quran dan sebagainya. Tapi, apa yang dia sampaikan dan ceritakan dalam video tersebut dengan perkataan dan cara dia sendiri adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami. Dalam video itu juga Alayna luahkan rasa yakin bahawa solat boleh membuatkan seseorang itu bahagia.
Malah, di sekolah juga dia selalu mengajar rakan-rakan sebaya membaca doa walaupun ada di antara mereka bukan beragama Islam. Kalau difikirkan kembali, tak semua kanak-kanak seusia Alayna mampu buat begitu. Lagi-lagi dapat membuka hati orang ramai untuk faham tentang agama. Mungkin ini takdir Allah yang memberikan Alayna semangat dan peluang untuk menyampaikan dakwah Islam kepada semua melalui platform laman sosial,” cerita Shairah.
Didikan ibu & ayah
Meskipun sibuk dengan urusan masing-masing namun sebagai ibu, Shairah turut tidak terlepas melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal akidah dan pembelajaran anak-anak. Baginya, cara didikan di rumah lebih memberi kesan mendalam kepada anak-anak di samping menunjukkan teladan yang baik kepada mereka.
“Sejak saya lahirkan dia, saya sudah mula berselawat dan berdoa setiap masa. Terutamanya sebelum dia tidur. Biasanya saya akan membelainya dengan ungkapan yang lembut dan ajar dia beristighfar jika sedang marah. Selain itu saya juga akan selalu bacakan buku agama kepadanya, melaksanakan solat dan berselawat bersama-sama.
Saya percaya, kita adalah guru dan cermin kepada anak-anak. Perlu buat seikhlas hati dan memberi contoh yang baik sebelum menginginkan anak yang baik budi pekertinya. Bagi saya, guru yang terbaik adalah ibu bapa itu sendiri. Tak boleh harapkan sepenuhnya dari sekolah semata-mata. Macam mana sekalipun cara didikan terhadap anak-anak, jangan memaksa sebaliknya asuh dengan lembut dan penuh kasih sayang. Inshaallah, itu lebih mujarab.”SUZIANAABUDAUD
Suami Hidap Kanser, CATHERINE ZETA-JONES Setia Di Sisi & Bahagia Meski Beza Usia 25 Tahun!

Kagum dengan hubungan cinta Catherine Zeta-Jones dan Micheal Douglas. Walau jelitawan Hollywood ini berusia 25 tahun lebih muda daripada suami namun ia bukan halangan untuk mereka terus menikmati detik bahagia bersama. Buktinya, 18 November depan merupakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-21!
Mengimbas momen bersejarah itu, Catherine berusia 27 tahun sementara Michael pula menginjak umur 52 tahun. Aktres dan aktor ini yang merupakan antara pasangan paling diminati di Hollywood yang telah berkahwin lebih dua dekad.
Berkongsi tarikh lahir sama iaitu 25 September, Catherine dilahirkan di Swansea, United Kingdom dan kini berusia 52 tahun. Manakala Michael pula dilahirkan di New Jersey dan berumur 77 tahun. Nama Catherine melonjak naik dan dikenali ramai sejak dia membintangi filem The Mask of Zorro pada tahun 1998.
Ketika awal perkahwinan, ramai yang beranggapan perkahwinan pasangan ini tidak akan bertahan lama. Namun kedua-duanya membuktikan keikhlasan mereka yang saling mencintai dan masih bahagia hingga ke hari ini.
Menurut laporan GLAMOR mengenai resipi di sebalik kebahagiaan tersebut, Catherine mendedahkan, “Suami saya 25 tahun lebih berusia dan itu bukan lagi rahsia. Kami sama-sama menyayangi dan menghormati. Malah kami juga kerap bergurau-senda dan bersama-sama menikmati ikatan perhubungan ini.”
Seperti pasangan suami isteri lain, Catherine dan Michael tidak terlepas diuji dengan suka duka hidup berumah tangga. Pada tahun 2010, pelakon yang juga penerbit filem itu didiagnosis menghidap kanser tekak stage 4.
Akibat tekanan kerana kesihatan tersebut dan pelbagai masalah lain, mereka dikhabarkan mengambil keputusan untuk tinggal berasingan selepas 13 tahun berkahwin pada 2013. ‘Perpisahan’ ini bukan bermakna mereka bercerai sebaliknya kedua-dua figura terkenal ini mahu memberi ruang dan masa di antara satu sama lain demi memperbaiki perkahwinan yang sudah terbina sejak sekian lama.
Hasilnya cinta Catherine dan Michael kembali bertaut dan mereka terus menjalani hidup dengan lebih matang dan harmoni selepas berdepan ujian.
21 tahun hidup bersama, pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu Dylan Micheal Douglas, 21 tahun dan Carys Zeta Douglas berumur 18 tahun. Micheal juga mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama Diandra Luker iaitu Cameron Douglas berusia 42 tahun.
Kredit foto: Instagram Catherine Zeta-Jones