Siapa sangka kehidupan bermula dalam sebuah keluarga biasa tetapi kerana cinta telah merubah gadis ini menjadi keluarga diraja. Maharani Michiko Shoda, 85, adalah seorang wanita bertuah yang berjaya menawan hati Putera Mahkota Jepun ketika itu.
Perkahwinan di antara Maharani Michiko yang memegang status wanita kebanyakan dengan Maharaja Akihito, 86 tahun, telah mencipta sejarah dalam instutusi keluarga diraja Jepun. Ini kerana perkahwinan yang dilangsungkan pada tahun 1959 ini merupakan perkahwinan pertama keluarga diraja Jepun dengan gadis biasa.
Lebih 500,000 orang membanjiri jalan untuk meraikan hari bersejarah itu dengan pasangan tersebut diarak menaiki kereta kuda.
Sudah tentu Maharani Michiko ini mempunyai aura yang luar biasa sehingga Maharaja Akihito sanggup memperisterikannya walaupun mendapat tentangan keluarga diraja.
Ads
Umpama sebuah cerita dongeng apabila mendengar cerita, cinta pasangan diraja ini bersemi di gelanggang tenis. Mereka berdua bertemu dalam satu kejohanan tenis musim panas pada tahun 1957. Mungkin pada ketika itu Mahkota Akihito telah terkena panahan asmara lalu mempelawa Michiko untuk bertanding dalam perlawanan tenis tersebut.
Sama ada Akihito benar-benar kalah atau sengaja memberi kemenangan kepada Michiko ketika perlawanan tersebut nyata berbaloi kerana dapat merebut cinta anak gadis kepada pasangan Hidesabuto Shoda dan Fumiko Soejima.
Ads
Gambar Maharani Michiko pada tahun 1960
Michiko bukan sebarangan gadis kerana dilahirkan dalam keluarga kaya dan berpendidikan tinggi. Sejak kecil, Michiko telah dibentuk menjadi golongan sosialit dan belajar di sekolah Inggeris aliran Kristian. Michiko berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris di University of the Sacred Heart, Tokyo, Jepun.
Selama 60 tahun hidup sebagai keluarga diraja, Michiko pernah menyatakan bukan mudah hidup sebagai isteri Putera Mahkota dan seterusnya bergelar Maharani. Mujur pendidikan yang telah diberi oleh ibu bapanya sangat membantu dalam meneruskan hidup sebagai kerabat diraja.
Ads
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putera Mahkota Naruhito, 59; Putera Akishino, 53, dan Puteri Sayako, 49.
Perjalanan hidup Michiko sentiasa menjadi perhatian rakyat Jepun dan juga dunia. Pengunduran suaminya, Maharaja Akihito dan memberi laluan kepada anak sulungnya, Putera Mahkota Naruhito menaiki takhta pada 1 Mei 2019 turut mencipta sejarah institusi diraja Jepun.
Maharaja Akihito yang dilahirkan pada 1933 mewarisi takhta diraja Jepun pada 1989 menggantikan ayahandanya Maharaja Hirohito sekali gus bergelar pemerintah ke-125 dalam sejarah panjang keluarga diraja negara itu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jumaat lalu genap 40 hari pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban kembali ke rahmatullah. Meskipun sudah lebih sebulan usahawan berjiwa pemurah ini meninggal dunia… setiap jasa baik dan amalan yang dilakukan arwah sepanjang hayat sentiasa segar dan terpahat kemas di sanubari. Lebih-lebih lagi dalam kalangan insan memerlukan, anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
Perginya arwah Faziani meninggalkan seribu satu pengajaran… bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 16 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Berkongsi suasana ketika kenduri tahlil di kediaman arwah di Tumpat, Kelantan… Irdiena menzahirkan rasa syukur atas kehadiran tetamu yang sudi meluangkan masa mendoakan kesejahteraan arwah dan keluarga.
“Terima kasih kepada semua yang hadir bagi majlis kenduri tahlil 40 hari arwah bonda tercinta saya Hajah Faziani Bt Rohban Ahmad pada 28 Jun bersamaan hari yang mulia hari Jumaat yang lalu.
Sesungguhnya memberi itu adalah hobi arwah, saya selalu ingat pesan arwah… ‘Lebih banyak kita memberi lebih banyak lagi Tuhan akan berikan kepada kita kakak.’ Tenanglah di sana bidadariku. Aku di sini akan meneruskan setiap hobimu di rumah ini iaitu memberi dan menjamu tetamu bagaikan raja.
Selalu aku ingat pesananmu ‘Walaupun tetamu itu adalah musuhmu, tapi jamulah ia bagaikan raja. Sesungguhnya kekayaan yang kita ada ini kerana tetamu, tetamu itu adalah pembawa rezeki dan rahmat.’
Manakala yang lain sedang menaikkan legasi kita bonda, kakak di sini akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik bagi menjaga istanamu dan 8 permata yang telah engkau tinggalkan.”
Team Nona sendiri pernah menyaksikan betapa arwah sangat pemurah orangnya ketika sesi fotografi di kediaman arwah sekitar Mac lalu. Menyambut tetamu dengan tangan terbuka dan penuh senyuman… arwah tidak sekadar menjamu kami dengan hidangan yang pelbagai bahkan turut menghadiahkan sehelai telekung sebagai kenang-kenangan. Allahu, baiknya hati arwah Faziani.
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah isteri Ahmad Shah Rizal Ibrahim sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Tika itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya.
Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita. Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati dia. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit foto: Instagram Dnarfaziani
Kredit: Instagram Dnar Faziani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Kembali tidur untuk melanjutkan mimpi, atau bangun tidur untuk mewujudkan mimpi.”
Itu antara petikan kata-kata jutawan terkenal, Haliza Maysuri yang merupakan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd. Maksudnya penuh tersirat, usah terus leka dengan apa yang kita ada sekarang.
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini.
KONGSI TIP PERNIAGAAN
Selain gemar berkongsi hobi memasak di Instagram peribadinya, Haliza juga sering berkongsi nasihat dan tip-tip perniagaan khas buat para peniaga di Malaysia. Baru-baru ini Haliza ada menitipkan 8 cara bagaimana untuk bangkit semula dalam perniagaan seterusnya kembali berada di landasan kejayaan.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Walaupun bergelar jutawan namun Haliza sentiasa menjadi seorang yang merendah diri. Ini kerana Haliza mengakui dirinya tidaklah terlalu hebat kerana berpendapat ramai lagi usahawan Malaysia yang lebih hebat darinya.
“Inilah saya seadanya, saya tidaklah hebat kerana ramai usahawan Malaysia yang lagi hebat dari saya, tapi saya dewasa dengan pengalaman. Moga pengalaman yang selalu saya kongsikan akan memberi manfaat kepada usahawan baru yang nak bermula, ataupun yang sedang jatuh nak bangkit semula.
Teruskan rutin harian bangun seawal pagi kerana anda antara insan terpilih sebagai calon usahawan berjaya dunia akhirat, InshaaAllah.”
Kredit Foto: Instagram @halizamaysuri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Belajar ikhlas, kerana semakin kamu ikhlas semakin Allah memberimu yang terbaik.
Jika COVID-19 reda dan visa umrah telah dibuka, Madinah dan Mekah tempat pertama saya akan pergi. Ya Allah rindu teramat ke rumah Mu. Nak mengadu sepuasnya” ~Haliza Maysuri.
Itu antara petikan kata-kata azimat superwoman ini. Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!
Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.
Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, atas izinNya impian Ally Mukhriz untuk bergelar ibu dipermudahkan. Lima tahun menanti kehadiran cahaya mata akhirnya anak kepada Dato’ Seri Mukhriz Mahathir ini menerima perkhabaran gembira apabila disahkan hamil. Berita gembira itu didedahkan Ally di media sosialnya pada Februari lepas sempena ulang tahun perkahwinan keenam.