Ummi Hani Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Hunny mampu menyuntik inspirasi buat wanita lain di Malaysia. Mempunyai cita rasa yang tinggi dalam mewarnai kehidupan yang di lalui, ini terbukti dengan dekorasi kediaman yang cukup elegan, moden dan mempesonakan. Cita rasa ini turut diluahkan dalam memenuhi gaya penampilan dan juga dunia perniagaan pakaian yang diceburinya. Inilah inspirasi wanita hari ini yang tampil dengan pakej lengkap dari sisi kebahagiaan rumah tangga, kecantikan, imej diri dan sentiasa berusaha untuk sukses dalam menempuhi pelbagai cabaran kehidupan.
Melangkah masuk mahligai Hunny, bagai tidak terkata dibuatnya. Sepertinya memberi pelbagai kejutan di setiap ruang mata memandang. Dari muka pintu masuk utama lagi penulis sudah terpegun. Pintu kayu besar dengan pemegang besi dikuakkan sebagai permulaan akan gambaran cita rasa pemilik. Ia juga menjadi pengenalan awal untuk terus menerokai kediaman ini. Ruang tamu terbuka luas dan siling tinggi, memberi impak keluasan maksimum kepada keluarga kecil ini melayari bahtera kehidupan dengan sempurna. More to open concept dengan sentuhan elemen industrial but personel, Hunny bersama suami Andy mengambil ilham dekor gaya loft di kota New York.
“Suami tinggal lama di kota New York selama 14 tahun, jadi kami menyuntik sedikit elemen itu pada dekorasi kediaman ini. Bagi merealisasikan impian kediaman ini, gabungan idea terlaksana dengan kepakaran interior designer dari Bawang Studio. Ruang dapur dan tetamu tentu sahaja menjadi pilihan utama kami sekeluarga berkumpul dan bermesra setiap hari. Anak-anak saya pun masih kecil, maka dekorasi kediaman pun tidak boleh terlalu sarat yang boleh membataskan pergerakan mereka, “ jelas Hunny yang mengagumi pereka dalaman, Omar Khan dan Kelly Hoppen.
Sedikit tip dekor yang mungkin Hunny dan suami boleh kongsikan, “Pertama sekali kita perlu buat kajian mengenai konsep yang sesuai dengan ruang dan gaya hidup anda. Sediakan bajet yang sesuai dengan konsep yang dipilih. Kaji dan pilih pereka ruang dalaman sesuai bagi konsep serta penggayaan yang diinginkan. Letakkan sesuatu yang dianggap ‘personal’ supaya ruang itu mengingatkan anda tentang sesuatu memori.”
Biarpun mempunyai latar belakang pendidikan dalam Diploma in Computer Science & Technology dan pernah berkhidmat sebagai Public Relation Officer, Hunny sememangnya menyimpan minat sejak dari kecil untuk menjadi seorang designer. “Dari kecil saya memang suka dengan perkara-perkara kreatif sebab itu saya berani untuk menceburkan diri dalam bidang fesyen secara kecil-kecilan dengan mempertaruhkan jenama YouMe&Hunny. Beberapa tahun lalu, saya bekerjasama di belakang tabir dengan seorang pereka fesyen terkenal. Disebabkan minat yang mendalam terhadap fesyen, saya cuba belajar sebanyak mungkin. Saya belajar tentang pemilihan fabrik, fesyen, design dan macam-macam lagi. Tiga tahun yang lepas saya beranikan diri mengeluarkan jenama rekaan saya sendiri.”
Keseimbangan hidup antara kesibukan kerja, keluarga dan diri sendiri. “Kita sebagai wanita perlu mengambil berat tentang penjagaan kesihatan kerana banyak perkara yang perlu kita uruskan dalam satu masa. Keseimbangan hidup sangat penting. Elak diri dengan kehidupan yang diselubungi tekanan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Saya selalu berfikiran positif dan mengambil langkah just do it, dont care about what people might say! Elakkan dari aktiviti ber ‘gossip’. Jangan pandang setiap masalah itu sebagai satu masalah, kita harus belajar bagaimana untuk menyelesaikannya bukan lari.
Sesekali manjakan diri dengan menghabiskan masa di spa, keluar bersama rakan-rakan dan menghabiskan masa bersama anak-anak. Kita harus ada sifat tenang dalam apa jua keadaan. Perlu perancangan keluarga untuk pergi bercuti, tidak kisah luar atau dalam negara asalkan ia mampu memberi kebahagiaan kepada diri sendiri dan keharmonian keluarga.”
Wajah cantik dengan penampilan yang segar, Hunny sentiasa kelihatan menawan setiap kali melangkah ke majlis undangan. Mungkin ada rahsia kecantikan yang boleh dikongsi? “Saya tidaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kecantikan yang luar biasa. Sama seperti wanita lain, saya perlu minum air suam yang banyak setiap hari dan paling penting perlu kurangkan pengambilan gula. Untuk penjagaan wajah, kita perlu rajin cuci muka sebersih bersihnya daripada noda solekan sebelum tidur. Pilih skincare yang sesuai dengan kulit wajah dan pastikan anda tahu kandungan bahan yang digunakan agar kulit wajah tidak terdedah dengan bahan kimia berlebihan.
Selain itu, rutin setiap hari yang saya lakukan sapu ice cube pada wajah untuk kesegaran dan kulit menjadi tegang. Saya juga mengamalkan pengambilan jamu mengikut amalan tradisi ibu kita dahulu. Bagi memastikan tubuh yang sentiasa sihat dan cergas, saya memilih untuk melakukan zumba dan yoga. Ini merupakan terapi diri yang sangat berkesan untuk hidup anda lebih tenang dan sihat selalu. Saya tidak mempunyai pantang larang dalam memilih makanan, cuma saya akan pastikan pengurangan gula,” bicara Hunny.