
Penggiat media terkemuka Suhaimi Sulaiman telah dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menerusi hantaran di Facebook memaklumkan mengenai pelantikan itu, hari ini.

“Sekalung tahniah buat sdr Suhaimi bin Sulaiman atas lantikan sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu.
Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran, pernah bertugas di Kumpulan Media Sarawak, BERNAMA, Astro Awani dan Media Prima.

InshaAllah dengan kepakaran beliau akan terus memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baharu buat Jabatan Penyiaran Malaysia.” katanya.
Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran, beliau merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita TV Astro AWANI. Beliau juga pernah bertugas di Kumpulan Media Sarawak, Bernama dan Media Prima.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.
Sumber: ASTRO AWANI | Kredit foto: Berita MCOBA
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ini Langkah Pertama Kami Untuk Hidup Bersama” – YUNA Sifatkan Tunangnya LELAKI TERBAIK Pernah Ditemui

Sempurnanya sifatmu, tulusnya hatimu, jujurnya niatmu, tingginya kesabaranmu…
Menamatkan segala gosip dan spekulasi liar berkaitan hubungannya dengan jejaka tampan, Adam Sinclair, Yuna hari ini mengumumkan berita pertunangan mereka yang diadakan secara tertutup di Shah Alam.
Majlis yang dilangsungkan pada hari Sabtu, 5 Ogos 2017 di kediaman ibu bapa Yuna tersebut hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan sahabat handai mereka.
Mengenakan sepasang persalinan tunang rekaan Hatta Dolmat, gaya Yuna dan Adam pada hari bersejarah ini terlihat begitu elegan. Pelamin majlis berkonsepkan bunga segar dalam rona pastel dihias oleh perunding perkahwinan tersohor, Rekateemor manakala hantaran serta bunga tangannya digubah oleh The Calla.


Yuna atau nama penuhnya Yunalis Dato’ Mat Zara’ai kini berusia 30 tahun dan merupakan anak tunggal kepada pasangan Dato’ Mat Zara’ai dan Datin Anum Fawzia Abd Wahab. Berpengkalan di Los Angeles, beliau cukup disegani sebagai seorang penyanyi, penulis lirik dan usahawan anak Malaysia yang berjaya.
Sementara itu, Adam Yousof Mohamed Sinclair pula bekerja sebagai pengarah filem dan merupakan adik bongsu kepada pelakon Ashraf Sinclair dan penyampai radio/hos TV, Aishah Sinclar. Adam berusia 32 tahun dan dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi.
Menurut sumber, pasangan ini berkenalan di set rakaman sebuah iklan televisyen pada awal tahun 2013. Bermula sebagai rakan biasa, Yuna dan Adam akhirnya semakin rapat dan mula merancang untuk memeterai ikatan perkahwinan.
Selepas berjumpa keluarga masing-masing, rancangan untuk bertunang pun bermula selepas upacara merisik pada 27 Mac 2017 lalu.


“Syukur alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib. Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” kata Yuna dalam nada teruja.

Tambah beliau lagi, “Ini merupakan momen yang sangat manis bagi saya, kerana ini langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam.
Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya, dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya serta buat saya senyum dan ketawa. Saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, insyaAllah,” kata gadis manis kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Kemuncak majlis pernikahan mereka dijangkakan berlangsung pada Januari 2018 ini. Norzalina Mohd Alias
Kredit: Foto Zel Atif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Malam Amal BAKASA BAKAT ATM IFF 2022 Diserikan Dengan Keberangkatan Raja Permaisuri Agong

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Malam Amal Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 yang diadakan di Dewan Perkasa Wisma Perwira, ATM malam tadi.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 8.30 malam disambut Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, yang juga isteri kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kemudian berkenan merakam foto kenangan bersama tetamu kerabat diraja yang turut berangkat hadir antaranya termasuklah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Antara pereka fesyen tempatan yang mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 termasuklah Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Nurita Harith, Rozita Che Wan dan koleksi pengasas IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah serta pereka fesyen dari Indonesia, Jeny Tjahyawati dan Ghea Panggabean.


Baginda turut berkenan melawat beberapa gerai yang mempromosikan produk industri kecil dan sederhana hasil tangan ahli BAKAT yang kebanyakannya terdiri daripada isteri anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia.

Malam Amal BAKASA dan BAKAT IFF 2022 merupakan inisiatif Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah , Penasihat Diraja BAKASA. Majlis amal tersebut turut berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.2 juta untuk disumbangkan kepada dua pertubuhan kebajikan BAKASA iaitu Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan dan Pusat Inovasi Tengku Ampuan Afzan, serta untuk tujuan Program Transformasi BAKAT ATM.


Majlis turut diserikan dengan persembahan khas beberapa penyanyi tersohor tanahair termasuklah Dato Sri Siti Nurhaliza.
Sumber:BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Raih Gaji RM1.2 Juta Seminggu, Achraf Hakimi Beri Kepercayaan Ibu Urus Hartanya! “Ibu Sayang Kita Sama Ada Berharta Atau Tidak.”

Pendapatan yang diraih pemain bola sepak ternama, Achraf Hakimi ini bukan calang-calang. Memetik laporan Capology, dia disenaraikan antara pemain bola sepak di Paris yang menerima bayaran paling mahal iaitu lebih £218,00 atau RM1.2 juta seminggu!
Achraf atau nama penuhnya Achraf Hakimi Mouh dilahirkan pada 4 November 1998 dan kini pemain bola sepak profesional untuk kelab terkenal dunia, Paris Saint-Germain (PSG) dan kapten pasukan kebangsaan Maghribi.
Anak kepada pasangan suami isteri keturunan Maghribi ini dipilih mewakili pasukan kebangsaan seawal usia 17 tahun. Bapanya iaitu Mohamed dilaporkan bekerja sebagai penjual jalanan. Sementara ibunya, Saida Mouh pula ialah suri rumah.
Achraf Hakimi Percaya Ibu, Saida Mouh



Menelusuri karier sukan Achraf, dia pernah bermain untuk kelab Real Madrid pada tahun 2016 dan pemain pinjaman ke liga bola sepak Jerman, Bundesliga mewakili Borussia Dormund. Seterusnya menandatangani kontrak mencecah €43 juta (Euro) dengan kelab bola sepak Itali, Serie A mewakili Inter Milan.
Bersandarkan prestasi cemerlang itu, Achraf sering diburu kelab bola sepak terkenal dengan bayaran tinggi. Sehingga berjaya menandatangani kontrak bersama kelab Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2021 dengan nilai mencecah €68 juta selama lima tahun.
Achraf Hakimi mendirikan rumah tangga dengan pelakon jelita keturunan Sepanyol-Tunisia, Hiba Abouk pada tahun 2020 dan dikurniakan dua anak lelaki. Bagaimana pun perkahwinan mereka tidak bertahan lama dan berpisah selepas kira-kira tiga tahun berkahwin.


Nama bintang bola sepak PSG ini terpalit kontroversi apabila bekas isteri meminta separuh daripada harta dan kekayaan Achraf ketika memfailkan cerai tetapi gagal memperoleh tuntutan tersebut kerana Achraf tidak mempunyai apa-apa harta atas namanya.
Lebih mengejutkan, semua aset yang dimiliki adalah atas nama ibunya iaitu Saida Mouh. Laporan akhbar Sepanyol, Marca turut menyatakan bahawa ibunya adalah penerima gaji Achraf.
Pun begitu, ibu pemain bola sepak berusia 27 tahun berkenaan sama sekali tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
Memetik laporan Pulse Sports, sekian lama berdiam diri selama kira-kira dua tahun akhirnya Achraf menjelaskan punca dia memindahkan kesemua kekayaan ke atas nama ibunya.



“Ia tiada kaitan dengan perkahwinan. Ketika saya berumur 18 tahun dan masih tidak boleh menggunakan akaun bank sendiri, ibu sayalah yang menguruskan segalanya dengan baik.
Disebabkan itu, saya biarkan saja keadaan begitu terutamanya apabila kejayaan saya makin meningkat.”
Dia turut mendedahkan bahawa ibu telah mengurus kewangannya sejak usia muda.
“Sejak saya masih muda, saya sudah memperoleh banyak wang melalui bola sepak. Tetapi saya tak pandai menguruskannya.
Saya sentiasa meminta pendapat beliau tentang wang, sama ada ketika membeli rumah, kereta atau apabila saya memperoleh jumlah wang yang besar.”
Achraf memberi sepenuh kepercayaan kepada ibu tersayang dan berkata ibu adalah insan yang menyayanginya sepenuh hati.
“Saya rasa itu satu perkara yang baik, kerana pada akhirnya, apabila kita ada wang atau terkenal, hanya segelintir orang sahaja yang boleh kita percayai.
Dan saya percaya bahawa ibu adalah satu-satunya insan yang benar-benar menyayangi kita sama ada kita berharta ataupun tidak.”
Tambah Achraf lagi, “Hingga ke saat ini, ibu saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk saya. Beliau takkan pernah mengharapkan sesuatu yang buruk berlaku kepada saya, adik-beradik saya atau keluarga kami.
Jadi, dialah insan yang paling saya percaya dan yang sentiasa ada untuk membantu saya selain daripada adik-beradik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


