Rehat yang tidak cukup bukan sahaja menyebabkan anda mengantuk ketika di pejabat, bahkan boleh mengganggu kesihatan. Sebahagian daripada anda mungkin menghabiskan banyak waktu untuk kepentingan pekerjaan tapi sebenarnya kurang tidur boleh memberi kesan kepada kerjaya anda.

Antaranya anda mudah hilang tumpuan, jatuh sakit dan boleh membawa kepada tekanan dan sebagainya. Agar tidur lebih berkualiti dan cepat mengantuk di malam hari, hindari kebiasaan berikut:

IKLAN

(a) Pengambilan ubat tidur

Hindari mengambil ubat-ubatan yang boleh membuatkan anda mengantuk. Meskipun anda mungkin lebih cepat tidur kerana ubat tersebut mengandungi bahan penenang yang mengganggu proses tidur semula jadi.

Ketika proses ini, tidur pun menjadi kurang berkualiti. Anda boleh saja sering terbangun pada malam hari bahkan mengalami mimpi buruk.

(b) Tidur balas dendam

Sebahagian orang berasa tidak pernah mendapat tidur yang cukup saat hari kerja. Maka ada yang memutuskan untuk berehat seharian pada waktu cuti seolah-olah mahu membalas dendam.

Hal ini juga kurang baik kerana waktu terjaga menjadi tidak konsisten. Apabila anda mula bekerja pada hari Isnin misalnya, tubuh anda akan keletihan kerana sebelum itu sudah terbiasa berehat. Justeru menyebabkan anda berasa mengantuk dan malas membuat kerja.

(c) Membuat kerja waktu malam

Agar lebih cepat mengantuk, hindarilah menyelesaikan pekerjaan sebelum tidur. Kegiatan yang memerlukan otak untuk berfikir seperti itu akan membuat anda susah terlelap.

Elakkan meletakkan telefon bimbit anda di hujung kepala supaya anda dapat berehat sepenuhnya dan tidak sibuk memeriksa Facebook, e-mel dan sebagainya terutama yang berkaitan dengan pekerjaan yang boleh membuatkan otak anda berfikir sekali gus menyebabkan anda tidak boleh tidur lena.

(d) Bangun pada masa yang berbeza-beza

IKLAN

Sebaiknya anda tidak bangun pada waktu yang berubah-ubah. Pastikan anda set jam bangun tidur yang konsisten kerana ini akan membentuk kebiasaan yang membuatkan anda menjadi terbiasa dengan waktu itu.

Lama-kelamaan anda tidak perlu lagi jam untuk mengejutkan anda. Secara automatik anda akan terjaga pada jam tersebut. Waktu bangun tidur yang teratur akan melatih otak mengirim peringatan untuk bangun satu jam sebelumnya. Jika waktu bangun tidur tidak teratur otak tidak akan tahu bilakah waktunya untuk melengkapi proses tidur dan harus bersiap untuk membangunkan anda.

(e) Kurangkan aktiviti luar

Mungkin anda keletihan kerana kerja-kerja di pejabat semakin padat.  Justeru, cuba anda fikirkan apakah aktiviti yang sesuai untuk anda kurangkan. Misalnya, berjalan-jalan sewaktu makan tengah hari.  Sekiranya tidak penting, elakkan aktiviti tersebut yang sebenarnya membuatkan anda mudah letih dan kurang produktif.

IKLAN

(f) Tentukan jadual

Agar kerja lebih sistematik, cubalah sediakan jadual. Letakkan pekerjaan paling berat atau penting sebagai keutamaan anda. Lalu berikan tumpuan penuh pada tugas harian tersebut. Hal ini akan memotivasikan anda supaya tidak menangguhkan tugasan.

(g) Lapangkan fikiran

Apakah tubuh anda jadi cepat letih kerana banyak tekanan? Sebaiknya lakukan aktiviti yang boleh melapangkan fikiran. Misalnya dengan berjalan santai sebelum atau sesudah kerja atau melakukan senaman ringan untuk mengurangkan tekanan. Selain dapat membuat fikiran lebih tenang ia juga mungkin boleh membantu memberikan idea yang lebih baik.

(h) Bersyukur

Seseorang yang sering bersyukur umumnya merasa lebih ikhlas dalam menjalankan kegiatan, termasuk yang meletihkan. Selain memberi kesan baik untuk diri sendiri, bersyukur juga memberi aura positif untuk orang lain. Dengan begitu, fikiran anda juga akan menjadi lebih  positif  sekali gus membantu menurunkan kadar stres dan menyelesaikan apa jua masalah yang ada. Rosmah Idayu Abu Samah

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI