Kegembiraan menyambut Syawal kini makin berpenghujung. Sebagai ibu bapa, masa inilah peranan anda untuk mendidik dan menggalakkan si kecil agar menabung duit raya yang dikumpul secara bijak. Langkah demi langkah ini mungkin dapat membantu anda memulakannya dari awal.
(a) Kenal Nilai Wang
Anak-anak sering memerhatikan gerak-geri anda membuat pembayaran di kaunter juruwang. Aktiviti itu akan membuatkan mereka tertanya-tanya apakah yang sedang anda lakukan.
Cara mengajar:
- Kenalkan wang syiling kepada mereka. Wang syiling boleh menarik perhatian mereka kerana bentuknya yang bulat, pipih dan apabila terjatuh, ia mengeluarkan bunyi bergemerencing. Biarkan mereka bermain dan ajak mereka memilih syiling yang mereka suka. Setiap pilihan itu perlu diberikan informasi tepat. Tunjukkan juga kepada mereka angka yang tertera pada wang syiling itu.
- Kenalkan kepada mereka mengenai kadar tukaran wang contohnya baki yang akan diterima sekiranya harga barang itu bernilai sekian harga.
- Perkenalkan juga wang kertas dan biarkan anak-anak memilih berdasarkan warna dan angka.
- Permainan Monopoly ialah pembelajaran sampingan yang mudah untuk diajarkan kepada anak-anak. Bermain bersama mereka secara perlahan agar mereka mudah faham.
(b) Menabung
Menabung ialah pelajaran asas untuk membantu anak-anak menguruskan kewangan. Anda juga perlu menjadikan diri anda sebagai role model untuk anak-anak.
Cara mengajar:
- Ajarkan anak anda mengenai matlamat yang ingin dicapai. Misalnya, jika mereka menginginkan sesuatu, mereka perlu mengumpulkan sejumlah wang agar barang itu dapat dimiliki. Anak-anak tidak akan faham jika anda mengatakan bahawa tabungan itu adalah untuk masa depan mereka.
- Sediakan tabung yang menarik perhatian mereka. Tidak perlu tabung yang mahal, cukup sekadar ia mempunyai daya penarik untuk anak anda.
- Buka akaun untuk mereka. Bawa mereka bersama anda ke bank dan biarkan mereka melalui proses penyimpanan itu. Mereka pasti teruja melihat wang syiling atau kertas yang dimiliki dinilai oleh pekerja bank.
(c) Menghargai Wang
Menjadi harapan setiap ibu bapa agar anak mereka dapat menggunakan wang dengan bijak. Didik mereka agar menghargai hasil wang yang diterima, terutamanya duit raya yang mereka terima.
Cara mengajar:
- Jika anak anda gemarkan masakan yang dijual di luar, anda perlu cuba mencari cara untuk memasaknya di rumah. Hiaskan dengan persembahan paling menarik dan ajak si kecil untuk turut sama membantu. Katakan bahawa masakan yang dibuat sendiri lebih murah daripada membelinya.
- Anda juga boleh memberi pilihan kepada anak-anak. Sekiranya mereka memilih satu permainan atau barang yang disukainya tetapi harga terlalu mahal, cuba berikan mereka pilihan yang lebih kurang serupa tetapi pada harga lebih murah. Dengan cara ini, secara tidak langsung mereka boleh belajar untuk menghargai nilai wang.
(d) Tidak Konsumtif
Sikap konsumtif pada anak-anak boleh didapati daripada anda atau orang terdekat, iklan di televisyen atau teman sebayanya.
Cara mengajar:
- Tidak membeli semua barang-barang yang mereka inginkan, yang ditawarkan di iklan atau dilihat di kompleks membeli-belah. Gunakan kaedah psikologi, pujuk dengan cara lembut. Jika anak anda inginkan mainan kapal yang baru, cuba pujuk mereka untuk menggunakan kapal mainan lama atau cipta kapal dengan inovasi baru. Mungkin anak anda boleh bermain kapal dengan kulit limau. Eksperimen itu menyeronokkan.
- Jika si kecil meminta anda membeli barang mainan, tanyakan kepada mereka alasan untuk memiliki barang itu. Sekiranya alasan mereka boleh diguna pakai, tunaikan sahaja permintaan si kecil.
(e) Konsep Jual Beli
Semua barang di dunia ada nilainya. Untuk mendapatkan sesuatu, mereka perlu berusaha dan bersetuju untuk membayar apa yang diingini.
Cara mengajar:
- Ajak anda bermain. Anda boleh menjadi pengurus wang dan anak anda menjadi pembeli. Bekalkan mereka sedikit wang dan dari situ anda sebenarnya memberi pelajaran kepada anak-anak bagaimana rasanya menjadi pembeli.
- Anda juga boleh memberi upah kepada anak-anak sekiranya mereka berjaya membuat sesuatu. Upah seperti ini menggalakkan mereka untuk membina etika diri yang lebih baik.
(f) Membuat Pelaburan
Mustahil anak-anak tahu mengenai pelaburan pada usia kecil. Pelaburan di sini bermaksud usahanya untuk mengumpulkan sesuatu yang masih boleh digunakan apabila mereka dewasa kelak.
Cara mengajar:
- Buku-buku lama boleh dibaik pulih dengan cara penjagaan yang baik. Ajar mereka membalut buku-buku lama kerana ia boleh digunakan lebih lama lagi.
- Berikan kotak kepada anak-anak untuk memudahkan mereka menyimpan barang-barang mainan yang ada. Barang mainan itu boleh digunakan oleh adik-adik mereka pula.