Wanita berusia 28 tahun ini yang selesa digelar sebagai Fiqah Kadir kini mampu berbangga dengan pencapaian diri kerana berjaya memiliki empayar perniagaan sekali gus bergelar usahawan muda sukses di Malaysia. Memandangkan minat terhadap bidang perniagaan mengatasi segalanya, sebaik bergelar graduan Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti MAHSA, Fiqah Kadir meneruskan perniagaan online yang diminatinya sejak tahun 2009.
Sepanjang pengajian Fiqah Kadir menjadikan perniagaan sebagai aktiviti sampingan.“Saya beruntung kerana banyak mendapat ilmu perniagaan daripada kedua ibu bapa sejak kecil. Sebaik tamat belajar saya mengeluarkan rekaan pertama jenama sendiri iaitu skirt diikuti koleksi pakaian wanita. Terkini ialah koleksi baju menyusu yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan wanita,” kongsi pengasas Padieka Raccolta dan BondaMilk. com ini yang merupakan ibu kepada dua anak.
SUMBER KEKUATAN
“Suami insan paling mempercayai kebolehan dan kesungguhan saya. Dalam masa jatuh, beliau banyak membantu serta memberikan nasihat dan dorongan. Saya bersyukur kerana memiliki suami yang sporting, memahami dan ringan tulang. Suami sering mengingatkan saya agar sentiasa berwaspada dalam mengambil tindakan.
Ads
Ads
Suami berkhidmat di perairan Malaysia, maka kami sering berjauhan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 3-4 bulan. Maka, saya perlu bijak menguruskan masa di samping melayan karenah anak-anak yang masih kecil. Sumber kekuatan saya seterusnya ialah anak-anak dan team saya yang sentiasa memahami serta bersemangat. Dengan adanya mereka, saya mampu bergerak untuk memberikan yang terbaik,” bicara Fiqah Kadir. Baginya cabaran adalah proses melahirkan superwoman berkualiti. Hasil daripada setiap ujian pula ilmu paling berharga.
Ads
NASIHAT
“Apabila menceburkan diri dalam bidang keusahawanan secara online, usahawan perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital yang sangat laju khususnya dalam pemasaran. Ambil inisiatif untuk sentiasa menambah ilmu kerana jika terleka kita akan tertinggal. Hampir sembilan tahun saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara online, banyak perbezaan dari segi strategi pemasaran dan ia berubah dengan pantas.
Pelanggan pun sudah bijak menilai sesuatu produk. Maka, cari jalan terbaik bagaimana meyakinkan mereka melalui kelebihan strategi pemasaran kita,” jelas Fiqah Kadir yang berhasrat untuk meluaskan pasaran pakaian wanita menyusu ke seluruh Asia serta menjadi perintis baju menyusu dan keperluan ibu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lembah Klang sememangnya mempunyai banyak lokasi tempat makan menarik untuk seisi keluarga. Sebut sahaja menu yang diinginkan baik tempatan mahupun makanan barat, semuanya mudah ditemui. Antara kafe yang sering meniti di bibir food hunters termasuklah Gula Cakery.
Gula Cakery merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri seterusnya mengembangkan menu mengetengahkan makanan Barat serta Asia. Bermula sebagai sebuah impian, perniagaan yang diasaskan bersama ahli keluarga ini membuktikan kerjasama yang baik di kalangan ahli keluarga mampu merealisasikan sebuah jenama yang menjadi lambang kejayaan bersama.
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.
Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.
Sebelum pembukaan kedai pertamanya, Arieni pernah menuntut ilmu pastri ke Paris untuk belajar dengan sendirinya tentang pembuatan kek dan pastri yang betul. Pada usianya yang muda, beliau telah mengambil kursus pendek selama 3 minggu untuk mahir dengan resepi yang diajar.
“Rangkaian kafe ini sebenarnya bermula daripada sebuah impian. Disebabkan saya terlalu meminati serta obses terhadap dunia pembuatan kek, maka terhasillah jenama Gula Cakery yang menjadi impian saya sejak kecil,” ujar Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Head Baker di kesemua rangkaian Gula Cakery.
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Arieni memulakan perniagaannya seawal usia menginjak angka 20 tahun. Rasa kasih yang tidak pernah putus terhadap kanak-kanak serta mahu sentiasa berdampingan dengan mereka telah mencetus idea untuk membuka sebuah pusat belajar memasak untuk kanak-kanak yang turut memuatkan kafe untuk kemudahan seisi keluarga menikmati hidangan ringan.
Ketika itu Arieni ‘menumpang dapur’ di rumah ibunya untuk menyiapkan tempahan para pelanggan sambil menganjurkan kelas-kelas baking secara sambilan. Pada peringkat permulaan, Arieni menggunakan nama Gula Home Bakery sebagai jenama produk memandangkan dia memulakan perniagaan dari rumah.
Keunikan nama Gula menjadi sinonim buat Arieni yang menganggap gula sebagai salah satu elemen penting dalam menyiapkan kek untuk para pelanggan.
Penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD ini boleh berbangga mempunyai 13 cawangan kafe di ibu negara yang bukan sahaja menghidangkan kek, malah Arieni turut mempunyai kedai menyediakan roti jala iaitu Arieni’s Roti Jala serta sebuah kedai makanan yang menghidangkan menu dari Mexico yang terletak di Setia Alam. Malah ia turut membuka cawangan di Melaka.
Lebih membanggakan, jenama ini turut diiktiraf Time Out KL sebagai kafe berkonsepkan kekeluargaan terbaik apabila kafe Gula Cakery mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kafe yang diberi nama Gula Petite di IOI City Mall Putrajaya. Tambah Arieni lagi, Gula Petite berkonsepkan kafe mini yang memberi fokus kepada jualan aneka jenis kek, sandwich dan hidangan minuman panas and sejuk.
Kejayaan demi kejayaan dirai oleh jenama tempatan yang diusahakan bersama keluarga ini membuktikan berkat kerjasama dan kesefahaman antara satu sama lain mampu membawa jenama ini menempa pelbagai kejayaan dalam jangka masa yang singkat.
Berkat doa dan kemahuan untuk merebut peluang mengembangkan perniagaan, Arieni tidak menafikan sokongan keluarga dan sifat dirinya yang sentiasa ingin memajukan diri menjadi antara faktor yang mendorong kejayaannya kini.
“Suami sering melabelkan diri saya sebagai wanita yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja idea atau benda yang hendak saya lakukan. Idea-idea yang datang saya kembangkan untuk menjadikan ia sesuatu yang boleh membawa keuntungan. Itu antara faktor yang saya rasa perlu ada dalam diri setiap wanita untuk berjaya.
Saya menguruskan 13 cawangan dan 180 orang kakitangan. Sudah semestinya saya tidak boleh berdiam diri dan merancang pelbagai strategi untuk sama-sama memajukan jenama serta memastikan kakitangan juga menikmati manfaat bersama,” ujar Arieni yang memasang azam untuk menambah baik kehidupan kakitangannya dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya mengamalkan konsep berkongsi rezeki dengan kakitangan kerana dalam perniagaan ini ia saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. sepanjang 8 tahun ini saya rasa lebih banyak memberi lebih memberi ketenangan dan dapat berkongsi kebaikan dengan insan-insan yang penting dalam hidup saya,” ujar Arieni lanjut.
Sepanjang bergelar usahawan, Arieni juga tidak terlepas dari berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan jenama kesayangannya itu mampu bersaing dalam industri makanan yang kompetatif.
Malah baru-baru, gandingan suami isteri ini turut menjadi juara sebuah rancangan memasak realiti yang dianjurkan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan.
“Secara peribadi, dugaan atau cabaran terbesar yang perlu saya hadapi adalah untuk mengenali diri sendiri. Sebagai ketua, saya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah baik dari segi staff mahupun pelanggan.
Bayangkan, saya mempunyai 180 orang staf dan memerlukan ‘orang kanan’ untuk memastikan masakan yang terdapat dalam senarai menu menepati citarasa pelanggan dan piawaian standard yang telah saya gariskan. Jadi, jika titik tersebut tidak saya temui, agak sukar untuk saya memastikan kelancaran kafe sebaiknya.
Jadi, saya tidak boleh beremosi dalam membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi impak terhadap organisasi secara keseluruhannya,” ujar Arieni yang pernah berhadapan dengan masalah apabila kakitangan menamatkan perkhidmatan setelah beberapa tahun berkhidmat.
Sebagai majikan, Arieni amat mementingkan kualiti setiap kakitangan di bawah empayar perniagaannya kerana ia untuk menjayakan perniagaan berasaskan makanan, mutu serta kualiti makanan memainkan peranan yang penting untuk memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara.
Baca artikel penuh penerima NONA BEST HOMEGROWN F&B AWARD di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki perniagaan sendiri sememangnya menjadi cita-cita wanita ini. Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi mempelajari adat berniaga ini sejak usianya mencecah 14 tahun lagi. Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil upah sebagai pengasuh, Najwa mula menyimpan tekad untuk berjaya dalam bisnes suatu hari nanti.
Berkat usaha dan iltizam yang tidak pernah mengenal erti jemu, kini Najwa boleh berbangga dapat membuka syarikatnya sendiri dan kejayaan baginya tidak datang bergolek kerana dia bermula dari bawah.
“Saya bermula dari bawah. Saya pernah menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak sebelum membuka perniagaan sendiri. Saya memberanikan diri menceburkan diri dalam bisnes yang jarang dipelopori oleh individu yang baharu hendak memulakan perniagaan iaitu kilang OEM & kosmetik sendiri,” ujar Najwa yang mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk berjaya.
Tambah Najwa lagi, segalanya bermula apabila dirinya menjadi ejen yang dilantik oleh sebuah kilang pembuatan kosmetik yang mempunyai rangkaian di Malaysia, China dan Korea. Bijak merebut peluang yang terbuka di depan mata, Najwa mula belajar mengenai selok belok pembuatan dan penghasilan kosmetik.
“Saya bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk menjadi ejen sebuah kilang kosmetik. Selepas dua tahun menimba ilmu dan pengalaman, saya menanam azam untuk membuka kilang sendiri. Kini, saya boleh berbangga dengan kilang kosmetik bertaraf GMP, RASSALAB GLOBAL SDN BHD yang mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan sijil pengesahan Halal dari JAKIM.”
Ditanya mengenai keperibadian dirinya yang berjaya memimpin sebuah organisasi yang memerlukan pengetahuan terkini dalam dunia kosmetik dan penghasilan produk, Najwa mempunyai pandangan tersendiri mengenai kelebihan yang dimiliki oleh wanita sebagai motivasi untuk dirinya mampu berdaya saing dalam dunia pengilangan yang disifatkan kompetatif dan memerlukan dirinya sentiasa mengikuti arus semasa yang pantas dan mencabar.
Pernah berhadapan dengan situasi getir dek penangan Covid-19, Najwa beranggapan situasi tersebut banyak mematangkan dirinya dalam dunia perniagaan di mana dia perlu bijak mengatur langkah dan aliran tunai agar kesinambungan syarikat berjalan lancar, Najwa memasang strategi untuk memastikan kakitangan dan aliran tunai syarikat berada -dalam keadaan bersiap-siaga untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
“Sifat semulajadi wanita yang kreatif dan berdaya saing memberi kelebihan untuk wanita bertahan dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan. Itu jugalah yang menjadi misi dan visi saya dalam perniagaan yang dijalankan.
Setiap cabaran dan dugaan pasti akan dilalui dengan matang. Sebagai ketua, saya perlu bijak menghadapi cabaran dan mengurangkan risiko. Saya memegang prinsip percaya pada konsisten dan usaha takkan mengkhianati hasil,” ujar penerima NONA TOP TRUSTED OEM FACTORY AWARD di NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Sebelum mengakhiri perbualan, Najwa memasang impian untuk melebarkan empayar perniagaannya dan jika diberi kesempatan, dia ingin menetap di England untuk mempelajari pasaran di sana pula.
“Selain itu, dalam tempoh 5 tahun akan datang, saya ingin membuka lebih banyak cawangan kilang dan membuka kilang memproses makanan dan ubat-ubatan untuk memenuhi keperluan makanan dan ubat-ubatan negara,” ujar Najwa seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersandarkan prinsip untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan pengalaman serta ilmu yang dimiliki menjadi pemacu kepada Datin Sri Dr Yetti Murni Zamris untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan berteraskan perkhidmatan kesihatan wanita.
Sebelum berkhidmat di Putrajaya dan menceburi bidang keusahawanan, Dr Murni pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan serta bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Alor Gajah Melaka.
Kata penerima Nona Best Entrepreneur in Healthcare Industry Award yang mesra disapa sebagai Dr Murni ini: –
“Saya menceburi bidang ini kerana pengalaman dan pengetahuan yang saya ada. Maka. dapatlah saya memberi sumbangan yang lebih baik kepada masyarakat seterusnya menerapkan nilai-nilai murni kepada ramai orang.”
Klinik Siti diasaskan pada tahun 1991 oleh ibu mentua Dr Murni iaitu Datin Dr Siti. Kemudian, pada tahun 2016 pengurusan klinik ini telah diambil alih oleh suaminya, Dato’ Sri Dr Muhammad Ali.
Sepanjang bekerja di Klinik Kesihatan yang memfokuskan khidmat kesihatan kepada ibu dan anak, Dr Murni mendapati berlakunya isu-isu berkaitan pengurusan dan kekangan masa yang terhad bagi golongan ibu mengandung bagi mendapatkan khidmat di Klinik Kesihatan.
Maka, tercetusnya inisiatif pembukaan Klinik Siti yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad serta cuti umum bermula pukul 8 pagi sehingga 11 malam,.
“Kini, saya juga seorang pengarah serta pemegang saham syarikat Siti Healthcare Sdn Bhd yang mengendalikan pengurusan Klinik Siti. Manakala Siti Healthcare Sdn Bhd memastikan khidmat yang ditawarkan memberi penjagaan kesihatan yang baik dan mengikut garis panduan ditetapkan oleh Kementeriaan Kesihatan Malaysia.
“Saya bertanggungjawab menetapkan garis panduan bagi Klinik Siti yang juga memfokuskan kepada penjagaan kesihatan kaum wanita.
“Selain itu, para doktor yang berkhidmat di Klinik Siti diberi latihan yang lebih dalam menguasai perkhidmatan yang ditawarkan khususnya “Ultrasound”. Doktor-doktor ini dilatih untuk lebih menguasai perkhidmatan scan seperti scan 3D4D, screening anatomy, scan Breast & Tyroid dan lain-lain yang ditetapkan.
“Kami mempunyai lebih 100 doktor wanita yang menerajui setiap cawangan Klinik Siti. Pada masa sama, masih boleh berkhidmat dan menguruskan keluarga serta anak-anak dengan masa bekerja yang lebih fleksibel,” kongsi Dr Murni yang berusia 37 tahun.
BIJAK BAHAGI MASA “Pada mulanya, pengurusan masa antara kerjaya, keluarga dan diri sendiri sedikit terjejas. Saya mengalami sedikit kesukaran tetapi setelah beberapa tahun berkecimpung dalam bidang ini akhirnya saya dapat mengurus segalanya dengan lebih baik. Paling penting, saya turut mendapat sokongan yang kuat daripada pihak keluarga terutamanya suami.
“Mengimbau kembali detik paling sukar ialah ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Sejujurnya ketika itu, pihak pengurusan dan syarikat juga mengalami detik yang sukar bagi meneruskan operasi serta perniagaan.
“Apa pun, kami berbalik kepada niat asal penubuhan Klinik Siti adalah untuk membantu, bukan hanya golongan pesakit malah tenaga kerja Klinik Siti agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup. Dengan niat yang ditanamkan serta izin dari Yang Maha Esa, Klinik Siti kembali bangkit dan terus berkhidmat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” jelas Dr Murni.
DORONGAN SUAMI “Sokongan yang kuat semestinya dari suami saya. Kejayaan seorang lelaki dengan adanya sokongan yang kuat dari seorang wanita.
“Begitu juga kejayaan seorang wanita adalah berdasarkan sokongan kuat dari seorang lelaki yang progresif sekali gus mendorong saya agar lebih berjaya dan maju. Tidak ketinggalan adalah sokongan daripada keluarga, ibu serta anak-anak,” ujarnya.
Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Tajaan Lokasi: Hotel Concorde Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.