Tiada ungkapan yang mampu diucapkan kepada seluruh kakitangan barisan hadapan (FRONTLINERS) yang terdiri daripada doktor, jururawat dan wira-wira Covid-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga dan anak kecil bertungkus-lumus untuk membanteras pandemik COVID-19 daripada menyerang masyarakat.
Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Sebagai orang biasa kita hanya mampu berterima kasih dan mengikut arahan kerajaan untuk tinggal bersama keluarga di rumah #JomDudukRumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Menyedari pentingnya tugas FRONTLINERS yang terpaksa bertarung nyawa demi bangsa dan negara, selebriti Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin.
Melalui projek ini, pelakon Love You Mr. Arrogant ini telah menyeru peminatnya serta seluruh masyarakat untuk menghulurkan sumbangan serendah RM1. Projek murni ini bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan, PRIHATIN Tanpa Sempadan dengan kerjasama erat Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Briged Kesenian APM.
“Kita sedar mereka ini antaranya petugas kesihatan serta sukarelawan menjadi wira dan wirawati dunia dalam memastikan keselamatan masyarakat yang sedang berdepan dengan isu penularan wabak Covid-19.
“Saya mahu peminat dan orang di luar sana menyalurkan sumbangan serendah RM1 bagi membeli barangan keperluan asas iaitu Personal Protection Equipment (PPE) seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman kepada insan berhati mulia ini. Begitu juga keperluan lain seperti makanan, tudung yang amat diperlukan mereka saat ini,” ulas Zara Zya tentang projek ini.
Ads
Tanpa semua FRONTLINERS ini rantaian COVID-19 pasti tidak mungkin akan dihapuskan. Tugas murni mereka sangat menyentuh hati rakyat Malaysia termasuk Zara Zya. “Kepakaran dan semangat mereka sangat diperlukan ketika ini di saat semua di luar sana bergelut memastikan apa yang dilalui kini terhenti dengan segera,” tegas pencinta kucing ini.
Ads
Tidak mahu berkeseorangan dalam menjayakan projek ini, pelakon bergelar penyanyi ini juga mahu menyeru teman artis lain untuk turut serta menyertai misi mulia ini. “Saya tak mahu berjuang seorang diri. Tapi nak ajak semua artis di luar sana bersatu hati menjayakan misi ini,” ujar wanita berhati mulia ini.
Bercerita lanjut tentang Projek Zara Prihatin ini, “Misi ini dirancang dan dibincang sejak seminggu lalu. Ia perlu dilaksana segera kerana soal bantuan ini tak boleh dilengah-lengahkan.
Ads
Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Mereka (petugas kesihatan dan sukarelawan) amat memerlukan bahan perlindungan ini. Mereka bertungkus-lumus memastikan semuanya terkawal tanpa menghiraukan risiko dan bahaya yang terpaksa dihadapi,” tutur Zara Zya.
FRONTLINERS sudah menjalankan tanggungjawab mereka dan kita masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan untuk menjayakan misi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Zara Zya sangat berharap orang awam tahu terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak 18 hingga 31 Mac ini.
“Jangan kita mementingkan diri. Fikir orang lain. Kalau tiada kepentingan untuk keluar rumah, maka janganlah berbuat demikian. Sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, pakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Pastikan jarak sosial anda sekurang kurangnya satu meter antara individu lain. Terus berdoa semoga semua ini akan pergi meninggalkan kita segera,” kata wanita kecil-molek ini.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lumrah manusia, masing-masing berlumba nak buktikan siapa terbaik antara satu sama lain. Kalau dulu yang elit bertanding harta dan kemewahan, tapi sekarang banyak yang sedar mahu ramaikan generasi celik Al-Quran. Cuma sayang bila anak-anak dah pandai mengaji, ibu ayahnya pula yang angkuh dan membangga diri.
Bagi ibu ayah yang direzekikan anak-anak soleh, pintar dalam pelajaran, patuh semua suruhan atau pendek katanya… ‘menjadi’, sedarlah itu semua bukan disebabkan didikan ala komunis anda di rumah. Bukan juga kerana nilai wang yang dibelanjakan untuk kelas tambahan atau teknik tertentu yang diceduk dari Barat.
Penjelasan Puan Siti Aminah Sulaiman dari Quranic Parenting ini banyak menyedarkan kita bahawa anak-anak hanya perhiasan dunia. Memang sungguh ibu bapa yang mencorakkan masa depan mereka, tapi pesan beliau, jangan lupa satu perkara ini yang sebenarnya.
======================================
Permulaan mendidik anak ialah dengan merasakan diri lemah dan hanya bergantung pada ALLAH semata-mata.
Kerana setiap ibu ayah tiada kuasa untuk memberi hidayah pada anak. Ianya hak mutlak Allah. Apa yang kita buat hanyalah usaha yang diharapkan dapat mengetuk pintu rahmat Allah.
Sedangkan kekasih-Nya Rasulullah SAW juga tidak dapat memberi petunjuk kepada pakciknya Abu Talib dan Nabi Nuh a.s juga tidak dapat membantu anaknya pada masa berlaku banjir besar yang mengazab setiap orang kafir, kerana anaknya memilih untuk terus bersama golongan kafir.
Kerana dengan kisah-kisah ini kita harus berasa tiada daya upaya dan hanya berharap pada hidayah petunjuk Allah dalam mendidik anak, tetapi bukanlah lemah yang menjadikan kita putus asa sekaligus membiarkan anak membesar mengikut arus perdana.
BUKAN.
Ia seharusnya mendorong kita untuk terus berusaha dengan cara:
Mencari ilmu bagaimana golongan Salafus Soleh berjaya melahirkan generasi muttaqin.
Berterusan mendoakan zuriat kita supaya diberi petunjuk oleh Allah dan dimatikan sebagai Islam.
Belajar doa para Nabi untuk zuriat mereka yang terdapat dalam Al-Quran dan hadis kerana para Nabi ialah wali Allah dan doa mereka diterima-Nya.
Saya sering beritahu pada anak-anak saya yang selagi saya masih hidup, saya akan terus mendoakan mereka setiap detik dan masa. Jadi gunalah kesempatan dan waktu pendek yang kita ada untuk terus mendoakan zuriat yang Allah beri ini.
Sungguh kita tiada upaya dalam mendidik anak, hanya bergantung dengan petunjuk dari Allah SWT. Dengan mengenal keadaan diri yang lemah ni, kita akan jauh dari sifat sombong bila dikurniakan nikmat anak yang soleh dan solehah.
Anakku, Sudah Tepatkah Cara Aku Mendidikmu?
Wasiat Allah yang sentiasa menjadi pegangan saya dalam mendidik anak ialah ayat 6 dari Surah At-Tahrim. Setiap kali baca ayat ni pun akan rasa gerun…
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Rasa berat bila diberi amanah anak-anak ni. Ia bukan kerja yang mudah dan tiada istilah fast result. Kerja mendidik ni macam tanam pokok. Ambil masa untuk membesar dan berbuah.
Tiada jaminan harini anak nampak baik, 10 tahun lagi keadaan akan sama…
Dan untuk didik anak ni perlukan ilmu, ada tertib yang perlu kita ikut dalam mendidik anak seperti yang diajar Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW:
Pendidikan aqidah yang sahih. Tanamkan benih iman bermula seawal bayi kerana fitrah anak ingin mengenal Pencipta. Berterusan hingga menjelang masuk ke umur 7 tahun.
2. Kemudian diajar melakukan ketaatan. Ibadah seperti solat, puasa dan hafaz Quran serta hadis.
3. Proses pembentukan akhlak seiring dengan mengajar anak melakukan ibadat. Ini adalah satu proses yang tidak mudah, perlu latihan berkali-kali hingga membentuk jadi darah daging.
Antara kesilapan yang biasa dilakukan ibu bapa ialah mereka miss step nombor 1 iaitu pendidikan akidah, terus jump ke step 2 iaitu ajar anak buat ibadah macam solat, puasa dan hafaz Quran.
Bila tertinggal step nombor 1 (pelajaran akidah) kita akan hadapi kesukaran nak minta anak solat, puasa dan baca Quran.
Itu yang ada kes bila puasa, tapi curi-curi minum air dalam toilet. Atau tipu parents cakap dah solat tapi sebenarnya tak solat dan ada yang buat-buat ambil wudhu’ dengan basahkan muka. Semua ni benar-benar berlaku kalau benih iman tidak ditanam ketika awal usia.
Kadang Allah hadirkan masalah dari anak untuk kita kembali mencari jawapan.
Dimana silap saya mendidik?
Manual jawapan cara didik anak sudah ada dalam Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Penghidap autisme dari Filipina, Karla Majam diumumkan sebagai Miss UniWorld 2023 dalam Pertandingan Miss UniWorld yang diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota.
Kredit foto: Instagram @criticalbeautyph
Gadis berusia 17 tahun itu yang berasal dari Santa Rosa, Laguna itu juga turut mencipta rekod sebagai wanita pertama dari Filipina yang memenangi gelaran Miss Uniworld. Karla disarungkan dengan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menobatkannya dengan gelaran tersebut.
Pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld. Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Turkiye, Jerman, Latvia dan Georgia.
Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji topik isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme ternyata menonjol, memperlihatkan kebijaksanaannya menjawab soalan dengan begitu tenang sekaligus memberi kesan di hati penonton, terutama sekali juri.
Misi pertandingan Miss UniWorld diadakan bagi meningkatkan keunggulan pertandingan ratu dunia itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Walau pun memiliki sedikit ketidakupayaan berbanding peserta-peserta lain, kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri sekaligus memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro. Pada malam itu, Majam menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.
Kredit foto: Instagram @drewfranciscow
“Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya. Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif,” jelasnya menerusi sumber Mstar.
Tahun lalu, Niousha Roohbaksh dari Iran diumumkan sebagai pemenang. “Walaupun didiagnosis secara klinikal menghidap autisme, perjalanan hebat Karla menepis halangan sekaligus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan tak kira apa jua dugaan yang mendatang,” kata organisasi Miss Uniworld Filipina dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!