Terlalu Banyak Berkorban, Sibuk Jaga Anak Punca Wanita Abaikan Kesihatan

Kaum wanita amnya dikenali kerana sanggup berkorban dan sering mengutamakan kepentingan insan lain berbanding diri mereka sendiri. Wanita juga sering lewat untuk mengambil tindakan, kurang kesedaran dan fokus untuk memenuhi keperluan kesihatan mereka. Inilah rasional di sebalik penganjuran kempen HER TIME Matters.

HER TIME Matters adalah satu kempen kanser payudara yang memperjuangkan usaha pemerkasaan kesihatan, libat urus dan keupayaan membuat keputusan tersendiri.

Matlamatnya adalah untuk menginspirasikan perubahan sikap serta menggalakkan pengurusan kesihatan yang proaktif di kalangan wanita.

Dianjurkan di antara September 2022 hingga Januari 2023, kempen HER TIME Matters menerapkan satu pendekatan pelbagai aspek untuk merapatkan jurang dalam 3 bidang: Kesedaran, Pemerkasaan Kesihatan dan Inspirasi dengan matlamat untuk mengubah landskap dan cara penjagaan kanser payudara di Malaysia.

 

HER TIME MATTERS

Menurut Pengurus Besar Roche Malaysia, Deepti Saraf, ia akan melibatkan program pendidikan dalam talian yang bersepadu, bual bicara kesihatan serta jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat insurans untuk meneliti polisi-polisi kesihatan wanita dan hospital bagi ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan.

Usaha ini akan turut melibatkan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Sunway dan Hospital Beacon. Selain itu, dianjurkan sesi perkongsian kehidupan penuh inspirasi bekas pesakit kanser dan pelbagai inisiatif lain.

Deepti Saraf

 

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2022, syarikat farmaseutikal Roche Malaysia dengan kerjasama The Asian Women (TAW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) ingin memperkasakan wanita agar mengambil langkah yang membawa perubahan sikap menerusi perkongsian harapan, inovasi, kolaborasi dan pencapaian-pencapaian terbaharu dalam bidang perubatan.

“Ingin saya tekankan betapa pentingnya ujian saringan awal kesihatan untuk menurunkan tahap kanser payudara serta bagi wanita untuk mengetahui tentang rawatan-rawatan terkini dan inovatif yang mampu memberikan hasil yang lebih baik kepada pesakit.

Tahap kesedaran berkenaan keperluan untuk penjagaan payudara secara konsisten masih lagi rendah. Malah, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati kadar ujian saringan payudara yang amat rendah di negara ini.

Dr Ng Char Hong

 

Tiga daripada setiap empat wanita yang berusia lebih 40 tahun tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram, manakala satu dalam dua wanita tidak mengamalkan pemeriksaan sendiri payudara.

Masih terdapat banyak tanggapan yang salah, stigma dan kebimbangan di kalangan wanita, selain berhadapan dengan cabaran-cabaran lain dalam kehidupan seperti cuba menyeimbangkan kehidupan di rumah dengan tanggungjawab lain.

Sungguhpun demikian, bersikap proaktif untuk mendapatkan bantuan, membuat pertimbangan terhadap pilihan yang ada pada kadar segera dan membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan, yang pada masa sama menjaga diri mereka secara holistik, mampu memberi impak yang signifikan serta memberikan hasil rawatan yang lebih baik.” Pakar Bedah Payudara, Dr Ng Char Hong

 

KEHIDUPAN SIHAT

Jojo Struys, Pengasas OhanaJo dan selebriti kesejahteraan menambah, betapa pentingnya untuk menjalani kehidupan yang seimbang dan menjaga diri sendiri.

“Tidak kira sama ada individu sedang berhadapan dengan sebarang cabaran perubatan atau tidak, kita semua mempunyai pilihan. Oleh itu, pilihlah makanan yang lebih sihat, lebih banyak bersenam, berpandangan lebih optimis dalam kehidupan dan menyingkirkan punca-punca stres dalam hidup.

Secara peribadi, meditasi telah menjadi cara terbaik untuk membersihkan serta memberi ketenangan minda dan memastikan saya menikmati kehidupan semasa. Jadikan ia satu tabiat harian untuk mencintai diri sendiri dan berasa berterima kasih bagi meningkatkan aras positif dan daya tahan diri.

Jojo Struys

 

Anda boleh memilih apakah kaedah terbaik untuk memastikan tubuh sentiasa aktif. Yoga telah banyak membantu dalam menguatkan tubuh saya tanpa menggunakan sebarang peralatan atau pemberat. Ia juga membantu melatih saya menjadi lebih fokus dan menjadikan minda lebih jelas.

Tidak kira apa yang anda lakukan, utamakanlah pelan pengurusan penjagaan kesihatan diri. Jangan biarkan keadaan anda bergantung pada nasib atau menjadi reaktif apabila anda mampu menjadi proaktif. Kita hanya mempunyai satu tubuh sepanjang hayat ini. Oleh itu, ambillah langkah untuk menjaganya sebaik mungkin.” Jojo Struys

IKLAN
Share