
Seharian duduk di pejabat sambil mengadap komputer atau laptop boleh mengakibatkan badan terasa lenguh-lenguh, kejang dan sakit. Lebih-lebih lagi di bahagian leher dan punggung. Kalau dibiarkan boleh menjadi punca kepada sakit kepala.
Berikut cara yang boleh anda buat untuk mencegah sakit lahir saat seharian duduk di meja kerja.
LURUSKAN KEPALA
Sakit kepala boleh terjadi disebabkan posisi kepala yang sering condong ke bawah kerana menaip terlalu lama. Ia membuatkan leher menjadi titik tumpu bagi kepala. Jika berjam-jam anda dalam posisi begitu boleh menyebabkan leher terasa sakit. Letak komputer atau laptop selari dengan mata. Jika meja terlalu rendah, alas komputer atau laptop dengan bantal khas yang banyak dijual di pasaran.
BUAT REGANGAN
Walaupun seharian berada di pejabat tidak bermakna anda tidak boleh berganjak sebentar hanya untuk meregangkan badan. Banyak kerja sekalipun jangan terlalu paksa diri. Bangunlah dan berjalan-jalan sekejap sekitar 30 minit bagi mencegah leher kejang. Usahakan untuk buat beberapa regangan ringkas sambil duduk. Contohnya tarik tangan ke atas, putar-putarkan bahu dan kepala secara perlahan.
DUDUK DALAM POSISI TENANG
Duduklah dalam posisi tepat kerana postur badan yang salah boleh menyebabkan mudah diserang sakit leher dan punggung. Duduk tenang dengan posisi bersandar. Pastikan kerusi dalam keadaan tegak. Posisi siku dan tangan tertumpu pada meja. Ratakan tapak kaki agar menyentuh lantai.
GERAKKAN BADAN DENGAN CARA BETUL
Jika anda mahu mengambil atau mengangkat barang berat di bawah meja, bangun dan ambil sambil membengkokkan pinggul dan lutut. Jangan hanya memusing badan. Untuk angkat dari posisi bongkok pastikan anda guna lutut sebagai tumpuan ketika hendak bangun (bukan dengan punggung). Gunakan kedua tangan untuk mengangkat beban.
MINUM AIR KOSONG SECUKUPNYA
Jika kerjaya anda banyak duduk dan tak banyak bergerak disarankan untuk minum banyak air kosong. Ini kerana sebahagian besar tulang belakang terdiri daripada air. Maka minumlah banyak air kosong agar tulang belakang tetap lentur dan kuat. Amalkan minum air kosong setiap dua jam sekali.
Balik Dari OUTSTATION, KAKITANGAN SYARIKAT Positif COVID-19, Kini Anak Pula Di HOSPITAL

Sekarang ini penularan wabak Covid-19 semakin menjadi-jadi. Gelombang kedua yang melanda negara membuatkan kes semakin meningkat dari hari ke hari. SOP langsung tidak di ambil peduli. Saranan kerajaan juga menggalakkan kakitangan untuk bekerja dari rumah tetapi terdapat sektor yang memerlukan mereka masih menjalankan urusan di pejabat.
Baru-baru ini ada perkhabaran yang menarik perhatian. Seorang kakitangan disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari bekerja di luar kawasan. Belum lagi saranan PKPB dikuatkuasakan namun tempat persinggahan atas urusan kerja itu berada di negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi di Malaysia. Kisah yang dikongsikan Harlina Arshad ini boleh membuka mata masyarakat terutamanya majikan untuk mengambil serius soal kesihatan kakitangan.
“Perjuangan saya melawan Covid-19 terasa sungguh lama. ‘Penginapan’ sementara di hospital hampir membuatkan saya depress. Mana tidaknya, asyik memikirkan tanggungjawab yang terabai kepada suami dan paling penting, anak-anak yang masih kecil. Anak kedua saya juga disahkan positif walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Semuanya bermula apabila saya keguguran baru-baru ini. Selesai cuti berpantang, saya masuk ke pejabat seperti biasa. Apabila diarahkan untuk ke luar kawasan atas tugasan rasmi di Selatan tanah air, saya terima dengan hati yang terbuka. Tugas itu adalah amanah, tak apalah kan? Itu bisikan hati saya.
Selesai sesi mesyuarat, kami sama-sama makan tengah hari. Saya duduk berselahan seorang ahli mesyuarat tanpa mengetahui keadaan kesihatan beliau ketika itu. Itu juga adalah satu-satunya masa saya membuka pelitup muka. Masa makan kan? Mestilah buka mask! 30 minit lebih kurang masa saya bersama ketika lunch hari itu,” tulisnya.
Ikutkan jadual perjalanan Harlina, dalam sebulan itu terlalu kerap dia ke luar kawasan. Ke sana sini memandu sendiri dan berjumpa ramai orang. Penat jangan ceritalah. Sehingga pada suatu hari, dia mulai terasa kepenatan dan badan mulai menunjukkan tanda.
“Disebabkan penat, saya mengambil MC. Masih sihat lagi tapi keesokannya harinya, dalam perjalanan nak ke lif untuk balik rumah, terasa sakit pada pinggang dan sendi. Lepas itu mula pening-pening dan sakit kepala. Bila berdiri, rasa hendak jatuh! Sejak itu saya memang duduk di rumah. Memang selepas itu badan semakin sakit dan saya ambil keputusan ke klinik. Anak-anak saya hantar ke rumah ibu.
Enam hari selepas pulang dari outstation, saya mendapat perkhabaran ahli mesyuarat yang duduk sebelah saya sewaktu lunch break disahkan positif akibat jangkitan dari suaminya. Tiba-tiba anak saya yang sulung pula mula menunjukkan tanda-tanda selsema, batuk dan sakit-sakit badan. kami terus ke hospital untuk buat swab test. Tak tunggu lama, esoknya suami hubungi hospital untuk tahu keputusan.”
ANAK UMUR 2 TAHUN POSITIF COVID
Seperti yang dirasai, Harlina disahkan positif. Tetapi, anaknya yang menunjukkan tanda-tanda negatif. Namun, ia tidak hanya sampai di situ.
“Wakil dari Pejabat Kesihatan menghubungi saya untuk ambil keterangan dan ambulans akan datang mengambil saya jam lima petang. Saya terpaksa menyuruh mereka tunggu di pagar guard house dan siren dimatikan. Bimbang nanti jiran-jiran panik. Dalam ambulans, hanya Allah tahu perasaan saya. Dan dalam ambulans juga saya menangis. Saya tak mahu mengalirkan air mata depan Aina, anak saya. Entah balik entah tidak… Adakah ini pertemuan terakhir saya dengan suami dan anak-anak.
Apabila saya disahkan positif, seorang lagi anak perempuan saya, Aisyah di bawa unutk swab test. Keputusannya dalam 24 jam. Hari ini, deria bau dan rasa mula hilang. Dada pula mula sakit dan sukar bernafas. Keesokannya suami menghubungi saya dan Aisyah disahkan positif!
Baru sesaat tadi saya dapat berita Aisyah positif, fikiran dah mula membayangkan sampai ke ajalnya. Allahuakhbar… Saya mula tak senang duduk. Setiap setengah jam saya hubingi suami untuk tahu keadaaan di sana sedangkan saya sudahpun berada di Hospital Sunga Buloh. Beberapa jam selepas itu, suami beritahu Aisyah dah naik ambulans. Fikiran saya menerawang membayangkan Aisyah naik ambulans seorang diri. Dia takut orang yang dia tak kenal. Nak lagi dengan orang yang lengkap PPE, lagi dia takut…dan itu membuatkan saya lebih tak senang duduk.
Saya berwuduk dan solat hajat. Doa banyak-banyak minta Allah lindungi Aisyah dan seluruh ahli keluarga. Dah hampir satu jam, Aisyah masih tak sampai. Rupa-rupanya suami beritahu ambulans terpaksa patah balik kerana tak sampai hati melihat Aisyah meraung. Tiba id hospital, kami dapat duduk satu wad. Sebaik Aisyah masuk pintu bilik, saya menangis sekuat hati. Tak hirau langsung orang keliling. Air mata Aisyah pun gugur sebaik melihat saya depan mata. Nampak sangat wajahnya keliru,”kata Harlina.
PERJUANGAN SELESAI
Hampir 10 hari di hospital. Harlina hanya hilang deria bau dan rasa. Sekejap sahaja demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Dan doktor beritahu, virus Covid sedang mengganggu sistem badan.
“Dada masih sakit, susah untuk bernafas. Aisyah sihat. Di hospital, 24 jam kami perlu memakai mask. Ya Allah…nikmatnya kalau ada di rumah, makan di rumah dan main-main macam biasa. Kasihan Aisyah. Langsung tak ada simptom tapi terpaksa ‘terpenjara’ di sini. Masa ini, saya sangat-sangat menghargai saat-saat di luar. Boleh juga buka mask sekejap.
Akhirnya perjuangan kami hampir tamat. Kami dibenarkan pulang. Sementara di hospital, macam-macam rupa-rupanya terjadi di luar. Terlalu banyak berita palsu mengenai kami bertebaran di sosial media. Ada yang mengatakan sebuah kedai di pusat membeli-belah tutup kerana kami sedangkan sejak balik dari outstation, kami tidak ke mana-mana.
Lebih sedih apabila penduduk kawasan perumahan ibu saya mula menuding jari dan takut bertemu ibu. Penyebar berita palsu sakan buat fitnah. Mujur ada yang tahu mengenai kami dan menjelaskan keadaan sebenar. Sakit, tapi apakan daya, saya tak mampu nak tutup mulut orang.
Apabila berlakunya keadaan ini, saya bersyukur kerana doa keluarga dan kawan-kawan menjadi asbab kesembuhan. Ramai yang memberi semangat kerana saya terlalu down dan letih. Memang sangat penting kata-kata semangat saat itu.
Dan, perkata paling penting adalah jaga SOP. Virus Covid merebak dengan sangat…sangat pantas. Mujur kami tidak ada penyakit kronik. Kami berjuang tanpa ubat. Bayangkan andai ini terjadi pada mereka yang berisiko tinggi?” akhiri Harlina.
“Suami Rai Ulang Tahun Perkahwinan Kami Dengan Beli Sate, Itu Sudah Cukup Memadai Bagi Saya” -SHIMA

Siapa tidak kenal dengan figura bernama Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman yang popular menerusi lagu berjudul ‘Teringin’ Walaupun bintang kelahiran Banting, Selangor ini tidak lagi bersinar seperti dahulu kala, namun namanya masih utuh dipersada seni hiburan tanah air.
Kini Shima tampil dengan imej berhijab selepas pulang menunaikan Umrah pada tahun lepas. Penampilan baharunya membawa seribu satu makna buat Shima ketika melawat kota suci Mekah dan menjentik hati wanita berusia 50 tahun ini untuk terus mengenakan hijab sebaik sahaja pulang dari rumah Allah.
“ Sejujurnya, saya memang teringin dan menyimpan niat untuk memakai tudung sejak dulu lagi. Pernah terdetik di hati saya, sekiranya diizinkanNya untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci, saya ingin terus tampil dengan imej berhijab. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran untuk mengerjakan ibadah umrah bersama rakan-rakan artis yang lain dimana ia ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 26 Januari tahun lepas.
PERKAHWINAN
Umum mengetahui, empat kali rumahtangga yang dibina Shima sebelum ini menemui titik noktah. Namun, mengakui bahawa perancangan Allah itu Maha Berkuasa, penyanyi yang turut popular menerusi lagu ‘setelah aku kau miliki’ ini kembali bergelar isteri setelah bertemu jodoh kelimanya dengan pemuda bernama Abdullah Rusli, 42, pada tahun lalu.
“ Saya kenal dengan suami saya sudah agak lama. Kami berjumpa ketika saya berpindah ke Pangsapuri Lestari yang terletak di Damansara Damai dan dia memang tinggal di Pangsapuri yang sama tetapi berlainan blok. Dari situlah berputiknya perkenalan kami berdua selama dua tahun dan seterusnya membawa hubungan ini kepada ikatan yang sah.
Saya tertarik dengan kejujuran dan keihklasan suami saya hingga ada segelintir orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dia. Dia sanggup buat apa sahaja untuk membantu orang di dalam kesusahan. Meskipun suami saya lapan tahun lebih muda daripada saya, namun pemikiran dia nampak sangat matang.
Dia juga seorang yang sangat memahami. Malah, dia menerima diri saya seadanya walau diberitahu tentang keadaan kesihatan yang makin merosot. Ini kerana, saya menghidapi sakit saraf dan cakera tergelincir (slipped disc) sekali gus mengehadkan pergerakan saya untuk membuat kerja-kerja rumah seperti isteri-isteri lain.Itulah yang membuatkan saya terharu lantas menerima lamarannya.
HARAPAN

Saya mengharapkan perkahwinan ini hingga ke Jannah. Sudah beberapa kali saya berkahwin namun jodoh tidak bepanjangan. Pernah saya bernikah dengan warga asing namun ia bukanlah perkara yang mudah. Begitu berat tanggungjawab yang saya harus pikul untuk membimbing dia ke jalan yang benar dari segi akidah, agama dan sebagainya. Saya sebagai orang islam perlu kuat menempuh setiap dugaan yang datang.
Hasil perkahwinan saya sebelum ini juga tidak dikurniakan zuriat. Mungkin belum ada rezeki saya ketika itu tambahan pula dengan penyakit yang saya hidapi. Namun saya amat faham dengan keadaan kesihatan saya dan hal ini mungkin tidak mengizinkan untuk mempunyai zuriat sendiri. Saya dan suami redha dengan ketentuanNya.
Alhamdullillah, sudah tiga tahun kami melayari bahtera perkahwinan bersama.Suami saya merupakan sahabat, teman ketawa dan teman bergaduh. Dialah segalanya bagi saya. Dia banyak membantu saya dalam menguruskan rumahtangga termasuk bisnes warung yang saya usahakan.
Bila tiba ulang tahun perkahwinan, kami menyambut dengan sederhana sahaja. Sejujurnya, kami tiada meraikannya dengan memberi hadiah yang besar. Cukup sekadar ucapan selamat ulang tahun sahaja. Saya masih ingat, ketika itu sambutan ulang tahun perkahwinan kami. Kebetulan saya teringin nak makan sate. Dia sanggup berjalan jauh untuk membeli sate untuk saya. Walaupun dia bukanlah suami yang terlalu romantis, tapi ia sudah memadai bagi saya, Alhamdulillah.
Selain sibuk menguruskan rumah tangga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur. Sesungguhnya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun kurang tawaran nyanyian, Shima tidak terus berdiam diri demi menyara kehidupan. Beliau bersama suami membuka warung yang diberi nama ‘Teringin’ di perkarangan rumahnya untuk menampung hidup.
Puteri Aleeya & Puteri Aleefa Kian Dewasa, ARNI NAZIRA Kongsi Kriteria Menantu Pilihan

Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun kelibat Arni yang hadir di majlis Anugerah Pesona Pengantin baru-baru ini menarik perhatian ramai. Masih cantik, tinggi lampai dan langsing, kulit putih gebu dirias sederhana dengan mengenakan solekan tipis. Cukup menawan dan tidak salah jika penulis katakan aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini amat kuat. Apatah lagi sepanjang majlis, Arni sentiasa melemparkan senyuman manis dan ramah apabila diminta berkongsi perkembangan terkininya. Wanita berusia 44 tahun ini masih seperti dulu. Mesra dan menyenangkan.

Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3 orang cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz, Wan Ayesha Maserra, dan Wan Muhammad Mushrief. Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua orang puteri iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Aleefa Antasha.


Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang! Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha, masing-masing kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama. Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.


“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya. Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari. Memandangkan Puteri Aleeya tinggal di asrama maka kami jarang berjumpa. Hanya pada hujung minggu jika ada masa terluang kami akan bertemu.
Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”
Nona berkesempatan mengajukan beberapa soalan spontan kepada Arni antaranya ciri-ciri menantu pilihan seandainya jodoh Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa Antasha tiba kelak. Sebagai seorang ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Arni juga mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Anak-anak masih belajar. Tetapi InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah. Saya serahkan pada anak-anak. Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya,” ujar Arni penuh senyuman.
Menyentuh perkembangan terbaru, ibu kepada 5 cahayamata ini mempunyai perancangan untuk memulakan perniagaan sedikit masa lagi. Melihat bisnes berkaitan dengan wanita begitu mendapat tempat di kalangan wanita, Arni turut bercadang untuk menceburkan diri dalam perniagaan tudung sedikit masa lagi.
“Segalanya masih dalam perancangan. InsyaAllah doakan yang terbaik untuk saya,” ujar Arni ketika berbicara mengenai perniagaan yang bakal diceburinya itu. Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.
“Usia saya tahun ini memasuki 44 tahun ini. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal. Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.
Kesimpulannya, tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul,” kongsi Arni.
Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.

“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga,” ujar Arni seraya mengakhiri perbualan.
Kredit Foto: Instagram @arninazira @aleeyantasha @aleefaantashaa