Gaya Hidup

Terpaksa Ditidurkan Di ICU, NAD ZAINAL Alami Masalah Paru-Paru Berdarah & Jangkitan Kuman

Pelakon drama bersiri Dendam Seorang Isteri, Nad Zainal dilaporkan menghidapi jangkitan kuman pada paru-parunya dan kini  sedang ditidurkan selepas dua hari dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Pakar Ampang Puteri.

Perkhabaran ini dimaklumkan oleh rakan baiknya, Aina Liza yang menyatakan bahawa dia sendiri tidak tahu berkaitan dengan masalah jangkitan pada paru-paru rakannya itu. Nad Zainal, 32, pernah berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. Namun, keadaannya ketika itu masih stabil dan tidak serius.

Walau bagaimanapun, tambah Aina yang juga pengurus kepada selebriti Sherry Al Hadad, biarpun kini Nad sedang dirawat di ICU dan terpaksa ditidurkan, namun menurut doktor, keadaannya masih stabil.

Kongsinya lagi, keadaan ini barangkali berpunca daripada ‘long COVID’ tetapi masih tidak ketahui kesahihan punca jangkitan tersebut.

Menurut Aina, doktor juga mengesahkan bahawa Nad menghidapi masalah paru-paru berdarah.

Nad ditidurkan selama dua hari sebab paru-paru dia berdarah. Dah dapat keluarkan semua darah jadi doktor tidurkan dia supaya boleh rehat dan paru-paru kembali kering.

Aina juga turut memuat naik entri pada Instagram (IG) Story merayu peminat mendoakan Nad yang dirawat di ICU.

“Mohon semua doakan Nad yang sedang berada dalam ICU. Semoga beliau diberi kesembuhan sepenuhnya… Amin,” katanya.

Perkhabaran itu juga turut dikongsikan oleh rakan baik Nad juga seorang pelakon, Ungku Ismail yang memohon agar peminat-peminat mendoakan kesihatan Nad Zainal.

“Saya mohon doa semua kepada Nad yang dimasukkan ke ICU hari ini (semalam) akibat jangkitan paru-paru.

“Beberapa prosedur sudah diambil. Nad stabil mengikut kata doktor. Namun, Nad benar-benar tidak sihat… Mohon doa semua ya.

“Allahumma yashfihaa,” luahnya melalui hantaran di IG Story.

Team NONA turut bersama-sama mendoakan agar Nad Zainal mendapat kesembuhan dengan segera dan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Sumber gambar: Instagram Nad Zainal

IKLAN
Share