USIA 17 TAHUN NURUL IZZAH BERTINDAK DEWASA MENYAKSIKAN SAAT BAPA DITAHAN
Pembabitannya dalam dunia politik bermula sejak usianya masih muda lagi. Sebaik Datuk Seri Anwar ditahan di jeriji besi, YB Nurul Izzah Anwar memperjuangkan agenda pembebasan dan kebajikan rakyat. Anak sulung Anwar ini, sejak awal lagi mengikuti perjalanan politik bersama ibu dan ayahnya.
Malah, tidak hairanlah ibu kepada dua cahaya mata ini turut mendapat gelaran sebagai Puteri Reformasi lantaran perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.
Kesempatan bertemu dengan wanita cekal ini yang sering mengungkap kata-kata positif untuk melihat negara bebas dari belenggu permasalahan
“Hidup ini kita harus banyak bersabar. Frasa yang sering diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dari TS Elliot “The Greatest Wisdom One Could Hope To Acquire Is Humanity”. Humanity Is Endless. Itulah pegangan yang menjadi tunjang dalam diri saya,” ujar Izzah.
Ini bermaksud sifat tawadduk itu tidak diambil dengan serius, tapi sebenarnya segala kehebatan, kedudukan dan pangkat hanya datang dengan izin Allah. Jika kita merasakan sesekali kita dihina, ingatlah bawah Rasulullah S.A.W tidak pernah marah jika dihina. Baginda hanya marah apabila keluarga atau teman-teman dihina.
Jadi, dalam kita melakukan sesuatu tentu kita akan berhadapan dengan cabaran. Kecekalan hati harus lahir kerana hidup ini sementara, ada hukum dan hisab yang diaplikasi dalam kehidupan. Apa yang penting, kita perlu mengejar jannah.
Sebagai kakak sulung kepada enam bersaudara, tidak dinafikan Izzah bertanggungjawab membantu ibunya menyatukan adik-beradik yang lain yang terpalit dengan memori duka ketika mereka masih kecil lagi.
Ads
“ Tidak dinafikan, saya sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjalani kehidupan berdasarkan prinsip keadilan.
“ Nikmat bersama ayah harus disyukuri walaupun berada di sebalik jeriji besi, mahkamah mahupun di rumah. Kami bersyukur kerana papa bukanlah seorang yang cerewet dan memilih. Kalau dapat jamah kurma favorit iaitu kurma Ajwa pun sudah memadai baginya,” ujar Izzah yang teruja menyambut Aidilfitri tahun ini dengan menikmati hidangan raya bersama keluarga tercinta.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini sememangnya terkenal dengan semangat bercerita soal reformasi dan kini usaha untuk menyaksikan Malaysia menjadi negara yang lebih aman, adil dan harmoni semakin berkembang dengan semangat Malaysia Baharu yang dibawa bersama.
Sering melaungkan untuk mengubah pentadbiran negara untuk menyelamatkan ekonomi rakyat, kini usaha tersebut bakal direalisasikan dengan gabungan pentadbiran yang baharu.
Jatuh bangun Anwar dalam politik turut dilalui Nurul Izzah. Menurut anak sulung Anwar ini turut berkongsi momen hitam tragedi yang meragut kegembiraan keluarganya.
Ads
“Papa sudah lama terpisah dari keluarga mengikut fasa, hampir 10 tahun. Saya sering menganggap ia adalah dugaan dari Yang Maha Esa untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan sekaligus kemelut yang dihadapi oleh rakyat.
Sebagai anak sulung, saya dan adik-beradik yang lain amat merindui papa. Semasa papa di dalam tahanan, beliau sangat optimis dan sentiasa mengukir senyuman. Tanggungjawab sebagai bapa tidak pernah diketepikan kerana beliau memahami masa bersama keluarga adalah nikmat yang harus disyukuri.
Selalunya, cucu-cucu akan rindu untuk bertemu dengan Papa Tok mereka. Tapi kini, Alhamdulillah kerinduan itu dapat diubati. Tiada lagi adegan peluk cium di mahkamah. Tetapi kini, kami semua dapat mencium tangan papa di pagi raya, di kediaman keluarga,” jelas Izzah sambil disambut dengan senyuman dari adik-beradik yang lain.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang masih hangat dirasai, menurut Izzah saat bersama keluarga yang kini sudah ‘cukup kuorum’ sangat berharga untuk dikenang. Malah, suasana berbuka puasa di bulan Ramadan lalu menjadi lebih bermakna apabila dapat berbuka puasa bersama setelah beberapa tahun dinikmati dalam kesedihan dan penantian.
Ads
“Iftar sebenar pertama kami bersama-sama. Saat seperti ini, tidak kira jika ia dinikmati dalam lingkungan dinding penjara atau di rumah kita sendiri,” katanya yang turut memuat naik gambar berbuka puasa kali pertama selepas Anwar pulang ke rumah.
Nurul Izzah turut menyifatkan kepulangan Anwar suatu jalan terbaik mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Perpisahan kini berakhir dengan pelukan penuh kesyukuran.
“Kehidupan dan masa kini adalah bagaimana anda memilih untuk menerimanya. Sama ada antara perikemanusiaan, ketulusan, keyakinan dan harapan, atau putus asa, kemarahan, kekecewaan dan kepahitan. Kehidupan adalah berdasarkan prinsip. Banyak lagi yang perlu dilakukan dan banyak lagi usaha untuk melawan ketidakadilan,” luah Izzah yang amat prihatin soal kebajikan rakyat Malaysia.
Sebagai seorang anak, saat paling membahagiakan apabila bersama ibu dan ayah. Lebih-lebih lagi mereka sudah ‘terpisah’ bertahun lamanya. Walaupun Anwar merupakan figura awam yang perlu berkongsi ‘kasih’ itu dengan penyokongnya tetapi kepulangan bermakna itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan Syawal harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Kenali dengan lebih rapat lagi 5 puteri kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah ini dalam naskhah Julai 2018!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi wanita yang bekerjaya memang bukan mudah. Lebih-lebih lagi mahu menguruskan masa dan menyeimbangkan tugas sebagai isteri, ibu dan menguruskan sesebuah organisasi. Akibat terlalu letih Nurul Azwin atau lebih mesra disapa Awin check-in hotel untuk merehatkan dirinya.
Namun apa yang dihajati tidak berjaya apabila tidak boleh melupakan anak-anak yang berada di rumah. Kongsi Awin yang juga merupakan isteri kepada Pendakwah Terkenal, Ustaz Shahrizan ini, “Menjelang Hari Raya ni saya begitu sibuk dengan meeting,”.
Terdapat pelbagai meeting termasuk menguruskan agen dan leader serta pelbagai urusan untuk menguruskan butik dan produk kosmetik saya. Saya memang suka meeting dekat luar berbanding di butik atau pejabat. Bagi saya lebih selesa dan senang apabila meeting di luar. Bukan sahaja boleh minum dan makan dengan mudah malah kadang-kadang boleh menyuntik inspirasi.
Tapi jarak tempat meeting dan pejabat biasanya tak lah jauh sangat, dekat di antara satu dengan yang lain. Rumah saya pun dekat dengan pejabat. Kebetulan masa tu saya meeting dekat Curve dan disambung dengan beberapa meeting. Saya berhenti lunch dan solat di situ tiba-tiba sampai pukul 3 lebih saya rasa penat.
Memang penat yang sangat-sangat ketika itu. Suami turut menemani saya ketika itu dan tiba-tiba saya terfikir untuk terus berehat di hotel akibat terlalu letih. Saya cadangkan pada suami, ” Hotel kat sebelah sahaja ni, kalau dapat berehat best jugak,”.
Tapi suami ada program lain maka saya sorang saja yang check-in sebab saya fikir kalau balik rumah saya tak akan rehat punya. Kalau saya balik rumah pukul 4 petang, sambung kerja rumah, menyapu, masak dan pelbagai tugas suri rumahtangga yang tidak pernah habis.
Asalnya lepas meeting nak masuk hotel nak rest, baring-baring, tengok TV, then keluar balik untuk dinner tak yah masak, nak pergi facial kat mall sebelah, nak pergi pedicure, nak tengok movie, tu idea asal.
Jadi saya check-in dapatkan premier room, naik atas masuk bilik dan bukak langsir tingkap. Bila buka langsir terus nampak pool. Tadi yang konon letih nak baring berehat, terus teringat anak nombor 4 yang suka mandi dalam pool.
Lepas tu, terfikir pula nak reward anak sulung pulak yang tolong jaga adik kecil dia sepanjang saya bekerja di luar. Fikir dalam hati kalau bawa anak sulung mungkin boleh bantu dia hilang stres. Tiba-tiba rasa teruja nak ajak anak-anak datang sini dan terlupa tujuan asal untuk check-in tadi.
Kemudian saya ambil keputusan mintak tolong staf hantar anak-anak saya ke hotel. Bila anak-anak dah sampai bilik, anak yang nombor 4 dah bagi dialog, “Mommy I want go to swimming pool,”. Dan kakak pula dia baru dapat result 9A saya nak bagi reward untuk dia.
Check-in kat hotel sekangkang kera je dari rumah. Nak rest konon dan nak ‘me time’ tapi bersama anak, sorang nangis sorang nak swimming sorang nak shopping, hmmm me time la sangat. Matlamat tak tarcapai ok terus rasa sama macam kat rumah je cuma beza nak check-out tak yah kemas bilik.
Nasib baik saya bawa 3 orang sahaja sebab lagi dua orang anak tak boleh ikut sebab mengaji. Niat asal untuk berehat tak menjadi begitu lah kalau dah jadi mak-mak ni. Selalu lupa tentang diri sendiri dan bahagia apabila melihat orang yang tersayang gembira dan bahagia. Bukan nak komplen tetapi ketawa kepada diri sendiri.
Esoknya check-out saya sambung meeting dan balik rumah sambung kerja-kerja rutin setiap hari sebagai suri rumah tanpa maid.
Semasa saya berpantang hari yang ke19 baru-baru ini saya berjaya check-in hotel tu jugak 2 malam. Sebab stres duk rumah tak boleh duduk diam. Saya tak boleh nampak rumah sepah, tapi tak boleh buat keje berat sebab ceaser kali ke4. Jadi masa new year, kebetulan wedding anniversary, saya check-in hotel 2 malam, baru saya dapat rehat,” kongsi Awin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perjalanan hidup penuh berliku. Untuk berjaya seperti hari ini, banyak kesilapan yang dibuat dan mendewasakan kita. ‘Belajarlah memaafkan kesalahan itu…’ rahsia Oprah Winfrey, 68 tahun, terus unggul sebagai sosok jutawan wanita kulit hitam Amerika Syarikat yang menjadi inspirasi dunia.
Bermula dengan kejayaan The Oprah Winfrey Show yang ditayangkan pada 1986 – 2011, beliau terus mengorak langkah memiliki stesen TV sendiri iaitu The Oprah Winfrey Network (OWN).
Turut diangkat sebagai wanita kulit hitam pertama menjadi jutawan di Amerika Syarikat, nama Oprah Winfrey kekal tersenarai dalam 10 wanita terkaya menurut Forbes 2022.
Sebagai pengacara rancangan televisyen dengan bayaran tertinggi, sudah tentu kejayaannya menjadi inspirasi ramai.
Semak tip-tip kejayaan Oprah Winfrey seperti di bawah ini…
(1) Berusaha untuk membuat perubahan
Kata Oprah, usah membandingkan diri kita dengan orang lain sebaliknya fokus pada sesuatu yang mampu mengubah hidup. Mungkin sukses tidak tercapai dalam percubaan pertama, tapi ia tidak mustahil dengan usaha yang konsisten.
(2) Bijak ambil peluang
Rebut peluang atau kesempatan yang ada. Menurut Oprah, sukses itu bukan nasib atau takdir seseorang. Ia adalah tentang memanfaatkan peluang di depan mata.
(3) Maafkan kesalahan lalu
Tiada manusia yang maksum atau langsung tidak membuat salah. Jadikan kesalahan lalu sebagai pelajaran dan pengalaman berharga untuk menjadi lebih maju.
(4) Sentiasa perbaiki diri sendiri
Kedengaran remeh namun bagi Oprah mempunyai makna yang sangat mendalam. Beliau percaya kita semua harus berkembang dan jangan pernah lelah mencari ruang untuk memperbaiki diri.
(5) Lakukan sekuatnya
Berusaha membuat yang terbaik dalam setiap yang dikerjakan. Itulah yang membawa kejayaan dan usaha mengejar apa yang dicita-citakan.
(6) Percaya pada mimpi
Tidak salah memiliki impian besar untuk diri sendiri. Untuk sukses, percaya bahawa kita mampu mencapai impian tersebut.
CIPTA SEJARAH
Oprah Winfrey atau lebih terkenal dengan nama Lady O ini sememangnya berjiwa pemurah. Ingat lagi 16 tahun lalu, apabila wanita ini telah mencipta sejarah dalam dunia penyiaran melalui rancangan bual bicara popularnya, The Oprah Winfrey Show.
Oprah telah memberi kejutan apabila menghadiahkan 276 unit kereta kepada setiap penonton dalam studionya.
Benar orang kata, lagi banyak kita memberi lagi murah rezeki yang kita dapat. Siapa sangka, jiwa pemurah yang dimiliki wanita ini, melayakkannya dinobatkan sebagai selebriti wanita TERKAYA di dunia dengan jumlah bersih kekayaan bernilai RM15 billion (USD3.5 billion). Semua yang diraih oleh Oprah ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Sikapnya dalam memajukan diri sangat menginspirasikan. Teringat kata-katanya, “Think like a queen. A queen is not afraid to fail. Failure is another steppingstone to greatness.”
Bayangkan program ikonik ini telah bersiaran selama 25 tahun sebelum berakhir pada tahun 2011. Jumlah gaji yang diterima oleh wanita ini tidak diketahui tetapi beliau memperoleh sekitar RM720 juta (USD165 juta) di antara Mei 2011 dan Mei 2012.
Setelah program bual bicaranya berakhir, Oprah telah melancarkan saluran kabelnya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN). Pegangan sahamnya sebanyak 25.5 peratus dalam saluran kabel ini dianggarkan bernila RM327 juta (USD75 juta). Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat majalah sendiri dengan menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah dalam Weigh Watchers.
Menurut CNBC, harga saham syarikat wanita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni/Sains, Universiti Tennessee State ini, mencapai rekod tertinggi pada bulan Jun 2018. Forbes melaporkan sahamnya telah berubah dari RM192 juta (USD43.5 juta) menjadi RM1,747 juta (USD400 juta).
Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat bernama Harpo Production yang memiliki rangkaian tunggal dengan Discovery Communication. Harpo Production merupakan kekuatan di sebalik program Dr. Phil, Rachael Ray dan The Dr. Oz Show. Ini bermakna jiwa wanita ini sudah sebati dengan dunia penyiaran dan tidak mampu meninggalkannya meskipun bekerja di belakang tabir sahaja.
Foto: Facebook Oprah Winfrey
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.