Sesungguhnya ketulusan sebuah doa muncul kala kesakitan yang perit dan ketulusan bertasbih terucap dari hati yang sakit. Bukan selamanya rasa sakit itu harus dibenci kerana kemungkinan ia boleh mendatangkan kebangkitan pada seseorang. Sesungguhnya perancangan Allah itu sebaik-baik aturannya.
Terkadang penderitaan itu boleh memberi kenikmatan pada kita suatu hari nanti. Bangkitlah dengan semangat dan jiwa yang kuat. Kita yang tidak menanggungnya hanya mampu melihat, janganlah pula mudah menyentuh hati mereka dengan pelbagai andaian negatif. Resapilah segala kesulitan dan keresahan yang mereka alami. Mungkin hari ini, ujian itu milik mereka, esok lusa mungkin kita pula penggantinya.
Ini kisah yang saya lalui dan penghujungnya, saya iringkan doa agar semua dipermudahkan dan kembali pulih semula. Saya, Sharifah Huzaimah Wan Abd Rahman, berusia 38 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak dan merupakan anak sulung dari tiga beradik.
Abah saya bernama Wan Abd Rahman Wan Zen, 62 tahun, dan mak saya, Hamdiah Hj Zen, 60 tahun. Kami semua tinggal berasingan, kecuali keluarga adik bongsu, serumah dengan Mak dan Abah.
Segalanya bermula pada 17 Mac, pukul 5 petang, di dalam group WhatsApp keluarga besar kami (2 keluarga besar bergabung, keluarga Nenek saya dan keluarga adik Nenek). Kami dimaklumkan Nenek Usu Kayah (Allahyarhamah Hajah Rokayah Drahman), bertegas mahu balik ke rumah, semasa sedang menjalani rawatan di hospital swasta.
Nenek dimasukkan ke hospital selama satu malam kerana simptom demam, batuk dan sesak nafas (sampel darahnya telah dihantar ke Kuala Lumpur). Dia balik ke rumah petang tersebut dihantar oleh ambulans, berbekalkan tong oksigen disewa anak-anak dari hospital swasta.
Pada pukul 11 malam hari yang sama, Mak, Abah dan suami saya pergi melawat Nenek Usu yang sedang sakit (demam dan sukar bernafas) di rumahnya. Ada juga beberapa keluarga lain di sana. Saya tak dapat ikut kerana sedang bekerja shif.
Pada jam 2 pagi, kami dimaklumkan Nenek Usu telah meninggal dunia. Pada pagi 18 Mac, keluarga dan kawan-kawan terdekat mulai datang menziarahi rumah Nenek dan jenazah dimandikan, serta dikebumikan seperti biasa selepas Zohor di kubur Semariang, Kuching.
Waktu jenazah nenek dibawa ke kubur, anak-anak Nenek Usu (sepupu Abah), Norafizah dan Norismadi kelihatan demam dan sesak bernafas. Keluarga yang menziarah ada memaksa agar mereka dihantar ke SGH dengan segera.Untuk makluman, semua yang hadir di majlis pengebumian tersebut memakai topeng muka.
Pada 20 Mac, pagi tersebut group WhatsApp keluarga kami kecoh kerana keputusan darah Norismadi positif COVID-19. Semua ahli keluarga kami ketakutan, bercampur baur rasa sedih dan mula tertanya-tanya dari mana asal jangkitannya.
Ads
Kami semua bingung. Bermulanya perasaan stres dan takut dalam setiap diri kami, hanya Allah yang tahu betapa risaunya kami sekeluarga. Nama dan kad pengenalan diri setiap waris yang hadir ke majlis pengebumian, satu persatu dikumpul, kami cuba jejak hadirin yang datang dan KKM memanggil seorang demi seorang untuk screening COVID-19 di SGH.
Hari yang sama, seorang demi seorang ahli keluarga kami admitted ke hospital. Dan kami terima berita anak-anak Nenek Usu kritikal dan kemudian meninggal (Norafizah dan Norismadi). Ya Allah, seluruh ahli keluarga dalam kesedihan dan kami tidak dapat melawat mangsa, apatah lagi menghadiri majlis pengebumian mereka.
Kami cuma mampu melihat video yang diambil oleh pihak berkenaan semasa proses membawa jenazah dari SGH sehingga dikebumikan. Masing-masing rasa sedih dan takut dengan masa depan kesihatan kami sendiri.
Bayangkan setiap hari dihantui perasaan trauma. Asalkan ada mesej WhatsApp baru, kami tahu ada ahli keluarga akan diambil ambulans, dibawa ke SGH kerana positif COVID-19. Sehinggakan kami jadi trauma setiap kali mendengar notifikasi telefon. Keadaan ini berlarutan selama lebih seminggu.
Jangkitan Merebak
Pada 27 Mac, perkara yang paling ditakuti akhirnya berlaku. Mak dan Abah saya disahkan positif. Abah ada history sakit jantung dan mak pula ada penyakit diabetic and high blood. Keadaan kesihatan mereka amat merisaukan hingga dunia kami adik-beradik terasa kelam. Kami juga sedih tak dapat hantar Mak dan Abah ke SGH. Hanya lambaian dan doa mengiringi pemergian mereka.
Saya tak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa kepada Allah agar menjaga Mak dan Ayah, serta seluruh ahli keluarga yang lain. Dalam kesedihan ini, saya tetap bersyukur suami, anak-anak serta saya sendiri, tidak ada sebarang simptom hingga sekarang. Saya dan suami sudah dua kali menjalani swab test. Anak-anak tidak diperlukan swab (atas nasihat doktor) kerana tiada direct contact dengan ahli keluarga yang positif.
Ads
Suami sebagai ketua keluarga, alhamdulillah beliau sering membantu saya dalam menguruskan kehidupan seharian kami kerana saya hampir depressed. Saya sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga saya. Sejak 20 Mac lagi, wad COVID-19 di SGH dipenuhi ahli keluarga kami saban hari.
Anak Nenek Usu, cucu Nenek Usu, adik-beradik Abah, anak saudara Abah, memang ramai admitted. Tapi alhamdulillah semua menunjukkan kesembuhan kecuali beberapa ahli keluarga yang masuk ICU.
Pada 27 Mac, lebih 25 orang ahli keluarga besar kami positif COVID-19 dan admitted di SGH dan mulai dari itu saya tak nak kira lagi dah. Keadaan sekarang, anak sulung Nenek Usu, Haji Mohamad Ghazali Abd Rahman (kini kritikal dan di intubasi, wad ICU SGH).
Perkembangan Abah
Hari ini, 9 April jam 4.00 petang:
Atas doa semua. Alhamdulillah miracle, Abah tadi progress stabil dan dikeluarkan daripada ICU, dan kini telah dipindahkan ke wad COVID-19 biasa.
Ads
SYUKUR ALHAMDULILLAH MBOK Sharifah Huzaimah War Al-Edruce.. im Happy for you!!!AGAIN.. THE POWER OF DU'A ❤❤❤❤
Ahli keluarga lain-lain telah dipindahkan ke Kompleks Belia Dan Sukan (KBS) dari SGH untuk dipantau dan dirawat sebagai pesakit COVID-19 berisiko rendah.
Macam tak percaya, sekelip mata Allah turunkan ujian buat kami sekeluarga. Apabila result KKM keluar menyatakan source COVID-19 berasal dari kes import, kami dapati jangkitan pertama (tidak disengajakan) daripada kawan sepejabat anak Nenek Usu.
Selepas kematian Norismadi, saya mula post di FB tentang kesedaran dan bahayanya COVID-19. Bagaimana simptom mangsa dan sebagainya untuk kesedaran orang ramai. Bila ada ahli keluarga yang meninggal atau disahkan positif, mereka akan terus admitted ke hospital dan kita tak boleh datang melawat. Semuanya terhenti di situ dan mungkin itulah kali terakhir kita melihat mereka.
Saya harap agar semua orang mengikut arahan PM dan kerajaan, demi masa depan kita semua dan keluarga tersayang. Kalau boleh, saya nak masyarakat tahu, pesakit COVID-19 ni bukan penyakit yang kita minta! Jangan dicemuh, jangan diviral sewenang-wenangnya kerana video keluarga kami ramai diambil secara curi oleh kejiranan dan ditularkan.
Fahamilah! Tiap pesakit ada aibnya sendiri. Dahlah sakit, video diambil curi, tulis kapsyen macam pesakit tu zombie atau kena AIDS pula. Sedih sangat dengan sikap masyarakat yang suka berkongsi tanpa mencari kesahihannya. Kalau sakit mata anda memandang, lebih sakit lagi bahu kami yang memikulnya. Ini semua ketentuan dan takdir Allah. Baik atau tidak, semuanya dari Maha Pencipta.
Sehingga ke hari ini, KKM masih lagi memantau kesihatan keluarga kani untuk keselamatan semua. Saya dan keluarga masih disuruh untuk melakukan swab test. Doakan semoga kami terus negatif dan sihat, dilindungi dari wabak ini dan mudah-mudahan semuanya akan segera berakhir.
Akhir bicara, saya mohon agar semua dapat mendoakan kesihatan yang baik dan diberi kesembuhan buat Abah serta sepupu Abah saya (Mohd Ghazali) yang kini berada di ICU. Kepada frontliners, saya doakan agar semuanya selamat, diberikan kesihatan dan dilindungi Allah SWT.
Terima kasih atas usaha dan layanan doktor, jururawat di SGH dan KBS yang merawat keluarga saya. Semuanya sangat baik, mesra dan kami bersyukur dapat dirawat dengan baik. Alhamdulilah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.
Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.
Tengku Puteri Jihan (kiri)Nostalgia Tunku Azizah mengenakan persalinan sama ketika pertabalan ayahanda Almarhum Sultan Iskandar
Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!
Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.
Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.
Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.
Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.
Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usai perjalanan Pencarian NONA Superwoman, USANITA SDN BHD terpanggil membantu usahawan terutama golongan B40 dan M40 untuk membangunkan mereka dalam era Industri 4.0 menerusi penjenamaan dan pendigitalan terutamanya di kalangan usahawan B40 dan M40.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan, melalui program ini, USANITA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan bergerak seiring membantu usahawan yang terjejas. Di samping itu, USANITA turut mendapatkan kerjasama dari Datuk Rosyam Nor untuk merealisasikan objektif pengukuhan semula ekonomi golongan berkenaan.
Bercakap mengenai penjenamaan, Datuk Rosyam Nor menyifatkan dalam kehidupan seharian seharusnya mempunyai penjenamaan terutamanya bagi mereka yang terlibat di dalam perniagaan. Menurut usahawan selebriti ini lagi, era digital sudah sampai ke kemuncak apatah lagi apabila Covid-19 menyerang, ia banyak mengajar setiap individu erti kepayahan baik hidup mahupun bisnes tetapi pada masa yang sama ia mendidik tentang erti transformasi.
“Selari dengan aspirasi kerajaan mengenai Wanita Bangkit Mendepani Cabaran, USANITA cuba menyuntik semangat usahawan IKS B40 dengan program dan webinar bagi mereka dalam mendepani cabaran pandemik. Hubungan baik di antara USANITA dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selamaini juga memberi banyak peluang dan sokongan buat wanita yang terkesan akibat Covid-19 dalam menceburi bidang perniagaan.
USANITA mensasarkan untuk membantu seramai 50 orang usahawan untuk mendalami ilmu penjenamaan dan pendigitalan di bawah bimbingan USANITA dan disokong oleh usahawan selebriti Datuk Rosyam Nor.
.Turut hadir di majlis sidang media tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyokong usaha yang dijalankan oleh USANITA yang menyediakan platform khas untuk membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar selari dengan arus perniagaan semasa yang berasaskan digital.
“Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, Kementerian telah memperkenalkan program DesaMall @KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara atas talian.Inisiatif itu adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian,” ujar beliau semasa memberi ucapan perasmian semalam.
Majlis turut diserikan dengan persembahan penghibur terkenal tanah air, DAyang Nurfaizah yang mendendangkan dua buah lagu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Orangnya memang cantik dan tidak kira persalinan apa yang digayakan sekalipun pasti kelibat Tengku Permaisuri Norashikin mencuri perhatian khalayak. Jika sebelum ini Baginda pernah tampil dengan gaya kasual dan mengenakan busana formal ketika menghadiri majlis-majlis rasmi… kali ini Tengku Permaisuri Selangor dilihat mengenakan pakaian lengkap bersukan sewaktu menyertai ekspedisi ke Bukit Fraser pada 26 Ogos lalu.
Memetik laporan yang disiarkan menerusi laman Selangor Royal Office, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Ekspedisi Saintifik DiRaja Biodiversiti Taman Negeri Selangor Bukit Fraser, Daerah Hulu Selangor bertempat di Taman Eko Rimba (TER) Komanwel, Rawang.
Pada majlis berkenaan Baginda berkenan melancarkan dua buah buku terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu “Enchanted Orchids of Fraser’s Hill”, “Wonders of Malaysian Orchids: Unveiling Vanilla Norashikiniana” dan sebuah buku keluaran Taman EkoRimba (TER) Komanwel berjudul “Reflections 25 Years of the Commonwealth Eco Forest Park.”
Dalam pada itu, Baginda turut dipersembahkan dengan pokok orkid Vanilla Norashikiniana oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris yang kemudian dibawa melawat ke Taman Konservasi Orkid Liar Tengku Permaisuri Norashikin di Bukit Fraser yang turut menempatkan pokok orkid Vanilla Norashikiniana.
Program Ekspedisi DiRaja yang julung kali diadakan di Negeri Selangor itu bertujuan mengumpul, mendokumentasikan serta menjalankan kajian saintifik ke atas kepelbagaian orkid, tumbuhan ornamental dan tumbuhan ubatan yang terdapat di Bukit Fraser dan Hulu Selangor.
Pada hari yang sama juga DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyertai ekspedisi menjejak spesis orkid liar di Taman Negeri Selangor Bukit Fraser. Ekspedisi yang melalui Denai Mager sejauh hampir satu kilometer itu diketuai Prof. Rusea Go yang berkepakaran dalam bidang penyelidikan orkid. Beliau juga mengendalikan Program Ekspedisi Diraja yang disertai 40 penyelidik di kawasan berkenaan selama lima hari sehingga 30 Ogos 2019.
Data-data yang diperoleh akan dapat membantu dalam penyelidikan universiti, pengajaran, pembelajaran, perundingan serta mempertingkatkan kerjasama antara UPM dengan pihak komuniti dan Jabatan Perhutanan dalam pemeliharaan sumber-sumber khazanah alam semula jadi di kawasan hutan tersebut.
Ketika ekspedisi ini, Baginda turut diberi taklimat mengenai spesis orkid Vanilla Norashikiniana yang namanya dimasyhurkan oleh Baginda sendiri pada 3 November 2017. Spesis orkid baharu itu ditemui tidak berbunga pada tahun 2013 di sebuah Hutan Simpan di Semenanjung Malaysia semasa ekspedisi botani oleh sekumpulan saintis botani UPM bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Pokok orkid Vanilla Norashikiniana, kemudian ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada November 2014. Penyelidik mengambil masa hampir tiga tahun untuk mengesahkan penemuan spesis baharu itu.
Antara keunikan spesis orkid Vanilla Norashikiniana ialah ia hanya berbunga sekali setahun antara bulan April hingga Mei, bergantung kepada faktor cuaca. Sebaik selesai merentasi denai bagi melihat sendiri beberapa spesis orkid liar di Bukit Fraser, Baginda kemudian
berkenan melakukan ‘walkabout’ di sekitar pekan Bukit Fraser dan beramah mesra dengan pelancong serta penduduk setempat.
Sumber: Selangor Royal Office
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam diam dah 16 tahun rupanya usia perkahwinan Zarul dan isteri tercinta, Intan Nur Fathihah. Agak jarang berkongsi gambar keluarga kerana menghormati privasi mereka, selebriti yang juga pelakon dan penyanyi ini mengetepikan seketika prinsip berkenaan pada ...