Lagi beberapa hari saja lagi seluruh umat Islam akan meraikan hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa menahan nafsu, lapar dan dahaga. Lantas, sudah menjadi kebiasaan orang ramai akan pulang ke kampung meraikan Hari Raya bersama dengan yang tersayang.
Berkumpul beramai-ramai sanak saudara, sambil tangan dihulur memohon ampun dan maaf sudah semestinya momen yang paling dinanti-nanti di pagi raya terutama sekali kepada ibu dan bapa kita yang sudah pastinya banyak berkorban membesarkan anak-anak.
Namun, baru-baru ini seorang staf kesihatan mendedahkan satu trend mengejutkan trik segelintir anak-anak yang membuat keputusan meninggalkan ibu bapa mereka di hospital sewaktu musim perayaan tular di media sosial dan mendapat respon dari warga maya.
Menerusi perkongsian tersebut di akaun Tiktok Ayietdf, seorang lelaki yang dipercayai kakitangan kesihatan berkongsi ramai anak-anak yang diklasifikasikan ‘anak tanggang’ di musim perayaan kerana ramai yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka yang uzur di hospital sewaktu beberapa lagi sebelum menjelang hari raya agar mereka dapat bergembira dan beraya sakan tanpa perlu risau keadaan mereka.
“Sebab nak mudahkan urusan mereka balik kampung bercuti dan sebagainya mereka sanggup tidak memberi makan dan minum selama beberapa hari, agar boleh menghantar mereka ke hospital dan terpaksa diwadkan,” jelasnya. Malah, ada yang memberi alasan tak mampu menjaga sendiri kerana sibuk bekerja malah perkara ini dah lama berlaku.
Lelaki tersebut turut sedih dengan apa yang dilakukan oleh mereka yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka di hospital. “Tak tercapai akal fikiran saya, sampai hatinya buat pada mak ayah macam itu. Itukah cara anda balas jasa mak ayah anda. Tak kira hari raya aidilfitri, hari raya cina atau lain-lain pasti ada kes sebegini”
Lelaki tersebut juga turut sempat meninggalkan pesan kepada semua agar sentiasa mengutamakan ibu dan menjaga ibu dan ayah sebaik mungkin, kerana apa yang berlaku tidak mustahil akan terjadi kepada kita nanti.
Ads
Melihat di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut sedih malah ada yang terkejut mendengar penjelasan itu dan memberikan pandangan mereka. Ketika artikel ini ditulis, video berkenaan telah meraih 53.9K views, 3,184 likes dan 562 comments di TikTok.
Apalah nak jadi dengan anak-anak zaman sekarang ya? Semoga kita semua boleh ambil iktibar dengan apa yang berlaku ini dan semoga kita semua dijauhkan dari berperangai begini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, selesai sudah majlis perkahwinan diraja Yang Teramat Mulia (YTM) Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia (YAM) Pengiran Muda Bahar yang berlangsung pada 12 Januari lepas. Majlis kemuncak dengan Istiadat Bersanding Pengantin Diraja diadakan dalam suasana penuh tradisi dan meriah.
Memetik laporan Media Permata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Terdahulu, Istiadat Akad Nikah Diraja bermula dengan ketibaan YAM Pengiran Muda Bahar berangkat tiba di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dengan dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem dengan didahului oleh 12 Sinipit serta diikuti oleh alat-alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-Awang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan.
Majlis diikuti dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja masuk ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, Yang Berhormat Pehin menyembahkan borang nikah kehadapan majlis Baginda Sultan untuk ditandatangani.
Yang Berhormat Pehin kemudian memimpin bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan bacaan Khutbah Nikah seterusnya Istiadat Akad Nikah Diraja bagi YAM Pengiran Muda Bahar dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan maharnya $1,000 tunai.
Sebaik sahaja lafaz kabul daripada YAM Pengiran Muda Bahar disahkan oleh saksi, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan akad nikah diraja telah sempurna dilaksanakan kemudiannya YAM Pengiran Muda Bahar membaca lafaz taklik.
Yang Berhormat Pehin seterusnya memberikan borang nikah kepada YAM Pengiran Muda Bahar untuk ditandatangani.
Istiadat Akad Nikah Diraja diteruskan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Lapan Istiadat Perkahwinan Diraja menjadi tumpuan pada kebiasaannya dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang kemudiannya disusuli Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga seterusnya Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja, Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.
Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja serta Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja menyusuli Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja sebelum kemuncak acara iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semalam, genap setahun khabar duka pada 13 Ramadan menjengah ke pengetahuan semua apabila dikejutkan dengan berita kemalangan pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40. Lebih mendukacitakan Faziani menghembuskan nafas terakkhir dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand. Faziani meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan tersepit di bahagian penumpang hadapan.
Pengasas kosmetik ini difahamkan keluar dari kediamannya di Kampung Paloh, Tumpat Kelantan sekitar jam 8 pagi atas urusan bersama suami tersayang, Ahmad Shah Rizal Ibrahim. Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki oleh Faziani yang bertembung dengan sebuah lori. Faziani dan suami dikatakan dalam perjalanan ke Pondok di Yala, Thailand untuk menyerahkan sumbangan sempena Ramadan.
Mengimbas kenangan setahun yang lalu di mana majalah NONA menjadi majalah pertama diberi peluang melihat kediaman indah milik Faziani dan suaminya pada awal Mac tahun lalu. Layanan mesra yang diberikan oleh Allahyarham melayan krew kami dengan pelbagai hidangan istimewa bagi memastikan kami selesa menjalankan sesi fotografi.
Kali pertama membuka pintu kediamannya kepada pihak media, NONA sememangnya merasa amat bertuah dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan Allahyarham bersama keluarganya yang amat mementingkan nilai kekeluargaan. Usai melaksanakan tugasan, dihulurkan sepasang telekung bersulam indah untuk krew NONA sebagai tanda kenang-kenangan. Menurut pembantu Allahyarham Faziani dikenali sebagai Anis, Allahyarham sememangnya suka memberi hadiah antaranya telekung kepada sesiapa sahaja yang dikenalinya. Mungkin itu antara cara Allahyarham memanjangkan pahala melalui pemberian sehelai telekung yang penuh bermakna. Sehingga kini, penulis masih memakai telekung tersebut untuk bersolat dan setiap kali memandang telekung tersebut, pasti teringat akan Allhyarham. Al Fatihah.
Malah, ketika kunjungan krew majalah NONA itu, Allahyarham Faziani tidak habis-habis memanjatkan rasa kesyukuran di atas kurniaan rezeki terhadap perniagaan yang diusahakannya dan mengembangkan perniagaannya ke Indonesia pula.
Sikap ramah dan murah dengan senyuman menjadi trademark wanita berusia 40 tahun ini yang membina kediaman baharu bersama keluarga tersayang bersebelahan dengan kediaman ibu mentuanya yang lumpuh. Malah Faziani menganggap kediaman tersebut sebagai lokasi tempat mereka adik-beradik sering berkumpul dan gemar mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yaasin di kediaman baharunya itu.
Perkongsian suami Allahyarham sempena setahun pemergian Allahyarham mengundang rasa sebak.
A post shared by THE PLANNER (@rizal_ibrahim77) on
Penulis sendiri terkejut sebaik sahaja dimaklumkan oleh Editor Pengurusan Majalah NONA, Kiffy Razak mengenai berita yang menimpa arwah Faziani pada awal pagi 13 Ramadan tahun lalu. Masih teringat pesanan Whats App penulis bersama Arwah beberapa hari sebelum menjelangnya 1 Ramadan di mana arwah memaklumkan akan berangkat mengerjakan umrah. Ternyata ketika itu, tidak sampai dua minggu selepas sesi fotografi bersama majalah NONA arwah menjadi tetamu di bumi Makkah dan Madinah. Dan ketika awal Ramadan tahun lalu, arwah sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah. Malah, arwah baharu tiga hari pulang dari Tanah Suci dan memulakan urusannya dengan majlis amal dan berbuka puasa bersama anak yatim di Jakarta, Indonesia tahun lalu.
Allahyarham Faziani pernah menjadi penghias muka hadapan Majalah NONA Mei 2016 merupakan seorang usahawan yang sentiasa ceria dan berusaha meningkatkan lagi jenama kosmetik keluarannya sehingga kini berjaya menembusi pasaran Indonesia. Ketika krew NONA berkunjung ke kediamannya awal tahun lalu, Allahyarham Faziani rancak bercerita mengenai susah senang yang terpaksa dilaluinya untuk memastikan Dnars Skincare menembusi pasaran Indonesia. Ternyata, empat tahun mengusahakan jenamanya menembusi Indonesia memberi dimensi baharu untuk dirinya berjaya, Alhamdulillah. Kini, usaha Allahyarham diteruskan oleh anak-anak tersayang sambil dibantu oleh suami, Ahmad Shah Rizal bagi melebarkan sayap ke negara jiran.
Sesungguhnya, ajal dan maut itu di tangan Yang Maha Pencipta. Tambahan pula jika seseorang itu ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa ajalnya pada bulan Ramadan atau pada waktu-waktu mulia yang lain seperti hari jumaat atau pada tempat yang mulia seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda Husnul Khotimah atau pengakhiran yang baik. Al Fatihah untuk Faziani Rohban Ahmad. Semoga rohNya dicucuri rahmat.
(Kenangan Terakhir Team Majalah NONA ketika membuat liputan di kediaman Faziani Rohban Mac tahun lalu)
Berkongsi luahan isi hati suami Allahyarham Faziani iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim 43 tahun mengimbas bagaimana ketibaan Ramadan memberi rasa syahdu kepada dirinya kerana kehilangan bapanya, Allahyarham Ibrahim Yaacob juga pada bulan Ramadan.
“Jika dulu bila tiba Ramadan aku akan rindukan abah, Haji Ibrahim Yaacob yang kembali ke penciptaNya pada 11 Ramadan 1417 bersamaan 20 Januari 1997 semua usiaku17 tahun. Kini, seorang lagi insan yang bermakna dalam hidupku iaitu Allahyarhamah isteriku Hajjah Faziani Rohban telah genap 1 tahun (13 Ramadan1440/18 Mei 2019) meninggalkan aku ketika usiaku 42 tahun.
Ya Allah..sungguh pantas masa berlalu. Sekali lagi ujian berat bagiku untuk menerima takdirNya. Syurga firdausi untuk dua insan ini. Al-Fatihah.
Berikut antara luahan hati Ahmad Shah Rizal di laman Instagram milik Allahyarham Faziani Rohban:
Assalamualaikum…
Hati ini hanya rindu padamu, bidadariku. Hari ni aku cuba kuatkan diri untuk lihat semua gambar gambar bidadariku di sini. Hampir setahun menahan rasa rindu yang tiada penghujung. Benar kata orang, rindu pada yang telah tiada sangat menyakitkan. Hanya yg lalui sahaja akan mengerti perasaan ini…
Tiada lagi gelak tawamu
Tiada lagi gurau sendamu
Tiada lagi leteran mu
Tiada lagi panggilan ‘yunk’ darimu
Tiada lagi senyum manismu
Semoga tenang di sana sayang…
Saya dengan rendah hati ingin berterima kasih kpd semua follower @fazianirohban kerana menyokong bidadari sy hingga hujung nyawanya. Sampai ke hari ni masih ada lagi yg sudi sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau. Hanya Allah sahaja mampu membalasnya.
Sumber: Instagram @rizal_ibrahim77 dan @fazianirohban
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usaha menjadikan masyarakat Malaysia lebih sihat dan mengamalkan pemakanan sihat, soal pengambilan hidangan berasaskan makanan laut perlu dipertingkatkan memandangkan ikan kaya dengan sumber protein, selenium, zink, iodin, Vitamin A dan D serta Omega 3.
Bagi chef terkenal Datuk Chef Wan, memasak berasaskan makanan laut seperti ikan banyak meninggalkan nostalgia buat dirinya terutamanya ketika zaman kanak-kanak. Tambahnya, membesar dalam persekitaran yang susah dan anak sulung kepada tujuh adik-beradik, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan pelbagai ragam kehidupan untuk membantu ibu dan bapanya menambah pendapatan keluarga.
“Dari kecil saya sudah diajar untuk mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Bayangkan, ayah hanya bekerja sebagai seorang askar berpangkat korperal dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala ibu pula merupakan seorang suri rumah. Sudah tentu pendapatan keluarga agak terhad.
Jadi, sebagai anak sulung ayah akan membawa saya memancing di kawasan lombong berdekatan kuarters dan dari situ saya belajar bagaimana memancing. Hasil tangkapan dijadikan lauk untuk kami adik-beradik.”
Selain itu, Datuk Chef Wan juga sering membantu ibunya menyediakan kuih-muih untuk dijual di dalam kaurters. Dari situlah minatnya mula didedahkan secara informal terhadap dunia masakan terutamanya makanan Melayu.
“Jika ada lebihan, ikan tersebut juga akan dibuatkan ikan masin dan dimakan pada saat-saat yang diperlukan,” ujarnya ketika ditemui di majlis santai Uncle Ali The Fishmonger yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Pada majlis tersebut, Datuk Chef Wan turut berkongsi dua menu warisan keluarganya iaitu Gulai Udang Nenas dan Ikan Bakar Portugis. Resipi gulai tersebut telah diwarisi olehnya dari 5 generasi keluarga yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang masakan.
“Resipi yang saya sediakan hari ini adalah resipi keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Antara rahsia untuk mendapatkan hidangan gulai yang enak adalah melalui penggunaan bahan-bahan yang segar antaranya kunyit, lengkuas, buah keras, udang kering dan serbuk ketumbar.
“Saya tidak mempunyai sukatan khas dalam memasak. Sama seperti orang dulu-dulu memasak pakai campak-campak sahaja, saya juga begitu. Tetapi untuk memasak gulai, pastikan api besar digunakan untuk menaikkan bau bahan yang hendak ditumis. Pastikan jika mengisar bahan menggunakan mesin pengisar, ia akan mempunyai air dan tumislah dengan menggunakan api yang besar.
Jika menggunakan batu lesung, api yang sederhana sudah memadai dan pastikan ianya ditumis sehingga pecah minyak dan wangi. Jangan kedekut menggunakan bawang merah dalam masakan melayu kerana ia adalah antara salah satu rahsia untuk menyedapkan hidangan.”
Sebelum menamatkan proses memasak, Chef Wan turut berkongsi petua bagaimana memasak makanan berasaskan hidangan laut agar ia kekal segar dan enak ketika dinikmati.
“Untuk memasak hidangan berasaskan makanan laut, ia tidak boleh dimasak terlalu lama kerana akan menyebabkan manis pada makanan laut hilang. Jadi, sebagai contoh jika memasak gulai udang seperti ini, pastikan api ditutup beberapa minit sebelum dihidangkan kerana semasa proses tersebut udang masih boleh melalui proses memasak. Pastikan masa memasak makanan laut tidak terlalu lama bagi mengekalkan nutrien yang istimewa di dalamnya,” ujar Datuk Chef Wan mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.