Sejak Arab Saudi membuka sempadan dan membenarkan aktiviti umrah, ramai yang mengambil kesempatan untuk mengunjunginya dan dah jadi trend sambut puasa di Mekah.

Seronok melihat kawan-kawan yang ‘dijemput’ melakukan ibadah umrah dalam bulan puasa dan seakan menjadi trend sambut puasa sambil melakukan ibadah umrah.

IKLAN

Sebagaimana yang kita ketahui Arab Saudi mula berpuasa pada hari Sabtu, 2 April 2022. Manakala kita di Malaysia mula berpuasa pada hari Ahad 3 April 2022 dan dijangkakan menyambut hari raya pada 3 Mei 2022.

Ini bermakna jika jemaah yang menyambut Ramadan di Tanah Suci mereka akan berpuasa selama 31 hari sekembalinya jemaah umrah ke tanah air. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi penjelasan tentang trend sambut puasa di Mekah ini;

Trend Sambut Puasa Di Mekah, Kena ‘Alert’ Sambut Aidilfitri Ikut Malaysia Atau Arab Saudi
Foto: Instagram @drzulkifli.albakri

Bilangan Hari di dalam Bulan Hijriah

Sebagaimana disebutkan dalam hadith Ibnu ‘Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya bulan (hijriyah) antara 29 hari (atau 30 hari). Janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat hilal (anak bulan). Dan janganlah kamu berhari raya sehingga kamu melihat hilal. Jika hilal tidak kelihatan, maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi 30 hari.”

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan kami juga tidak mengira. Satu bulan itu, begini dan begini.” Maksudnya, kadang-kadang (jumlah harinya) dua puluh sembilan hari dan kadang-kadang tiga puluh hari.”

Trend Sambut Puasa Di Mekah, Kena ‘Alert’ Sambut Aidilfitri Ikut Malaysia Atau Arab Saudi
Gambar hiasan, foto: Instagram @naimdanielx

Berpuasa 31 Hari Disebabkan Oleh Permusafiran

Pada asasnya, berpuasa pada bulan Ramadan dan juga berhari raya pada bulan Syawal ditentukan berdasarkan kelihatannya anak bulan. Asas kepada perkara ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW :

Maksudnya: “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan)”

Maksudnya: “Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.”

Trend Sambut Puasa Di Mekah, Kena ‘Alert’ Sambut Aidilfitri Ikut Malaysia Atau Arab Saudi
Gambar hiasan, foto: Instagram @daiyantrisha

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Di dalam mazhab al-Syafi’ie, penentuan masuknya bulan Ramadan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama.

Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka.

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”.

Trend Sambut Puasa Di Mekah, Kena ‘Alert’ Sambut Aidilfitri Ikut Malaysia Atau Arab Saudi
Gambar hiasan, foto: Instagram @itsnoraariffin

Berkenaan dengan seseorang yang memulakan puasa di negara lain seperti di Arab Saudi atau yang sekitarnya yang memulakan puasa awal sehari disebabkan oleh kelihatannya anak bulan di negara mereka, kemudian dia bermusafir ke negara lain yang memulakan puasa lewat sehari dan melengkapkan 30 hari Ramadan, maka hal ini akan menyebabkan dia berpuasa selama 31 hari. Justeru, al-Khatib al-Syiribini telah menjawab berkenaan isu ini, katanya:

“Apabila tidak kelihatan anak bulan di satu negeri yang jauh, lalu dia bermusafir ke negeri yang belum kelihatan anak bulan Syawal dari negeri yang kelihatan anak bulan bagi sesiapa yang berpuasa di situ, maka pendapat yang paling sahih ialah dia wajib menyertai mereka, walaupun dia telah mencukupkan tiga puluh hari berpuasa.
Hal ini kerana dengan perpindahannya ke negeri mereka (negeri yang belum kelihatan anak bulan Syawal), maka dia telah menjadi salah seorang daripada mereka, maka terpakai kepadanya hukum sepertimana hukum ke atas penduduk negeri tersebut”.

Trend Sambut Puasa Di Mekah, Kena ‘Alert’ Sambut Aidilfitri Ikut Malaysia Atau Arab Saudi
Gambar hiasan, foto: Instagram @zulinaziz

Pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji juga menyatakan: Berdasarkan hadis tersebut, para ulama menetapkan sesiapa di kalangan penduduk negeri yang telah kelihatan anak bulan, pergi ke negeri yang jauh, di mana penduduknya belum wajib berpuasa, maka dia hendaklah bersama-sama mengakhiri puasanya, sekalipun telah cukup 30 hari.

IKLAN

Ini kerana dengan berada di negeri tersebut, dia dikira sebahagian daripada penduduknya dan tertakluk kepada peraturan mereka.

Pandangan ini adalah bersandarkan kepada hadis sahih yang telah diriwayatkan daripada Kuraib, katanya:

Maksudnya: “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’

Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadan, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian.”

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya berkenaan hal ini, maka jawab beliau: Hendaknya dia memulakan berpuasa dengan negeri yang dia berada dan berhari raya dengan negeri yang didatangi walaupun dia akan berpuasa lebih daripada 30 hari. Hukum dia berhari raya adalah bersama dengan negeri yang dia berada. Hal ini kerana Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Puasa adalah bersama dengan manusia di tempat kalian berpuasa. Berhari raya bersama dengan manusia di tempat kamu berhari raya. Berhari Raya Eid al-Adha juga bersama dengan manusia berhari raya.”

Maka bagi orang tersebut hendaklah ia berpuasa dan berhari raya dengan orang yang ada di negerinya.

IKLAN

Kesimpulan

Matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.

Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita.

Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadan, Syawal dan bulan-bulan yang lain.

Justeru, dalam isu ini, kami melihat bahawa walaupun berlaku perbezaan permulaan hari puasa, dan dia bermusafir ke negeri lain yang lewat sehari daripadanya sehingga menyebabkan dia berpuasa 31 hari, maka dia wajib mengikut hukum di tempat dia berada pada ketika itu walaupun dia berpuasa selama 31 hari sebagaimana hujah-hujah yang kami kemukakan di atas.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Beginilah jawapan tentang persoalan trend sambut puasa di Mekah.

Sumber: https://maktabahalbakri.com/877-berpuasa-31-hari/

Baca juga; Ustaz Don Kongsi 7 Amalan Sunnah, Rugi Kalau Tak Amalkan

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI