Siapa yang tak kenal dengan pengacara dan penyampai radio, Shiera Al-Khaired ini. Isteri kepada aktor kacak, Ijoy Azhari ini terkenal dengan karakternya yang kelakar dan ‘gila-gila’.
Seperti kita tahu, hubungan Shiera dan ibu mentuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu.
“Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
“Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp.
“Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.
“Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya.
Ads
“Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu,” kongsi ibu anak lima berusia 48 tahun ini.
KAGUM KECANTIKAN IBU MENTUA
Shiera juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa.
“Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala,” kongsi Shiera secara berseloroh.
Ads
“Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
“Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Ads
“Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
“Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
“Saya hanya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
“Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired merupakan adik kepada pelakon Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan keazaman Dato’ Nurulhidayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang berjaya tamat pengajian peringkat Master awal tahun ini. Satu pencapaian yang memang patut dijadikan inspirasi. Iyalah, bukan satu tugas mudah tu.
Apatah lagi, Dato’ Nurul merupakan seorang ibu bekerjaya dan isteri. Kalau tak bijak bahagikan masa, tak mungkin wanita berjiwa cekal ini mampu menggenggam Master seperti sekarang. Tahniah!
Dalam Majlis Konvokesyen Lincoln University College 2022 yang berlangsung pada 22 Februari lepas, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri ini selesai melanjutkan pengajian Master of Business Administration (MBA) dari Faculty of Business and Accountancy.
Dia melahirkan rasa syukur kerana segala penat lelah menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil. Mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat kedua-dua ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan, isteri Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff ini berkongsi khabar gembira tersebut di Instagram miliknya.
Kongsi Dato’ Nurul, “Alhamdulillah. For Mak, Abah, suami dan anak-anak. Semoga ini adalah permulaan yang baik untuk tahun 2022 dan tahun yang mendatang. Aaminn.
Nak bagi harta dunia tak mampu lagi. Bagi Mak Abah proudness and happiness is what I can afford for now. This is for both of them. Especially for you Abah.”
Mengulas lanjut mengenai kejayaan itu, Dato’ Nurul ketika dihubungi Nona pada mulanya agak keberatan untuk berkongsi kisah perjalanannya mengejar Ijazah Sarjana kerana bimbang disalah ertikan sesetengah pihak.
Namun demi memberi semangat kepada kaum wanita, dia akhirnya akur. Dengan harapan agar kejayaan ini dapat membuka mata masyarakat khususnya wanita mengenai kepentingan pendidikan.
“Saya mula sambung MBA sejak Januari 2021 sepenuh masa secara online. Masa PKP, kelas tak menentu. Dekat dua tahun jugalah. Yang betul-betul focus on assignments sampai exam dalam setahun. Sepatutnya habis dalam masa setahun je.
Saya nak ada Master untuk kepuasan diri sendiri dan juga ‘desakan’ dari Abah. Abah ada phD, so dia nak anak dia ada strong academic background juga.”
Ujar Dato’ Nurul lagi, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dari Lincoln University College dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dato’ Nurul kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Master Corporate Communication di UPM dan Master in Dakwah and Islamic Leadership di USIM. Namun kedua-duanya tertangguh atas faktor tertentu. Bagaimana pun kali ini, dia tekad menamatkan Master.
Mesra disapa Kak Long, Dato’ Nurul juga aktif dengan aktiviti kebajikan dan membantu golongan memerlukan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19. Semoga perkongsian kejayaan dan usaha murni Dato’ Nurul meringankan beban golongan susah menjadi ikutan ramai. Selain mencetus inspirasi buat semua agar terus berusaha menggapai impian hidup.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Manisnya perjalanan hidup wanita yang diberi nama Lisa Surihani ini. Memang benar hidayah itu milik Allah SWT dan beruntung mereka yang memperolehinya terutama di usia yang muda. Nyata isteri kepada Yusry Abd Halim ini begitu beruntung dan sentiasa berusaha menjadi Muslimah sejati setelah mengambil keputusan berhijab sebaik sahaja pulang dari menunaikan ibadah umrah sekitar tahun 2019 lalu.
Mungkin segala doa yang dipanjatkan oleh wanita yang mengacarakan rancangan televisyen Tanya Doktor yang sudah masuk musim Ke-5 ini ketika berada di Tanah Suci telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Lisa Surihani terus berusaha ‘memperbetulkan’ diri dan berdoa agar segala usahanya biarlah ikhlas dan tak jemu untuk belajar.
“Subhanallah. O Allah, please let me remain in sincere niyah. I am truly far behind but I hope with Your permission I remain steadfast to improve and perfect my Tajweed. I am forever a student,” kongsi Lisa Surihani yang menerima undangan belajar Tajwid Al-Quran di Secret of Tajweed with Zaynab Talha. Ramai wanita yang belajar Al-Quran dengan Zaynab Talha yang sedang memburu PhD dalam Pengajian Al-Quran di Universiti Malaya ini termasuk Wardina Safiyyah.
Sejak mendirikan rumah tangga bersama penyanyi kumpulan KRU tanggal 23 Februari 2012, pasangan ini memang sangat sweet dan romantik. Terpancar kebahagiaan di wajahnya dan Lisa Surihani dan kini semakin ceria membesarkan sepasang anak tersayangnya, Yahaira Leanne yang berusia lima tahun dan Yusof Leonne berusia tiga tahun. Seronok melihat aksi Lisa Surihani sebagai ibu melayan telatah anak-anaknya.
Lisa Surihani juga sangat menyayangi dan rapat dengan ibunya. Jika dahulu ibunya yang akan menguruskan segala perjalanan seni Lisa Surihani. Malah sampai sekarang hubungan anak-beranak ini rapat disebabkan Lisa surihani adalah satu-satunya anak perempuan tunggal dalam lima adik-beradik. Sikapnya yang begitu menyayangi dan menghormati ibunya membuatkan personalitinya cukup menarik.
Membeli belah hanya di hujung jari, lebih mudah dan tak perlu keluar rumah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejuk perut ibu mengandung dapat melihat anak lelaki sulung menjadi imam solat. Perkongsian aktres cantik, Zahirah MacWilson di media sosialnya baru-baru ini mengenai permata hati kesayangan iaitu Isaac Raees nyata meraih perhatian warga maya. Terutamanya peminat setia bintang drama bersiri popular, Good Boys Go To Heaven berkenaan.