Di sebalik kontroversi gelek dan bicaranya yang lantang, siapa sangka kalau Ifa Raziah sebenarnya seorang wanita yang sangat kelakar serta usahawan yang sangat menginspirasikan. Selama lebih dua dekad dalam industri, kini beliau mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni untuk memajukan bisnes pengurusan acara, Starvendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Ads
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Ads
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Ads
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyanyi, pelakon serta model Dr Soo Wincci dan akademik sememangnya tidak dapat dipisahkan. Terbaharu, Dr Soo Wincci telah dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik.
Dr Soo Wincci yang kini bergelar Profesor Madya.
Pencapaian terbesar itu telah melayakkan dirinya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Paling membanggakan, Dr Soo Wincci menjadi Miss World pertama yang menerima pengiktirafan tersebut.
Bermula dari seorang ratu cantik kini bergelar seorang profesor. Inspirasi!
“Hari ini secara rasminya saya dilantik sebagai Profesor Madya (Bermula daripada seorang ratu cantik sekarang satu demi satu lagkah ke alam professor).
(Jutaan penghargaan kepada semua yang selalu menyokong perjalanan saya. terima kasih juga kepada semua yang mentertawakan, mengkhianati & melukakan saya).”
“Segalanya pasti ada hikmah tersirat. Ini merupakan satu bab yang baru. Jangan menyerah kalah terhadap impian anda dan sentiasa bangkit lebih kuat selepas setiap kejatuhan.”
Dr Soo Wincci juga menyatakan segala yang dikecapinya selama ini bukan mudah serta tiada jalan pintas. Hanya usaha yang gigih dan kental dapat merealisasikan impian. Akan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, rata-rata warganet mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian yang dikecapi Dr Soo Wincci.
Tahniah dan teruskan memberi inspirasi kepada semua khususnya buat golongan wanita di luar sana.
Untuk infio, Dr Soo Wincci memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Unadng dari University of Reading, United Kingdom. Beliau juga pemegang 3 sarjana iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia), Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol) dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).
Selain itu, dalam tempoh 15 tahun Dr Soo Wincci berjaya menggenggam PhD Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia. Beliau mencipta rekod apabila menerima 2 pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen, dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.
Kredit Foto: Intstagram Dr Soo Wincci
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rambut menyempurnakan keindahan bentuk wajah setiap insan. Setiap helaian penting, melengkapi penampilan dan keperibadian seseorang. Namun buat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qrera Sdn. Bhd. Farah Nadhirah Ibrahim (Ferra), rambut bukan sekadar persis mahkota yang harus dilindungi sebaiknya, tetapi kini ‘nyawa’ buat dirinya. Dari obsesinya terhadap alunan dan keindahan rambut sehinggalah trik dan tip dalam penjagaannya, terhasilah produk unggul penjagaan rambut, kulit dan kuku berjenama, Le’HairBoss.
Siapa menyangka minatnya meniaga dan mencari duit poket sendiri dari kecil menjadi titik tolak dalam mengemudi sebuah empayar perniagaan. Ferra yang juga graduan Diploma Rambut dan Rekaan di Universiti Lim Kok Wing berkata sejak dari zaman kanak-kanak lagi dirinya sudah mula berniaga. “Dulu di usia 7 tahun saya dan kawan dah jual macam-macam barang, dari gelang, baju sehingga perkhidmatan rawatan muka dengan harga RM1,” ujar Ferra membuka bicara.
Dek minat dalam bidang perniagaan serta mahkota wanita khususnya, Ferra membuat keputusan untuk terjun dalam bidang perniagaan selepas beberapa tahun bergelar pramugari. Niatnya hanya satu, iaitu berkongsi rezeki. “Saya berniaga bukan semata-mata nak kaya, tetapi bagi saya rezeki itu perlu dikongsi.”
Menurut penerima anugerah penghargaan NONA Best Hair Care Award ini, perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu kini telah mendapat sambutan menggalakkan di pasaran termasuk para usahawan yang kini menjadi stokis dan pengedarnya.
“Selepas beberapa bulan melancarkan makanan tambahan pertama di Malaysia untuk rambut, kuku dan kulit, perniagaan semakin aktif, lantas kami perkenalkan rangkaian produk lain seperti syampu, tonik dan perapi. Produk ini dihasilkan daripada formulasi dan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun bertujuan dalam menghasilkan produk berkualiti dan memberikan manfaat kepada pelanggan,” katanya.
Jelas Ferra lagi, produk Le’hairboss memang dicipta khas untuk membantu orang yang mengalami masalah rambut atau ingin mengekalkan rambut yang sihat. “Pelanggan kami tidak perlu berbelanja banyak untuk mendapatkan rambut yang sihat. Mujurlah setakat ini kami telah menerima banyak maklum balas positif dan testimoni yang jujur daripada pelanggan kami.
Ferra juga mengakui dalam perniagaan apa yang penting selain pelan pemasaran yang mantap, bagi dirinya ialah kelestarian produk. “Produk pertama yang menaikkan jenama kami ialah makanan tambahan (supplement) untuk rambut, kulit dan kuku yang pertama di Malaysia, dan setahun kemudian barulah kami keluarkan tonik rambut.
Kenapa saya keluarkan tonik sebab ia dapat melengkapkan penggunaan vitamin. Vitamin untuk dalaman dan tonik untuk luaran. Kemudian baru kami keluarkan syampu dan perapi (conditioner) untuk penjagaan. Le’hairboss tak akan keluarkan produk baru dengan cepat kerana kami menjalankan R&D yang benar-benar sistematik demi menghasilkan produk yang berkesan untuk semua pengguna.”
Siapa wanita inspirasi Ferra dalam bidang perniagaan, “Inspirasi saya adalah Kylie Jenner. Saya cukup memandang tinggi keazaman Kylie yang mahu diingati menerusi produknya. Seperti jenama ciptaannya, iaitu Kylie Cosmetics dan Kylie Skin, beliau mahu mencipta sesuatu untuk orang mengingatinya sampai bila-bila. Samalah seperti saya, saya mengimpikan jenama Le’Hair ini untuk digunakan walaupun bila saya sudah tiada nanti. Saya mahukan legasi produk saya untuk terus hidup dan boleh menjadi legenda suatu hari nanti.”
Baca artikel penuh penerima NONA Best Hair Care Award di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Teks: Wan Mohd Firdaus
Foto: Remy Othman
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cantik dan berbakat besar. Tuah gadis Thailand bernama Pranpriya Manoban, atau Lisa yang berusia 24 tahun ini jelas menggemparkan. Populariti Lisa bukan saja bermanfaat untuk diri sendiri, malah turut mengangkat nama tanah airnya ke peringkat antarabangsa.
Industri hiburan global sekali lagi dikejutkan apabila anggota kumpulan Blackpink itu berjaya memecahkan dua rekod dunia Guinness melalui penampilan album solonya berjudul Lalisa.
Bukan calang-calang orang dapat pujian pemimpin negara. Tapi Lisa baru-baru ini telah dipuji oleh Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha kerana mempromosikan budaya Thailand dalam video muzik ‘Lalisa’ bulan lepas!
“Say Lalisa love me Lalisa love me…”
Lahir dan membesar di Buriram, Thailand, Lisa berjaya mengekspresikan kecintaannya terhadap budaya muzik tradisional, kostum dan rekaan pentas warisan negara tersebut dalam video muzik ‘Lalisa’.
Menurut jurucakap Pemerintah Thailand, Thanakorn Wangboonkongchana, video muzik ‘Lalisa’ itu mendapat pujian Perdana Menteri. Ia dikatakan sangat membantu untuk meningkatkan nilai ekonomi kreatif dan mempromosikan soft power Thailand.
Dalam politik, soft power mengacu pada dorongan untuk menarik negara lain melalui budaya dan nilai-nilai menarik lainnya. Seperti halnya Gelombang Hallyu dari Korea Selatan.
Industri seperti ini turut menggalakkan eksport budaya baru contohnya melalui makanan, filem, fesyen, sukan serta gaya hidup masyarakat Thailand ke peringkat antarabangsa.
Lisa mempunyai lebih 62 juta pengikut di media sosial
SERBA BOLEH
Merupakan seorang penyanyi, penari dan rapper asal Thailand, anak tunggal kacukan Thailand-Switzerland ini mula meraih publisiti sebaik lulus uji bakat dengan YG Entertainment di Thailand.
Bayangkan daripada 4,000 peserta, gadis jelita ini menjadi satu-satunya sosok yang terpilih menempa nama di Korea Selatan.
Bakat seni Lisa sesungguhnya luar biasa. Selain disenangi anggota Blackpink yang lain, gadis ini juga mampu menari dan bermain alat muzik seperti ukulele serta gitar dengan baik.
Beliau juga boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Korea, Inggeris, Jepun, Thailand dan Mandarin.
Blackpink baru saja muncul dalam filem terbaru ‘Blackpink: The Movie’
Keputusan Lisa untuk tampil secara solo nyata tidak menghampakan. Lalisa yang dilancarkan pada 10 September memecahkan rekod dunia untuk ‘Video Muzik YouTube oleh artis solo paling banyak ditonton dalam 24 jam’, lapor Straits Times.
Dengan 73.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam pertama, ‘Lalisa’ memecahkan rekod terdahulu sebanyak 65.2 juta tontonan oleh bintang pop Taylor Swift pada tahun 2019.
Lalisa juga mencipta rekod baharu untuk ‘Video Muzik YouTube paling banyak ditonton dalam 24 jam oleh artis solo K-pop’.
Pencapaian beliau mengatasi debut solo rakan kumpulannya sendiri, Rose melalui “On The Ground” yang dilancarkan pada 12 Mac dengan rekod 41.6 juta tontonan dalam 24 jam.
Lisa dan famili tersayang
Ibu bapa Lisa
Kumpulan Blackpink pernah memegang rekod dunia Guinness termasuk untuk ‘Video YouTube paling banyak ditonton dalam 24 jam’ dan ‘Video muzik paling banyak ditonton dalam 24 jam’.
Walau bagaimanapun, rekod mereka dipecahkan oleh single terkenal kumpulan K-pop BTS, ‘Dynamite’ tahun lalu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!