Hebat betul penangan pempengaruh media sosial, Khairul Amin Kamaruzzaman dalam kehidupan staffnya! Mana tidaknya, meskipun sudah memberikan bonus dan duit raya sempena Aidilfitri yang baharu melabuhkan tirainya minggu lalu, nampaknya beliau terus ‘memanjakan’ pekerja kilang sambalnya.
Kali ini, kesemua 60 pekerjanya dibawa bercuti selama lima hari di Langkawi, Kedah.
Beliau memuat naik perkongsian di halaman Instagram @Khairulaming, usahawan berusia 30 tahun itu telah menutup operasi kilangnya selama lima hari bagi merealisasikan hasrat percutian tersebut.
Ads
“Minggu ni kita tutup kilang Sambal Nyet selama lima hari untuk bawa kesemua 60 staf bercuti di Langkawi,” tulisnya.
Percutian ke Langkawi itu bukanlah percutian biasa-biasa sahaja kerana dia turut menyediakan penginapan di hotel bertaraf lima bintang, jetski dan pelbagai aktiviti air menarik yang lain termasuk menyewa kapal persendirian untuk melihat matahari terbenam.
Malah kesemua pekerjanya itu sekali lagi mendapat ‘bonus’ yang diberikan untuk mereka membeli-belah di sekitar pulau yang dikenali sebagai pulau bebas cukai itu.
Ads
Baginya, setiap yang dilakukan itu adalah untuk memberi kegembiraan dan sebagai penghargaan kepada para pekerjanya yang banyak menyumbang terhadap kejayaan perusahaan yang dijalankan.
Ads
“Alhamdulillah semua staff happy,” tambahnya.
Sebelum ini, Khairulaming telah membuat kejutan raya kepada pekerjanya dengan membawa mereka membeli-belah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta berbuka puasa di hotel di samping memberikan mereka bonus Hari Raya.
Dalam posting sebelum ini, Khairulaming pernah memberi bayangan untuk membawa kesemua pekerjanya bercuti. Semoga semakin murah rezeki majikan yang sentiasa meletakkan hubungan yang baik dengan staf ini!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi pendidikan kepada anak-anak. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan. Ada berbagai bentuk dan corak pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta, dan sebagai ibu bapa mereka berhak untuk memilih. Begitu juga dengan trend menghantar anak ke Sekolah Cina.
Leny Adam adalah salah seorang ibu yang telah menghantar anak-anaknya ke Sekolah Cina. Ketika diajukan kenapa memilih sekolah cina, jawapannya, “Sebab utama saya hantar anak-anak ke Sekolah Cina supaya mereka belajar bahasa tambahan seperti bahasa Cina dan juga bagaimana anak boleh bersaing dengan kumpulan budaya yg lain. Sebab sekolah anak-anak saya ada juga kanak-kanak India belajar di Sekolah Cina,” katanya.
Leny juga turut berkongsi di laman media sosialnya tentang isu menghantar anak-anak ke Sekolah Cina ini. “Dah 10 tahun hantar anak-anak ke Sekolah Cina. Tahun ni akhir untuk Alif sebelum 4 tahun lagi untuk Amna…insyaallah. Banyak saya belajar menghantar anak ke Sekolah Cina. Disiplin di sekolah boleh membawa ke rumah dan sampai ke Sekolah Menengah.
Bangun pagi pukul 5.00 tanpa banyak kerenah. Kena sampai sekolah sebelum pukul 7.00 pagi. Home work kena siap sebelum ke sekolah. Kena ingat apa nak bawa dan susun time table sangat penting. Saya tak pernah ajar barang tertinggal nanti mommy hantar. Biar kena rotan pun kat sekolah dan lain kali dorang akan ingat barang sendiri.
Bawa air suam penting…tak boleh bawak air sirap. Kat kantin pun tak jual jajan. Saya akan siapkan breakfast atau bawak bekal biskut atau roti. Tak pernah beli di kantin. habis sekolah pukul 1.50 petang sambung tuisyen di sekolah sampai pukul 3.30 petang. Lunch ada parents yang boleh masakkan…So saya tak perlu risau anak tengahari makan ke tak? Siapkan duit tuk bayar je…
Van akan ambik di sekolah dan hantar ke tempat mengaji. Di sekolah pun ada ustazah yang sangat baik sepanjang 10 tahun ini. Kelas agama yang selesa siap ada surau yang kami parents Melayu usahakan 10 tahun lepas. Siap minta Jakel sumbang langsir, alhamdulillah.
Sekolah Cina waktu pembelajaran dan waktu persekolahan tak ada hiruk pikuk…senyap dan semua fokus dalam bilik darjah masing-masing. Tak boleh lari berkeliaran di koridor sekolah. Pagi sampai kelas kena duduk dan terus baca sifir nak pergi tandas pun tak boleh sesuka hati je…Parents tidak dibenarkan masuk dan hantar anak-anak ke bilik darjah. Kena tunggu di luar pagar sehingga loceng berbunyi. Murid-murid tidak boleh keluar dari perkarangan sekolah tanpa penjaga. Kalau anak menangis, biarkan guru-guru akan handle..macam mana, berani tak?
Oh! Lepas mengaji anak-anak saya balik rumah? Oh tidak..cikgu tuisyen anak-anak saya akan ambik dari kelas mengaji untuk buat homework dan tuisyen bahasa Mandarin..sampai la saya ambik lepas balik pejabat pukul 7.30 petang dan kadang-kadang sampai pukul 8 malam…
Sampai rumah tengok TV?? Nop! Weekdays no TV at all…Balik rumah makan, susun time table dan tidur. Pukul 9.30 malam dah deep sleep anak-anak saya semua…begitulah hari-hari seterusnya.
Weekend dah sibuk cuci kasut sendiri dan kemaskan semua baju-baju untuk sepanjang minggu. Masa ni mereka qada tengok TV dan buat aktiviti lain…So weekend memang tak pegang buku dah melainkan ada homework.
Anak-anak saya pandai? Biasa je dan ikut kemampuam masing-masing..Setiap anak tu berbeza-beza. Alhamdulillah keputusan mereka membanggakan saya…Alif pernah juga dapat no 1 dalam kelas dan dapat penghargaan. Alhamdulillah keputusan perperiksaan anak-anak saya tak pernah mengecewakan…So far bukan sebab pandai semata tapi juga bagaimana mereka boleh survive dalam hidup. Tapi pergi sekolah cina jangan harap sangat dapat merasa jadi pengawas atau ketua waima ketua kebersihan…Memang susah nak merasa tapi bila dah pergi sekolah menengah, semua mereka tapau,” kongsi Leny panjang lebar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, mama masih sihat dan cergas di usia 69 tahun. Doa saya semoga Allah terus memberi rahmat dan kesejahteraan buat Ta’adah Bt Mohd Said, dunia serta akhirat… Amin.
Saya percaya semua anak inginkan yang terbaik buat ibu mereka, dipanjangkan usianya untuk terus menikmati detik bahagia di kehidupan dunia sementara ini. Terpanggil saya untuk berbicara bersama mama dan berkongsi kisah rutin harian sihat dan cantik yang diamalkannya. Mungkin amalan ini dapat memberi inspirasi kepada semua wanita lain, walaupun ramai lagi ibu-ibu di luar sana punya 1001 cerita dan petua serta nasihat terbaik yang boleh dikongsi bersama pembaca majalah Nona.
Kini telah 6 tahun mama melewati hari-hari bebas daripada penyakit yang paling digeruni oleh wanita. KANSER. Syukur alhamdulillah. Masih ingat waktu itu, kala mama membuat pemeriksaan dan di sahkan KANSER OVARI tahap 2 (aktif), mama sangat kuat semangat dirinya.
Tanpa berfikir panjang mama terus bersetuju untuk menjalani proses kemoterapi seperti yang telah disarankan oleh doktor. Tidak sekali saya melihat kesedihan atau air matanya mengalir. Sangat kuat beliau melalui proses itu, walaupun kesakitannya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Walaupun dalam hati saya sendiri yang menangis, bila saat melihat raut wajahnya yang dimamah usia ketika terlantar baring seperti melayan mimpi panjang yang memenatkan.
Tambah pilu hati ini kala melihat rambutnya gugur akibat kesan kemo, tapi mama masih mampu tersenyum… Saya percaya inilah senario yang dihadapi oleh ramai di antara mereka apabila melihat orang tersayang melalui proses rawatan kemo. Berat mata memandang, pastinya berat lagi bahu yang di pikul.
“Mama maafkan saya kerana tidak menemanimu setiap hari dan setiap masa di saat itu…” Mama layari hidupnya sendiri dengan cukup tabah. Pasti adanya penyesalan dalam diri saya ini, sebagai seorang anak sebab selalu tinggalkan mama sendiri menjalani rawatannya. Setiap kali pulang ke Kedah dan kembali ke Kuala Lumpur pasti saya yang menangis tapi bukanlah di hadapannya kerana saya tidak mahu menunjukkan kesedihan itu, saya juga perlu kuat seperti mama.
Setiap kali itulah, saya berdoa “Ya Allah, jaganya untukku. Lindungilah mama dan kembalikanlah kesihatannya dengan baik. Kurangkanlah beban kesakitannya kerana aku amat menyayanginya.” Amin… Allah telah pemudahkan perjalanan itu.
Hari ini alhamdulillah, mama berdiri tersenyum. Sibuk dengan aktiviti warga emas dan mengaji Al-Quran. Saya mengutip beberapa petua yang telah diamalkannya, mungkin ada yang sesuai dan boleh juga dipraktikkan oleh orang lain. Dulu sekali pandang, mama seperti pelakon Uji Rashid dan sekarang kalau pakai sunglasses, macam Noorkumalasari pula.
Sejujurnya saya mengagumi kecantikan mama sejak di usia mudanya. Sangat cantik dan mama aktif dengan pelbagai aktiviti, popular juga mama di Alor Setar dulu. Ingat lagi, saya pernah melihat mama belajar catwalk di rumah sambil meletakkan buku di atas kepala dengan langkah bersama sepatu tinggi 4 inci.
Petang-petang joging dan ‘wardrobe’ sangat meriah dengan himpunan pelbagai koleksi baju yang dibeli dan ditempah, sehingga tidak muat ruang almari. Itulah mama… Personalitinya sangat tegas tetapi punya hati yang baik.
Mama daripada dahulu tidak minum air ais dan jarang sekali mengambil kopi. Tapi kalau makan nasi wajibnya ada pelbagai ulam-ulaman antara menjadi kegemaran mama, ulam raja, daun dan buah mengkudu sangat baik untuk kuatkan badan dan awek muda. Tapi memang benar, mama ratu ulam. Semua jenis daun hijau dimakannya. Petua makan nasi, sama juga seperti orang lain, makan nasi tidak bersilang seli dengan air. Minum air panas sebelum mula makan nasi untuk basahkan kerongkong serta melancarkan penghadaman.
Sesekali dahulu terlihat mama akan kepal-kepal nasi panas tanpa lauk dan kemudian terus makan. Biasanya dalam 2 atau biji kepalan sambil membaca doa makan, kata mama ini petua yang diamalkan oleh atuk nenek kita supaya badan sihat dan dijauhi daripada penyakit. Ini sekadar petua, bukanlah amalan khurafat. Siapa nak buat, boleh buat. Tidak mahu tak mengapa!
Mama tidak mengambil sebarang suplemen, hanya mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau hanya dari bahan semula jadi. Biasanya mama akan ambil bawang putih rendam bersama madu asli, biar selama tiga hari kemudian makan satu pagi, satu malam setiap hari. Ataupun bawang putih kupas dan masukkan ke dalam nasi ketika gembur, setelah hampir masak lalu makan seperti ulam.
Banyak khasiat bawang putih untuk kesihatan antaranya dapat mengurangkan risiko kanser, menurunkan kolesterol, baik untuk darah tinggi, mencegah penyakit jantung dan sebagainya. Selain itu, mama juga mengamalkan minum air jus timun atau carrot untuk sejukkan badan serta baik untuk kesihatan. Makan pisang jika stres dan untuk memudahkan proses penghadaman.
Sewaktu mama dalam proses rawatan kanser, setiap kali selepas melakukan kanser mama amalkan minum air kelapa muda. Selesai menjalani semua proses kemoterapi, mama amalkan minum air daun belalai gajah dan makan buah durian belanda. Bila sihat sikit, mama rebus air daun durian belanda untuk diminum.
Alhamdulillah kaedah dan amalan ini sesuai dengan tubuh mama. Mama juga sesekali mengamalkan minum air rebusan daun rama-rama yang mempunyai banyak khasiat dan menjaga kesihatan badan. Mama tidak lagi makan daging, belacan, ikan kering atau ikan darat. Jika termakan, mama segera minum air rebusan daun rama-rama atau daun durian belanda yang dibuat sendiri (Perkongsian ini melalui pengalaman yang diamalkan, boleh dicuba atau dapatkan khidmat nasihat doktor anda juga).
Paling penting pesan mama, buat mereka yang mengidap kanser jangan susah hati, menyendiri, muram dan terlalu banyak berfikir tentang perkara negatif. Perlu sentiasa gembira dan ceria, lemparkan senyuman setiap masa.
Selain menjaga pemakanan dan mengamalkan petua semula jadi, perkara yang utama perlu dititik beratkan ialah amal ibadat dan kerohanian. Di setiap kelapangan, mama mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas yang terlalu besar ganjaran pahalanya jika selalu diamalkan. Ia dapat membantu memberi ketenangan, membuatkan kita lebih ceria dan gembira, dipelihara keselamatan, selamat di alam barzakh dan insyaAllah, orang akan lihat wajah kita sentiasa tenang.
Mama juga sentiasa ingatkan saya untuk ringankan mulut membaca DOA NABI YUNUS a.s
“Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Doa ini adalah penawar segala musibah, dielakkan daripada perkara-perkara yang memudaratkan dan sangat besar maknanya. Amalkan setiap hari tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan. Jangan lupa untuk mengucap syukur dengan rezeki Allah SWT berikan, walaupun sedikit dan bukannya merungut.
Bangun pagi amalkan membaca surah Al-Fatihah untuk sedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW, buat arwah ibu bapa, diri sendiri, anak-anak dan juga adik-beradik sekalian. InsyaAllah…
Akhir kata, saya doakan buat mama dan seluruh ibu semua agar sentiasa dirahmati, berada di bawah lindungan Allah SWT, di panjangkan usia, di murahkan rezeki, sihat sejahtera hendaknya. “Ya Allah, Seandainya aku tidak memiliki cukup waktu, untuk membahagiakan ibu ku satu pintaku bahagiakan ibu ku dengan kasih sayang-Mu. Ya Allahampunilah segala dosa ibu ku kasihanilah ibu ku karena ibu yang telah melahirkanku, memelihara dan membesarkan diriku. Haramkanlah wajah ibuku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah buatnya syurga tanpa hisap… Amin.
Tanyalah amalan atau petua ibu kita sementara mereka masih ada, sekurang-kurangnya dapat juga dikongsi dan mungkin berguna untuk kehidupan seharian kita. Mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada kita dan pengalaman serta nasihat mereka boleh dijadikan inpirasi untuk kita lebih matang dalam menjalani pelbagai liku kehidupan di masa sekarang. Terima kasih buat semua Ibu atas kasih sayang yang telah engkau berikan kepada diri kita dengan tulus kasih mu yang tak akan mampu kita bayar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita memegang posisi utama dalam sesebuah keluarga dan masyarakat. Tugasnya sebagai pendidik pertama, berlangsung sejak bayi dari dalam janin lagi. Inilah orangnya yang bertanggungjawab mempersiapkan generasi sebagai penyambung warisan seterusnya.
Dalam perkembangan era globalisasi ini, wanita telah mula memperlihatkan aspek yang penting ini dan sejajar dengan kaum lelaki dalam pembangunan ekonomi dan negara. Kehebatan peranan wanita dapat dilihat melalui sumbangan wanita-wanita ini;
1. Timbalan Perdana Menteri Wanita PERTAMA Malaysia
YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail ialah Timbalan Perdana Menteri wanita PERTAMA dalam sejarah Malaysia, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dr Wan Azizah berpengalaman selama 15 tahun sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan.
Di peringkat negeri, Dr Wan Azizah pernah mencurah bakti berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang selama 4 tahun. Dr Wan Azizah bertanggungjawab mengemudi Parti Keadilan Rakyat sebagai Presiden Parti selama 19 tahun. Beliau juga merupakan Presiden Pakatan Harapan sejak penubuhannya sehingga kini.
FOTO: INSTAGRAM
2. Wanita PERTAMA Menjadi Juruterbang Pesawat Pejuang di Malaysia
Lt. Kol. Emilia Kamaruddin merupakan wanita PERTAMA menjadi juruterbang pesawat pejuang. Beliau mahir dalam mengendalikan jet-jet pejuang hebat seperti Skyhawk, Hawk, Pilatus PC-7, Aermacchi MB339 dan Aerotiga MD3. Beliau dilahirkan pada 27 Ogos 1962, di Selangor, Darul Ehsan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nanas sehingga lulus Tingkatan Lima pada tahun 1979.
Selepas itu, beliau mengambil A Level di Llandrillo Technical College, United Kingdom dan lulus pada tahun 1982. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil pada tahun 1985 daripada Loughborough University, United Kingdom. Pada tahun 1998, beliau mendapat Diploma dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan daripada Universiti Malaya.
FOTO: FACEBOOK
3. Rakyat Malaysia PERTAMA Dilantik Sebagai Ketua Projek NASA
Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai ketua projek NASA. beliau mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan biologi dengan pelbagai disiplin yang cemerlang serta keupayaan bekerja dan berinteraksi dengan mereka dalam bidang lain menyebabkan beliau terpilih mengetuai projek SporeSat, sebuah projek NASA Small Satelit yang dilancarkan pada tahun 2014.
FOTO: THE STAR
4. Wanita PERTAMA Negara Dilantik Sebagai Pegawai Memerintah Kapal
Leftenan Maritim Aida Arzahari, telah mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal. Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Februari tahun lalu.
FOTO: MALAYSIANREVIEW.COM
5. Ketua Polis Negeri Wanita Pertama
Dato’ Robiah Abdul Ghani merupakan Ketua Polis Negeri wanita PERTAMA yang telah dilantik pada tahun 2008. Memegang jawatan sebagai Keptua Polis Pahang, beliau telah menyertai PDRM pada tahun 1971. Selain itu wanita hebat ini pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai pegawai penyiasat di IPK Perak dan pegawai platun komander wanita di Ulu Kinta, Perak.
FOTO: MSTAR.COM.MY
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.